subscribe: Posts | Comments

Hari ke-28: Pertemuan Luar Biasa

1 comment
Hari ke-28: Pertemuan Luar Biasa

Subuh itu seperti biasa dilangsungkan di masjid di bawah belakang hotel kami. Masjid yang dibina pada 1453 itu sangat tua sekali tanpa kubah di atasnya. Menaranya sama tinggi dengan bilik saya dan pembesar suaranya itu benar-benar menghala ke tingkap kamar kami. Sebab itu, setiap subuh akan jelas kedengaran. Setelah selesai solat, saya naik ke atas dan kami menikmati pagi yang indah Lautan Marmara dari hotel kami. Laut biru itu dihiasi dengan burung laut, hitam dan putih, yang berterbangan dan hinggap dari satu bumbung bangunan ke bangunan lain. Damainya pagi ini dan awan melindungi matahari seboleh mungkin. Dadanya sarat dengan air yang hanya Allah tahu bila dan di mana ia akan tumpah. Awan terkuak sedikit, sang cahaya pantas sahaja menerobos permukaan laut menjadikannya ia berkilau dipandang dari jendela kamar ini.

Jiran sebelah kamar kami telah pergi seawal jam 5 pagi tadi. Kami dimaklumkan yang penerbangan Kate dan suaminya ke London awal pagi ini sebelum terus pulang ke Kanada dan pasangan Reinhard dan Darcey akan memandu pulang ke Romania. Tidak sempat kami hendak mengucapkan selamat jalan, namun email sudah diambil dan dakwah boleh dilakukan lewat email. Seawal pagi itu jugalah, isteri saya sudah bangun dan membaca buku panduan pelancongan bagi menerangkan kepada Bapa Fred dan Ibu Alice pagi ini.

Hubungan Muslim dan Bukan Muslim

Kami turun sarapan dan alhamdulillah, sarapan dihidangkan dalam bentuk bufet sekaligus memberi peluang kepada kami untuk memilih berdasarkan selera kami. Selepas sarapan, cepat-cepat kami berjalan menuju ke Mavi Guest House yang jaraknya 5 minit perjalanan. Hari ini kami sudah berjanji untuk membawa mereka mencari tempat untuk mereka beribadah, iaitu gereja yang aktif perkhidmatannya. Isteri saya bertanya adakah boleh seorang muslim menunjukkan jalan di mana kedudukan gereja. Pada saya, tindakan kami itu bukannya bersubahat dengan orang yang mensyirikkan Allah. Kami hanya menunjukkan arahnya sebagai satu cara memudahkan orang tua ini mencari. Kalau mereka pasangan muda yang cergas dan boleh membaca peta, pasti kami membiarkan mereka. Tindakan kami ini hanyalah satu bentuk sahutan kepada seruan al-Quran supaya berbuat baik kepada orang kafir.

Kami sampai di Mavi Guest House yang sepi tanpa pelanggan. Pekerjanya menunjukkan kami di mana tempat Bapa Fred dan Ibu Alice bersarapan. Kami memasuki ruang makan itu dan melihat mereka kelihatan segar sekali. Sambil mereka makan, isteri saya menerangkan yang gereja-gereja di Istanbul tidak banyak yang aktif. Kalau adapun, ia dijalankan oleh denominasi lain seperti Ortodok. Kami mencadangkan agar mereka tidak ke Fatih, walaupun Masjid Fatih itu asalnya adalah gereja memandangkan mereka tidak punya masa yang cukup untuk ke muzium. Sebaliknya, isteri saya mengatakan ada satu gereja Proteston yang dijalankan oleh paderi Armenia di Beyazid dan masih aktif. Setelah itu, kami mencadangkan agar mereka terus ke Muzium Kesenian Turki dan Islam dan ke Muzium Arkeologi. Mereka setuju dengan cadangan itu.

Seorang anak muda membawa beg besar memasuki ruang makan ini, pastinya seorang lagi penghuni. Kami berkenalan. Namanya Peter, pelajar dalam bidang perhubungan antarabangsa major Asia Barat ini mengembara untuk menyusun data di kepalanya dan mencari jawapan bagi setiap persoalannya. Dia yang sudah memulakan pengembaraannya di Eropah, singgah beberapa hari d Turki dan masih mencari-cari apakah negara yang sesuai untuk dilawati selepas ini. Peter yang tinggi dan berwajah manis tampak sekali mempunyai cita-cita akademik dalam kembaranya.

