Pages Menu
Categories Menu

Posted by on Nov 11, 2011 in Dakwah Ila Allah | 0 comments

Medan Dakwah Dalam Lingkungan Pengaruh

Medan Dakwah Dalam Lingkungan Pengaruh

Majlis pengIslaman seorang anak muda di sebuah jabatan agama usai sudah. Selesai shahadah, tazkirah panjang menyusul pula. Bukan sahaja untuk hamba Allah yang baru beriman kepada-Nya, tetapi juga untuk dua saksi yang menemani.

       “Bagaimana cara saya memberitahu ibu bapa saya?” Anak muda itu mula membicarakan rusuh hatinya.

       “Saudara boleh memberitahu mereka apabila sudah bersedia dan ada kekuatan.” Saya mengerti dilema dan tekanan itu.

       Bagi kebanyakan hamba Allah yang baru beriman, memaklumkan pengIslaman kepada keluarga adalah antara cabaran paling besar. Bukan sahaja menukar agama, tetapi majoriti keluarga mereka akan terkejut kerana anak kesayangan mereka turut menukar nama diri, keluarga dan bapa. Sedangkan, tiada rekod yang menceritakan mana-mana Sahabat Nabi SAW dan Arab badwi menukar nama setelah memeluk Islam, jika nama mereka tiada unsur kesyirikan.

       “Saya takut menjadi anak derhaka.” Anak muda itu masih tidak puas hati dengan jawapan saya.

       “Mengapa pula?”

       “Yalah, saya masuk Islam tanpa memberitahu mereka.” Katanya.

       Saya tersenyum pahit mendengarnya. Anak muda yang saya kenali itu tidak mempunyai hubungan rapat dengan keluarganya semenjak menjejak kaki ke kampus.

       “Perbuatan saudara selama ini seperti balik setahun sekali, tidak mengirim berita dan tidak suka pada mereka adalah bentuk-bentuk kederhakaan. Saudara sudah lama ‘menderhaka’ sebelum saudara menjadi muslim.” Saya jenis orang berterus terang.

       Dia terdiam.

       “Meninggalkan agama keluarga yang mensyirikkan Allah bukanlah satu penderhakaan. Berahsia tentang pengIslaman kita daripada ibu bapa bukannya menderhaka. Tetapi, meninggalkan keluarga tanpa didakwahi adalah suatu bentuk penderhakaan.” Saya menjelaskan.

       Setelah itu, kisah sahabat r.a. saya kongsikan.

Berkongsi Kisah Sahabat

       Kisah Mus’ab bin Umar r.a. adalah sebaik-baik kisah penyegar jiwa buat semua hamba Allah yang baru beriman kepada Allah. Sewaktu Mus’ab memeluk Islam di Makkah, beliau berhadapan dengan tekanan, ugutan dan sekatan daripada ibunya. Walaupun beliau adalah seorang anak hartawan, berstatus dan bergaya, Mus’ab tetap memilih Islam yang ketika itu sinonim dengan kesusahan, penderitaan dan kemiskinan.

       Setelah ibu Mus’ab mengetahui anaknya memeluk Islam, reaksi ibunya tidak mengejutkan. Reaksi yang sama diterima oleh ramai orang yang memilih untuk beriman kepada Allah.

     Anak mana yang tidak rasa pilu apabila ibunya memutuskan ikatan kasih hanya kerana agama pilihannya. Namun, jiwa kental Mus’ab tidak pernah goyah. Imannya tetap utuh walaupun ibunya mengurung dan mengikatnya di rumah. Tekanan, ugutan, sekatan bukan penjara untuk orang beriman.

       Mus’ab memilih kehidupan yang sukar. Beliau berhijrah dua kali ke bumi tandus Habshah (Euthopia). Tanpa pakaian jenama, tanpa wangian yang memukau, tanpa makanan yang mengenyangkan dan tanpa sebarang harta. Namun, Mus’ab positif bertindak dengan iman di hatinya sehingga beliau menjadi orang yang dihantar oleh Rasulullah untuk mengajar al-Quran kepada masyarakat Islam Madinah sebelum baginda berhijrah bersama-sama 12 orang sahabat besar yang lain. Mus’ab menjadi pendakwah dan pengajar ilmu Islam kepada komuniti lain.

