Doakanlah Kebaikan Untuk Anakmu
Kali pertama berprogram dengan pesalah kanak-kanak dan muda di penjara, saya teruja untuk terus menjalankan aktiviti tarbiah di sana. Mereka adalah mad’u yang benar-benar memerlukan panduan sebagai pengisian pada ‘kehidupan emas’ mereka di sana. Seawal usia sebegitu, mereka sudah berada di tempat yang dicintai oleh Nabi Yusuf a.s. demi mengelakkan perbuatan dosa. Sebaliknya, keberadaan mereka di sana berpunca dari dosa dan kesalahan yang dilakukan.
Di penjara kanak-kanak, modul yang saya jalankan berasaskan kepada Surah Yusuf. Ia adalah surah yang sesuai untuk kanak-kanak mengambil pelajaran atau ibrah darinya. Sementelahan pula, orang Melayu lebih segar mendengar ‘kuliah cerita’ daripada kuliah ilmiah. Sehubungan itu, kisah Nabi Yusuf yang diceritakan dalam al-Quran, saya kisahkan mengikut episodnya dan membicarakan pengajaran yang tersirat di sebaliknya. Peliknya, anak-anak muda itu segar sekali mengikutinya sehingga hati saya berbisik, “kalaulah mereka sebaik ini di luar dahulu…”
Apabila membincangkan dialog antara Nabi Yusuf dan ayahnya, Nabi Ya’akub, saya menarik perhatian mereka tentang panggilan si anak kepada si bapa dengan kalimah, ‘wahai ayah’. Nabi Yusuf memulakan dialognya dengan kalimah, “Wahai ayahku,” dalam ayat berikut:
إِذْ قَالَ يُوسُفُ لأبِيهِ يَا أَبَتِ إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِي سَاجِدِينَ
Maksud: (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; Aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku.” (Surah Yusuf: 4)
“Wahai ayah, wahai ibu!”
“Seorang anak yang bermasalah, akan meninggalkan gelaran ‘ibu’ atau ‘ayah’ apabila mereka bercakap dengan orang tua mereka.” Saya memulakan teori. Mata anak-anak muda itu memandang saya tepat. Mungkin mendesak saya memberi contoh kepada kenyataan tersebut.
“Anak yang baik, apabila bercakap dengan ibu bapa, akan memanggil dengan gelaran mereka. Contohnya, ‘Mak, saya sudah lapar.’ Sebaliknya, anak yang bermasalah akan menghilangkan perkataan ‘mak’ itu di dalam dialognya. Dia hanya akan berkata, ‘lapar ni. Kenapa tak masak lagi?’ Itulah perbezaannya.” Saya menjelaskan dengan lebih lanjut.
“Betul itu, Ustaz.” Seorang pesalah menjawab. Kawan-kawannya yang lain mengiyakan beramai-ramai. Mungkin mereka juga sedemikian. Terasa terkena di batang hidung sendiri.
al-Quran yang diturunkan kepada kita menggambarkan beberapa cerita berkenaan hubungan anak dan ibu bapa. Selain kisah Nabi Yusuf dan ayahnya, terdapat juga kisah Luqman dan anaknya, Nabi Ibrahim dengan ayahnya dan juga Nabi Ismail, serta Nabi Nuh dengan anaknya. Daripada semua cerita ini, dapatlah difahami bahawa hubungan yang baik antara ibu bapa dan anak mereka bermula daripada komunikasi. Semua kisah itu memetik dialog terbaik antara watak bapa dengan anak mereka. Uniknya lagi, al-Quran juga merekodkan bahawa mereka akan memanggil dengan gelaran, iaitu ‘wahai ayahku’ dan ‘wahai anakku’. Mesej yang hendak disampaikan ialah komunikasi yang baik dapat dikesan dalam sesebuah keluarga menerusi panggilan sedemikian.
Ahli keluarga yang tidak bercakap, tidak bercerita atau diam tanpa kata adalah tanda keretakan hubungan antara mereka. Nilai hormat dan kasih sudah berkurangan dalam keluarga sedemikian. Jika bersuara, mereka hanya menggunakan perkataan yang perlu untuk menyampaikan sesuatu maksud. Itu tidak termasuk hamburan kata-kata negatif yang termuat ketika marah dan sumpah seranah. Lihat sahajalah produk filem Barat. Anak-anak yang renggang dan bermasalah dengan ibu bapa, akan digambarkan secara jelas meninggalkan gelaran hormat itu ketika bercakap. Mereka hanya memanggil orang tua mereka dengan nama sahaja!