“Selepas ini saya ingin ke Canakale, melihat bagaimana kesan penglibatan Turki dalam perang dunia pertama.” Peter bercerita, menarik perhatian saya dan Bapa Fred. Kaum perempuan bercerita pasal perkara lain.

“Turki dan Jerman mempunyai hubungan yang rapat. Sebelum kancah perang bermula, para ulama ditanya, sama ada ingin memberi sokongan kepada kuasa Krisitian Barat iaitu USA dan sekutunya, ataupun berpihak kepada Jerman. Keputusan yang diambil oleh Turki, iaitu berpihak dengan Jerman adalah satu jawapan daripada para ulama mereka.” Saya menceritakan sedikit tentang sejarah penglibatan Turki dengan Perang Dunia Pertama itu, plot sebelum perkuburan British dan Kanada di Canakale itu. Peter mengangguk-angguk sambil makan. Dari isu itu, meja makan kami membicarakan pula hubungan Turki dan Jerman serta isu semasa di Jerman sekarang berkenaan status kewarganegaraan orang Turki di Jerman.

Saya kemudiannya bertanyakan pula apakah perancangannya dalam mengkhususkan bidang kajiannya. “Saya lebih suka akan Turki berbanding negara Arab lain. Sebab itu saya ke sini,” Peter melanjutkan penjelasannya. Kami meminta diri dahulu dan bertukaran alamat dengan Peter. Perjalanan masa terlalu cepat, lebih-lebih lagi waktu musim sejuk begini, siangnya lebih pendek.

Diskusi Mazhab

Pagi ini masih belum turun hujan sebagaimana yang dijangka oleh ramalan cuaca di internet. Kami akan berjalan ke Beyazid, melalui jalan utamanya, Divanyolu yang juga jalan tram. Ketika melalui belakang Aya Sophia, saya mencuit sedikit pandangan Bapa Fred tentang di manakah kedudukan istana Rom semasa Sultan Muhammad memasuki Istanbul. Saya menyatakan yang mungkin istana Rom Timur itu telah dimusnahkan oleh kerajaan Islam, tetapi gereja tidak pula diruntuhkan kerana itu adalah etika peperangan dalam Islam.

“Islam mengharamkan tenteranya membunuh orang awam, juga mengharamkan gereja diruntuhkan, begitu juga para paderi dan orang yang beribadah di dalamnya tidak boleh dibunuh.” Saya meringkaskan idea etika perang itu.

“Tetapi, mereka menukar gereja ini menjadi Masjid.” Fred menunjukkan jarinya kepada Aya Sophia. “dan lebih malang lagi, ia menjadi muzium selepas itu.”

Kata-kata Fred itu mengingatkan soalan isteri saya yang pernah ke Sepanyol melihat runtuhan kerajaan Islam di sana. Kita tidak pernah bertanya kepada pelancong Kristian di Turki ini tentang perasaan mereka apabila gereja ditukar menjadi masjid. Adakah mereka sensitif tentang isu tersebut? Satu persoalan yang entah bila akan terjawab.

Isteri saya dan Ibu Alice berjalan di hadapan manakala saya dan Bapa Fred di belakang. Berjalan sedemikian kerana topik perbincangan yang berbeza. Isteri saya yang tidak habis-habis meminta tips pengurusan rumah tangga dengan Ibu Alice, manakala saya dan Bapa Fred lebih memfokuskan kepada isu agama, perhubungan antarabangsa dan politik.

Bapa Fred bertanyakan saya tentang pembahagian denominasi dalam Islam, iaitu Sunni atau Shiah.

“Kami tidak memanggilnya denominasi kerana kami berbeza pada aspek pentafsiran dan metodologi pemahamanan terhadap sumber agama kami, iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Maka kami memanggilnya mazhab atau dalam English, School of Thought.” Saya menerangkan kepada Bapa Fred.

Kemudian, saya menceritakan pula tentang pecahan mazhab dalam Ahli al-Sunnah, dari segi akidah dan juga fiqh. Saya berkongsikan maklumat tentang nama-nama mazhab akidah yang ada dan di mana kawasan geografinya, seperti Asha’irah, Maturidiah, Hanabilah, juga mazhab fiqh seperti Hanafi, Maliki, Shafie, dan Hanbali.

“Setiap negara Islam mempunyai mazhab yang dominan dalam pengaruh politik negaranya. Sebagai contoh, Arab Saudi berpegang kukuh dengan mazhab Hanbali dan aliran Salafi.” Saya memberikan pandangan. Minta ia dikritik oleh Bapa Fred. Bapa Fred hanya mengangguk-angguk sahaja.

