Pages Menu
Categories Menu

Posted by on May 24, 2011 in Akidah | 5 comments

Anakku, Siapa Tuhanmu Nanti?

Anakku, Siapa Tuhanmu Nanti?

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Setiap anak yang lahir mendengar kalimah tayyibah. Penyaksian bahawa tiada tuhan yang layak disembah selain Allah dan Muhammad adalah utusan-Nya. Azan dan iqamah itu bagai memperingatkan setiap kita yang lahir agar bersedia melaksanakan misi di dunia sebagai khalifah, bertungjangkan kalimah shahadah itu.

Kemudian, detik pun berlalu. Kaki si anak yang asalnya sebesar dua jari mula membesar. Satu demi satu peringkat ‘kepandaian’ menjadi perhatian dan bualan ibu bapa. Dalam pada itu, pelbagai impian dan harapan turut diserapkan ke dalam minda anak-anak. Ada juga yang awal-awal menanam cita-cita kerjaya, apabila besar ingin menjadi apa. Segala expectation ibu bapa diterjemahkan ke dalam jadual kehidupan anak. Demi memastikan anak genius dan meraih kerjaya idaman ibu bapa, pelbagai aktiviti dan rejim pembelajaran mula diasak dan didisiplinkan, seawal setahun dua.

Ini cerita realiti hari ini. Subur dalam masyarakat yang sentiasa risau akan anaknya. Risau ketinggalan tumbesaran daripada rakan sebaya. Risau kekurangan bakat yang dipamerkan anaknya. Risau kerjaya apa yang bakal diceburinya. Risau dengan kemampuan kewangan dalam menyekolahkan mereka di tempat terbaik. Risau dengan pandangan orang lain terhadap anaknya.
Namun, berapa ramai antara kita yang risau akan agama mereka?

Kerisauan Para Anbiya’

al-Quran merakamkan banyak watak bapa, berbanding ibu. Interaksi bapa dengan anak-anak mereka diceritakan semula oleh Allah sebagai pedoman. Mereka ialah Ibrahim, Ya’akub, dan Luqman. Sebagai bapa, mereka proaktif memikirkan keadaan anak-anak setelah ketiadaan mereka nanti.

Kerisauan Ibrahim dan Ya’akub telah dirakam oleh al-Quran:

وَوَصَّى بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى لَكُمُ الدِّينَ فَلا تَمُوتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (١٣٢)أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَهَكَ وَإِلَهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ (١٣٣

Maksud: Dan Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya’akub katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.” Adakah kamu hadir ketika Nabi Ya’akub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishaq, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman).” (al-Baqarah: 132-133)

Lihatlah, anak-anak asuhan rumah kenabian tetap dirunsingkan oleh bapa-bapa mereka.  Anak-anak itu tetap ditanya tentang pegangan agama selepas kewafatan mereka. Mereka diajak berikrar dan berjanji setia untuk hidup mati di atas jalan iman. Bandingkan, sejauhmana kerisauan kita selari dengan apa yang dikhuatiri oleh baginda berdua? Para Nabi ini merisaukan iman anak-anak mereka, bukannya pembahagian harta pusaka. Jika para Nabi risau tentang agama anak mereka, sewajarnya kita lebih risau lagi.

Penekanan para Nabi ini difahami dengan jelas oleh Ibn Kathir. Beliau mentafsirkan ayat ini: “ertinya, berbuat baiklah kalian ketika menjalani kehidupan ini, dan berpegang teguhlah pada agama ini. Sudah pasti Allah akan menganugerahkan kematian kepada kalian dalam keadaan Islam, kerana seseorang yang meninggal dunia dalam agama yang diyakininya dan dibangkitkan dalam agama yang dianutinya ketika meninggal dunia.” (Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Dar al-Fikr, Beirut, jil. 1, hlm. 186) Pesan para Nabi ini ialah hidup dan matilah atas jalan Islam.

