Pages Menu
Categories Menu

Posted by on Feb 23, 2011 in Pelembut Hati | 0 comments

Antara Penjara Dunia dan Neraka Allah

Antara Penjara Dunia dan Neraka Allah

Penjara. Tiada apa-apa yang indah dan menarik tentang tempat ini. Tiada sesiapa seberani Nabi Yusuf untuk mengatakan bahawa penjara lebih dicintai daripada nikmat dunia yang lain. Nabi Yusuf memilih untuk dipenjarakan berbanding melayan kehendak nafsu isteri al-Aziz.

Di mana-mana belahan dunia pun, penjara dipagari dengan pelbagai stigma negatif daripada masyarakat. Walaupun majoriti manusia tidak pernah merasai keperitan hukuman ‘bersunyian’ dalam penjara, namun semua mengakui bahawa penjara adalah tempat paling azab di dunia ini. Untuk memastikan penghuninya tidak lari daripada azab tersebut, penjara telah dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan. Kamera pengawasan di pelbagai sudut, jeriji berkunci yang beragam dan berlapis, pengimbas yang menapis sebarang barang larangan dan juga kawat duri dan pagar yang semakin berevolusi mengikut kepandaian para banduan.

Setiap kali saya menjalankan tugasan dakwah di penjara, saya akan berbisik pada diri. Betapa berharganya nikmat kebebasan. Juga membisikkan permohonan kepada Allah agar tidak diuji untuk melalui tempat-tempat sebegitu dengan sebab kesalahan dosa dan jenayah. Saya yakin bisikan yang sama akan ada pada jiwa setiap manusia, sekurang-kurangnya apabila melalui pintu pagar kompleks penjara. Manusia pada fitrahnya tidak suka akan tempat hukuman. Bagaikan sudah diprogramkan dalam fikiran, kita pun sentiasa berjaga-jaga agar tidak melakukan sebarang kesalahan yang boleh menyebabkan kita terhumban ke dalamnya.

Kita mungkin hanya mampu untuk mengelakkan diri daripada menerima hukuman penjara di dunia. Namun, adakah kita telah sedaya upaya untuk mengelakkan diri daripada menjalani hukuman di penjara akhirat? Adakah kita dapat menjamin diri kita terselamat daripada api neraka?

Sehubungan itu, untuk menyelamatkan diri daripada neraka Allah, kita perlu meningkatkan rasa takut kepada Allah. Untuk menanam rasa takut kepada Allah, kita perlu banyak merenung dan berfikir tentang hukuman yang disediakan oleh Allah kepada orang yang mengingkari perintah-Nya. Maka, mengenali sifat, ciri dan keadaan neraka akan menyuburkan lagi rasa takut kepada Allah.

Stigma Terhadap Neraka

Sewaktu saya bertugas di Fitrah Perkasa, sebuah syarikat perunding korporat, saya mendapat maklumat bahawa pihak jabatan sumber manusia syarikat-syarikat di negara ini tidak berminat sekiranya modul pembangunan diri staffnya dimomokkan dengan kematian dan kedahsyatan azab neraka. Bagi mereka, itu cara pesimis yang memandulkan produktiviti pekerja dan syarikat. Nampaknya, bukan sekadar penjara dunia dipenuhi dengan stigma masyarakat, namun neraka Allah turut sering dipandang negatif, walaupun daripada perspektif berbeza.

Pandangan ini merebak menjadi barah dalam masyarakat sebagai satu gambaran jelas betapa jauhnya mereka memahami cara beragama yang tepat. Sedangkan Allah telah menurunkan al-Quran yang penuh dengan berita gembira (tabsyir) dan juga berita yang menakutkan sebagai peringatan kepada manusia (tanzir). Menceritakan perihal neraka adalah suatu peringatan daripada Allah agar manusia terus bertanggungjawab dalam kehidupan di dunia. Tanzir ini bukannya suis untuk mematikan selera manusia untuk hidup meningkatkan mutu kerja. Tanzir juga bukan ubat kuat untuk seseorang pergi mengasingkan diri daripada manusia dan beribadah sepanjang hari untuk mencuci dosa. Tanzir tentang neraka adalah peringatan daripada Allah buat hati kita yang sentiasa lalai dan lupa. Allah mengingatkan:

وَمَا هِيَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْبَشَرِ

Maksud: Dan neraka itu tidak lain cuma peringatan bagi manusia. (Surah al-Mudatthir: ayat 31)

Mengenali Neraka Untuk Takut Akan Allah

al-Quran memperincikan kepada kita tentang sifat, keadaan dan ciri neraka Allah.  Perkhabaran yang disampaikan sendiri oleh Allah sebagai penciptanya. Perinciannya bukan untuk manusia berimaginasi tanpa tujuan, tetapi bagi mencetuskan rasa takut kepada keadaan neraka yang dicipta Allah bagi mereka yang mengingkari-Nya.

Berikut adalah gambaran neraka Allah, suatu tempat yang tiada penjara dunia setaraf dengannya:

i. Pintu neraka Allah dikawal malaikat.

Pengawal di penjara dunia yang tidak berintegriti berkemungkinan boleh dirasuah untuk menyeludup barangan atau menyampaikan maklumat kepada rakan penjenayah di luar. Tetapi, neraka Allah dijaga oleh para malaikat yang sangat patuh dan takut akan Allah. Mereka tidak akan memberi sekelumit pun belas kasihan kepada manusia yang diazab. Malahan, para malaikat ini akan menempelak manusia dan mengingatkan kepada dosa keingkaran mereka. Allah berfirman:

وَسِيقَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ زُمَرًا ۖ حَتَّىٰ إِذَا جَاءُوهَا فُتِحَتْ أَبْوَابُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَتْلُونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِ رَبِّكُمْ وَيُنْذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا ۚ قَالُوا بَلَىٰ وَلَٰكِنْ حَقَّتْ كَلِمَةُ الْعَذَابِ عَلَى الْكَافِرِينَ

Maksud: Dan orang kafir akan dihalau ke neraka Jahanam dengan berpasuk-pasuk, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaganya kepada mereka: “Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalanganmu, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkanmu akan pertemuan hari ini?” Mereka menjawab: “Ya, benar!” Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orang yang kafir. (Surah al-Zumar: ayat 71)

ii. Pengawal neraka Allah hanya berjumlah 19 malaikat sahaja.

Unik bukan? Penjara dunia menggaji ribuan warder atau pengawal untuk mendisiplinkan dan menjaga para banduan dalam sesebuah kompleks penjara memandangkan mereka bekerja secara syif. Malahan, di Amerika Syarikat, institusi penjara terpaksa diswastakan bagi memastikan urusan pentadbiran sistem keadilan jenayah dijalankan dengan lebih efektif dan baik. Namun, Allah hanya menyediakan 19 malaikat untuk menjaga neraka. Maha suci Allah! Dengan kebesaran Allah, tiada sesiapa boleh melarikan diri daripada seksaan dalam neraka akhirat. Allah berfirman:

وَمَا أَدْرَاكَ مَا سَقَرُ [٢٧] لَا تُبْقِي وَلَا تَذَرُ [٢٨] لَوَّاحَةٌ لِلْبَشَرِ [٢٩] عَلَيْهَا تِسْعَةَ عَشَرَ [٣٠]

Maksud: Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu? Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus). Ia terus-menerus membakar kulit manusia! Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat). (Surah al-Mudatthir: ayat 27-30)

Mengapa Allah menjadikan penjaga neraka hanya sebanyak itu? Apabila ayat ini turun, sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya, Abu Jahal telah menyatakan, “Wahai sekalian kaum Quraisy, tidak mampukah setiap sepuluh orang di antara kalian melawan satu malaikat dan mengalahkannya?” Kesombongan orang kafir menganggap bahawa para penjaga neraka Allah boleh dikalahkan. Berikutan itu, Allah menjawab dengan panjang:

وَمَا جَعَلْنَا أَصْحَابَ النَّارِ إِلَّا مَلَائِكَةً وَمَا جَعَلْنَا عِدَّتَهُمْ إِلَّا فِتْنَةً لِلَّذِينَ كَفَرُوا لِيَسْتَيْقِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ وَيَزْدَادَ الَّذِينَ آمَنُوا إِيمَانًا وَلَا يَرْتَابَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ وَالْمُؤْمِنُونَ وَلِيَقُولَ الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ وَالْكَافِرُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَٰذَا مَثَلًا كَذَٰلِكَ يُضِلُّ اللَّهُ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَمَا يَعْلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَ وَمَا هِيَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْبَشَرِ

Maksud: Dan Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal Neraka itu melainkan malaikat; dan Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan sebagai cubaan bagi orang kafir, supaya orang yang diberi Kitab boleh percaya dengan yakin, dan supaya orang yang beriman bertambah imannya; dan supaya orang yang diberi Kitab dan orang yang beriman itu tidak ragu-ragu; dan supaya orang yang ada penyakit dalam hatinya dan orang kafir berkata: Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini? Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya dan tiada yang tahu tentera Tuhanmu melainkan Dia. Dan neraka itu tidak lain cuma peringatan bagi manusia. (Surah al-Mudatthir: ayat 31)

Jumlah yang sedikit adalah untuk menguji akal manusia yang selalunya berfikiran logik.  Tiada manusia yang akan berani melawan atau mengalahkan mereka.

iii.  Neraka Allah membelenggu dan merantai penghuninya.

Para banduan di dunia masih lagi dilayan dengan cara kemanusiaan. Hak asasi mereka dijaga malah diperjuangkan oleh sesetengah pihak. Bagaimana besar dan berat kesalahan yang mereka lakukan, para banduan ini tidak akan dibelenggu sepanjang hari melainkan sewaktu pergerakan berlaku. Sebahagian penjara dunia membuat pelbagai jenis gari dan belenggu bergantung kepada keseriusan hukuman. Semua atas suatu tujuan iaitu untuk memastikan para banduan itu tidak melarikan diri. Namun, Allah menyediakan belenggu dan rantai yang khusus untuk para penghuni neraka-Nya. Bukan kerana mereka berpotensi untuk melarikan diri jika tidak dirantai, tetapi sebagai tanda penghinaan Allah kepada mereka. Allah berfirman:

إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ سَلَاسِلَ وَأَغْلَالًا وَسَعِيرًا

Maksud: Sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur beberapa rantai dan belenggu serta Neraka yang menjulang-julang. (Surah al-Insan: ayat 4)

Belenggu yang menghinakan ini diletakkan di leher orang-orang yang tidak beriman dan mereka akan diseret ke dalam neraka. Di dunia ini, menyeret penjenayah memasuki penjara dunia bukan suatu kerja yang mudah jika tidak digari. Pada hari akhirat Allah memerintahkan para malaikat untuk menyeret orang yang tidak beriman dan para pendosa. Mereka tidak lagi boleh melarikan diri sedangkan hati mereka dalam ketakutan kerana hendak dimasukkan ke dalam neraka. Allah berfirman:

إِذِ الْأَغْلَالُ فِي أَعْنَاقِهِمْ وَالسَّلَاسِلُ يُسْحَبُونَ

Maksud: Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka diseret. (Surah al-Ghafir: ayat 71)

Selanjutnya, dalam al-Quran menceritakan bahawa para penghuni neraka akan dibelit dengan rantai yang panjangnya 70 hasta. Allah berfirman:

خُذُوهُ فَغُلُّوهُ [٣٠] ثُمَّ الْجَحِيمَ صَلُّوهُ [٣١] ثُمَّ فِي سِلْسِلَةٍ ذَرْعُهَا سَبْعُونَ ذِرَاعًا فَاسْلُكُوهُ [٣٢]

Maksud: Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia. Kemudian bakarlah dia di dalam neraka. Selain dari itu, belitkanlah dia dengan rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta (dengan membelitkannya ke badannya). (Surah al-Haaqqah: ayat 30-32)