“Menyebut pasal Salafi, saya teringat dengan pertembungan aliran itu dengan tradisionalis di Indonesia bermula pada abad ke-19.” Bapa Fred memasuki dunia politik Indonesia, bidang kepakarannya. “Saya suka pada pemikiran Gur Dur, yang lebih banyak menegakkan hak asasi manusia sepanjang pemerintahan kuku besi Soeharto.” Dia membelok kepada isu lain pula sekaligus menggambarkan kecenderungannya kepada isu ‘keadilan sosial’.

Saya menyambung lagi. “Malahan, mazhab mempengaruhi perhubungan politik sesama negara Islam dan negara bukan Islam. Negara Sunni dilihat lebih berlembut dengan kuasa Kristian Barat pada hari ini. Sebaliknya, negara yang majoritinya adalah Syiah, seperti Iran dan Syiria, menunjukkan sikap yang berbeza.”

“Oh, barulah saya faham mengapa Syiria bersikap sedemikian.” Fred menyatakan yang dia tidak pernah tahu majoriti penduduk Syiria adalah Syiah.

“Namun, saya percaya bahawa perseteruan antara negara Syiah dengan negara Barat bukanlah suatu yang benar-benar asli. Mungkin ada konspirasi di belakangnya. Ini kerana, sepanjang sejarah, hanya kerajaan Sunni sahaja yang berperang dengan kerajaan Kristian dalam sejarah perang salib.”  Saya menyampaikan premis saya. Fred memandang saya dan mengulangi kenyataan terakhir saya.

“Tetapi, dalam dunia politik hari ini, pembunuhan orang awam dan pengeboman berani mati adalah suatu yang bukan dari Islam. Ajaran Islam tidak pernah mengajar umatnya bertindak sebegitu.” Kata-kata itu mengiringi kaki kami yang sudah sampai ke Beyazid, lalu kami membelok ke kiri untuk menghantar Ibu Alice dan Bapa Fred menunaikan tanggungjawab agamanya.

Kami Hanya di Luar Gereja

Isteri saya bertanya adakah boleh seorang Muslim memasuki ke gereja sekadar melihat-lihat, terutamanya ketika majlis keagamaan mereka berlangsung. Para ulama telah memutuskan hukum memasukinya, iaitu menjadi harus sekiranya seseorang itu dijemput ke gereja untuk menyampaikan maklumat tentang Islam, tetapi menjadi haram kalau sekadar untuk melancong atau tanpa tujuan. Dengan hukum sebegitu, pastinya kami menghantar mereka berdua ini di pintu pagar sahaja. Kami menuruni bukit, melalui celah kedai dan bangunan hamam yang sangat tua. Kelihatan sebelah kiri kami, sebuah bangunan yang pastinya gereja dengan binaan yang bukan gaya Turki. Menurut buku, gereja ini milik orang Armenia. Apabila kami sampai di pintu pagar gereja itu, sebuah kereta berhenti dan seorang lelaki berpakaian seperti paderi Protestan membuka kunci pagar. Fred dan Alice menetapkan masa satu jam di situ, maksudnya jam 11 kami boleh datang mengambil mereka. Kami pergi ke kedai menjual halawah di atas sana, tempat yang Bilal tunjukkan kepada kami.

Sebelum itu, kami singgah di sebuah kedai runcit untuk membeli minyak zaitun. Memandangkan negara ini adalah pengeluar minyak zaitun, maka itulah ole-ole yang kami ingin bawa pulang. Kemudian, kami lalu di hadapan restoren yang menjual ayam golek. Menyelerakan dan kami memasuki restoren itu untuk bertanya berapa harganya. “Halal?” Saya bertanya. Dia mengiyakannya dengan senyuman. Kami bercadang untuk ke situ suatu masa nanti. Setelah keluar, seorang lelaki yang menjual pakaian di kaki lima bertanya dari mana asal saya. Jawapan diberikan dan dia bertanya lagi sama ada saya muslim atau tidak. Saya menjawabnya dengan mengangkat satu jari ke langit dan mengucap syahadah dengan senyuman. Lelaki itu turut mengikut bacaan syahadah saya. Senang sekali.

