Pages Menu
Categories Menu

Posted by on Aug 18, 2011 in Dakwah Ila Allah | 4 comments

Pemikiran Kritis Dalam Mempelajari Agama

Pemikiran Kritis Dalam Mempelajari Agama

“Saya tidak percaya dengan mana-mana Ustaz?” Ujar seorang anak muda. Menurut katanya, dia baru memeluk Islam beberapa tahun yang lalu.

“Bagaimana cara kamu belajar agama, kalau tidak daripada mana-mana ustaz?” Saya cuba meredakan panas diskusi petang itu.

“Saya belajar dengan baca buku. Saya belajar sembahyang pun daripada buku.” Anak muda ini melirik dengan wajah sedikit ego.

“Oh, kalau boleh saya tahu, apa yang menyebabkan kamu tidak percaya untuk belajar agama daripada mana-mana ustaz?” Saya cuba mengorek kisah.

“Tidak ada seorang ustaz pun boleh menjawab soalan saya. Saya ada banyak soalan. Satu pun tak terjawab.”

“Oh…”, saya terdiam. Sudah mengagak masalah ini. Saya sudah bertemu dengan ramai reverts atau converts yang kecewa dengan para ustaz yang tidak berupaya memenuhi kehendak mental mereka.

“Saya nak tanya, boleh atau tidak ustaz menjawab. Kenapa Allah pilih saya untuk memeluk Islam? Ada berjuta orang di dunia ini, tetapi mengapa Allah memilih saya? Saya sudah cuba lari dan keluar dari Islam beberapa kali. Namun, tetap akhirnya saya hendak balik kepada Islam. Tolong jawabkan soalan ini! Tiada seorang ustaz boleh menjawab soalan ini sebelum ini.” Separuh menjerit dia bersuara. Masya Allah, hanya Allah yang boleh membantu saya untuk menjawabnya.

Bicara Daie

Seorang pendakwah bukan seorang mufti. Pendakwah akan memandu manusia ke jalan redha Allah, bukannya mengeluarkan hukum dan kata putus untuk manusia. Ini mutiara yang saya perolehi sewaktu menghadiri seminar The Eternal Journey: Tafsir Juzu’ Tabarak anjuran AlMaghrib Institute. Di hadapan saya, seorang anak muda berkelulusan undang-undang dan berhadapan dengan konflik diri. Konflik yang sering menyerang individu yang berjuang untuk beriman kepada Allah.

Saya kemukakan kepadanya ayat al-Quran yang pertama bagi menjawab persoalannya. Orang berkelulusan undang-undang sepertinya rata-ratanya bersikap kritis, terutamanya ketika menganalisa bukti dan dalil.

Allah berfirman:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Maksud: Dan demikian Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil agar kamu menjadi saksi terhadap manusia dan agar Rasul menjadi saksi atas kamu. (al-Baqarah: 143)

“Jawapan bagi soalan saudara sudah dijawab oleh Allah. Saudara akan menjadi saksi bersama-sama dengan orang beriman yang lain bahawa para Rasul sudah menyampaikan mesej dakwah mereka. Ketika itu, tiada siapapun boleh memberi alasan bahawa dirinya tidak pernah tahu tentang Islam. Ibu bapa dan keluarga saudara tidak lagi boleh mengelak bahawa mereka tidak tahu tentang Islam.” Saya menerangkan kefahaman bagi ayat itu.

“Saya akan menjadi saksi… Gulp.” Dia terkejut. Kelihatan sukar untuk memprosesnya. Terkejut juga kerana ada pula jawapan bagi soalan paling sukar dalam hidupnya. Baru dia tahu bahawa Allah menjadikannya Muslim agar dia boleh memberi keterangan di mahkamah Allah bahawa Rasulullah telah menyempurnakan dan menyampaikan mesejnya.

Kemudian, saya tunjukkan pula ayat al-Quran yang kedua. “Saudara dipilih untuk diberi hidayah oleh Allah kerana memang Allah mahukan saudara beriman.”

Allah berfirman:

ذَٰلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

Maksud: Itu petunjuk Allah (al-Quran), Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepadanya. (Surah al-Zumar: 23)

“Berapa ramai orang yang mendengar tentang Islam, tetapi tidak diberikan hidayah. Sebaliknya, saudara adalah orang yang menyambutnya dengan membuat kajian.” Premis saya bentangkan.

“Ya, saya mengkaji semenjak sekolah lagi. Saya memang minat mengkaji tentang Islam. Saya banyak baca terjemahan al-Quran.” Ceritanya.

