Pages Menu
Categories Menu

Posted by on Jul 28, 2011 in Ramadan | 1 comment

Ramadan: Bulan Ibadah Sekeluarga

Ramadan: Bulan Ibadah Sekeluarga

     Ramadhan datang lagi dalam sejarah hidup kita. Bagi memulakan bicara, ikuti kisah berikut.

       Hanzalah resah. Dia merasakan imannya mengalami pasang surut. Setiap kali bersama Rasulullah, dia akan merasakan dekatnya syurga dan gerun sekali terhadap neraka. Malah, kedua-duanya bagaikan terbayang di hadapan mata. Namun, apabila berjauhan daripada Rasulullah, dia terlupa semuanya itu lantaran asyik bermain dan berhibur bersama isteri dan anak-anak dan kesibukan bekerja. Kemudian, apabila ditanya oleh Abu Bakar, Hanzalah mengeluh dan berkata, “Hanzalah telah menjadi munafiq.” Lalu, Hanzalah menceritakan apa yang terbuku di hatinya. Rupanya, resah yang sama dikongsi oleh Abu Bakar. Mereka berdua terus bergerak untuk menemui baginda Rasulullah lalu menceritakan keadaan mereka yang sering terlupa tentang syurga dan neraka apabila bersama keluarga dan urusan kerja. Rasulullah menjawab:

       “Demi Zat yang diriku berada dalam genggaman-Nya, jika kamu berterusan dalam keadaan kamu bersamaku, dan berterusan untuk mengingati (syurga dan neraka), maka para malaikat akan berjabat tangan dengan kamu di rumahmu dan di jalanan. Tetapi Hanzalah, perlu ada masa untuk itu dan masa untuk ini.” Rasulullah mengulangnya tiga kali. (Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-taubat, Bab fadhl dawam al-zikr wa al-fikr fi umur al-akhirat wa al-muraqabah wa jawaz tarki zalik fi ba’dhi al-awqat wa al-ishtighal bi al-dunya)

       Sebenarnya, apa yang dirasakan oleh Hanzalah turut menimpa hati kita. Kesibukan mengurus kehidupan seringkali melalaikan kita daripada mengingati syurga dan neraka Allah. Malah, kelalaian kita sudah pasti lebih banyak berbanding para sahabat yang mulia seperti Abu Bakar dan Hanzalah. Perlu ditegaskan bahawa rasa sebegini tidaklah menjadikan seseorang itu hipokrit atau munafik, sebagaimana diterangkan oleh Rasulullah dalam hadith di atas.

       Persoalannya, adakah keluarga merupakan faktor penyebab kelalaian kita? Jika benar sedemikian, bagaimana untuk menjadikan keluarga sebagai jalan ke arah mengingati Allah? Sejauhmana Ramadan yang kita lalui bersama keluarga ini membawa kita ke arah mengingati Allah? Bagaimana untuk kita benar-benar menghidupkan Ramadan dalam hati setiap anggota keluarga kita?

       Terdapat banyak panduan Nabawi yang bermanfaat untuk kita teladani sepanjang Ramadan ini. Terutamanya dalam melibatkan ahli keluarga dalam ‘proses membersihkan diri’ sepanjang Ramadan ini.

Ibadah Puasa Bersama Keluarga

       Ramadan adalah madrasah untuk kita belajar menahan diri ketika kita mempunyai pilihan untuk tidak melakukan sedemikian. Ia bulan latihan untuk meningkatkan integriti, kerana hanya Allah sahaja yang tahu sama ada kita berpuasa ataupun tidak.

       Justeru, latihan sebegini begitu baik jika dimulakan sedari kecil. Anak-anak yang belum mencapai baligh perlu dilatih untuk berpuasa, menahan diri daripada melakukan sebarang perkara yang boleh membatalkannya. Perkara ini diusahakan oleh para sahabat terhadap anak-anak mereka.

       al-Rubayyi’ binti Mu’awwidh ibn ‘Afra’ berkata:

أَرْسَلَ النبي غَدَاةَ عَاشُورَاءَ إلى قُرَى الْأَنْصَارِ من أَصْبَحَ مُفْطِرًا فَلْيُتِمَّ بَقِيَّةَ يَوْمِهِ وَمَنْ أَصْبَحَ صَائِمًا فَليَصُمْ قالت فَكُنَّا نَصُومُهُ بَعْدُ وَنُصَوِّمُ صِبْيَانَنَا وَنَجْعَلُ لهم اللُّعْبَةَ من الْعِهْنِ فإذا بَكَى أَحَدُهُمْ على الطَّعَامِ أَعْطَيْنَاهُ ذَاكَ حتى يَكُونَ عِنْدَ الْإِفْطَارِ