Kami sampai di kedai halawah itu yang berjenama Koska. Ada dua pintu, kami pilih pintu sebelah kiri. Pekerja lelaki di situ melayan kami dengan senyuman dan kami mencatat dan menyenaraikan berapa jenis manisan yang perlu dibawa pulang untuk keluarga, mengikut bajet kewangan semasa kami. Sambil itu, tangan laju sahaja mencuba mana-mana yang tidak lagi dirasa. Kemudian, saya membeli sedikit lokum untuk dikongsi rasa bersama Ibu Alice dan Bapa Fred. Mereka pasti menyukainya dan saya sudah membayangkan apakah bahasa Indonesia yang akan keluar dari mulut mereka.

“Siapa nama kamu? Datang dari mana?” seorang pekerja di kaunter bertanya dalam bahasa Arab. Rasa senang dengan bahasa dan senyumannya, maka saya pun menjawab. Mendengar nama saya, dia memanggil saya dan menulis nama saya di atas kertas. EDIB? Saya mengangguk kerana itulah ejaan nama saya di Turki ini. Dia pun memperkenalkan dirinya sebagai ‘Baker’. Seorang lagi bertanya saya dalam bahasa Inggeris, adakah saya suka bermain bola. Jawapannya, tidak. Mereka berbual sesama mereka dalam bahasa mereka dan saya pun mengambil beberapa manisan, iaitu lokum dan pismaniye ke kaunter dan membayarnya. Baker menerimanya dan menyebut harga dalam bahasa Arab.

“Kamu belajar bahasa Arab di sekolah?” saya bertanya lanjut. Soalan itu dijawab dengan isyarat dia tidak faham dan hanya boleh berbahasa arab sedikit sahaja. Dia belajar dari pelancong Arab yang datang ke kedai itu. para pelayan dan pekerja di Sultan Ahmet ini memang multi bahasa. Rasanya, mereka yang berbakat dengan bahasa sahaja layak bekerja di sini kerana mereka boleh bercakap pelbagai bahasa untuk perkara asas yang berkaitan dengan bisnes mereka. Kalau orang Hungary yang masuk, ucapan selamat dalam bahasa itu akan disebut dan begitu juga sebutan harganya. Kalau Jerman, mereka akan menguak. Kalau Jepun, mereka akan mengembik.

Cerita Dari Gereja

Memandangkan lagi lima minit ke jam 11, maka kami pun kembali mengikut jalan tadi, yang kira-kira 50 meter untuk menunggu Ibu Alice dan suaminya. Apabila kami sampai di gereja itu, kami tercegat di pagar sehingga menghairankan ramai orang yang lalu lalang, sehingga tak habis-habis memandang kami dari atas ke bawah. Sekumpulan lelaki sedang memunggah barangan ke atas lori pula, menjeling-jeling kami di sini. Lagu gereja yang diselangi dengan alatan muzik tradisional Balkan, bersama paluan alatan perkusi, keluar dari tingkap gereja yang sengaja dibuka kecil. Kami yang tidak faham dengan apa yang mereka nyanyikan, berdiri menjenguk-jenguk kalaulah dua warga emas itu keluar. Setelah lima minit menunggu, muncullah mereka dari jalan belakang.

“Oh, kami senang sekali.” Ayat biasa Ibu Alice dan Bapa Fred diulang lagi. Tak sabar-sabar mereka ingin bercerita tentang apa yang mereka temui dalam gereja semazhab dengan mereka, cuma berbeza denominasi. Sambil itu, saya mengunjukkan sebekas kecil halawah untuk mereka merasainya.

“Kami bertemu dengan seorang wanita dari USA. Dia sudah lapan tahun di sini. Tapi, dia memakai tudung, seperti kamu, dan jubah hitam.” Cerita Ibu Alice dengan jarinya menunjukkan kepada isteri saya. Jarinya masih memegang lokum yang baru separuh digigit.

“Oh, Alice. Kita bercerita sahaja sewaktu makan nanti. Biar semua orang boleh mendengarnya.” Bapa Fred meminta isterinya bersabar. Saya juga semakin suspen ingin mendengar. Kenapa pula wanita bertudung, lagi berjubah, memasuki gereja dan beribadah di dalamnya.

Mereka sudah merasa manisan itu, lalu ‘terpengaruh’ untuk membelinya. Kami membawa mereka ke kedai manisan kegemaran kami, setelah diperkenalkan oleh Salih dan Bilal. KOSKA menawarkan pelbagai manisan yang wujud di Turki ini dengan harga yang munasabah, tetapi citarasanya sangat istimewa. Bahasa lain, mencapai standad kesedapannya. Bapa Fred bertanyakan adakah manisan sebegini tidak dijual di lapangan terbang. Ada pastinya, tetapi harganya luar biasa mahal. Kami pun mencadangkan beberapa manisan untuk mereka merasanya lagi. Kerisauan Ibu Alice zahir di wajahnya. Dia mengatakan beg mereka tidak muat dan tidak cukup ruang kalau hendak membeli manisan. Alice dan Fred berbincang-bincang sesama mereka. Ibu Alice membuat keputusan untuk membeli manisan yang bernama nougat, walaupun suaminya tidak berapa menyukainya.