“Hasil usaha saudara mengkaji agama inilah yang menyebabkan Allah memberikan hidayah. Berapa ramai orang terlintas di hati tentang persoalan keTuhanan, namun saudara yang berusaha mencari jawapan.” Saya menyakinkan dirinya.

“Ini hujah yang paling menyentuh hati saya.” Ada airmata yang diempang di matanya.

Saya kemukakan pula ayat ketiga. “Saudara dipilih menjadi orang beriman kerana Allah mahukan saudara menjadi orang yang lebih baik.”

Allah berfirman:

وَالَّذِينَ اهْتَدَوْا زَادَهُمْ هُدًى وَآتَاهُمْ تَقْوَاهُمْ

Maksud: Dan orang-orang yang mahu menerima petunjuk, Allah akan menambah petunjuk kepada mereka dan memberikan mereka ketaqwaan. (Surah Muhammad: 17)

“Setelah memeluk Islam, bukankah saudara merasai banyak perubahan? Saudara menjadi orang yang lebih baik dan lebih takut akan Tuhan?” Saya mengusik perasaannya. Dia mengangguk perlahan menghadamkan dalil-dalil yang diutarakan.

“Saya yakin para ulama telah membahaskan perkara ini dengan lebih panjang lebar. Saya hanya membentangkan sekelumit sahaja dengan izin Allah.” Saya meyakinkan dia bahawa perbincangan sarjana Islam tentang persoalannya itu lebih mendalam. Semoga Allah menemukannya dengan lebih ramai para pendakwah dan guru berkualiti dalam mempelajari agama.

Pemikiran kritis di kalangan kumpulan sasaran dakwah

Saya menemui beberapa orang saudara baru atau mereka yang baru kembali kepada agama yang pernah merasa kecewa dengan golongan agama yang tidak sanggup melayan pemikiran kritis mereka. Kelompok ini adalah orang yang mengkaji dan menyelidik untuk menjawab persoalan yang datang dalam hidup mereka. Tidak sedikit usaha yang dilaburkan untuk mendapat jawapan. Namun, perbincangan dengan mana-mana guru agama menyebabkan mereka seringkali kecewa. Soalan mereka dibunuh. Jawapan yang dinanti tiada.

Sedangkan Islam adalah agama yang meraikan persoalan. Islam memberi keluasan kepada para penganutnya untuk mengkaji nas agama, memahami konteksnya, malahan berbeza pandangan dalam mentafsirkan nas-nas tersebut. Terdapat banyak ayat al-Quran yang diturunkan untuk menjawab pertanyaan para sahabat yang mulia. Begitu juga, baginda Rasulullah tidak jemu menjawab pelbagai soalan, daripada sekecil-kecil soalan sehingga kepada perkara yang kompleks. Contohnya, Ummu Salamah pernah bertanya berkenaan mimpi basah di kalangan perempuan, Ali Abi Talib juga pernah meminta sahabat lain bertanya kepada Rasulullah tentang air mazi dan Fatimah binti Abi Hubaish pernah bertanya tentang darah istihadhah.

Dalam konteks semasa, sejauh mana para pendakwah dan guru agama bersedia untuk menyambut setiap soalan yang datang dari kotak minda mereka? Setakat mana kita berkemampuan untuk melayan setiap soalan, pandangan dan pemikiran kritis mereka dalam proses mempelajari Islam?

Ia proses yang penat dan tidak ramai yang berminat untuk terlibat. Ia tidak membuahkan wang bersampul dan berlipat.

al-Bukhari sendiri telah menamakan satu Bab dalam sahihnya yang bernama, “Orang yang mendengar sesuatu lalu dia bertanya kembali sehingga memahaminya” dalam Kitab al-ilm. Dalam bab tersebut, al-Bukhari merekodkan satu hadith daripada Ibn Abi Mulaikah sebagaimana berikut:

أن عائشة زوج النبي صلى الله عليه وسلم: كانت لا تسمع شيئا لا تعرفه، إلا راجعت فيه حتى تعرفه، وأن النبي صلى الله عليه وسلم قال: من حوسب عذب. قالت عائشة: فقلت: أوليس يقول الله تعالى: { فسوف يحاسب حسابا يسيرا }. قالت: فقال: إنما ذلك العرض، ولكن: من نوقش الحساب يهلك.

