Pages Menu
Categories Menu

Posted by on Jan 22, 2011 in BACA & ULAS BUKU | 1 comment

Islam Agama Hijau

Islam Agama Hijau

Tajuk Buku : Green Deen

Penulis : Ibrahim Abdul-Matin


BUY: Green Deen: What Islam Teaches about Protecting the Planet


Setelah menggapai buku ‘hijau’ ini di Times, Bangsar, saya enggan beralasan untuk tidak membelinya. Kebiasaannya setiap buku yang dihajati untuk dibeli akan diproses terlebih dahulu dalam kepala, agar pembelian itu benar-benar bermanfaat dan menajamkan gergaji intelektual diri.

Buku Green Deen adalah manuskrip yang menenangkan rusuh hati saya apabila melihat sikap Muslim di majoriti negara Islam yang tidak prihatin dan peduli terhadap isu alam sekitar. Buku ini membuat saya tersenyum bahawa Muslim di Amerika Syarikat, sudah bergerak seangkatan dengan komuniti peduli alam sekitar, daripada sekecil peranan penyembelih ayam sehinggalah kepada pelobi polisi negara besar dunia itu. Green Deen benar-benar, bagi saya, meneroka sisi yang jauh sekali disentuh oleh tinta para ulama Timur Tengah yang kaya dalil dan kefahaman agama, tetapi jarang meninjau kacamata mereka kepada isu hijau. Ibrahim, yang bertegas sedari awal bahawa dirinya bukan Islamic scholar, telah berjaya membuatkan pembaca berfikir dan bertindak dalam kerangka kita sebagai hamba yang mengEsakan Allah, sekaligus khalifah, yang diberi amanah untuk menjaga alam ini, dengan memelihara keseimbangan alam, agar alam ini secara adil dinikmati manusia seluruhnya.

Berikut adalah 6 elemen yang mendasari buku Green Deen menurut Ibrahim:

1. Memahami keEsaan Allah (Tauhid)

2. Melihat tanda kebesaran Allah pada alam ini (Ayat)

3. Menjadi penjaga alam ini (Khalifah)

4. Memelihara amanah untuk menjaga alam ini (Amanah)

5. Mempertahankan keadilan (Adl)

6. Menjaga keseimbangan alam (Mizan)

Berdasarkan 6 elemen itu, Ibrahim berjaya menghuraikan kandungan bukunya sebanyak 16 bab itu dengan terang, baik dan naratif segar. Tanpa jemu, usaha-usaha menegakkan gaya hidup Islami yang hijau yang dibuat oleh Muslim Amerika, sama ada berskala kecil dan besar, telah dikutip oleh Ibrahim untuk menggambarkan bahawa Islam adalah pendukung kuat gerakan ‘hijau’. Komuniti agama lain di Amerika tidak ketinggalan dalam merencanakan pelbagai aktiviti bagi membangkitkan kesedaran penganutnya. Namun sebenarnya, Islam lebih terkehadapan, memandangkan Islam mempunyai kelebihan iaitu sokongan tekstual agama yang jelas mendukung aspirasi Green Deen. Cuma apa yang berlaku, teks itu sepi dipandang oleh sarjana Muslim yang rata-ratanya hidup di negara yang jarang melihat tumbuhan hijau. Malahan, negara Muslim kini sedang mengalami krisis alam sekitar yang kronik lantaran kurang ilmu dan kemorosotan sumber alam angkara kolonial.

Antara topik menarik yang dibincangkan oleh Ibrahim ialah sejauh mana menjadikan masjid senafas dengan perjuangan ‘hijau’.  Saya sendiri selalu terfikir tentang bagaimana masjid berupaya untuk lebih hijau, jimat tenaga, memanfaatkan air dan juga sistem pengudaraan yang menyamankan? Sejauh mana para ulama bersedia untuk mentakrifkan semula air mutlak (air bersih) dan air mustakmal (air gunaan) apabila air wudhuk perlu dikitar semula? Sejauh mana kita berupaya memberi komitmen untuk mengurus penggunaan tenaga elektrik, sedangkan jiwa kita masih mahu masjid kelihatan cantik dengan limpahan jutaan jalur cahaya lampu? Malahan, dengan cabaran cuaca panas lembap seperti di Malaysia, tidak banyak ahli kariah boleh berkompromi apabila penghawa dingin tidak dipasang di dalam masjid. Sejauh mana kita bersedia untuk hidup secara hijau dalam ibadah kita?

Selain itu Ibrahim turut menyentuh persoalan makanan. Kehidupan masyarakat Amerika yang gilakan makanan proses turut mempengaruhi budaya pemakanan masyarakat di negara lain, termasuklah negara Muslim. Budaya pemakanan itu dieksport oleh Amerika dengan jayanya. Makanan segera, makanan proses dan makanan yang dicampur pelbagai bahan kimia telah dihadam oleh perut-perut kita. Impaknya, kita menjadi Muslim yang banyak penyakit, suatu keadaan yang berbeza dengan generasi 50 tahun yang lalu. Sebagai negara Muslim yang diberikan nikmat alam sekitar oleh Allah, mengapa tidak kita memanfaatkan untuk membangunkan industri pemakanan yang bukan sekadar berjenama halal, tetapi turut bersifat organik. Pemakanan perlu diberi perhatian oleh Muslim, kerana pemakanan mempengaruhi kualiti hidup kita. Kualiti hidup kita mempengaruhi kualiti ibadah kita. Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa badan yang sihat akan memungkinkan ibadah dilakukan dengan lebih optimum. Tubuh yang menderita pelbagai penyakit mempunyai kemampuan yang jauh berbeza untuk beribadah sebagaimana ketika dirinya sihat. Maka, makanan apa yang kita suapkan untuk ahli keluarga kita? Jangan hanya halal yang menjadi pertimbangan, tetapi sihat dan organikkah?

Ini adalah buku yang baik untuk dibaca. Membuka horizon pemikiran untuk semua umat Islam yang berada di negara seperti Malaysia, yang Muslimnya masih tidak ramai yang sedar tentang isu ‘hijau’. Penegasan dalam buku ini: Islam adalah agama hijau dan kita perlu melakukan sesuatu untuk menghijaukan bumi kerana itu adalah sebahagian daripada tuntutan agama ini. Saya yakin sekali untuk bersetuju bahawa bumi ini adalah hamparan suci untuk bersujud iaitu masjid. Bahawa Rasulullah bersabda:

وجعلت لي الأرض مساجد وطهورا

Maksud: Bumi ini dijadikan untukku sebagai tempat bersujud (masjid) dan suci bersih. (Direkodkan oleh Ahmad bin Hanbal. Ahmad Shakir menghukumnya sahih)

Namun, mengapa kita sebagai Muslim sanggup mengotori dan mencemari ‘masjid’?

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

FacebookTwitterGoogle+Share

1 Comment

  1. Terima kasih Ustaz atas perkongsian ini. Insya Allah saya akan cuba mendapatkan buku ini, yang amat berkait rapat dengan bidang pengajian saya.

Leave a Reply