Punca Tidak Berkomunikasi
Tidak lain, pada saya, punca ibu bapa dan anak-anak gagal berkomunikasi dengan baik kerana mereka gagal berkomunikasi dengan Allah. Tuhan pemilik hati-hati itu, hati ibu bapa dan hati anak. Dalam erti kata yang lain, ibu bapa kurang berdoa untuk anak yang pernah mereka kasihi dan begitulah juga anaknya. Malah, bicara harian yang berbaur marah dan kritikan disusuli dengan doa-doa yang menakutkan impaknya. Jika dengan Tuhanpun mereka tidak berkomunikasi, bagaimana pula boleh dengan manusia yang lain.
Jika adapun ibu bapa berdoa, mereka akan mendokan perkara yang tidak baik untuk anak mereka. Agar dapat balasan, getus hati mereka kegeraman!
Dalam alam Melayu, cerita anak derhaka adalah genre wajib tonton dan dengar untuk kanak-kanak. Malahan, jika diperhatikan, cerita seperti Si Tenggang memuatkan adegan ibu menyumpah anaknya yang menyakiti hatinya. Doa ibu bapa digambarkan sangat dimakbulkan Allah sehingga boleh menukar anak menjadi batu. Sememangnya, memang tidak dinafikan bahawa mesej cerita itu untuk mendidik kanak-kanak agar mentaati dan menyayangi ibu bapa mereka. Juga tidak lagi disangkal bahawa doa ibu bapa untuk anak-anak sangat mustajab. Apa yang menjadi perbahasan ialah mendoakan keburukan untuk anak mereka.
Suluhan Islam
Allah menjamin doa para ibu bapa akan dimakbulkan. Justeru, mengapa memilih untuk mendoakan keburukan untuk anak yang begitu sakit ketika dilahirkan? Mengapa tidak memilih untuk berdoa agar anak itu diberi hidayah, berubah sikap dan menjadi anak soleh yang mendoakannya selepas mati?
Justeru, demi untuk keadilan kepada para hambanya, Allah berfirman:
وَلَوْ يُعَجِّلُ اللَّهُ لِلنَّاسِ الشَّرَّ اسْتِعْجَالَهُمْ بِالْخَيْرِ لَقُضِيَ إِلَيْهِمْ أَجَلُهُمْ
Maksud: Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, pasti binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya)… (Surah Yunus: 11)
Ibn Kathir menjelaskan, “Allah mengkhabarkan tentang kemurahan-Nya dan kelembutan-Nya kepada para hamba-Nya. Allah tidak akan mengabulkan doa mereka jika mereka berdoa untuk kesusahan (keburukan) bagi jiwa, harta dan anak mereka sendiri, ketika mereka sedang bosan ataupun marah. Dan sesungguhnya Allah mengetahui bahawa mereka tidak bermaksud untuk itu. Oleh itu Allah tidak mengabulkannya. Keadaan seperti ini adalah kerana kelembutan dan kasih sayang-Nya. Sebagaimana Allah mengabulkan doa mereka sewaktu mereka berdoa untuk diri mereka, harta dan anak mereka, harta dan anak-anak mereka dengan kebaikan, keberkahan dan perkembangan…”
Jelaslah bahawa doa ibu bapa ketika marah tidak akan diambil kira dan tidak diperkenankan oleh Allah. Ini merupakan sebahagian daripada rahmat Allah.
Malahan, baginda Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan umatnya agar tidak mendoakan keburukan kepada anak-anak mereka, selain untuk diri dan harta mereka. Nabi bersabda:
لاَ تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ وَلاَ تَدْعُوا عَلَى أَوْلاَدِكُمْ وَلاَ تَدْعُوا عَلَى أَمْوَالِكُمْ
Maksud: Janganlah kamu mendoakan keburukan untuk diri kamu, janganlah kamu mendoakan keburukan untuk anak kamu, Janganlah kamu mendoakan keburukan untuk harta kamu. (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 4, hlm. 2304, no. hadith: 3009)
Ingatan ini sewajarnya menjadi perhatian para ibu bapa. Sekiranya anak degil dan tingkahlakunya berisiko maka siramilah diri mereka dengan doa yang banyak agar mereka berubah menjadi insan yang soleh. Saya percaya tidak ramai ibu bapa kanak-kanak di penjara berbuat demikian sebelum mereka ditahan.
