Pages Menu
Categories Menu

Posted by on Mar 27, 2011 in Manhaj | 12 comments

Nama: Identiti Dunia Akhirat

Nama: Identiti Dunia Akhirat

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Teksi dipandu laju membelah kawasan perumahan di pinggir Makkah. Ahmad, seorang anak muda yang baru kami kenali di al-Haram, hendak membawa kami menziarahi seorang tokoh alim di Makkah. Teksi menjadi tempat kami bertaaruf lebih lanjut. Ahmad yang berasal dari Tunisia, membawa isteri dan anak perempuannya yang baru lahir tinggal di Makkah untuk seketika bagi membolehkan dirinya menuntut ilmu yang bertaburan di dalam Masjidil Haram. Spontan saya bertanya tentang nama anaknya. Ahmad memberitahu dan bagi saya nama itu jarang didengar. Lalu saya bertanya, apakah maksud nama tersebut? Ahmad kehairanan dan bertanya mengapa saya bertanya sedemikian? Saya terdiam. Orang Arab ada koleksi nama yang berfungsi sebagai nama dan tiada maksudnya, kata Ahmad.

Berbeza pula dengan kita. Nama dan maksud begitu signifikan dalam masyarakat Melayu. Sudah menjadi budaya dalam masyarakat Melayu Islam untuk menamakan anak dengan bahasa Arab yang membawa maksud yang baik-baik. Walaupun budaya itu sudah agak pudar dek kekreatifan ibu bapa moden, namun nama Muslim di Malaysia jauh berbeza dengan Muslim di Indonesia, walaupun serumpun dan seagama. Lebih menarik, buku-buku ‘nama untuk anak’ banyak terjual dan kandungannya menyenaraikan kalimah Arab yang dikatakan sesuai untuk dijadikan nama, walhal nama tersebut sebahagiannya tidak pernah digunakan oleh masyarakat Arab sebagai nama.

Lebih menarik, saya pernah ditanya oleh seseorang sama ada nama saya ini diambil daripada nama Allah ataupun tidak. Dia menerangkan, sekiranya datang daripada nama Allah, ayah saya sepatutnya perlu meletakkan Abdul di hadapan Al-Adib. Masya Allah, beruntunglah orang yang menghafal nama-nama Allah yang mulia, maka tidak perlulah dia bertanya sedemikian. Selain itu, saya pernah menyaksikan seorang ustaz menegur seorang remaja yang bernama Muzani kerana dia berpendapat bahawa nama itu bermaksud ‘penzina’. Barangkali ustaz itu tidak tahu bahawa al-Muzani adalah nama salah seorang ulama dalam mazhab Shafie. Lebih unik, masyarakat Melayu juga mengambil nama-nama tempat asal yang disandarkan pada nama ulama sebagai nama mereka, seperti al-Bukhari yang merujuk kepada bandar Bukhara di Uzbekistan. Subhanallah, semuanya ini adalah dalam rangka untuk memberikan nama yang terbaik kepada anak yang baru dilahirkan.

Tujuan Nama

Islam memandang mulia pada nama seseorang dan menjadikannya sebagai hak bagi setiap Muslim. Nama sangat signifikan kerana ia adalah pengenalan diri serta berkaitan dengan sabitan keturunan, nilai kehormatan dan maruah. Bermula dari penciptaan manusia, Allah telah menamakan bapa manusia yang pertama dengan nama ‘Adam’. Allah berfirman:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً …

Maksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”… (Surah al-Baqarah: ayat 30)

Dan nama ciptaan pertama itu diketahui melalui ayat berikutnya:

وَعَلَّمَ آدَمَ الأسْمَاءَ كُلَّهَا

Maksud: Dan Dia telah mengajarkan Adam, akan segala nama benda-benda… (Surah al-Baqarah: ayat 31)

