Pages Menu
Categories Menu

Posted by on Nov 11, 2011 in Dakwah Ila Allah | 2 comments

Pemuda Bervisikan Akhirat

Pemuda Bervisikan Akhirat

Tiada perkara yang lebih mengejutkan diri saya, melainkan apa yang saya temui dalam beberapa borang soal selidik dalam sebuah kajian yang dijalankan di sebuah universiti. Borang ini diisi oleh para responden yang terdiri daripada pesalah juvana di sebuah pusat tahanan. Soalan yang dikemukakan, sekaligus mengusik perhatian saya, ialah berkaitan dengan sistem nilai dan kepercayaan mereka.

Ramai di kalangan responden, tanpa perlu menyebut angkanya, memilih dan menjawab bahawa mereka tidak percaya pada pembalasan pada hari akhirat. Responden ini tidak percaya adanya syurga dan neraka!

Saya begitu dukacita. Mereka masih remaja. Anak-anak muda seagama dan sebangsa. Para pesalah juvana ini jujur mengakui ketidakpercayaan mereka kerana tiada siapa mengetahui apa yang mereka tulis dan tanda pada borang tersebut. Apa yang menghairankan, responden itu masih mengakui bahawa Allah adalah tuhan. Bagaimana mungkin, seorang yang mengaku beriman kepada Allah boleh berpegang dengan kepercayaan bahawa Allah tidak menyediakan apa-apa balasan di akhirat sana.

Persoalannya, adakah kerana sistem nilai dan kepercayaan yang tidak percaya dengan kewujudan syurga dan neraka telah menyebabkan para juvana ini terjebak ke kancah jenayah? Apakah puncanya sehingga mereka berkeyakinan sedemikian? Adakah kerana terlalu kecewa dengan ujian kehidupan yang mereka lalui? Adakah terlalu pesimis dengan ketidakadilan, jika ada, yang berlaku kepada diri mereka? Ataupun berkemungkinan mereka tiada ilmu tentang hari akhirat serta tidak pernah mendengar perincian tentang syurga dan neraka.

Hidup Tanpa Sentuhan Akhirat

Inilah punca mereka melakukan jenayah. Biarpun kenyataan ini perlu dibuktikan secara empirikal, namun sistem nilai yang longgar adalah faktor seseorang berkonflik dengan undang-undang. Remaja dan anak muda yang terjebak dengan jenayah mempunyai masalah dalam sistem nilai mereka. Mereka kurang rasa diawasi oleh Allah, merasa dosa boleh dipermudahkan dan  meringan-ringankan suruhan Allah.

Sedangkan, usia muda adalah perkara yang dinilai oleh Allah di mahsyar kelak. Bagaimana seseorang mengisi usia mudanya akan diperhalusi oleh Allah di samping persoalan lain. Daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah bersabda:

لا تزول قدم ابن آدم يوم القيامة من عند ربه حتى يسأل عن خمس : عن عمره فيم أفناه ، وعن شبابه فيم أبلاه ، وماله من أين اكتسبه وفيم أنفقه ، وماذا عمل فيما علم

Maksud: Anak Adam tidak akan berganjak di hadapan Tuhannya pada hari Kiamat melainkan dia sudah ditanya tentang lima perkara: kehidupannya dan bagaimana dia menghabiskannya, masa mudanya dan bagaimana dia mengisinya, kekayaannya dan bagaimana dia memperolehi dan menggunakannya, dan bagaimana dia mengamalkan ilmu yang dia perolehi.  (Sunan al-Tirmizi: 2422)

Kalaulah para pesalah juvana itu mengetahui bahawa usia muda mereka akan dipersoalkan, mereka akan berfikir beberapa kali sebelum melakukan kesalahan atau jenayah.  Mereka akan berfikir tentang kesan bagi sesuatu perbuatan. Itu sudah cukup untuk menghilangkan selera untuk menderhakai Allah. Jika ingatan terhadap Allah dan hari Akhirat tidak terlintas di hati, manusia akan hilang rasa takut dan malu. Lantas, mereka akan melakukan apa sahaja maksiat yang dibisikkan oleh nafsu dan syaitan kepada mereka.

