Pages Menu
Categories Menu

Posted by on Jan 22, 2011 in Fiqh al-Jinayah | 0 comments

Tingkah laku Pemaksiat yang Evergreen

Tingkah laku Pemaksiat yang Evergreen

Uniknya al-Quran. Di dalamnya terakam pelbagai disiplin ilmu untuk terus digali.

Antara ilmu yang terhimpun ialah al-Quran mengutarakan pelbagai watak bersama sifat  (character) dan tingkah laku (behavior) menerusi pelbagai kisah. Watak itu seperti malaikat, para nabi dan rasul, orang soleh, raja, pembesar negeri, peniaga, anak kecil, bapa, ibu, ahli sihir, pekebun, isteri menteri dan juga jin. Al-Quran tidak ‘kering’ daripada mewarnakan setiap watak itu dengan pelbagai sifat  dan tingkah laku.

Tujuan Allah menghidupkan watak-watak ini ialah agar manusia yang beriman mengambil manfaat, teladan dan juga nasihat. Manusia yang diberikan akal perlu memerhati bagaimana al-Quran menceritakan setiap watak dengan keragaman sifat dan tingkah laku mereka.

Aktiviti memerhati dan berfikir tentang watak-watak dalam al-Quran ini sesuai dengan firman Allah:

قُلْ سِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ

Maksud: Katakanlah: Berjalanlah kalmu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesannya orang yang melakukan dosa dan maksiat. (al-Naml: 69)

Sebagaimana yang dimaklumkan dalam ayat di atas, antara watak yang kerap diceritakan oleh al-Quran ialah para pemaksiat. Kita diseru agar melihat bagaimana Allah bertindak kepada para pelaku dosa dan maksiat. Lebih awal daripada itu, al-Quran telah terlebih dahulu membicarakan sifat dan tingkah laku para pemaksiat ini. Akibat sikap dan tingkah laku mereka itulah Allah mengazab mereka. Suatu pembalasan yang kita semua perlu mengambil iktibar.

Bagaimana al-Quran menceritakan tingkah laku pemaksiat? Mengapa perlu diketahui tingkah  laku mereka?

Sebelum membicarakan persoalan tersebut, perlu diketahui bahawa memprofilkan pesalah jenayah adalah suatu cabang ilmu dalam dunia kriminologi. Para saintis telah mengkaji pelbagai tingkah laku para penjenayah dan memahami bagaimana sesuatu jenayah dilakukan. Tujuannya bagi memudahkan pengenal pastian penjenayah dan memudahkan proses penyiasatan.

Begitu jugalah al-Quran. Kalamullah telah memaklumkan dalam banyak ayat tentang tingkah laku para penjenayah dan pemaksiat. Suatu siri tingkah laku manusia yang tidak pernah berubah apabila melakukan maksiat dan dosa.

Antara gambaran tingkah laku pemaksiat yang signifikan dalam al-Quran ialah tingkah laku kaum Nabi Lut yang bergelumang dengan jenayah liwat. Apabila kaum Nabi Lut mengetahui bahawa ada tiga lelaki muda yang datang bertandang ke rumah Nabi Lut, mereka begitu teruja untuk menjamah maksiat itu.

Al-Quran menceritakan tingkah laku mereka sebagaimana berikut:

a. Bersegera datang untuk ke tempat untuk berbuat maksiat.

وَجَاءَهُ قَوْمُهُ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ

Maksud: Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya. (Hud: 78)

Kalimah ( يُهْرَعُونَ ) diertikan oleh al-Isfahani sebagai berjalan pantas.⁠1 Ini menunjukkan mereka sangat berminat untuk melihat tetamu Nabi Lut dan bercita-cita untuk melakukan hubungan seksual bersama mereka. Maksiat itu menjadi tenaga kepada urat nadi mereka. Ibn Kathir ketika membahaskan maksud ayat di atas, menjelaskan bahawa “Kaum Lut telah bersegera dan berjalan pantas menuju ke rumah Nabi Lut dengan perasaan penuh gembira.”⁠2 Mengapa begitu bersegera dan tergesa-gesa? Mudah difahami kerana dunia kompetitif membuktikan siapa dahulu meraih peluang, dia yang akan lebih beruntung. Pemaksiat bukan sekadar oportunis kepada peluang maksiat yang ada, mereka juga akan memastikan yang mereka menjuarai perbuatan tersebut berbanding pesaing lain.

b.  Penuh rasa gembira untuk melakukan perbuatan maksiat.