Tidakkah para penghuni neraka berkeinginan untuk merancang melarikan diri? Dengan seksaan yang tidak terperi itu, sudah pasti ada yang mahu melarikan diri. al-Quran merakamkan bagaimana para malaikat akan bertindak menghancurkan harapan mereka untuk keluar daripada penjara neraka. Allah berfirman:

وَلَهُمْ مَقَامِعُ مِنْ حَدِيدٍ [٢١] كُلَّمَا أَرَادُوا أَنْ يَخْرُجُوا مِنْهَا مِنْ غَمٍّ أُعِيدُوا فِيهَا وَذُوقُوا عَذَابَ الْحَرِيقِ [٢٢]

Maksud: Yang dengannya pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka. Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: “Rasalah kamu azab yang membakar!” (Surah al-Haj: ayat 21-22)

Pemukul besi akan membantai mereka, menghalang mereka daripada cuba melarikan diri dari tempat yang tidak boleh ke mana-mana. Tiada cubaan prison break yang berjaya di sana. Akal kreatif manusia dan jin telah mati.

Penjara Allah lebih mencegah

Neraka Allah benar-benar menakutkan. Memberi ketakutan kepada penghuni dunia yang memikirkannya. Memberi ketakutan juga kepada para penghuni neraka dunia yang mungkin turut mengalami ‘tahanan penjara’ semula di neraka akhirat.

Persoalan selanjutnya, sejauhmanakah penjara dunia mencegah para pesalah dan orang lain? Sejauhmana penjara menakutkan orang ramai agar menjauhi segala bentuk jenayah? Pelbagai kajian telah meneroka persoalan ini memandangkan kadar jenayah semakin meningkat dan penjara semakin sesak. Hakikatnya, manusia sudah tidak lagi takut dengan hukuman penjara dunia. Selayaknya mereka dihukum dengan hukuman Allah di dunia bergantung kepada kesalahan yang dilakukan, tetapi hukuman Allah tidak dikuatkuasakan.

Ketakutan bukan sentiasa ada di hati manusia yang pernah merasai hukuman penjara dunia. Kajian mendapati kebanyakan pesalah jenayah hanya akan merasa gemuruh dan takut ketika hukuman penjara dibacakan oleh hakim ke atasnya dalam kamar mahkamah. Ini kerana mereka tidak tahu bagaimana kepedihan dan keperitan di dalam penjara. Setelah sekian banyak persepsi tentang kekerasan penjara dibius ke dalam mindanya, para pesalah dibawa ke pintu sel dengan segala macam rasa ketakutan. Semua banduan tidak menafikan perasaan ini. Takut untuk menjalani hukuman. Namun, setelah bertahun-tahun menikmati kemudahan dalam penjara, dibekalkan makanan pula, mendapat pendidikan dan juga waktu luang yang banyak (tidak perlu gigih bekerja untuk mencari makan), maka ramai banduan mula hilang rasa takutnya. Persepsinya terhadap penjara telah berubah. Kekerasan hukuman penjara tidak dirasa lagi bagi banduan yang telah lama mendiaminya. Malahan, mereka menjadi ‘mentor’ kepada banduan baharu yang masih janggal menyesuaikan diri. Lebih parah, kesan pencegahan yang diharapkan daripada hukuman penjara dunia ini tidak mampu menghalang para banduan ini untuk melakukan lagi jenayah setelah dibebaskan. Ini kerana mereka sudah tahu bagaimana kehidupan dalam penjara yang sebenarnya.

Namun, situasi yang sama tidak akan berlaku pada neraka Allah di akhirat. Walaupun  neraka tidak kelihatan di mata orang beriman, ancaman neraka tetap boleh mencegah mereka daripada melakukan sebarang kemungkaran. Orang beriman akan berhati-hati dalam kehidupannya kerana sentiasa memikirkan tentang nasibnya pada hari akhirat. Hidupnya akan teratur, penuh tanggungjawab dan dipenuhi dengan bakti.

Penjara dunia yang sophistikated tidak mampu sepenuhnya mencegah para penjenayah. Penjara akhirat, dengan hanya nilai iman, mampu mencegah jiwa-jiwa yang takut akan Allah daripada melakukan jenayah.

FacebookTwitterGoogle+Share

Leave a Reply