       Perjuangan Mus’ab terus membakar. Uhud menjadi medan pertarungan. Antara iman dan kekufuran. Mus’ab adalah antara menjadi orang yang memegang panji tentera muslim. Panji yang menjadi penentu jatuh bangun atau kalah menang sesebuah perjuangan. Besar sungguh peranannya. Mus’ab akhirnya tumbang dan dianugerahkan shahid oleh Allah. Namun, keadaan dirinya begitu menyedihkan baginda Rasulullah. Seorang anak muda yang dahulunya kaya raya dan bergaya, matinya tanpa pakaian yang cukup untuk menutupi tubuhnya. Seorang anak yang teguh berdiri dengan imannya walaupun ibunya membantah dan membenci agamanya.

Dakwah Adalah Obor Iman

        Kisah Mus’ab menggambarkan dua hikmah kebijaksanaan. Pertama, tentang bagaimana berhadapan dengan keluarga yang belum lagi beriman. Kedua, dakwah adalah medan untuk mengekalkan momentum kemanisan iman.

       Perkara inilah yang saya bincangkan dengan anak muda itu tadi. “Pulanglah kepada ibu bapa saudara. Jika selama ini saudara menjauhkan diri daripada mereka, Islam meminta saudara mencintai mereka berdua semula. Islam mengajar kita menjadi anak yang baik walaupun mereka masih belum beriman kepada Allah.” Saya membutirkan nasihat. Banyak ayat al-Quran yang menyuruh orang yang beriman agar berbuat baik kepada ibu bapa. Biarpun ibu bapa itu belum lagi beriman.

       “Mungkin, setelah melihat kebaikan saudara terhadap mereka lebih daripada biasa, mereka akan menerima dakwah saudara pada suatu masa nanti.” Saya menyambung. Konfrantasi dengan ahli keluarga bukan jalan yang baik dalam usaha dakwah kepada mereka.

        Keluarga adalah lingkungan pengaruh yang dimiliki oleh setiap manusia. Para Nabi dan Rasul memulakan dakwah dalam lingkungan pengaruh ini. Orang yang baru beriman kepada Allah perlu memandang ahli keluarga mereka sebagai prospek dakwah yang utama dan pertama.

         Perkara pertama yang perlu disampaikan ialah tentang konsep keTuhanan. Hanya Allah sebagai Tuhan yang berhak untuk disembah. Bukannya menceritakan tentang gaya hidup Muslim ataupun senarai perkara larangan yang tidak boleh dilakukan setelah menjadi Muslim.

       Dakwah mempunyai perkara keutamaan. Jika dilihat kepada dakwah para Rasul mereka mengajak kepada dua perkara. Pertama: beriman kepada Allah. Kedua: mengikuti para Rasul. Surah al-Shu’ara’ merakamkan lapan ayat yang berulang tentang intipati dakwah para Rasul ini:

فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ

Maksud: Maka, bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku (al-Syu’ara’: 108,110,126,131,144,150,163, 179)

       Ibn Kathir mentafsirkan ayat ini sebagai “beribadahlah kepada Tuhan kalian dan taatlah kepada Rasul kalian.” Ibn Kathir menambah bahawa seruan ini bermaksud, “terimalah apa yang manfaatnya dapat kembali kepada kalian di dunia dan akhirat dengan beribadah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan dan memberikan rezeki kepada kalian agar kalian beribadah mengesakan-Nya dan bertasbih kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azhim).

       Seterusnya, teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim yang berdakwah dengan ayahnya boleh dijadikan model. Nabi Ibrahim memulakan dakwah kepada ayahnya dengan berbincang tentang konsep keTuhanan. Nabi Ibrahim memberitahu bahawa tuhan berhala adalah lemah dan penyembahan itu adalah kepada syaitan. Nabi Ibrahim mengajak bapanya agar mengikutinya beriman kepada Allah, satu jalan yang lurus yang dapat mengelakkan daripada azab Allah. al-Quran menceritakan:

إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ يَا أَبَتِ لِمَ تَعْبُدُ مَا لَا يَسْمَعُ وَلَا يُبْصِرُ وَلَا يُغْنِي عَنْكَ شَيْئًا [١٩:٤٢] يَا أَبَتِ إِنِّي قَدْ جَاءَنِي مِنَ الْعِلْمِ مَا لَمْ يَأْتِكَ فَاتَّبِعْنِي أَهْدِكَ صِرَاطًا سَوِيًّا [١٩:٤٣] يَا أَبَتِ لَا تَعْبُدِ الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلرَّحْمَٰنِ عَصِيًّا [١٩:٤٤] يَا أَبَتِ إِنِّي أَخَافُ أَنْ يَمَسَّكَ عَذَابٌ مِنَ الرَّحْمَٰنِ فَتَكُونَ لِلشَّيْطَانِ وَلِيًّا [١٩:٤٥]

Maksud: Ingatlah ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya: “Wahai bapaku, mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolong kamu sedikitpun? Wahai bapaku, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutilah aku. Pasti aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus. Wahai bapaku, janganlah kamu menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu derhaka kepada Tuhan yang Maha Pemurah. Wahai bapaku, sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan ditimpa azab daripada Tuhan yang Maha Pemurah, maka kamu menjadi kawan bagi syaitan.” (Maryam: 42-45)

         Setelah dakwah Nabi Ibrahim ditolak oleh ayahnya, baginda mengambil langkah yang positif iaitu berdoa. Berdoa agar bapanya diberikan keselamatan dan meminta keampunan daripada Allah untuk bapanya.  al-Quran bercerita:

قَالَ سَلَامٌ عَلَيْكَ ۖ سَأَسْتَغْفِرُ لَكَ رَبِّي ۖ إِنَّهُ كَانَ بِي حَفِيًّا

Maksud: Nabi Ibrahim berkata: “Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan meminta keampunan bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku.” (Maryam: 47)

         Doa boleh melembutkan hati manusia untuk berpindah daripada kekufuran kepada keimanan. Kuasa doa memberikan jiwa mukmin terus kekal optimis terhadap Allah bahawa hidayah adalah milik-Nya.

          Cabaran Dalam Berdakwah

        Usaha dakwah tetap akan menerima cabaran, walaupun subjek dakwah adalah mereka yang di bawah lingkungan pengaruh kita. Itu sunnatullah atau peraturan yang telah Allah tetapkan dalam dunia dakwah.

         al-Quran merakamkan perjuangan para Rasul yang tidak sunyi daripada ugutan daripada masyarakatnya, malahan daripada keluarga mereka sendiri. Ancaman bukan sekadar terhadap survival dakwah tauhid itu sahaja, tetapi turut pada nyawa mereka juga. Jika para Rasul diuji sedemikian rupa, apakah kita boleh mengharapkan hamparan karpet merah dalam usaha dakwah?

         Nabi Nuh adalah Rasul pertama yang diuji dengan ugutan. Kerjaya dakwahnya mahu dihentikan oleh masyarakatnya. Mereka mengugut baginda untuk merejam baginda, suatu hukuman yang bertujuan untuk menghina penerimanya. Allah memetik kata-kata kaumnya:

قَالُوا لَئِنْ لَمْ تَنْتَهِ يَا نُوحُ لَتَكُونَنَّ مِنَ الْمَرْجُومِينَ

Maksud: Mereka berkata: “Sungguh jika kamu tidak mahu berhenti, wahai Nuh, pasti kamu akan termasuk di kalangan orang yang direjam.” (al-Syu’ara’: 116)

       Ugutan itu bukan datang daripada masyarakat biasa. Tetapi, ugutan itu datang daripada golongan sasaran utama dakwah baginda iaitu para pemimpin masyarakat. Orang yang mempunyai kuasa pelaksana bagi hukuman tersebut.

       Nabi Ibrahim mengalami ugutan yang lebih pedih. Baginda diancam oleh ayahnya sendiri, seorang pembuat berhala. Bicara ayah Ibrahim itu diceritakan semula oleh Allah dalam ayat berikut:

قَالَ أَرَاغِبٌ أَنْتَ عَنْ آلِهَتِي يَا إِبْرَاهِيمُ ۖ لَئِنْ لَمْ تَنْتَهِ لَأَرْجُمَنَّكَ ۖ وَاهْجُرْنِي مَلِيًّا

Maksud: Bapanya berkata: “Bencikah kamu kepada tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Jika kamu tidak berhenti, maka kamu akan kurejam. Dan tinggalkanlah aku buat waktu yang lama.” (Maryam: 46)

       Si ayah hendak merejam anaknya sendiri bagi menghentikan seruan meninggalkan sembahan berhala. Tekanan yang maha besar diterima oleh si anak, Nabi Ibrahim kekasih Allah.