Maksud: Sesungguhnya Aisyah, isteri Nabi, tidaklah apabila mendengar sesuatu yang tidak difahaminya, pasti dia akan bertanya tentang perkara tersebut sehingga dia memahaminya. Sesungguhnya Nabi pernah bersabda: “Sesiapa yang dihisab maka dia akan diseksa.” Aisyah berkata: “Aku bertanya kepada baginda: “Bukankah Allah telah berfirman: “Maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah. (Surah al-Insyiqaq: 8)” Baginda menjawab: “Perkara itu adalah ketika (catatan amalan) ditampakkan sahaja. Tetapi, sesiapa diperiksa maka dia pasti binasa.” (Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘ilm, Bab man sami’a syai-a fa raja’a hatta ya’rifahu)

Hadith ini menggambarkan bahawa Aisyah adalah seorang yang berfikiran kritis. Aisyah bukan hendak mempertikaikan dalil, enggan mematuhi perintah atau mengkritik membuta tuli. Beliau mahu penjelasan kerana terdapat perkara yang kabur dan dalil yang perlu diletakkan pada konteks yang betul. Ibn Hajar dalam Fath al-Bari ketika menerangkan hadith ini menyatakan bahawa Aisyah ada semangat yang kuat untuk memahami sesuatu hadith dan Nabi tidak pernah merasa bosan dengan pertanyaan yang ditujukan kepada baginda berkenaan dengan ilmu yang disampaikan.

Begitulah juga ramai di kalangan para reverts dan converts dalam masyarakat kita hari ini yang bersikap seperti Aisyah. Malahan, banyak lagi hadith yang merakamkan pemikiran kritis para sahabat. Jika pendakwah dan guru agama terus menghentikan proses akal mereka, para mad’u ini akan melarikan diri daripada mempelajari agama.

Selanjutnya, para pendakwah dan guru agama perlu mengambil aspirasi daripada hadith ini. Daripada Abu Musa bahawa Rasulullah bersabda:

مثل ما بعثني الله به من الهدى والعلم، كمثل الغيث الكثير أصاب أرضا، فكان منها نقية، قبلت الماء، فأنبتت الكلأ والعشب الكثير، وكانت منها أجادب، أمسكت الماء ، فنفع الله بها الناس، فشربوا وسقوا وزرعوا، وأصابت منها طائفة أخرى، إنما هي قيعان لا تمسك ماء ولا تنبت كلأ، فذلك مثل من فقه في دين الله، ونفعه ما بعثني الله به فعلم وعلم، ومثل من لم يرفع بذلك رأسا، ولم يقبل هدي الله الذي أرسلت به.

Maksud: Perumpamaan petunjuk dan ilmu yang Allah utus aku dengannya seperti perumpamaan hujan lebat yang membasahi tanah. Ada tanah subur yang dapat menyerap air sehingga menumbuhkan banyak tumbuhan dan rumput. Ada tanah kering yang dapat menampung air, sehingga Allah memberikan manfaat kepada manusia dengannya. Mereka dapat minum, mengambil air dan bercucuk tanam. Sementara sebahagiannya lagi mengenai tanah yang tandus dan gersang, tidak dapat menampung air dan tidak dapat menumbuhkan tanaman. (Perumpamaan pertama) adalah misalan bagi orang yang mendalami ilmu agama Allah, dia boleh mengambil manfaat daripada hidayah yang aku diutus oleh Allah dengan membawanya, sehingga dia berilmu lalu mengajarkannya. Selanjutnya, (perumpamaan kedua adalah) misalan orang yang tidak peduli dengannya dan tidak menerima hidayah Allah yang aku diutus denganya. (Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘ilm, Bab fadhl man ‘alima wa ‘allama)

Terdapat tiga kumpulan manusia dalam hadith di atas:

1. Manusia yang berilmu, beramal dan mengajarkan ilmu. Nabi mentamsilkan mereka dengan tanah subur yang dapat menyerap air sehingga menumbuhkan banyak tumbuhan dan rumput.

2. Manusia yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmu tersebut. Namun orang ini tetap menyebarkan ilmu tersebut. Nabi mencontohkannya sebagai tanah kering yang dapat menampung air, sehingga Allah memberikan manfaat kepada manusia dengannya.

3. Manusia yang mendengar ilmu tetapi tidak mengamalkannya dan tidak menyampaikan kepada orang lain. Nabi menggambarkannya sebagai tanah yang tandus dan gersang, tidak dapat menampung air dan tidak dapat menumbuhkan tanaman. (Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari)

Daripada hadith ini, jelaslah bahawa pengamalan dan penyebaran ilmu kepada orang lain adalah faktor pembeza. Dalam usaha kita menyebarkan ilmu, interaksi dengan kumpulan sasaran memang tidak dapat dielakkan. Menjawab dan melayan soalan adalah satu proses penyebaran ilmu. Jika hanya menyampaikan kuliah dan ceramah ilmu, namun tidak sudi melayan persoalan daripada para mad’u, seseorang itu masih belum sempurna dalam menyampaikan ilmu. Malahan, kandungan ilmu hanya akan matang apabila pelbagai soalan dapat dirungkaikan.