Semenjak itu, setiap manusia yang lahir di dunia ini diberi nama, sebagai pengenalan bagi dirinya dan sebagai pemeliharaan rantaian nasab atau keturunan. Ibn Qayyim menyatakan bahawa: “sesungguhnya penamaan itu bertujuan untuk mengenali sesuatu dengan namanya. Ini kerana jika sesuatu itu tidak diketahui namanya maka tidaklah dapat dikenal pasti identitinya.” (Muhammad bin Abi Bakr Ayub al-Zarci, Tuhfah al-Maulud, Maktabah Dar al-Bayan, Dimasyq, 1971, jil. 1, hlm. 111)

Sehubungan itu, Islam menganjurkan nama yang baik untuk diberikan kepada seseorang kerana nama itu akan dipanggil oleh Allah pada hari akhirat sebagai pengenalan diri. Dari Abu Darda’ bahawa Rasulullah bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksud: Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama bapa kamu. Maka perbaikilah nama-nama kamu. (Abu Daud, Sulaiman bin al-Ash’at, 1388H, Sunan Abi Daud, Dar al-Kutub al-Ilmiyah, hadith No. 4948.)

Hadith di atas menjadi hujah bahawa semua manusia pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama mereka dan nama bapa mereka, bukannya dengan nama ibu. Hadith yang menyatakan bahawa seseorang itu dipanggil dengan nama ibunya adalah hadith yang lemah yang tidak boleh dijadikan hujah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Qayyim. (Muhammad Shams al-Haq al-Azhim Aabadi, Auni al-Macbud, Dar al-Kitab al-Ilmiyyah, Beirut, 1995, cetakan kedua, jil. 13, hlm. 199.) Seruan Rasulullah agar kita memperelokkan nama menggambarkan bahawa nama begitu penting di dunia dan akhirat.

Kreativiti Muslim Moden

Nama-nama yang dianjurkan dan disunnahkan adalah seperti Abdullah, Abdul Rahman dan nama para Nabi. Ini diterangkan dalam beberapa hadith yang sahih seperti daripada Abi Wahab bahawa Rasulullah bersabda:

وَأَحَبُّ الأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ

Maksud: …dan nama yang paling dicintai oleh Allah ialah Abdullah dan Abd al-Rahman. (Abu Daud, Sulaiman bin al-Ash’at, 1388H, Sunan Abi Daud, Dar al-Kutub al-Ilmiyah, hadith No. 4950.)

Juga autoriti daripada Abu al-Jasmi bahawa Rasulullah bersabda:

تَسَمَّوْا بِأَسْمَاءِ الأَنْبِيَاءِ

Maksud: Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi… (Abu Daud, Sulaiman bin al-Ash’at, 1388H, Sunan Abi Daud, Dar al-Kutub al-Ilmiyah, hadith No. 4950.)

Daripada Jabir bin Abdullah al-Ansari menyatakan:

…سَمُّوا بِاسْمِي ولا تَكَنَّوْا بِكُنْيَتِي  …

Maksud: …namakan dengan namaku, dan jangan engkau menggelar dirimu dengan gelaranku. (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari, Dar Ibn Kathir al-Yamamah, Beirut, 1987, cetakan ketiga, jil. 3, hlm. 1134, No. hadith: 2947.)

Namun, anjuran ini tidak lagi mendapat sambutan dalam masyarakat Melayu hari ini. Suatu ketika dahulu sewaktu era kebangkitan Islam melanda tanahair, nama-nama ini begitu popular, malahan nama para sahabat dan sahabiah turut diberikan kepada anak-anak. Berbeza pula pada hari ini kerana ramai ibu bapa yang kreatif dalam menamakan anak mereka sehingga ada yang mempunyai tiga kalimah nama. Saya sering mengunjungi wad pediatrik di sebuah hospital dan menjadi kegemaran saya untuk membaca nama-nama anak kelahiran pasca millenium di papan kenyataan wad. Jarang sekali untuk menemui nama-nama anak masa kini yang menepati kegemaran Allah dan Rasul-Nya. Malahan, saya pernah menemui nama yang jika diterjemahkan daripada Bahasa Arab membawa maksud tidak elok.

