Pages Menu
Categories Menu

Posted by on Jan 25, 2011 in ARTIKEL | 1 comment

Agama Penentu Warna Perhubungan

Agama Penentu Warna Perhubungan

Tajuk : The Overflowing of Friendship: Love between Men and the Creation of the American Republic

Penulis : Richard Godbeer

Penerbit : The Johns Hopkins University Press

Tahun : 2009

Buy: The Overflowing of Friendship: Love between Men and the Creation of the American Republic

Buku ini saya pilih untuk dibaca dalam usaha menyiapkan modul bagi remaja Muslim dan isu seksualiti. Buku ilmiah ini adalah garapan hasil kajian Godbeer selama bertahun-tahun setelah terkejut meneliti surat-surat peribadi dan catatan jurnal para lelaki daripada pelbagai latar belakang pada abad ke-17 dan 18 di British America.

Godbeer meneliti dan mengkaji satu persatu surat dan catatan peribadi yang mengejutkan jika dilihat daripada kacamata kehidupan moden. Teks-teks itu begitu eksplisit menzahirkan perasaan kasih dan sayang dalam persahabatan antara lelaki dan lelaki, suatu budaya yang begitu bertentangan dengan nilai masyarakat Amerika pada hari ini. Justeru, Godbeer cuba mengkaji mengapa wujud perbezaan konteks bagi perhubungan lelaki sesama lelaki antara abad ke-17 & 18 dengan abad ke-21? Juga, mengapa perhubungan sesama lelaki begitu menonjol ketika itu di British Amerika?

Dalam kajiannya, Godbeer berjaya membuktikan bahawa masyarakat Amerika pada abad ke-21 sudah jauh berubah dalam mentafsir hubungan ‘brotherhood’ antara lelaki sesama lelaki. Godbeer membuat premis bahawa perubahan cara pandang itu berlaku apabila agama berjaya dipisahkan dalam kehidupan masyarakat Amerika. Godbeer berhujah bahawa masyarakat kini terus sahaja mengaitkan hubungan rapat dan kasih sayang sesama jantina dengan label ‘gay’ kerana masyarakat kini secara automatik mengaitkan kasih sayang dengan seks. Sedangkan, masyarakat lelaki pada abd ke-17 dan 18 menjadikan homoseksual sebagai suatu kesalahan dan hubungan mereka lebih didasari nilai agama. Nilai agama yang menjadikan hubungan itu dipandang mulia, normal dan juga terkawal daripada nafsu, menurut dapatan Godbeer.

Godbeer membuat ulasan, bahawa masyarakat ketika itu masih kuat berpegang pada agama. Kristian dalam mana-mana denominasi dan kult sekalipun, mengiktiraf dan mengutamakan ukhuwah dan kasih sayang sesama saudara, walaupun tiada perhubungan darah. Masyarakat sekular telah menghilangkan nilai agama pada perhubungan sehingga tiada lagi kawalan menyebabkan hubungan ‘brotherhood’ itu membarah menjadi suatu dosa. Hubungan yang pada awalnya baik kerana ada agama yang mengertikannya, telah hilang wibawa dan nafsu mengambil alih perasaan itu.

Godbeer juga berhujah bahawa masyarakat ketika itu didedahkan dengan media (akhbar dan novel) yang sarat dengan cerita-cerita dan puisi yang mengutarakan nilai ‘brotherhood’ secara besar-besaran. Medialah yang mencetak masyarakat membudayakan perkara itu, menurut Godbeer. Maka, perkara yang sama jugalah berlaku apabila menerangkan fenomena seks songsang di Barat pada hari ini, semuanya angkara media mereka.

Dalam kajian Godbeer, para lelaki yang dikajinya itu (ada mahasiswa, peguam, pejuang kemerdekaan, tentera dan para pendakwah Kristian) adalah lelaki normal, berkahwin malah meneruskan ‘kerapatan hubungan’ itu bersama isteri dan keluarga mereka. Rekod bertulis juga membuktikan perkara yang sama ditanam dalam jatidiri anak-anak mereka. Begitulah wajah British Amerika dahulu, sewaktu Kristianiti masih kuat dipegang mereka. Godbeer mengukuhkan dapatannya menerusi teks-teks bertulis yang menyatakan bahawa hubungan kasih sayang mereka adalah mencontohi figur agama, seperti Christ (Isa), David (Daud) dan Jonathan. Mereka menjadikan ketiga-tiga orang tersebut sebegai ikon dalam persahabatan mereka, lebih-lebih di kalangan para lelaki pendakwah Kristian.

Lebih mengejutkan, Godbeer merumuskan bahawa ‘brotherhood’ inilah yang menyatukan masyarakat Amerika untuk bangun menentang penjajah British dan menjadi resepi mereka meraih kemerdekaan. Mereka diikat dengan dua perasaan, menurut Godbeer, iaitu ikatan agama dan kesamaan sentimen. Para penulis yang memperjuangkan kemerdekaan dan negara republik Amerika juga menyebarkan mesej kepada anak muda mencari teman perjuangan yang bermoral integriti dan prihatin. Lebih lanjut, Godbeer turut membuktikan bahawa ‘brotherhood’ telah menjadi asas kepada kumpulan berpengaruh dalam politik Amerika (dahulu dan kini) seperti Freemasons. Mereka menganggap bahawa kasih sayang ‘brotherhood’ itu adalah “a leading, fundamental, and comprehensive principle”.

Godbeer merumuskan dalam epilognya, “Early Americans exalted love between men as a personal, public, and spiritual good.” Ini kerana masyarakat ketika itu masih berpegang kepada nilai agama. Sebaliknya kini, apabila agama sudah dipisahkan dalam sistem kehidupan, perasaan kasih sayang itu telah diisi dan dikawal nafsu, sehingga menjadi perhubungan yang bertentang dengan nilai agama.

Justeru, Islam tidak sepi dengan isu ini. Secara teori, terdapat banyak sandaran dalil yang menggalakkan kita berhubungan sesama saudara Muslim, mengucapkan kasih sayang kepada saudaranya, mengorbankan kepentingan diri untuk saudaranya dan juga mengasihi saudaranya seperti mengasihi dirinya sendiri. Namun, sebahagian Muslim moden yang jauh dari suluhan agama telah terkeliru dengan nilai kasih sayang seperti itu. Ada yang menjauhinya kerana menganggap itu adalah perkara menjijikkan. Ini gara-gara sekular yang menjauhkan nilai agama daripada dirinya. Ada juga yang melayannya sehingga berlebih-lebihan lalu terjatuh ke sumur dosa. Ini angkara nafsu yang menipu dirinya.

Benarlah, sekular bukan sahaja memusnahkan agama, tetapi turut mempengaruhi masyarakat melihat nilai agama sebagai suatu yang pelik.

FacebookTwitterGoogle+Share

1 Comment

  1. alhamdulillah. artikel yang sangat membuka mata. terima kasih. :)

Leave a Reply