Maksud: Pada pagi hari ‘Ashura, Rasulullah menghantar pesan kepada semua penduduk kampung Ansar di sekitar Madinah yang berbunyi: “Sesiapa yang telah memulakan hari dengan berpuasa, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang tidak berpuasa, maka hendaklah dia menyempurnakan baki harinya (dengan berpuasa).” Maka kami selepas itu telah berpuasa dan kami menjadikan anak kami juga berpuasa. Kami telah membuatkan untuk mereka permainan daripada bulu, dan jika salah seorang daripada mereka menangis hendakkan makanan, kami akan memberikan (permainan) kepadanya sehinggalah tiba masanya untuk berbuka puasa. (al-Bukhari, Sahih, Kitab al-saum, Bab saum al-sibyan.)

       al-Nawawi menjelaskan bahawa hadith ini menunjukkan perlunya melatih anak-anak untuk menunaikan ibadah dan membiasakan mereka dengan ibadah tersebut, tetapi mereka tidak dipertanggungjawabkan. (al-Nawawi, Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath, Beirut, 1392H, jil. 8, hlm. 14.) Persoalannya, pada umur berapakah mereka boleh disuruh untuk berpuasa? Para ulama memberikan pandangan. Ibn Qudamah menyatakan kanak-kanak berusia 10 tahun adalah sesuai untuk berpuasa, memandangkan Rasulullah mengarahkan untuk memukul kanak-kanak pada usia sedemikian jika tidak bersolat. Ini kerana solat dan puasa adalah ibadah yang berkait rapat dan perbuatan ibadah fizikal yang menjadi rukun Islam. Tetapi, berpuasa adalah lebih susah, maka perhatian perlu diberikan kepada waktu yang sesuai untuk kanak-kanak boleh berpuasa, memandangkan sebahagian mereka boleh bersolat tetapi belum boleh berpuasa. (Ibn Qudamah, al-Mughni, Dar al-Fikr, Beirut, 1405H, jil. 3, hlm. 45.) Berdasarkan pandangan Ibn Qudamah ini, bukan umur yang menjadi fokus tetapi lebih kepada kemampuan kanak-kanak tersebut. Kemampuan hanya boleh dibina melalui latihan dan disiplin di samping kelembutan dan tolak ansur daripada ibu bapa.

       Masalahnya, kesukaran berpuasa bukanlah sentiasa menghantui anak-anak. Mereka yang sudah menjadi ibu bapa kepada anak-anak juga ada yang culas dalam berpuasa. Jika sedemikian, perlu ada di kalangan ahli keluarga yang berperanan untuk memantau dan memperingatkan anggota keluarganya agar sabar berpuasa dan tidak melakukan perkara yang membatalkannya atau langsung tidak berpuasa.

        Peringatan Rasulullah untuk orang yang tidak berpuasa atau berbuka lebih awal daripada waktunya perlu ditegaskan. Setiap ahli keluarga perlu berperanan untuk sentiasa memotivasikan anggota keluarga yang lain dengan pelbagai ganjaran untuk orang yang berpuasa dan ancaman Allah untuk mereka yang tidak berpuasa. Daripada Abu Umamah al-Bahili bahawa dia mendengar Rasulullah bersabda:

بينا أنا نائم إذ أتاني رجلان فأخذا بضبعي فأتيا بي جبلا وعرا فقالا لي اصعد فقلت إني لا أطيقه فقالا إنا سنسهله لك فصعدت حتى إذا كنت في سواء الجبل إذا أنا بأصوات شديدة فقلت ما هذه الأصوات قالوا هذا عواء أهل النار ثم انطلق بي فإذا أنا بقوم معلقين بعراقيبهم مشققة أشداقهم تسيل أشداقهم دما قال قلت من هؤلاء قال هؤلاء الذين يفطرون قبل تحلة صومهم‪.