Nama-nama yang bermasalah pada maksudnya akan memberikan kesan pada diri anak tersebut. Ibn Qayyim menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu diberikan nama yang buruk dan bermaksud tidak baik, maka dia akan berkelakuan buruk juga kerana orang memanggilnya. (Muhammad bin Abi Bakr Ayub al-Zarci, Tuhfat al-Maudud bi Ahkam al-Maulud, Damsyiq: Maktabah Dar al-Bayan, 1971, hlm. 146.) Justeru, penukaran nama adalah pilihan yang terbaik. Selain itu, Ibn Qayyim dalam Zad al-Macad menambah, “memandangkan nama mempunyai maksud, makna tersebut akan memberi kesan kepada orang yang membawa nama itu. Nama akan mempunyai kesan pada benda yang dinamakan, sama ada cantik atau buruk, ringan atau berat, sopan atau sombong.”

Selanjutnya, bagi masyarakat bukan Arab, tidak semestinya memberikan nama seseorang dalam bahasa Arab. Prinsip Islam dalam menamakan seseorang ialah selagi maksud itu baik dalam apa bahasa sekalipun dan bersesuaian dengan persekitaran masyarakatnya dan tidak menjejaskan akidah, maka nama itu diterima. Masyarakat Turki dan China Muslim mempunyai nama yang berasaskan bahasa mereka. Selagi maksudnya baik dan difahami oleh masyarakat sekelilingnya, maka tiada keperluan untuk menukar nama. al-Mawardi dalam bukunya Nasihat al-Muluk menjelaskan: “Nama yang diberikan mestilah nama yang baik dan sesuai dengan latar belakang anak itu, iaitu hendaklah mengikut nama orang pada latar belakangnya, agamanya dan kedudukannya.”  Jika diteliti, para Nabi dan Rasul yang berbangsa bukan Arab menggunakan nama yang bukan daripada bahasa Arab tetapi nama dalam bahasa asal mereka. Sementelahan, hanya dua Nabi sahaja yang dinisbahkan kepada bangsa Arab, iaitu Ismail dan Muhammad. Kemudiannya, al-Quran memasukkan nama para Nabi bukan Arab itu sebagai entri dalam bahasa Arab. Cuma masih sudikah masyarakat Melayu menggunakan nama klasik Melayu (mungkin seperti Kuntum dan Aduka) pada hari ini?

Penukaran Nama

Para ulama mengharuskan kita menukar nama secara umumnya, dan menghukumkan ia adalah sunat jika hendak memperelokkan nama tersebut. Rasulullah s.a.w. menyeru umatnya agar memperelokkan nama dengan nama yang indah, baik dan bagus maksudnya sebagaimana dinyatakan dalam hadith sebelum ini. Ini kerana nama yang buruk akan merendahkan kehormatan dan maruah anak itu, terutamanya apabila dia meningkat dewasa. Nama yang buruk akan menjadi bahan ejekan, hinaan dan cercaan sehingga boleh memberi kesan psikologi pada diri anak tersebut.

Terdapat beberapa autoriti daripada Nabi  berkenaan penukaran nama yang tidak baik kepada yang lebih baik. Antaranya, Nabi pernah menukarkan nama anak perempuan Umar al-Khattab daripada cAashiyyah yang bermaksud ‘penderhaka’ kepada nama yang lebih baik iaitu Jamilah. Daripada Ibn Umar menyatakan:

أَنَّ ابْنَةً لِعُمَرَ كَانَتْ يُقَالُ لَهَا عَاصِيَةُ فَسَمَّاهَا رَسُولُ اللَّهِ جَمِيلَةَ.