Sekiranya kita meluangkan masa untuk membina diri mereka dengan ilmu agama, insya Allah, suatu masa nanti mereka akan berdakwah pula kepada keluarga dan komuniti mereka. Dalam banyak riwayat, orang Arab badwi datang bertemu Rasulullah dan bertanya pelbagai soalan yang menjadi kemusykilan mereka. Rasulullah tidak pernah membiarkan mereka. Setelah ilmu diajari, mereka pulang mengajar ke komuniti mereka malah berjaya mengIslamkan pula. Beginilah mata rantai dakwah beroperasi.

Penutup bicara yang membingungkan

Rupa-rupanya, perbualan unik ini tidak berhenti memaksa saya berfikir dan bekerja. Ayat dialog akhir sebagaimana berikut:

“Ustaz, betulkah orang Cina bermata sepet sebab banyak sangat kena asap colok? Manakala, orang India mata besar sebab selalu tengok orang pakai sari yang nampak pusat?”

“Astaghfirullah al-Azhim. Dari mana kamu dapat ini?”

“Ada ustaz memberitahu.” Wajahnya meminta penjelasan.

Saya terdiam. Saya terpaksa berhenti kerana azan Asar sudah memanggil.

Saya terfikir, adakah kerana apa yang semua ustaz khabarkan itu perlu diterima bulat-bulat oleh komuniti saudara baru sehingga mereka takut untuk bersikap kritis atau yang bermasalah ialah para ‘ustaz’ itu?

Saya teringat dengan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash bahawa beliau mendengar yang Rasulullah bersabda:

إن الله لا يقبض العلم انتزاعا ينتزعه من العباد، ولكن يقبض العلم بقبض العلماء، حتى إذا لم يبق عالما، اتخذ الناس رؤوسا جهالا، فسئلوا، فأفتوا بغير علم، فضلوا وأضلوا.

Maksud: Sesungguhnya Allah tidak mengambil ilmu secara langsung daripada para hamba-Nya, tetapi Dia mengambilnya dengan cara mematikan para ulama. Sehingga apabila tidak ada lagi ulama, maka orang ramai akan mengangkat orang jahil sebagai pemimpin. Lantas mereka bertanya kepadanya dan para pemimpin tersebut menjawabnya tanpa ilmu, maka mereka sesat dan menyesatkan. (Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘ilm, Bab kaifa yuqbadhu al-‘ilm)

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

FacebookTwitterGoogle+Share

4 Comments

  1. salam ustaz.
    saya pernah ditnya oleh kawan beragama kristian.soalannya-
    kenapa orang islam sembahyang menghadap kaabah.saya menjawapnya-itu macam satu penyatuan untuk semua orang islam(solat menghadap kiblat).saya nak minta pandangan ustaz tentang perkara itu,sebab saya rasa jawapan saya tidak kuat untuk persoalan itu.harap ustaz dapat menolong.
    terima kasih.

  2. saya adalah pelajar dakwah UKM dan pada masa yg sama saya adalah seorang guru di salah sebuah sekolah rendah di Kajang. Di tempat kerja, saya rapat dengan rakan-rakan non muslim tetapi yang seolah-olah tiada kekuatan untuk mengajak mereka utk menerima Islam sebagai fikrah hidup. Saya hanya mampu menunjukkan keindahan Islam dan akhlak2 Islam. Mereka jua amat menghormati rakan2 muslim namun saya masih gagal utk membawa mereka ke jalan Allah. Tolong ustaz beri komen. T/kasih.

  3. Ustaz, saya kini mengkaji Al- Quran dan mencari hikmahnya dan mengaitkan dengan fisiologi tubuh.
    Sebagaimana saranan ustaz, saya membaca ilmu perubatan moden ini dengan penuh kritis dan bandingkan dengan Al-Quran
    Saya telah menjumpai banyak rahsia dan memerlukan pendapat kedua…siapakah yang layak saya cari ..sebab kebanyakan ustaz hari ini menghampakan …dan bila saya cuba mengajak mereka berfikir, mereka malas dan mengalah ..katanya kami tak belajar perubatan..

Leave a Reply