Pages Menu
Categories Menu

Posted by on Feb 3, 2011 in BACA & ULAS BUKU | 1 comment

Buah Larangan

Buah Larangan

Tajuk : Forbidden Fruit: Sex & Religion in the Lives of American Teenagers

Penulis : Mark D. Regnerus (Klik)

Penerbit : Oxford University Press, USA

Tahun : 2007

BUY: Forbidden Fruit: Sex & Religion in the Lives of American Teenagers

Buku ini menawarkan diskusi yang mendalam, kritis dan wajah sebenar remaja Kristian Amerika pada dunia moden hari ini.

Apa perlunya membaca buku ini? Buku ini adalah hasil penyelidikan sainstifik yang mengkaji sejauh mana agama mempengaruhi tingkah laku remaja terutamanya dalam konteks seksualiti. Sejauh mana agama masih relevan bagi masyarakat Kristian Amerika yang telah terlalu sekular. Adalah penting untuk kita melihat sejauh mana agama seperti Kristian dapat mempersiapkan penganut remajanya dalam mendepani cabaran kehidupan ‘mesra zina’ di Amerika. Buku ini benar-benar dapat menjawab persoalan-persoalan ini.

Regnerus mengendalikan kajiannya dengan melakukan beberapa kaedah kajian dengan menggabungkan kaedah analisa kandungan, soal selidik dan juga temubual mendalam. Kajiannya begitu signifikan memandangkan Regnerus cuba membuktikan bahawa agama saling berkaitan dengan isu seksualiti yang melingkari remaja. Justeru, remaja pelbagai latar belakang agama, telah dipilih secara rawak untuk menjadi respondennya.

Regnerus telah menganalisa sejauhmana isu dan persoalan seksual telah disentuh oleh teks Bible. Secara kritikal, Regnerus mendapati bahawa Bible gagal secara eksplisit dalam memberi nilai dan hukum terhadap perhubungan seksual seperti zina sebelum perkahwinan, liwat, masturbasi, oral seks dan homoseksual. Malahan, Bible dilihat oleh Regnerus sebagai tidak konsisten dalam menghukum pesalah seksual. Justeru, jika persoalan seksual tiada sandaran tekstual agama yang kuat, bagaimana mungkin para remaja penganut Kristian mempunyai nilai yang jelas untuk dipegang dalam isu seksualiti.

Bagaimanapun, menurut Regnerus, penganut Kristian menyakini bahawa seks hanya dibolehkan dalam ikatan perkahwinan, bukan kerana suruhan tekstual Bible, tetapi kerana melihat itu sebagai suatu kehendak Tuhan yang mahukan manusia berkembang.

Dalam temubual awal Regnerus terhadap 6 remaja Amerika, sebagai rangka awal penyelidikannya, dapatlah disimpulkan bahawa remaja Amerika  merupakan:

a. Taat beragama, walaupun kadar ketaatan hanyalah sekadar dengan membaca Bible dan menghadiri sembahyang di gereja dengan pelbagai bentuk kekerapan. Kadangkala, remaja memandang diri mereka begitu taa beragama, tetapi tidak pada mata Regnerus.

b. Menjaga maruah dengan tidak melakukan hubungan seksual, tetapi tidak mengapa dengan melakukan bentuk perlakuan seksual yang lain.

c. Percaya bahawa hubungan seks hanya boleh dibuat dalam perkahwinan, bukan sebelumnya. Walaupun mereka percaya sedemikian, tidak bermakna mereka tidak melakukannya.

d. Tidak semua remaja membuat keputusan tentang seks berdasarkan kehendak agama, bergantung kepada sejauhmana mereka memegang nilai tersebut.

Daripada temubual awal tersebut, Regnerus telah menyenaraikan beberapa tema utama yang perlu dikaji:

a. Gambaran media tentang remaja yang gilakan aktiviti seksual adalah palsu dan fiksyen.

b. Perlakuan seksual turut melibatkan perasaan yang positif dan negatif, secara berbaur.

c. Penglibatan remaja dalam amalan dan aktiviti agama, tidak mempengaruhi sikap dan tingkah laku seksual remaja Amerika.

d. Konteks mempengaruhi kehidupan seksual remaja Kristian Amerika. Jika persekitaran kuat menggalakkan aktiviti seksual, remaja mudah terdorong.

