Pages Menu
Categories Menu

Posted by on May 4, 2011 in Nur Ilmu | 3 comments

Belajar Agama Sepanjang Hayat

Belajar Agama Sepanjang Hayat

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Tidak cukup dengan lima tahun pengajian, para doktor perlu menjalani latihan housemanship selama dua tahun di bawah seliaan pakar, bagi membolehkan mereka benar-benar menguasai ilmu perubatan. Setelah berjaya menamatkannya, baharulah mereka akan diserap sebagai pegawai perubatan. Proses penimbaan ilmu tidak berhenti di situ. Pada setiap minggu, mereka perlu menghadiri program pembelajaran Continues Medical Education (CME) bagi mengetahui perkembangan terbaharu dalam dunia perubatan. Untuk memanjat tangga kepakaran, para doktor perubatan perlu menambah empat tahun lagi. Ilmu dimatangkan dengan menelaah pelbagai laporan kajian dan juga pengalaman klinikal. Kemudian, mereka akan menyambung sub-kepakaran jika mahu menjadi lebih pakar. Dalam proses itu, tidak sedikit buku yang dibaca dan penulisan ilmiah yang dihasilkan. Segalanya kerana untuk memastikan kesihatan ummah terjaga dan pelbagai penyakit dapat dirawat.
Berdasarkan proses di atas, mari kita bandingkan dengan para ilmuan agama. Ini kerana tugasan dan peranan para doktor sama nilaiannya dengan para agamawan. Doktor merawat penyakit lahiriah dan agamawan merawat penyakit rohaniah. Doktor menjadi rujukan dalam aspek kesihatan, manakala agamawan menjadi rujukan dalam aspek keagamaan.
Namun, sejauhmana golongan agama mengalami proses pematangan ilmu sebagaimana para doktor perubatan? Sejauh mana golongan agama menelaah hasil kajian terbaharu tentang ilmu Islam setiap minggu? Berapa ramai yang menyambung pengajian untuk lebih mendalami ilmu agama? Berapa banyak buku turath (klasik) dan kontemporari yang dirujuk dalam usaha menjawab persoalan masyarakat sekitarnya?    Selanjutnya, bagaimana boleh seorang graduan pengajian Islam berasa cukup dengan ilmu yang ditimba selama tiga atau empat tahun dan kemudian terjun ke dalam masyarakat tanpa berusaha menambah ilmu di dada selepas graduasi? Bagaimana mereka boleh menyelesaikan masalah umat jika tidak konsisten menelaah samudera khazanah ilmu Islam yang luas ini?
Sebenarnya, perkara yang sama perlu difikirkan oleh masyarakat awam. Tanggungjawab mempelajari agama bukan terletak di bahu orang agama sahaja. Setiap muslim perlu mempelajari agamanya agar keimanan benar-benar atas landasan kefahaman yang tepat. Sekurang-kurangnya, semua ilmu agama yang berkaitan dengan aktiviti seharian dapat dipelajari dengan sebaik-baiknya. Kemudian, pembelajaran bolehlah dikembangkan lagi ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang agama yang luas ini.
Pokoknya, setiap muslim perlu berilmu dan terus segar mencari ilmu. Ini adalah tradisi para sahabat Nabi s.a.w., tabi’en, dan juga para ulama yang soleh. Dengan ilmu yang dimiliki, kita dituntut untuk mengamalkannya dan mengajarkan kepada orang lain.

Pertingkatkan ilmu

Cabarannya, pada dunia moden hari ini, ramai yang tidak dapat menumpukan masa untuk memantapkan kefahaman ilmu agama kerana komitmen kerjaya, keluarga dan masyarakat. Namun, mari renungi bersama. Jika kita boleh menghadiri pelbagai kursus softskill untuk meningkatkan kualiti kerja dan keupayaan diri, mengapa pula berkira-kira untuk menghadiri majlis ilmu yang dapat meningkatkan kefahaman terhadap agama dan juga mengukuhkan iman kita? Adakah kita lebih selesa untuk melakukan ibadah seperti solat dengan berbekalkan ilmu yang diperolehi sewaktu sekolah rendah, sedangkan persoalan dan cabaran berkaitan solat kian berkembang seiring dengan usia kita?

Tips dari al-Sunnah

Kesempurnaan kehidupan beragama bermula daripada ilmu. Persoalannya kini, bagaimana untuk lebih efektif dalam mempelajari ilmu agama? Beberapa panduan dari al-Sunnah boleh diteliti.