 Maksud: Ketika aku tidur, dua lelaki datang kepadaku dan mengangkat dua tanganku dan membawa aku ke suatu gunung berbatu. Mereka berkata: “Dakilah.” Aku berkata: Aku tidak boleh melakukannya.” Mereka berkata: “Kami akan memudahkan untuk kamu mendakinya.” Maka, aku mendaki sehinggalah ke atas puncak gunung. Kemudian, aku terdengar suatu suara yang sangat kuat. Aku bertanya: “Suara apakah itu?” Mereka menjawab: “Itu adalah jeritan para penghuni neraka.” Kemudian, aku dibawa pergi dan aku melihat orang digantung dengan buku lalinya, dan mulutnya terkoyak dan mengalir darah. Aku bertanya: “Siapakah mereka itu?” Mereka menjawab: “Mereka ini adalah orang yang berbuka puasa sebelum masa yang sepatutnya.” (al-Baihaqi, Sunan al-Baihaqi al-Kubra, Kitab al-siyam, Bab al-taghliz ‘ala man aftar qabl ghurub al-shams.)  

       Jika orang yang berbuka lebih awal menerima hukuman yang keras sedemikian rupa, bagaimana pula jika seseorang tidak berpuasa? Anak kecil yang belum mencapai baligh masih boleh dimaafkan lagi, tetapi ketegasan perlu ditunjukkan buat mereka yang sudah berstatus mukallaf.

Tidak Melampaui Batas

        Ramadan juga dikatakan sebagai bulan pesta makanan. Terlalu banyak makanan sehingga pembaziran adalah suatu kelaziman. Kemewahan masyarakat kita hari ini telah melupakan kesusahan yang pernah dihadapi oleh datuk nenek kita pada 50 tahun yang lalu. Setiap keluarga menghidangkan makanan istimewa untuk berbuka, namun tidak selalunya untuk sahur pada minggu terakhir Ramadan.

       Sedangkan, prinsip menjamu selera dalam Islam terkandung dalam firman Allah berikut:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا

Maksud: … dan makanlah dan minumlah, tetapi jangan sampai melampaui batas. (al-A’araf: 31)

       Bagaimana keluarga kita mengurus sumber rezeki dan makanan sepanjang Ramadan? Pertimbangkanlah jawapannya berdasarkan ayat di atas.

       Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat tersebut telah menukilkan pandangan ulama Salaf iaitu Allah telah menyatukan seluruh kaedah perubatan menerusi petikan ayat tersebut. (Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Dar al-Fikr, Beirut, 1401H, jil. 2, hlm. 183.) Ini kerana makanan berlebihan adalah punca pelbagai penyakit yang boleh dielakkan. Bayangkanlah puasa yang memberi kerehatan kepada organ penghadaman terpaksa bekerja keras pada sebelah malamnya. Malahan, kadar pemprosesannya lebih daripada biasa.

       Sepatutnya, kita menyediakan makanan untuk ahli keluarga sekadar yang munasabah dan cukup untuk memberikan tenaga. Sebagaimana yang disabdakan Rasulullah s.a.w:

ما ملأ آدمي شرا من بطن بحسب ابن آدم أكلات يقمن صلبه

       Maksud: “Tidaklah anak Adam mengisi bekas yang lebih buruk daripada perutnya sendiri. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang punggungnya.” (al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Kitab al-zuhd ‘an al-rasul, Bab karahiyah kathrat al-akal)

       Masalahnya, makanan yang berlebihan tidak pula memberi tenaga super untuk beribadah sepanjang malam atau bertarawih selepasnya. Lebih malang, lebihan kalori itu pula menjadi punca untuk bermaksiat kepada Allah. 

       Beringatlah dengan amaran baginda Rasulullah:

أطول الناس شبعا في الدنيا أكثرهم جوعا يوم القيامة

Maksud: Lebih banyak seseorang itu kekenyangan di dunia, lebih banyak dia kelaparan pada hari kiamat. (al-Hakim, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, 1990, jil. 3, hlm. 699)

       Cara terbaik untuk mengawal nafsu makan dan mengelakkan pembaziran ialah dengan mengawal pembelian makanan di pasar atau restoren. Ketika perut terasa lapar, mata sentiasa menggalakkan nafsu untuk membeli pelbagai juadah berbuka. Akal pula tidak henti untuk merasionalkan pembelian makanan yang banyak. Bayangkanlah jika setiap muslim di negara ini membazirkan RM1 sahaja sehari pada makanan, maka sekurang-kurang RM16 juta dilaburkan ke tong sampah pada setiap hari ( dengan anggaran 16 juta penduduk Muslim di Malaysia). Suatu jumlah yang begitu besar jika dikira dalam sebulan.