       Nabi Lut pula diancam untuk dibuang negeri atau diusir keluar daripada kota tersebut. Kota Sadum itu sendiri bukan wilayah kelahirannya. Baginda pendatang yang mengkritik agama dan nilai pada masyarakat di kota itu. Al-Quran menyebut:

قَالُوا لَئِنْ لَمْ تَنْتَهِ يَا لُوطُ لَتَكُونَنَّ مِنَ الْمُخْرَجِينَ

Maksud: Mereka menjawab: “Wahai Lut, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti, kamu akan termasuk di kalangan orang yang diusir.” (al-Syu’ara’: 167)

       Ugutan bunuh, hukuman pedih dan pengusiran tidak pernah melemahkan jiwa para Rasul. Mereka yakin bahawa hanya Allah yang boleh memberi kesan kepada mereka. Keyakinan mereka didasari dengan tujuan hidup dan mesej dakwah yang jelas. Mereka tidak menimbang-nimbang risiko yang datang.

       Jika semua para Rasul ini hanya menerima ugutan, tetapi Nabi Muhammad menerima tindakan selepas ugutan tidak berkesan. Baginda hampir sahaja dibunuh, diboikot sehingga kelaparan, diusir daripada tempat kelahiran, direjam dengan batu, diperangi secara bersungguh-sungguh, dikhianati perjanjiannya, difitnah ahli keluarganya, disihir dan juga diracun. Semuanya atas satu tujuan. Agar dakwah tauhid tidak lagi diteruskan. Agar bernoktah dakwah terhadap orang musyrikin dan Ahli Kitab.

       Namun, Rasulullah memandang kepahitan pengalaman dakwah itu dengan positif. Ada peluang dakwah di sebalik setiap tekanan. Malahan, Rasulullah tidak jemu berdoa agar mereka diberikan hidayah, sebagaimana para Rasul yang lain.

Mahalnya Sebuah Hijrah

             “Bagaimana jika keluarga tidak menerima saya?”  Soal anak muda itu. Satu persoalan yang sebenarnya telah lama dideritai oleh jutaan hamba Allah yang memenangkan iman di atas kekufuran. Alhamdulillah, ramai yang berjaya mengekalkan imannya, walaupun tekanan itu begitu menghibakan emosi.

            al-Quran mengkhabarkan kepada kita bahawa Nabi Ibrahim adalah Rasul yang dibuang jauh oleh bapanya. Bapanya tidak mahu bertemu lagi dengannya. Dengan pedih Nabi Ibrahim menerimanya demi keimanan. Kemudian, Allah menggantikan keluarganya dengan yang lebih baik, iaitu anak cucunya yang diangkat menjadi Nabi. Allah berfirman:

وَأَعْتَزِلُكُمْ وَمَا تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَأَدْعُو رَبِّي عَسَىٰ أَلَّا أَكُونَ بِدُعَاءِ رَبِّي شَقِيًّا [١٩:٤٨] فَلَمَّا اعْتَزَلَهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ ۖ وَكُلًّا جَعَلْنَا نَبِيًّا [١٩:٤٩]

Maksud: Dan aku akan menjauhkan diri daripadamu dan daripada apa yang kamu seru selain Allah. Dan aku akan berdoa kepada tuhanku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada tuhanku. Maka, ketika Ibrahim sudah menjauhkan diri daripada mereka dan daripada apa yang mereka sembah selain Allah, kami anugerahkan kepadanya Ishaq dan Ya’akub. Dan masing-masing kami angkat menjadi Nabi. (Maryam: 48-49)

             Jika keluarga yang masih belum beriman menyisih dan menjauhkan diri, sentiasalah berusaha mendekati, mendoakan dan berdakwah kepada mereka. Namun, jika kebencian mereka membahayakan diri, berhijrahlah kerana Allah dan Rasul. Betapa luasnya bumi Allah ini. Berhijrah daripada sebuah keluarga yang kecil kepada sebuah keluarga Muslim yang besar. Persaudaraan yang diikat atas dasar iman kepada Allah. Allah berfirman:

وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

 Maksudnya: Sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, pasti mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka telah tetap baginya ganjaran di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. (al-Nisa’: 100)

 

FacebookTwitterGoogle+Share

Leave a Reply