1. Bersinergi dengan rakan dalam perkongsian ilmu

Kehidupan hari ini mungkin menyukarkan kita menghadiri majlis ilmu atas beberapa halangan dan komitmen. Sedangkan, menghadiri majlis ilmu akan mendatangkan manfaat yang besar. Bagi mengatasi masalah ini, Umar al-Khattab telah memberikan contoh yang baik. Beliau bergilir dengan jirannya untuk menghadiri majlis ilmu Rasulullah memandangkan beliau mempunyai komitmen perniagaannya. Daripada Umar:

كنت أنا وَجَارٌ لي من الْأَنْصَارِ في بَنِي أُمَيَّةَ بن زَيْدٍ وَهِيَ من عَوَالِي الْمَدِينَةِ وَكُنَّا نَتَنَاوَبُ النُّزُولَ على رسول اللَّهِ يَنْزِلُ يَوْمًا وَأَنْزِلُ يَوْمًا فإذا نَزَلْتُ جِئْتُهُ بِخَبَرِ ذلك الْيَوْمِ من الْوَحْيِ وَغَيْرِهِ وإذا نَزَلَ فَعَلَ مِثْلَ ذلك

“Aku dan jiranku, seorang Ansar, tinggal di bani Umayyah bin Zaid (salah satu desa yang berada di pinggiran Madinah). Kami selalu bergilir dalam menghadiri majlis ilmu Rasulullah. Hari ini dia yang datang dan pada keesokan harinya aku yang datang. Apabila aku yang pergi, maka akan aku sampaikan kepadanya tentang berita apa saya yang terjadi pada hari itu; apakah wahyu yang turun atau tentang berita yang lain. Jika dia yang pergi, maka dia pun akan melakukan seperti apa yang aku lakukan.” (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 1, hlm. 46, no. hadith: 89)
Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari mengulas hadith ini: “Seorang penuntut ilmu tidak boleh lalai dalam memperhatikan perkara yang terjadi dalam kehidupannya, dengan meminta bantuan daripada orang lain untuk membantunya dalam menuntut ilmu dan disertai keinginan yang kuat untuk bertanya tentang ilmu yang diberikan sewaktu dia tidak dapat menghadiri majlis ilmu, sebagaimana yang dilakukan oleh Umar. Beliau tidak mungkin menghadiri seluruh majlis ilmu Rasulullah kerana beliau adalah seorang pedagang.” (Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, Dar al-Ma’rifah, Beirut, jil. 1, hlm. 186.) Kehidupan para Sahabat juga seperti manusia normal dan perlu mencari rezeki. Mereka perlu bersikap realistik dan membahagikan komitmen mempelajari agama dan pekerjaan dengan sebaiknya. Ini sebagaimana kenyataan Abu Hurairah:

إِنَّ إِخْوَانَنَا من الْمُهَاجِرِينَ كان يَشْغَلُهُمْ الصَّفْقُ بِالْأَسْوَاقِ وَإِنَّ إِخْوَانَنَا من الْأَنْصَارِ كان يَشْغَلُهُمْ الْعَمَلُ في أَمْوَالِهِمْ

“Sesungguhnya saudara-saudara kita dari kalangan Muhajirin disibukkan dengan urusan perdangangan mereka di pasar, dan saudara kita dari kalangan Ansar disibukkan dengan mengurus harta.” (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 1, hlm. 55, no. hadith: 118)
Umar al-Khattab sudah menunjukkan contoh cara untuk memanfaatkan peluang ilmu yang ada. Tindakannya membisukan orang yang tidak tahu meluangkan masa untuk ilmu agama. Hadith di atas juga memberi pedoman untuk kita agar komunikasi sesama orang di sekeliling perlulah berbau ilmu dan tidak tertumpu kepada cerita kosong, lagha dan keduniaan. Jika tidak mampu menyampaikan, maka manfaatkanlah kecanggihan teknologi rakaman audio dan video yang dapat merekodkan ilmu dengan lebih baik agar dapat dikongsikan dengan orang lain.