Regnerus membincangkan sejauhmana agama mempengaruhi tingkah laku remaja. Sejauhmana agama mempengaruhi sebarang aktiviti seksual di kalangan remaja Krisitian Amerika yang kelihatan sudah terpisah dengan agama? Regnerus meyakini bahawa agama boleh memberi kesan kepada remaja sama ada secara langsung melalui galakan sesuatu tindakan, ataupun tidak langsung dengan membentuk pengaruh lain dalam kehidupan mereka seperti pemilihan rakan, pengisian masa dan sebagainya.

Regnerus turut membincangkan bagaimana ibu bapa menyampaikan ilmu dan maklumat tentang seks, dan sejauhmana agama mempengaruhi penyampaian maklumat tersebut. Kajiannya mendapati bahawa ibu bapa yang taat beragama tidak banyak bercakap tentang seks dengan anak-anak mereka, berbanding dengan ibu bapa yang tidak kuat beragama. Malahan, ibu bapa yang taat beragama mendakwa bahawa menyampaikan maklumat tentang seks terhadap remaja akan menggalakkan anak mereka melakukan seks pada usia awal. Akibatnya, remaja yang taat beragama adalah yang paling sedikit mendapat maklumat seks.

Regnerus turut menyimpulkan bahawa remaja tidak tahu untuk mengindentifikasi diri mereka sebagai homoseksual, sebaliknya ia adalah orientasi yang akan ditetapkan pada masa dewasa. Mereka hanya ‘same-sex attraction’ sahaja, suatu yang berbeza dengan homoseksual.

Remaja lelaki baligh pada usia purata 14 tahun. Perempuan pula baligh sebelum 13 tahun. Umur perkahwinan lelaki pula puratanya 26 tahun, dan perempuan pula 24 tahun. Mereka mempunyai 10 tahun untuk tidak melakukan sebarang seks. Regnerus memberikan mesej, bersabarkah remaja untuk tempoh selama itu?

Regnerus mendapati bahawa ajaran setiap denominasi Kristian mempengaruhi bagaimana remaja membuat keputusan tentang seks, sama ada boleh dilakukan sebelum perkahwinan atau hanya dalam perkahwinan. Evangelical Protestan dilihat sebagai ajaran yang paling kuat mempengaruhi penganutnya, berbanding Katolik dan denominasi lain. Walaupun ajaran Katolik dan Protestan tentang seks tidak terlalu berbeza, tetapi kelihatan Evangelical Protestan memandang seks sebelum perkahwinan dengan cara yang lebih berbeza. Lebih parah, penganut Yahudi adalah yang paling tidak menyokong ‘seks dalam perkahwinan’ sahaja, malah harus lebih bebas.

Ketiadaan nas yang terang dalam teks Kristianiti tentang perbuatan selain vaginal seks, seperti bercium dan berpegang tangan telah menjadikan remaja Kristian Amerika terkeliru dan tiada pedoman. Walaupun di kalangan remaja yang bersetuju untuk menjaga dara dan teruna mereka, para remaja ini berselisih pandangan sama ada mereka boleh atau tidak untuk berciuman ataupun berpegangan tangan. Regnerus menemui permasalahan ini.

Remaja yang bagaimana terdedah dan berpotensi untuk melakukan hubungan seks terlarang? Regnerus menjawab, remaja yang sentiasa menghabiskan masanya bersama pasangan dan/atau banyak masa terluang.

Di kalangan remaja yang tidak taat beragama, mereka melakukan hubungan seksual secara spontan di mana-mana tempat, tanpa sebarang perancangan. Malahan, dapatan Regnerus mengatakan bahawa kebanyakan vaginal seks itu dilakukan semasa mereka dalam keadaan mabuk.