Dalam hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. juga memberitahu bahawa doa keburukan tidak akan dimakbulkan kalau ia berkaitan dengan dosa ataupun memutuskan hubungan kekeluargaan. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
لاَ يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ
Maksud: Sentiasalah doa seorang hamba itu dikabulkan Allah selagi mana dia tidak berdoa dengan sesuatu yang berkaitan dosa atau memutuskan hubungan kekeluargaan. (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 4, hlm. 2095, no. hadith: 2735)
Maka, para ibu bapa perlulah merebut peluang untuk mendoakan anak mereka dengan pelbagai perkara yang baik-baik. Lihatlah contoh tauladan Nabi Ibrahim yang tidak jemu mendoakan kebaikan untuk keturunannya sebagaimana berikut:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksud: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)
Pesan saya buat anak-anak remaja di balik jeriji, ingatlah redha Allah terletak pada redha ibu bapa. Juga kemurkaan Allah, terletak pada kemarahan ibu bapa. Sebagaimana pesan Nabi Junjungan yang disampaikan oleh Abdullah bin Amru:
رضي الرب في رضى الوالد وسخط الرب في سخط الوالد
Maksud: Redha Allah terletak pada redha ibu bapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemarahan ibu bapa. (Muhammad bin Isa, al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 4, hlm. 310, no. hadith: 1899)
Kepada para ibu bapa dan anak-anak, saling berdoalah dengan nada kebaikan.
Oleh,
MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.















tahniah, ana terharu membaca artikle ini.tulisan dari hati akan jatuh ke hati jua.
sebagai seorang ayah yang punya ramai anak, ana tersentuh sungguh dengan artikle ini.
Semoga Allah merahmati Ustaz sekeluarga dan anak-anak Ustaz itu semua… Kalau ada rezeki, ana hendak juga anak seramai anak ustaz
Tahniah ustaz di atas perkongsian info..kadang-kadang sebagai manusia biasa kita terlupa betapa cantiknya ibrah yang terdapat dalam kalam Allah..
Puan Zainora, menggali rahsia al-Quran berpandukan tafsir para Ulama muktabar akan membuatkan kita sentiasa ingin terus mencari jawapan di atas banyak perkara. Sungguh, al-Quran adalah sumber agama yang relevan setiap masa dan tempat!
salam ustaz…
dalam artikel ustaz.. ada mengatakan bahawa allah tidak akn memakbulkan doa yang tidak elok oleh ibu bapa.. redha allah bergantung kepada redha ibu bapanya…
situasi saya:
jika seorng ibu sering memarahi anak dengan maki hamun, sumpa seranah disebabkan hanya kesilapan yng kecil, sebb tiada duit adakah ketika itu termakbul kata-katanya dan itu tandanya kami tidak mendapat rehda allah???dan adakah itu satu punca penyumbang kepada menjadi anak derhaka sebb saya pernah bergaduh dengan mak sebb dia sering memaki hamun saya dan adik beradik lain hanya kesilapan kecil…
adakah kami sebagai anak tidak perlu dihormati dan tidak perlu dijaga perasaan kami.. wlau buat apa saja pada kami, maki kami, pukul kami…
adakah ibu bapa saja perlu dihormati dan kami sebagai anak tidak perlu dihormati dan adakah kami ini tidak mempunyai apa-apa hak…
adakah kerana Allah mengatakan bahawa “surga dibawah tapak kaki ibu’ dan’ redha allah terletak pada redha ibu bapa” menunjukkan ibu bapa boleh buat sesuka hati pada kami, maki kami…
mugkin soalan ini jarang orng tanya, dan saya nak mengemukakannya:
kenapa dalam ceramah agama tidak pernah menyentuh apakah punca anak menjadi anak derhaka, bagaimana didikan yan perlu diajari oleh ibu bapa kepada anak-anaknya….
ya mmg ibu besr pengorbanan kepada anak-anak… tp adakah dengan pengorbanan itu anak-anak boleh diperlakukan apa sahaja?????
sekian, tq..