Jalan terus!

Kami keluar dari kedai dan terus berjalan ke pusat Sultan Ahmet untuk menghantar mereka ke Muzium Kesenian Turki dan Islam. Masa sangat pendek untuk mereka, agak lari dari perancangan. Kami melalui jalan yang kiri kanan bahunya adalah kedai-kedai pelbagai barangan. Susunan beg menarik perhatian Ibu Alice, mungkin untuk mencari beg tambahan agar boleh membeli pelbagai barangan dan ole-oleh. Satu beg tarik dibelek dan Ibu Alice bertanyakan harganya. TL30, kami diberitahu. Ibu Alice melihat-lihat lagi yang lain.

“Hello, my friend. Where you come from?” tiba-tiba satu suara muncul dari sebelah kanan kami. Itu ayat tanda amaran berwarna merah! Ibu Alice menjawabnya, dengan baik dan perlahan.

“I don’t think you came from States. Your English is not like them.” Lelaki gempal dengan muka berbekas jerawat batu dan bulu di muka berceracak itu mula melagakkan aksen bahasa ‘Englsih’nya. Terlalu berlebihan! Dengan tiba-tiba juga dia menyebut, abangnya ada di USA dan Pakciknya adalah peniaga kedai minum kopi yang berjaya di California.

Dia tiba-tiba menjadi jurucakap bagi pihak peniaga itu dan menyatakan harga bagi beberapa beg. Kami meluat sungguh dengan telatahnya.

“Jalan terus!” tiba-tiba Ibu Alice memandang kami dan suaminya, bercakap dalam bahasa Indonesia. Wah, mereka ada bahasa rahsia. “Jalan terus.” Ibu Alice mengulanginya dan kami gelak sekali mendengarnya dan berjalan pantas. Tinggalkan sahaja orang yang tidak berbudi bahasa itu.

Lelaki yang tidak tahu menghormati orang itu mengejar kami dan tak henti memanggil, “my friend.” Pastinya dia terkejut yang orang putih ini tahu bahasa lain. Bapa Fred bersuara, “Kami mempraktikkan bahasa Indonesia di Istanbul ini. Kalau mereka ajak ke restoren, saya kata, ‘sudah kenyang’ dan mereka terpinga-pinga.” Saya gelak mendengar cerita Bapa Fred dan memang saya akuinya banyak kali mendengar dia berkata sedemikian.

Kami merentasi hadapan Masjid Fairuz Aga. Tiba-tiba Ibu Alice menunjukkan satu patung singa. Sudah hampir sebulan kami di sini, tidak perasan pula patung singa yang diukir daripada batu tersorok di balik pohon-pohon bunga. Mungkin tinggalan Rom kerana tamadun Islam tidak meninggalkan patung binatang. Singa itu kelihatan garang tetapi mengangkat kakinya seumpama gaya kucing Turki memohon rezeki setiap kali kami makan doner di Taman Sultan Ahmet.

Salah Nasihat Untuk Orang Kaki Muzium

Kami tiba di depan Muzium Kesenian Islam itu. Kemudian, kami berjanji untuk bertemu lagi setelah selesai kami menunaikan solat zuhor. Ibu Alice dan Bapa Fred bercadang masa mereka berada di muzium itu hanya 1 jam setengah. Kami pun bergegas ke masjid Sultan Ahmet dalam renyai hujan. Zuhor semakin dekat dan kami siap-siap untuk menunaikannya. Saya mengambil wudhuk di bahagian bawah masjid setelah ke tandas. Kami masuk ke masjid, saya memilih bahagian yang paling hadapan dan duduk diam setelah solat tahiyat al-Masjid dilakukan. Bersebelahan saya, beberapa lelaki pakistan yang dapat kenalpasti daripada penampilan dan wajah mereka. Selesai solat, saya ke belakang dan duduk sebentar bersama isteri menunggu jam 1.30, waktu yang dijanjikan bersama Ibu Alice dan Bapa Fred di hadapan muzium mereka yang cuma 50 meter dari masjid ini. Banjir dibanjiri oleh pelancong sejurus selepas imam siap berdoa. Jemaah pun baru sahaja usai dan keluar dari masjid. Para pelancong ini dengan pelbagai gaya beraksi di hadapan kamera masing-masing dengan berlatar belakangkan hiasan masjid yang terterap indah. Benarlah kata Bilal, mereka ini tidak mendapat apa-apa. Hanya melihat sebuah masjid bersejarah yang penuh dengan zukhruf. Papan tanda yang menunjukkan arah ‘Information on Islam’ tidak menarik perhatian mereka walaupun diletak di tepi tiang belakang yang sangat agam ini. Saya sendiri sering meneropong ke kamar imam itu, melihat adakah ramai orang bertanya tentang Islam di situ. Teringin sekali menjengah bertanya. Mengapa para pelancong ini tidak diberikan walau sehelai kertas yang bercerita tentang apakah itu Islam?