Regnerus juga berjaya membuktikan bahawa remaja Amerika tidaklah terlalu banyak melakukan hubungan seksual sebagaimana yang dieprkatakan oleh banyak pihak. Malahan, kebanyakan mereka tidak mahu melakukan seks lagi pada usia remaja atas beberapa pertimbangan. Bagaimanapun, kebanyakan remaja sama ada taat beragama ataupun tidak, telah bersetuju tentang idea kawalan kelahiran dan juga perlindungan kontraseptif.  Paling penting, Regnerus telah membuktikan bahawa hanya ketaqwaan dan keimanan sahaja yang boleh menjamin seseorang itu menjauhi seks sebelum perkahwinan, bukannya bergantung kepada mazhab atau aliran yang dipegang oleh remaja tersebut.

Kajian Regnerus diteruskan dalam membincangkan perbuatan seksual lain yang dilakukan remaja sebagai gantian kepada hubungan vaginal seksual. Regnerus mendapati bahawa perbuatan oral seks adalah aktiviti seksual pertama yang banyak dilakukan oleh remaja Amerika terutamanya di kalangan remaja yang kurang beragama. Mereka memilih perbuatan tersebut memandangkan tidak berisiko seperti tidak menyebabkan mengandung atau dijangkiti STD. Bagaimanapun, Regnerus terkejut kerana gagal membuktikan sejauhmana agama memberi kesan kepada remaja dalam isu pornografi. Responden Regnerus memberi reaksi pelbagai (kebanyakannya) seperti menolak untuk menjawab soalan sedemikian. Selanjutnya, Regnerus mendapati kesan agama tidak jelas kelihatan dalam komuniti kelas menengah. Regnerus mendapati bahawa remaja kelas menengah menjauhi seks sebelum perkahwinan atau memakai perlindungan kerana ada fokus dalam kehidupan.

Regnerus telah menyumbang sesuatu yang berharga dalam dunia kajian perkaitan agama dan remaja. Regnerus telah mencipta  typology enam kategori yang menggambarkan bagaimana seseorang berhubungan dengan ajaran agama sehingga mempengaruhi tingkah lakunya, termasuklah perkara yang berkaitan dengan seksual. Enam kategori perhubungan itu adalah:

1. Intentional religion: Agama mempengaruhi tingkah laku seseorang, dan individu itu sedar tentang pengaruh tersebut dan mengetahui kesannya dengan menggunakan bahasa agama. Dalam konteks seksualiti remaja, remaja dalam kategori ini dipengaruhi oleh ajaran agama, sedar tentang itu dan menjauhi zina kerana agama secara jelas melarangnya dan dia menyebutnya dalam temubual. Regnerus mendapati bahawa sangat sedikit untuk menemui remaja beragama dalam kategori ini di Amerika.

2. Instrumental religion: Agama mungkin mempengaruhi tingkah laku seseorang, tetapi pengaruh tersebut selalunya berubah-ubah, maka dia akan menggunakan alasan bersifat sekular untuk menjauhi sesuatu kesan daripada tingkah laku yang tidak dikehendaki. Dalam konteks perbincangan ini, remaja Amerika walaupun mengakui agama mempengaruhi kehidupannya, namun menjauhi zina bukan disebabkan larangan agama, tetapi memberikan alasan seperti tidak bersedia, tidak mahu mengandung dan bukan masanya.

3. Invisible religion: Agama mempengaruhi tingkah laku seseorang, tetapi dia tidak menyedarinya malah kadangkala menafikan kerelevanan agama. Contoh bagi remaja sebegini ialah, dia mengamalkan suruhan agama tetapi tidak tahu sebarang hukum berkaitan dengan isu seksual. Tetapi, kadangkala penolakannya terhadap zina disebabkan oleh pandangan moral masyarakat di sekitarnya.

4. Inconsistent religion: Agama tidak mempengaruhi tingkah laku pelaku, tetapi dia mengetahui kerelevanan agamanya dan akan mempengaruhi perbuatannya. Mereka adalah orang yang tahu tentang hukum agama tentang zina, tetapi meyakininya bahawa ia tidak relevan dalam kehidupan dengan tidak mematuhi peraturan tersebut. Apa yang mereka percaya, tidak pula mereka lakukan.