Kerisauan ini bukan sahaja ketika menjelang kematian, tetapi sewajarnya turut meliputi segenap waktu terutamanya ketika ketiadaan kita. Bagaimana agama anak-anak ketika mereka bersendirian, sama ada sewaktu belajar ataupun bekerjaya? Pesan Nabi Ibrahim dan Ya’akub bukan untuk anak yang kecil. Tetapi, mereka adalah anak-anak dewasa. Maka, tidak wajar kita berhenti memantau agama anak kita atas alasan mereka sudah dewasa dan tidak perlukan nasihat. Agama ini adalah nasihat, maka nasihatilah anak-anak agar berpegang dengan akidah Islam tanpa jemu biarpun mereka sudah begitu dewasa. Sebagaimana sabda Rasulullah:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ

Maksud: Agama itu adalah nasihat. (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iiman, Bab al-din al-nasihah lillah wa li rasulihi wa li a`immat al-muslimin wa ‘ammatihim)

Ibn Hajar al-’Asqalani menjelaskan bahawa majoriti ajaran agama merupakan nasihat. Selanjutnya, Ibn Hajar menyambung, “Nasihat bagi segenap kaum Muslim adalah dengan menyayangi mereka, melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi mereka, mengajari mereka ilmu yang bermanfaat, menjauhkan pelbagai gangguan dari mereka, mencintai mereka sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri dan membenci apa-apa yang mereka benci sebagaimana dia membencinya bagi dirinya sendiri.” (Ibn Hajar al-’Asqalani, Fath al-Bari, Dar al-Ma’rifah, Beirut, jil. 1, hlm. 138) Nasihatilah anak-anak dengan mengajar mereka akidah yang sahih, menerangkan kepada mereka perkara-perkara yang boleh membatalkan akidah, menjelaskan pemikiran musuh Islam yang merosakkan akidah dan juga meluruskan pandangan hidupnya melalui kacamata akidah Islamiah.

 

Memantau Agama Anak

Sewaktu menunaikan umrah di al-Haram, saya berkenalan dengan seorang anak muda dari India. Saya bertanya, mengapa dia menjadi tetamu Allah.
“Datuk saya menghantar saya ke sini, sebelum saya bertolak terus ke Amerika untuk menyambung pelajaran,” jawabnya panjang.
“Mengapa perlu menunaikan umrah?” saya bertanya lagi.
“Agar imanku kuat sepanjang di Amerika.” Jawapannya itu disambut diam. Penuh doa kepada Allah.

Apabila berjauhan dengan anak yang disayangi, apa yang dirisaukan oleh kita sebagai ibu bapa? Tidak cukup biasiswa, tidak cukup makan, huru hara negara tersebut, gempa bumi dan bencana alam? Risaukanlah tentang agama mereka sebagaimana datuk anak muda itu. Fikirkanlah berapa kuat mereka akan memegang bara api ini dalam menempuh cabaran hidup.
Bagaimana dengan solat mereka yang waktunya menguji iman? Bagaimana agama rakan-rakan mereka? Bagaimana cara mereka beragama? Apa peluang mereka menambah ilmu agama di sana? Bagaimana sistem sokongan masyarakat muslim di sana?

Menghantar mereka berjauhan dengan ibu bapa memerlukan pedoman. Hadith ini adalah kerangka pedoman tersebut. Semasa Abdullah bin Abbas membonceng di belakang Rasulullah, baginda bersabda:

يا غُلَامُ إني أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إذا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وإذا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ‪…‬

Maksud: Wahai anak muda, aku perlu mengajarimu beberapa kalimah. Jagalah Allah (mentaati perintah-Nya) dan Dia akan menjaga dirimu. Ingatlah Allah dan Dia akan memeliharamu. Jika engkau bermohon, maka mohonlah daripada Allah. Jika engkau mahu meminta pertolongan, mintalah pertolongan daripada Allah… (Sunan al-Tirmizi, Kitab sifat al-qiyamah, bab qaul al-nabi: ya hanzalah sa’at wa sa’at)

Hadith ini menggambarkan keperihatinan Rasulullah terhadap agama Abdullah bin Abbas, seorang anak muda. Rasulullah mengajarnya beberapa perkara penting dalam hidup beragama. Malahan, baginda menyentuh perkara yang praktikal untuk diamalkan, sekaligus memberi kesan pada keimanannya. Peringatkanlah kalimah yang sama untuk zuriat kita.