Kami pun memutuskan untuk meninggalkan masjid yang sangat sesak dengan orang ini. Sejuk bukan kepalang kerana pintu masjid dibuka dari pelbagai arah. Cahaya kilat kamera dari pelbagai arah menerangi gelap dan suramnya masjid ini. Saya mencadangkan agar kami terus sahaja memasuki pintu masuk muzium itu dan menunggu Bapa Fred dan Ibu Alice di situ. Alhamdulillah, muzium  ini memberikan haba yang boleh dimanfaatkan oleh badan. Saya pula dapatlah meletakkan beg yang sudah sarat dengan pelbagai barangan manisan.

Sepasang lelaki dan perempuan, gayanya seorang pelancong dan seorang lagi pemandu pelancong, masuk ke dalam pintu masuk muzium. Si wanita dengan gaya orang Elit Eropah, menarik beg tariknya bertanya-tanya kepada si pemandu pelancongnya adakah muzium kesenian itu menawarkan bahan pameran kontemporari. Namun, pemandu pelancongnya ragu-ragu untuk menjawab. Matanya asyik tertumpu kepada sebuah poster besar di sebelah kanan saya. Saya cuba belajar ramah, menerangkan ia adalah muzium artifak dan barangan klasik. Temanya, klasik. Tetapi perempuan separuh abad itu acuh tidak acuh dan buat-buat tidak dengar apa yang saya kata. Dari jauh, Bapa Fred dan Ibu Alice datang ke arah kami. Terserlah dari wajah mereka kegembiraan menikmati masa mereka di muzium itu. Saya menunggu-nunggu kalimat biasa mereka mengekspresi kegembiraan mereka. “Sangat senang sekali.”

Bapa Fred dan Ibu Alice mengatakan masa selama satu jam setengah itu tidak cukup. Rasa kesal timbul di hati saya kerana mencadangkan masa sependek itu kepada mereka. Tiba-tiba, wanita ini datang mendekat dan meminta pandangan daripada Bapa Fred dan Ibu Alice sama ada pameran itu kontemporari atau tidak. Mereka berkata ia adalah klasik dan sangat menakjubkan.

“Oh, kata-kata kamu sungguh meyakinkan.” Wanita itu membalas komentari Ibu Alice. Ayat yang sama sahaja seperti apa yang saya sampaikan sebelum mereka kepadanya.

Ibu Alice dan Bapa Fred menzahirkan keinginan mereka untuk masuk lagi ke dalam muzium selepas makan. Kami mencadangkan agar mereka bertanya kepada pegawai di kaunter tiket untuk masuk semula. Setelah Bapa Fred pergi bertanya pegawai itu mencatatkan sesuatu di belakang tiket mereka bagi membolehkan mereka masuk semula. Senyum mereka meleret kesukaan. Pasti, mereka masuk semula selepas makan.

Kami pun bersama-sama mencari makanan, memandangkan kantung perut isteri saya sudah dimasuki angin, kata orang Melayu. Kami membawa ke tempat biasa kami membeli makanan yang cuma 20 meter dari situ. Ibu Alice dan Bapa Fred tidak sabar-sabar bertanya pendapat kami tentang barangan dan artifak yang mereka nikmati di dalam muzium itu. Saya dapati yang mereka sangat menghargai setiap pengetahuan yang mereka serapi.