Maksud: Sesungguhnya anak perempuan Umar bernama cAshiyyah, maka Rasulullah menamakannya Jamilah. (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, Bab Istihbab Tughayyir al-Ismi, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil 3, hlm. 1686.)

Selain itu, nas-nas lain turut menjelaskan bahawa Rasulullah menggalakkan penukaran nama kepada yang lebih baik. Daripada Ibn Musayyib menceritakan:

أَنَّ أَبَاهُ جَاءَ إِلَى النَّبِىِّ فَقَال: مَا اسْمُكَ . قَالَ حَزْنٌ . قَالَ: أَنْتَ سَهْلٌ. قَالَ: لاَ أُغَيِّرُ اسْمًا سَمَّانِيهِ أَبِى. قَالَ ابْنُ الْمُسَيَّبِ: فَمَا زَالَتِ الْحُزُونَةُ فِينَا بَعْدُ

Maksud: Sesungguhnya ayahnya telah mendatangi nabi Muhammad dan Nabi bertanya: “Siapa nama kamu?” Bapanya menjawab; “Hazn (bermaksud sedih). Nabi bersabda: “Kamu Sahal (bermaksud mudah).Bapa Ibn Musayyib berkata: Aku tidak akan menukar nama yang bapaku berikan kepadaku. Ibn Musayyib berkata: Dan sentiasalah kesedihan itu sentiasa bersama kami selepas itu. (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail, 1987, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Beirut: Dar Ibn al-Kathir, Jil. 5, hlm. 2288, No. hadith 5836.)

Daripada hadith di atas, Ibn Batthal berpendapat bahawa perintah menukar nama yang tidak baik yang dibuat oleh Nabi bukanlah bersifat wajib. Tetapi hukum mempunyai nama yang tidak baik sekadar makruh sahaja. Ini kerana jika ia adalah suatu kewajipan, sudah pasti Nabi Muhammad tidak membenarkan datuk Said bin Musayyib kekal dengan nama ‘Hazn’. Selain itu, hadith di atas menggambarkan bahawa nama akan memberi kesan yang besar dalam hidup seseorang. (Ibn Batthal, t.t., Syarah al-Bukhari li Ibn Batthal, CDROM Maktabah Syamilah, Jil. 17, hlm. 431.) Kesusahan dan kesdihan telah melingkari kehidupan mereka. Benarlah jika dikatakan nama itu umpama doa kepada empunya diri.

Dalam autoriti yang lain:

أُتِىَ بِالْمُنْذِرِ بْنِ أَبِى أُسَيْدٍ إِلَى النَّبِى  حِينَ وُلِدَ، فَوَضَعَهُ عَلَى فَخِذِهِ، وَأَبُو أُسَيْدٍ جَالِسٌ، فَلَهَا النَّبِى عليه السلام بِشَىْءٍ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَأَمَرَ أَبُو أُسَيْدٍ بِابْنِهِ، فَاحْتُمِلَ مِنْ فَخِذِ النَّبِى، فَاسْتَفَاقَ النَّبِى، فَقَالَ:  « أَيْنَ الصَّبِىُّ » ؟ فَقَالَ أَبُو أُسَيْدٍ: قَلَبْنَاهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ:  « مَا اسْمُهُ » ؟ قَالَ: فُلانٌ، قَالَ:  « لَكِنْ أَسْمِهِ الْمُنْذِرَ » ، فَسَمَّاهُ يَوْمَئِذٍ الْمُنْذِرَ.