Duka Nuh a.s. Jangan Berulang

Nabi Nuh a.s. berjuang dengan dakwah tauhid selama 950 tahun tetapi tidak berjaya membawa salah seorang anaknya beriman kepada Allah. Azab berupa banjir besar yang datang, tetap mahu dilawan. Apabila seruan iman disampaikan, anaknya enggan menerimanya. Enggan beriman bermaksud enggan diselamatkan. Cukup pahit untuk ditelan oleh seorang bapa.

وَنَادَى نُوحٌ ابْنَهُ وَكَانَ فِي مَعْزِلٍ يَا بُنَيَّ ارْكَبْ مَعَنَا وَلا تَكُنْ مَعَ الْكَافِرِينَ (٤٢)قَالَ سَآوِي إِلَى جَبَلٍ يَعْصِمُنِي مِنَ الْمَاءِ قَالَ لا عَاصِمَ الْيَوْمَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِلا مَنْ رَحِمَ وَحَالَ بَيْنَهُمَا الْمَوْجُ فَكَانَ مِنَ الْمُغْرَقِينَ (٤٣)

Maksud: dan Nabi Nuh memanggil anaknya, yang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau berada bersama orang yang kafir.” Anaknya menjawab: “Aku akan berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan daku daripada ditenggelamkan oleh air.” Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatu pun yang dapat berlindung dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani-Nya.” Dan dipisahkan antara keduanya oleh ombak yang besar itu, lalu menjadilah dia daripada orang yang ditenggelamkan. (Surah Hud: 42-43)

Setelah kapal berlabuh, Nuh tidak berputus asa untuk memohon keselamatan daripada Allah untuk anaknya. Namun, permintaan itu ditolak Allah, malah Allah menafikan status anak tersebut kerana keengganannya beriman.

وَنَادَى نُوحٌ رَبَّهُ فَقَالَ رَبِّ إِنَّ ابْنِي مِنْ أَهْلِي وَإِنَّ وَعْدَكَ الْحَقُّ وَأَنْتَ أَحْكَمُ الْحَاكِمِينَ (٤٥)قَالَ يَا نُوحُ إِنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صَالِحٍ فَلا تَسْأَلْنِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنِّي أَعِظُكَ أَنْ تَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ (٤٦)

Maksud:  Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janji-Mu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya.” Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu; sesungguhnya perbuatan bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak ketahui. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil.” (Surah Hud: 45-46)

Iman memang tidak boleh diwarisi, tetapi menjadi kewajipan ibu bapa untuk mencorak kain putih anaknya. Sebagaimana sabda Rasulullah yang dinyatakan oleh Abu Hurairah:

ما من مَوْلُودٍ إلا يُولَدُ على الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أو ينصرانه أو يُمَجِّسَانِهِ

Maksud: Tidaklah setiap orang yang lahir melainkan dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang menjadikannya yahudi, kristian ataupun majusi. (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jana’iz, Bab iza aslama al-sabi fa mata hal yusolli ‘alaihi wa hal yu’rad ‘ala al-sabi al-Islam)

Sentiasalah memberi pesan kepada anak-anak dengan pesanan Luqman kepada anaknya.

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ (١٣

Maksud: Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. (Luqman: 13)
Moga apabila pesan Luqman ini tersemat pada jiwa anak-anak, maka duka Nabi Nuh tidak berulang pada sejarah hidup kita.

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

FacebookTwitterGoogle+Share

5 Comments

  1. adakah anda terfikir hal-hal sebegini dgn anak2 di rumah?

    • Ya, Tuan. Moga dengan itu saya serius membesarkan mereka di atas jalan Islam.

  2. Mohon dishare di halaman facebook.

  3. saya nak jadi ank yg sgt2 baek..tidak membantah kata2 ibubapa..dan juga ALLAH…ttapi stiap kali saya nak buat bende baek mesti ade yg menghalang…astagfirullahhalazim…

  4. Salam,terima kasih ust atas tulisan yg sangat mengesankan. Hakikat kehidupan hari ini tulah yg tjadi. Sekelompok besar tak hirau apa yg menjadi kerisauan para nabi dan ulama terdahulu.Akhirnya kita behdpan 1001 mcm permashlan.Tkasih ust,mudah2an dlimpahi keberkhatan & ketajaman tulisan.wassalam.

Leave a Reply