Ini turut menunjukkan bahawa taqwa atau takut kepada Allah memerlukan elemen keimanan kepada hari Akhirat. Seseorang itu memiliki taqwa apabila setiap gerak geri hidupnya dipandu dengan rasa takutnya kepada pembalasan Allah di akhirat nanti.  Semakin tinggi pengetahuan, kefahaman dan imannya tentang perihal akhirat, semakin tinggi graf taqwanya. Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لَا يَجْزِي وَالِدٌ عَنْ وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَالِدِهِ شَيْئًا ۚ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ ۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُمْ بِاللَّهِ الْغَرُورُ

Maksud: Wahai manusia, bertaqwalah kepada Tuhamu dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikitpun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah. (Surah Luqman: 33)

Ibn Kathir menjelaskan ayat di atas: “Allah berfirman mengancam manusia dengan hari kiamat serta memerintahkan mereka untuk bertaqwa, takut dan khuatir akan hari Kiamat…” Hanya ketakutan kepada hari Akhirat akan membentuk tingkah laku seseorang. Selanjutnya, ayat di atas menjelaskan bahawa hari Akhirat adalah hari akauntabiliti. Jika di dunia, para juvana yang ditahan polis, masih boleh diikat jamin dan dibebaskan. Begitu juga jika dibicarakan di mahkamah, ibu bapa masih boleh membayar wang jaminan bon berkelakuan baik. Namun, semua kesalahan di akhirat akan dipertanggungjawabkan ke atas pelakunya sendiri. Tiada lagi perlindungan, pembelaan atau penebusan. Itulah sebabnya Allah menyuruh agar manusia bertaqwa kepada-Nya dan takut akan hari Akhirat. Penegasan terakhir pada ayat di atas ialah tentang syaitan yang suka memperdaya manusia. Allah mengingatkan dalam ayat yang lain bahawa syaitan menipu manusia dengan memberikan janji kosong dan membangkitkan angan-angan kosong. Allah berfirman:

يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ ۖ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلَّا غُرُورًا

Maksud: Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka, sedangkan syaitan itu tidak menjanjikan mereka selain dari tipuan  belaka. (Surah al-Nisa’: 120)

Wahai Pemuda, Jadilah Pendakwah

Remaja dan anak muda hanya menyediakan telinga untuk rakan sebaya mereka. Faktor usia penasihat, penegur dan pembimbing memang mempengaruhi penerimaan remaja terhadap kandungan dakwah. Justeru, peranan ini perlu serius diambil oleh orang muda sebelum rakan sebaya mereka terlibat dengan pelbagai maksiat atau bermasalah dengan undang-undang.

Remaja yang beriltizam dengan Islam perlu memandang rakan sebaya mereka sebagaimana para penggerak multi level marketing (MLM) memandang bakal pelanggan. Kita perlu memandang mereka sebagai prospek. Mereka adalah sasaran untuk diajak mendekati Allah dan melakukan kebaikan. Fahamkanlah perkara asas akidah kepada mereka, terutamanya perkara berkaitan akhirat, syurga dan neraka. Ini kerana keimanan pada hari akhirat adalah pembentuk tingkah laku seseorang. Jika penjual MLM galak bercerita dan memperincikan tentang kehebatan bonus dan pelbagai ganjaran yang bakal diperolehi kepada ‘mangsanya’, begitulah caranya juga jurudakwah muda perlu bekerja. Kita perlu kemukakan kepada remaja tentang nikmat syurga dan azab neraka, agar dua destinasi itu menjadi relevan dalam perkiraan hidup mereka.

al-Quran merakamkan banyak kisah pemuda, terutamanya para Nabi yang berdakwah ketika usia puncak mereka. Contohnya, Nabi Ibrahim giat berdakwah pada usia mudanya, ketika masih berdarah panas. Allah menceritakan:

قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ

Maksud: Mereka berkata: “Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim.” (Surah al-Anbiya’: 60)

Para pemimpin masyarakat itu terkejut dengan keberanian seorang anak muda yang menongkah arus dan menentang sistem kepercayaan arus perdana. Memang hanya anak muda mempunyai daya sebegini. Nabi Ibrahim bukan sahaja mencela tuhan ciptaan itu, tetapi juga mempersoalkan kerasionalan penyembahan mereka. Malah, berhala-berhala itu dipecah-pecahkan. Suatu provokasi yang boleh dikategorikan sebagai ‘usaha memecahbelahkan masyarakat’, jika menurut kaca mata penganalisa pada zaman ini.