Allah, Tuhanku dan Tuhanmu

“Ada satu tulisan yang sangat indah. Saya menyalinnya. Nanti saya tunjukkan kepada kamu.” Bapa Fred mengusik minda saya. Apa pula tulisan yang disalinnya sehingga beriya-iya hendak ditunjukkan kepada saya. “Oh, Bapa Fred banyak sekali mencatat. Terlalu banyak ilmu di sini. Kami ingin bertanya banyak perkara kepada kamu.” Ibu Alice menyampuk. Memang tinggi semangat inkuiri mereka ini, tipikal orang Barat. Semangat inilah yang membawa kepada kemajuan bagi negara mereka.

Kami sampai di kedai itu dan memilih tingkat bawah yang lebih panas berbanding atas. Pak cik-pak cik montel ini senyum-senyum melihat kami yang mungkin tertanya-tanya bilakah mereka ini hendak balik. Hari ini datang lagi dengan orang lain pula. Kami memilih makanan seperti biasa iaitu nasi dan ayam doner yang dibakar dan dipotong nipis. Ibu Alice dan Bapa Fred ingin merasa juadah yang sama dan juga sup kacang dal. Kami mula berbual-bual tentang bahan pameran di Muzium Kesenian itu.

“Saya melihat sebuah peta besar. Besar sekali empayar kerajaan Uthmaniah.” Fred mula bercerita. Dia menunjukkan kekagumannya terhadap luasnya empayar Islam yang pernah menguasai tiga perempat dunia ketika itu. Dari tengah Eropah sehinggalah ke tengah China dan mengunjur ke selatan sehinggalah ke kepulauan Melayu Nusantara.

“Tahukah kamu dengan sebuah kain terentang besar, bewarna merah dan hijau, mempunyai kalimah sebegini dan senapang di atasnya?” Bapa Fred bertanya lagi. Saya menjawab yang ia mungkin adalah bendera kerajaan Uthmaniah suatu ketika dahulu yang tertulis dengan kalimah thaiyibah.

“Oh, ingin saya tunjukkan kamu. Satu tulisan yang saya salin.” Fred cepat-cepat mengeluarkan buku catatannya dan menunjukkan kepada kami. Allah! Fred menyalin tulisan kaligrafi kalimah Allah dengan ‘Jalla jala lah’. Masya Allah!

“Maafkan saya. Sebab saya menyalinkan dengan tidak begitu cantik. Tidak sepatutnya saya tunjukkan kepada kamu, seorang Islam. Ia nama Tuhan, seharusnya saya meniru dengan lebih cantik.” Bapa Fred merendah diri. Saya terkejut dengan kenyataannya. Ya Allah, keluarkanlah mereka berdua ini dari lembah kesyirikan sebelum engkau memanggil mereka. Wahai Tuhan pemilik hidayah, berikanlah hidayah kepada mereka.

“Cantik sekali.” Saya teruja dengan lukisan Bapa Fred itu. “Ya, ini adalah nama Tuhan.” Hati saya berbisik mengatakan itu dalah nama Tuhanku dan Tuhan kalian yang kalian syirikkan. Saya teringat dengan kata-kata Nabi Musa kepada Firaun yang dirakamkan dalam al-Quran. Tuhanku dan Tuhan kamu!

“Bapa Fred terlalu banyak hendak menyalin itu dan ini. Terpaksa saya ingatkan yang janji kita satu jam setengah.” Ibu Alice ketawa mengingatkan tindakan suaminya. Mungkin dia rasa sekejap sangat untuk menikmati muzium pada waktu sesingkat itu.

“Oh, ya. Bagaimana cerita di gereja tadi. Tentang perempuan bertudung?” Saya beralih ke isu lain untuk mendapatkan maklumat tentangnya. Mengapa pula ada wanita bertudung di dalam gereja, hati saya mendesak jawapan.

“Ya. Wanita itu warga Amerika. Tetapi sudah 8 tahun berada di sini. Asalnya berkerja untuk misionari. Tetapi, dia jatuh hati dengan Turki dan menetap di sini. Saya bertanya mengapa dia memakai tudung dan jubah hitam sebegitu. Dia jawab, dia hendak menghormati budaya dan agama orang Turki.” Panjang Ibu Alice menerangkannya kepada kami. Dia memang hairan sekali mengapa seorang Kristian Protestan sanggup berkerudung sebegitu.

“Dia menjadi penterjemah kepada kami bagi semua zikir dan lagu yang dinyanyikan oleh ahli kariah tadi.” Sambung Ibu Alice lagi, disambut anggukan daripada suaminya.

Alangkah bodohnya orang Muslim yang tidak menutup aurat di Turki ini. Seorang pendakwah Kristian boleh memahami betapa perlunya menutup aurat untuk menghormati orang Islam, tetapi ramai pula Muslimah  di Istanbul ini tidak menghormati dan mentaati perintah Tuhan mereka.