2. Menganjurkan majlis ilmu dalam lingkungan pengaruh yang dimiliki

Jika tidak dapat menghadiri majlis anjuran pihak lain, maka anjurkan majlis ilmu dalam lingkungan pengaruh kita. Setiap dari kita mempunyai pengaruh, iaitu sekurang-kurangnya di peringkat keluarga. Datangkanlah guru yang boleh mengajar, membetulkan kefahaman dan menjernihkan kekeliruan. Perkara ini dilakukan oleh para wanita pada zaman Rasulullah s.a.w.
Daripada Abu Sa’id al-Khudhri, bahawa para wanita berkata kepada Nabi s.a.w.:

قالت النِّسَاءُ لِلنَّبِيِّ غَلَبَنَا عَلَيْكَ الرِّجَالُ فَاجْعَلْ لنا يَوْمًا من نَفْسِكَ فَوَعَدَهُنَّ يَوْمًا لَقِيَهُنَّ فيه فَوَعَظَهُنَّ وَأَمَرَهُنَّ

“Apabila engkau telah habis mengajar kaum lelaki, maka sediakanlah satu hari untuk mengajari kami.” Maka, baginda pun menetapkan satu hari untuk kaum wanita yang pada hari tersebut baginda dapat menemui kaum wanita, memberikan nasihat dan perintah kepada mereka. (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 1, hlm. 50, no. hadith: 101)

Para wanita Madinah bersemangat untuk mempelajari masalah agama sehingga meminta Nabi s.a.w. membuat jadual pengajian untuk mereka. Dalam teks hadith yang lain, Nabi s.a.w. meminta para wanita sahabat Nabi itu berkumpul di sebuah rumah sebagai tempat pengajian yang kemudiannya baginda datang dan mengajar di situ.
Makmurkan rumah tangga dengan perbincangan ilmu. Malahan, majlis ilmu di rumah adalah ruang untuk memberi sebarang teguran dan nasihat kepada ahli keluarga tentang beberapa isu yang mungkin sukar diluahkan pada waktu yang lain. Konteks yang sama juga terpakai dalam organisasi.

3.    Meruntuhkan benteng malu

Malu adalah penghalang ilmu sampai ke dalam hati. Malu menyebabkan tiada soalan dapat dikemukakan kepada guru. Malu menyebabkan kekeliruan tentang agama tidak dapat dirungkaikan.
Masyarakat kita masih malu bertanya. Hatta pelajar cemerlang yang dihantar ke luar negara untuk belajar di negara Arab dan Barat juga masih malu bertanya. Mungkin masyarakat Muslim di negara ini tidak berfikiran kritikal. Akibatnya, agama tidak dapat difahami dengan baik dan tepat.
Berbeza dengan wanita Ansar di Madinah. Aisyah berkata:

نِعْمَ النِّسَاءُ نِسَاءُ الْأَنْصَارِ لم يَمْنَعْهُنَّ الْحَيَاءُ أَنْ يَتَفَقَّهْنَ في الدِّينِ

“Sebaik-baik wanita adalah wanita Ansar, sebab rasa malu tidak menghalang mereka untuk mendalami ilmu agama.” (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 1, hlm. 60, tajuk Bab 50: al-haya’ fi al-ilm)
Ini kerana Islam meliputi seluruh ruang kehidupan. Sudah pasti akan muncul pelbagai isu dan masalah yang perlukan perjelasan. Contohnya, Ummu Salamah, salah seorang Ummahat al-Mukminin, pernah bertanya tentang mimpi basah di kalangan kaum wanita kepada Rasulullah.
Lebih menjadi masalah apabila guru agama sendiri malu-malu dalam menerangkan hukum-hakam yang dianggap taboo oleh masyarakat. ‘Cakap berlapik’ seringkali digunakan tetapi akibatnya ia hanya mendatangkan kekeliruan dan salah faham. Malahan, ada pula guru agama yang malu untuk menerangkan lalu tidak mengajari topik-topik berkaitan. Sedangkan, para ulama menulis tentang perkara yang dimalukan itu dengan jelas dan terang dalam kitab-kitab mereka.
Ada pihak yang berhujah bahawa tidak boleh banyak bertanya dalam belajar agama. Akibatnya, kelas pengajian agama menjadi pasif dan tidak membina kefahaman yang tepat. Jika diteliti, para sahabat dan isteri Rasulullah banyak bertanya dalam memahami sesuatu ayat al-Quran atau sabda baginda sendiri. Rasulullah melayan dan menjawab setiap soalan mereka tanpa meminta mereka berhenti bertanya. Tegahan terhadap banyak mempersoalkan itu adalah untuk golongan yang menolak kebenaran. Mereka adalah golongan yang bertanya untuk mempertikaikan dan enggan mentaati. Ini ditegaskan oleh Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari: “Dalil yang mencela orang yang mempersoalkan beberapa perkara yang tidak jelas adalah khusus ditujukan kepada orang yang melakukannya kerana ingin menolak kebenaran, dan itulah maksud firman Allah:

فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ

Maksud: Adapun orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah. (Surah Ali Imran: 7)” (Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, Dar al-Ma’rifah, Beirut, jil. 1, hlm. 197)
Malu yang dianjurkan ialah malu daripada melarikan diri dari majlis ilmu. Ini  sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh al-Bukhari.