Begitu juga dengan Nabi Yusuf dan Nabi Musa yang memulakan tugas keRasulan pada usia muda.

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ آتَيْنَاهُ حُكْمًا وَعِلْمًا ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ

Maksud: Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Surah Yusuf: 22)

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَاسْتَوَىٰ آتَيْنَاهُ حُكْمًا وَعِلْمًا ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ

Maksud: Dan ketika Musa sampai ke peringkat umurnya yang cukup kekuatan-Nya dan sempurna, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikian Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Surah al-Qasas: 14)

Para ahli tafsir mempunyai pandangan yang pelbagai tentang maksud ‘asyud’. Ibn Jarir mentakrifkan sebagai kemuncak kekuatan.  (al-Tabari, Jami’ Bayan fi Takwil al-Quran, jil. 22 hlm. 144) Manakala Ibn Kathir menjelaskannya sebagai kuat, remaja dan sifat kelakian. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azhim, jil. 7, hlm. 280.) Sebaliknya, al-Shawkani menekankan bahawa ‘asyud’ bermaksud mencapai umur baligh dengan menampakkan kecerdikan mereka. (al-Syaukani, Fath al-Qadir, jil. 2, hlm. 117.) Biar apapun maksudnya, ayat-ayat ini menunjukkan bahawa para Rasul ini telah mula menggalas tugas dakwah apabila mencapai usia muda, ketika fikiran, tenaga dan fizikalnya sedang kuat dan segar.

Apa perkara yang perlu didakwahkan? Jawapannya, “aqidah awwalan!” Aqidah yang pertama. Berdakwahlah kepada mereka tentang akidah, perkara paling asas atau fundamental dalam agama ini. Akidahlah yang diperjuangkan oleh semua para Rasul terlebih dahulu sebelum membetulkan mana-mana ketidakadilan sosial. al-Quran merekodkan seruan semua para Rasul ini:

فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ

Maksud: Takutlah kalian kepada Allah dan taatlah kalian kepadaku. (Surah al-Syua’ara’: 108)

Jika remaja mendekati Islam menerusi pintu yang lain terlebih dahulu, seperti politik dan khilafah contohnya, mereka hanya membina asas agama di atas pasir. Sebenarnya, mereka perlu diperkenalkan dengan dasar-dasar aqidah, perkara yang membatalkan aqidah dan juga unsur-unsur yang menyerang kesucian aqidah.

Benarlah kata Rasulullah s.a.w. sebagaimana berikut yang telah diriwayatkan oleh Mu’az bin Jabal:

قَالَ بَعَثَنِى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ : إِنَّكَ تَأْتِى قَوْمًا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ. فَادْعُهُمْ إِلَى شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنِّى رَسُولُ اللَّهِ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِى كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ فِى فُقَرَائِهِمْ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Maksud: Rasulullah mengutuskan aku, Nabi bersabda: Engkau akan mendatangi Ahli kitab, maka serulah mereka untuk mengucapkan kesaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku ini adalah Rasulullah. Dan jika mereka mentaati seruan itu, kemudiannya ajarkanlah pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan mereka solat lima waktu setiap hari semalam. Dan jika mereka mentaati suruhan tersebut, kemudiannya ajarkanlah pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan  mereka  menunaikan zakat yang diambil daripada orang kaya dan diagihkan kepada orang fakir. Jika mereka taat dengan perkara tersebut, maka janganlah kamu ambil harta yang baik-baik untuk zakat dan takutlah doa orang yang dizalimi kerana tiada ada hijab antara doa tersebut dengan Allah. (Sahih Muslim, no. hadith: 29)

Mari kita sebarkan dakwah, dengan ilmu yang sahih, agar para pemuda kita hidupnya bervisikan akhirat!

FacebookTwitterGoogle+Share

2 Comments

  1. Assalamu’alaikum wbt..
    ana ingin meminta izin untuk copy dan share segala maklumat yang ada..

  2. saya seorang yang kuat melakukan dosa yang tergolong di dalam dosa-dosa besar.sebab itulah hidup saya tersepit dan susah. bagaimanakah jalan agar saya dapat kembali ke jalan yang diredhai oleh allah, terasa macam nak bunuh diri je tapi x mampu
    lagi……………………

Leave a Reply