Kaki Buku Akan Bersembang Juga Tentang Buku

“Oh, ya. Kamu harus membaca buku ini. Bapa Fred mengeluarkan buku Islam in The Modern Turkey. Sudah tiga kali dia menunjukkan buku itu kepada saya. Kamu hendak menulis tentang bagaimana orang di sini beragama. Maka, kamu perlulah membaca buku ini untuk mengetahui bagaimana situasinya.” Fred menunjukkan bahagian belakang buku itu dan memberikannya kepada saya. Bahagian apendiks itu dipenuhi dengan pelbagai soalan dan kritikan tentang pelbagai isu agama di Turki. Ada isu masjid, solat, kebebasan berhijab, zakat, legaliti tarekat dan sebagainya. Saya sudah memasukkan maklumat kepada otak saya yang buku itu adalah bacaan wajib. Saya mengucapkan terima kasih kepada Fred yang menunjukkan kesungguhannya untuk berkongsi ilmu dengan kami. Mereka berdua adalah pendidik, seorang professor dan seorang lagi guru. Padanlah mereka begitu.

Kami semua telah habis menjamu selera. Saya mengambil satu puding nasi dan membahagikannya sedikit seorang. Setiap mulut yang merasainya mengatakan ia  sedap dan menyelerakan. Memang makanan di sini sedap-sedap, kalau tidak, tidaklah mereka kegemukan apabila menjelang usia 35 tahun. Setelah selesai menjamu selera, tiba-tiba Ibu Alice dan Bapa Fred mengatakan yang mereka hendak membayar kesemuanya. Kami pula rasa keberatan sedemikian. Namun mereka bertegas untuk membayarnya.

“Untuk membalas kebaikan kalian yang memandu kami di sini.” Ibu Alice berbicara dengan senyuman.

Kami mengucapkan terima kasih kepada Ibu Alice dan Bapa Fred. Sudah sejam di meja makan, mereka hendak ke muzium pula dan kami berangkat kembali ke hotel. Kami keluar dari kedai itu menuju ke sebelah kiri untuk menghantar mereka ke pintu masuk muzium. Kami menjangkakan yang mereka tidak akan sempat ke Muzium Arkeologi kalau mereka masih asyik untuk menghayati bahan sejarah di situ. Ibu Alice mengatakan yang bahagian Ethnography sangat menarik minat hati mereka dan sebelum makan tadi, mereka tidak cukup masa untuk meneroka keseluruhannya.

Datanglah Bertamu Ke Rumah Kami

Di muka pintu muzium kami berpisah. Pada mulanya saya mencadangkan agar boleh lagi bertemu esok, sebelum mereka berangkat pulang ke USA. Namun, Ibu Alice dan Bapa Fred sudah tidak larat untuk keluar dan mahu berehat di hotel sebelum ke lapangan terbang.

“Kami mengucapkan terima kasih. Kalau ke States, singgahlah ke rumah kami. Hantar surat ke alamat rumah, ya. Bukan di pejabat, parti lain yang memerintah sekarang.” Bapa Fred gelak bersalaman dengan saya. Ibu Alice dan isteri saya berpelukan.

“Jemput juga untuk Ibu dan Bapa datang ke Malaysia.” Saya menjemput mereka datang tidur di rumah kami, memakan juadah tradisional Melayu yang sangat mereka rindukan.

Fred dan Ibu Alice melambai kepada kami sebelum hendak masuk ke muzium. Tiba-tiba Bapa Fred berkata, “Satu pertemuan yang luar biasa!” Kata-kata itu mengejutkan saya. Sekali imbas, ia mengimbau pertemuan pertama kali dengan mereka. Saya melambai.

Luar biasa. Pertemuan hasil doa saya yang dijawab oleh Allah. Tuhanku dan Tuhan kamu semua.

 

Catatan,

MOHD AL ADIB SAMURI

ISTANBUL 2010

:: Artikel Berkaitan

    © Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.

    Share
    1. Traveller says:

      Assalamualaikum, satu catatan kembara yg sgt menarik. Ingin saya kembali ke bumi Turki, yg hanya sempat saya lawat 13 tahun yg lalu. Dan, saya setuju, pertemuan yg benar2 luar biasa. Semoga Bapa Fred & Ibu Alice diberi hidayah oleh Allah, sebelum nafas mereka yg terakhir. Perkongsian yg sgt menarik. Alhamdulillah.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    *

    You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>