Maksud: al-Munzir bin Abi Usaid telah dibawa kepada Nabi ketika dia dilahirkan. Rasulullah meletakkannya di atas pehanya, dan Abu Usaid kemudiannya duduk. Maka, Rasulullah sedang leka dengan sesuatu urusan yang berada di hadapannya. Maka Rasulullah memerintahkan Abu Usaid untuk mengambil anaknya, lalu diambil anak tersebut daripada peha Rasulullah. Tiba-tiba Rasulullah tersedar, dan bertanya: “Mana anak itu?” Maka berkata Abu Usaid; “Kami telah bawa pulang, wahai Nabi.” Nabi bertanya: “Apa namanya?” Dia berkata: “Fulan (menyebut nama asalnya).” Nabi bersabda: “Tetapi, namakannya al-Munzir.” Maka, selepas itu dia dinamakan sebagai al-Munzir. (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail, 1989, Adab al-Mufrad, Beirut: Dar al-Bashair al-Islamiyah, hlm. 284, Hadith No. 816.)

Bukan sekadar nama yang buruk digalakkan untuk diubah, tetapi nama yang terlalu berlebihan juga digalakkan untuk diubah. Daripada Abu Hurairah melaporkan:

أَنَّ زَيْنَبَ كَانَ اسْمُهَا بَرَّةَ، فَقِيلَ: تُزَكِّى نَفْسَهَا، فَسَمَّاهَا رَسُولُ اللَّهِ عليه السلام زَيْنَبَ.

Maksud: Sesungguhnya Zainab (isteri Nabi) asalnya bernama Barrah (orang yang suka membuat kebajikan). Dikatakan oleh orang ramai: Perempuan itu telah memuji dirinya sendiri. Maka Nabi menamakannya Zainab.(al-Bukhari, Muhammad bin Ismail, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Beirut: Dar Ibn al-Kathir, 1987, Jil. 5, hlm. 2289, No. hadith 5839.)

Nama Barrah itu menggambarkan diri Zainab sebagai seorang yang suka berbuat kebajikan, sehingga orang ramai mengatakan dia memuji dirinya sendiri menerusi nama tersebut. Ibn Batthal mengatakan bahawa Rasulullah suka menukarkan nama yang buruk kepada nama yang baik dengan memberi gambaran dan maksud yang baik. Rasulullah telah mengubah beberapa nama yang buruk kecuali nama Barrah kepada Zainab kerana ia bukanlah nama yang buruk. Seterusnya, al-Tabari mengatakan bahawa tidak wajar bagi seseorang untuk mempunyai nama yang mempunyai maksud yang buruk ataupun yang mempunyai maksud pujian atau yang bermaksud celaan. (Ibn Batthal, Syarah al-Bukhari li Ibn Batthal, CDROM Maktabah Syamilah, Jil. 17, hlm. 433.)

Pepatah yang benar

Pepatah Melayu mengatakan bahawa harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Nama yang baik akan mudah diingati oleh sesiapa pun, sama ada semasa hidup ataupun setelah seseorang itu meninggal dunia. Malahan, nama itu juga yang akan dipanggil oleh Allah di akhirat nanti.

Jika nama sudah sedemikian baik diberikan, mengapa perlu diganti dengan nama timangan dan panggilan yang tidak menggambarkan maksud sebenar?

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

FacebookTwitterGoogle+Share

12 Comments

  1. betul tu Dib, prang selalu bertanyakan maksud nama anak saya, saya kata tiada maksud sebab nama tersebut merujuk kepada tokoh2 dan nama arab..

  2. erm cm na nk tkr nme???
    prlu ke angkt smpah d mhkmah??

    • Sila hubungi Jabatan Pendaftaran Negara

  3. sgt setuju..adib boleh share x artikel adib ni..kadang2 sy kekurangan idea utk membantu org lain jika ditanyakan ttg hal ini..

  4. mohon share ye. =)

  5. anak saya panggil suami saya dgan panggilan abi blh ker? pe hukumnya

  6. saya dah cari tapi nama saya x de maksud

  7. macam mana dgn nama yg tiada maksud? apa ertinya..?
    mhon pnjelasan.. sya insan yg jhil.. boleh reply di blog ana (^^,)

  8. kenapa semuanya hujah dari hadith? mana hujah dari Al-Quran?

    Apakah malaikat akan memanggil nama penuh kita nanti di akhirat?

Leave a Reply