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ بَيْنَمَا هو جَالِسٌ في الْمَسْجِدِ وَالنَّاسُ معه إِذْ أَقْبَلَ ثَلَاثَةُ نَفَرٍ فَأَقْبَلَ اثْنَانِ إلى رسول اللَّهِ وَذَهَبَ وَاحِدٌ قال فَوَقَفَا على رسول اللَّهِ فَأَمَّا أَحَدُهُمَا فَرَأَى فُرْجَةً في الْحَلْقَةِ فَجَلَسَ فيها وَأَمَّا الْآخَرُ فَجَلَسَ خَلْفَهُمْ وَأَمَّا الثَّالِثُ فَأَدْبَرَ ذَاهِبًا فلما فَرَغَ رسول اللَّهِ قال ألا أُخْبِرُكُمْ عن النَّفَرِ الثَّلَاثَةِ أَمَّا أَحَدُهُمْ فَأَوَى إلى اللَّهِ فَآوَاهُ الله وَأَمَّا الْآخَرُ فَاسْتَحْيَا فَاسْتَحْيَا الله منه وَأَمَّا الْآخَرُ فَأَعْرَضَ فَأَعْرَضَ الله عنه.

“Ketika Rasulullah sedang duduk dalam masjid, dikelilingi oleh para Sabahat, tiba-tiba datanglah tiga orang. Dua orang mendatangi majlis Rasulullah dan seorang lagi pergi. Kedua-dua orang itu berdiri di hadapan Rasulullah. Salah seorang daripada mereka melihat ruang kosong di dalam majlis itu lalu dia duduk di situ. Seorang lagi duduk di bahagian belakang. Sementara orang ketiga telah meninggalkan majlis. Apabila Rasulullah selesai menyampaikan ilmunya, baginda bersabda: “Mahukah kaliah aku beritahu kedudukan ketiga-tiga orang tadi? Bagi orang pertama, dia berlindung kepada Allah, maka Allah pun melindunginya. Orang kedua, dia malu, maka Allah malu terhadapnya. Sedangkan orang ketiga, dia berpaling, maka Allah pun berpaling daripadanya.” (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 1, hlm. 36, no. Hadith: 66)
Ibn Hajar menjelaskan bahawa lelaki kedua itu malu untuk pergi meninggalkan majlis ilmu seperti yang dilakukan oleh rakannya yang ketiga. Akibatnya, Allah malu terhadapnya iaitu Allah merahmatinya dan tidak menghukumnya. Inilah rasa malu yang dituntut. Malu untuk menjauhi majlis ilmu. (Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, Dar al-Ma’rifah, Beirut, jil. 1, hlm. 157.)

Pembelajaran sepanjang hayat

Menuntut ilmu dengan ikhlas adalah suatu ibadah yang disukai oleh Allah. Alangkah ruginya jika kita hanya mampu menuntut ilmu di kala tua setelah bersara, tetapi tidak memanfaatkan usia muda ketika masih bertenaga dan tajam minda. Sedangkan sepanjang hidup ini, kita memerlukan panduan agama untuk memimpin diri.
Jangan sampai rasa tersindir dan terguris rasa apabila ada orang terkejut yang kita tidak tahu perkara asas dalam Islam. Jangan sampai rasa malu apabila anak sendiri yang menerangkan kesalahan kita dalam beragama. Belajarlah tentang agama sepanjang hayat kita.
Dengan mempelajari agama, kita akan dianugerahkan kefahaman dalam agama. Kefahaman itu menjadi tiket untuk kita mendapat kebaikan daripada Allah. Bayangkanlah jika sepanjang hidup, kita sentiasa dilimpahi dengan kebaikan dan rahmat Allah. Rasulullah memaklumkan kepada kita:

من يُرِدْ الله بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ في الدِّينِ

“Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan pada dirinya, pasti Allah menganugerahinya pemahaman dalam agama.” (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 1, hlm. 39, no. hadith: 71.)

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

FacebookTwitterGoogle+Share

3 Comments

  1. Terima kasih..^_^ ilmu yang sangat bermanfaat
    cari ilmu disini

  2. Terima kasih ustaz..

  3. Assalamualaikum,
    Alhamdulilah..artikel yang menyuntik hati. Terima kasih atas perkongsian ini, ustaz.

Leave a Reply