5. Irrelevant religion: Agama tidak mempengaruhi tingkah laku pelaku. Namun, dia menyedari ajaran agama cuma tidak mengambil hirau ajaran tersebut ataupun menafikan kerelevanannya. Mereka melakukan zina sebagai suatu perbuatan yang tiada kaitan dengan agama malahan sebagai suatu penentangan terhadap peraturan agama.

6. Irreligion: Agama tidak mempengaruhi tingkah laku seseorang kerana dia seorang yang tidak taat beragama, mempunyai pengetahuan dan minat yang sedikit terhadap ajaran agama dan tidak mahu mengamalkannya.

Regnerus berhujah bahawa typology yang diciptanya itu bermanfaat untuk para saintis sosial mengkaji bagaimana agama membentuk tingkah laku manusia, sama ada remaja mahupun dewasa. Untuk konteks kehidupan beragama di Amerika, Regnerus menyenaraikan susunan pengaruh agama dalam kehidupan seksual remaja, bermula dari invisible, instrumental, irrelevant, inconsistent dan akhir sekali irreligion. Intentional adalah kumpulan yang paling sukar ditemui dalam masyarakat Kristian Amerika.

Apabila meneliti kajian Regnerus ini, timbul persoalan besar yang perlu kita selidiki. Sejauhmana remaja Muslim mendepani cabaran kehidupan yang berbau seksual saban hari dan sejauhmana agama mempengaruhi tingkah laku seksual remaja Muslim? Sekiranya kita mengguna pakai typology rumusan Regnerus, sejauhmana kategori itu tepat menggambarkan kumpulan remaja Muslim dalam beragama? Kumpulan yang mana satukah dominan dalam masyarakat remaja Muslim di Malaysia?

Jika diamati dalam perbincangan kajian Regnerus, beliau berkali-kali membuktikan bahawa remaja daripada mazhab Evangelical Protestan lebih beragama dan menjauhi seks dalam pelbagai bentuk kerana ajaran ‘ortodok’ mazhab tersebut yang didakwa begitu kaya dengan aturan kehidupan. Malahan, Regnerus mengukuhkan lagi dapatannya dengan berhujah bahawa mazhab tidaklah mempengaruhi kehidupan beragama seseorang remaja, tetapi dalam mazhab mana pun, sekiranya remaja itu begitu taat beragama dan soleh, dia akan menjauhi aktiviti seksual sebelum perkahwinan. Menarik! Jika begitu, Islam lebih ‘ortodok’ dalam mengawal kehidupan manusia, malah mempunyai sumber tekstual agama yang jelas tentang larangan zina dan fahsya’, berbanding Kristian. Maka, sewajarnya remaja Muslim akan lebih terhindar daripada zina. Namun, benarkah demikian di Malaysia? Selanjutnya, Islam memang menekankan bahawa jatidiri kesolehan dan ketaqwaan seseorang yang menjadi benteng daripada melakukan sebarang dosa dan maksiat. Kita yakin tentang perkara ini, namun mana kajian saintifik dan empirikal yang membuktikannya?

Jika saintis Kristian di Barat sudah membuat kajian sebegini, kita yang muslim perlu berbuat sesuatu untuk mengkaji tentang pengaruh agama dalam masyarakat moden. Cabaran zaman ini sudah berbeza kerana zina adalah iklan percuma. Apa yang dihadapi oleh remaja Amerika sudah mula dirasai bahangnya oleh remaja Muslim di mana-mana belahan dunia. Ayuh, buktikan kerelevanan agama dengan kajian empirikal sekiranya kita mahu mencorak polisi negara berkaitan isu-isu seksualiti remaja.

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

FacebookTwitterGoogle+Share

1 Comment

  1. as salam Adib
    satu perkongsian ulasan yang sangat baik!
    ada sahabat dari FPI UKM telah lakukan kajian tentang aqidah dalam pendidikan remaja Muslim, cantik jika dapat dimanfaatkan.

Leave a Reply