       Semarakkanlah jiwa ahli keluarga untuk bersedekah walaupun dengan sedikit makanan kepada orang yang berpuasa. Bersyukurlah dengan rezeki yang ada dan bersederhanalah dalam berbelanja.

 Ibadah sepanjang Ramadan

        Ramadhan adalah masa yang terbaik untuk mencambahkan rasa cinta untuk beribadah di dalam ahli keluarga. Ibadah seperti solat, tarawih, qiyamullail dan membaca al-Quran boleh dibuat secara berjamaah sesama ahli keluarga. Ahli keluarga dihubungkan dengan masjid melalui aktiviti berbuka bersama, solat tarawih dan iktikaf.

       Rasulullah akan mengejutkan isterinya untuk bangun menunaikan solat sunat pada sepuluh malam terakhir. Usaha untuk mendapatkan Lailatul Qadar turut melibatkan anggota keluarga baginda. Daripada Aisyah:

كان النبي إذا دخل الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

Maksud: Apabila tiba sepuluh hari terakhir Ramadan, Rasulullah akan mengikat pakaiannya, menghabiskan malamnya dengan bersolat dan mengejutkan isterinya. (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab solat al-tarawih, Bab al-‘amal fi al-‘ashr al-awakhir min Ramadan)

       Begitu juga dengan ibadah iktikaf. Baginda melakukannya dan diikuti oleh para isterinya. Malahan, terdapat riwayat yang mengatakan bahawa Rasulullah tidak menggauli isterinya pada sepuluh hari terakhir Ramadan. Semua terfokus kepada ibadah.

       Paling penting ialah mengekalkan konsistensi atau istiqamah sehingga hari-hari terakhir Ramadan. Sejauhmana ibadah yang rancak dijalankan bersama itu akan kekal sehingga ke penghujung Ramadan? Di sinilah peranan keluarga begitu penting. Perlu ada yang berperanan sebagai pengingat, penegur, pengerak, pengatur, pencorak dan pembimbing. Jika tidak suami, isteri yang berperanan. Jika tidak bapa, ibulah yang menggalasnya. Jika tiada, maka ruh Ramadan akan pudar dan semangat persiapan menyambut hari raya akan mengganti. Masjid yang pada awalnya penuh dengan jemaah telah berkurangan sehingga ke beberapa saf sahaja. Makan sahur pula sudah tidak menghairahkan lagi.

Bulan Taubat Sekeluarga

       Matlamat utama berpuasa Ramadan ialah beroleh rasa takut kepada Allah. Itulah taqwa. Rasa takut untuk melakukan dosa dan rasa takut untuk meninggalkan suruhannya. Rasa takut ini yang perlu diusahakan melalui pelbagai ibadah kepada Allah.

       Untuk menyuburkan rasa takut kepada Allah, ia bermula dengan taubat. Memohon keampunan kepada Allah atas segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan. Apabila tamat Ramadan, kita menjadi individu yang bersih.

       Alangkah baiknya jika seluruh ahli keluarga kita bertaubat. Kita pohonkan keampunan untuk ahli keluarga kita, sebagaimana Nabi Ya’akub melakukannya untuk anak-anaknya. Baginda memohon agar dosa anak-anaknya diampunkan pada waktu sahur.

       Bertuahnya jika kita memperbaiki diri dan keluarga dengan bertaubat. Moga kita tidak termasuk dalam golongan yang tidak diampunkan selepas berakhirnya Ramadan. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah menaiki minbar dan berkata:

آمين آمين آمين‪. فقيل له: يا رسول الله ما كنت تصنع هذا؟ فقال: قال لي جبريل أرغم الله أنف عبد أو بعد دخل رمضان فلم يغفر له فقلت آمين

Maksud: “Amin, amin, amin.” Baginda ditanya, “Wahai Rasulullah, kenapa kamu melakukan sedemikian?” Baginda menjawab, “Jibril berkta kepadaku, “Alangkah ruginya bagi seseorang yang memasuki bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak terampun,” dan aku berkata, “Amin.” … (Ibn Khuzaimah, Sahih Ibn Khuzaimah, Kitab al-siyam, Bab istihbab al-ijtihad fi ibadah fi ramadan.)

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

FacebookTwitterGoogle+Share

1 Comment

  1. banyak manfaat. shukron

Leave a Reply