وَجَاءَ أَهْلُ الْمَدِينَةِ يَسْتَبْشِرُونَ

Maksud: Datanglah penduduk bandar itu dengan gembira. (al-Hijr: 67)

Gembira dan senang hati untuk melakukan maksiat adalah satu lagi tingkah laku bagi kaum Lut. Dalam ayat di atas, al-Ha’im al-Misri mentakrifkan kalimah ( يَسْتَبْشِرُونَ ) sebagai mendapat berita gembira.⁠3 Sukacita kerana mendengar ada habuan yang boleh dinikmati. Ibn Kathir pula mentafsirkan bahawa Allah memberitahu bahawa kaum Lut yang datang ke rumah baginda mengetahui tentang kedatangan tetamunya yang berwajah kacak. Kaum Lut ini datang dengan penuh perasaan gembira untuk bertemu dengan tetamu itu.⁠4 Sesiapapun yang mabuk untuk melakukan dosa akan berasa gembira apabila mengetahui yang dirinya bakal mendapat apa yang dihajati. Syaitan dan nafsu membuatkan seseorang itu melihat perbuatan maksiat dan dosa sebagai suatu yang baik.

c.  Memujuk agar diberi peluang untuk bermaksiat.

وَلَقَدْ رَاوَدُوهُ عَنْ ضَيْفِهِ

Maksud: Dan demi sesungguhnya, mereka telah memujuk Nabi Lut menyerahkan tetamunya. (al-Qamar: 37)

Kaum Lut telah memujuk Nabi Lut untuk menyerahkan tetamunya kepada mereka untuk dinikmati dan diliwati. Ibn Kathir menjelaskan; “Kejadian itu berlaku pada malam ketika Jibril, Mikail dan Israfil datang ke rumah Lut dengan rupa lelaki muda yang kacak, sebagai ujian kepada kaum Lut. Nabi Lut telah menerima mereka sebagai tetamu, sedangkan isterinya, seorang wanita tua yang jahat, telah menghantar mesej kepada kaumnya memaklumkan tentang kedatangan para tetamu itu. Mereka datang dengan tergesa-gesa daripada pelbagai arah, dan Nabi Lut terpaksa menutup pintu daripada pandangan mereka. Mereka datang pada malam itu dan cuba untuk memecahkan pintu rumah Nabi Lut dan Nabi Lut melindungi tetamunya dan menghalangi mereka mendekati tetamunya.”⁠5 Kemudian, dalam ayat seterusnya, al-Quran merakamkan dialog Nabi Lut bersama kaumnya yang berusaha memujuk Lut agar menyerahkan tetamunya.

Pujukan adalah suatu gaya komunikasi efektif. Namun, pujukan untuk melakukan maksiat adalah suatu cara efektif untuk mendapat kemurkaan Allah. al-Quran turut merakamkan suatu lagi kejadian pujukan atau godaan dalam surah Yusuf, iaitu apabila isteri al-Aziz menggoda Yusuf. Ini menunjukkan bahawa dalam banyak kesalahan seksual, godaan dan pujukan adalah pintu masuk utamanya. Walaupun pujukan seringkali kelihatan baik dan bersopan, namun pujukan untuk melakukan maksiat bersama tidak pernah meninggalkan kesan yang baik.

Masih banyak lagi ayat al-Quran yang menceritakan tentang tingkah laku para pendosa dan penderhaka. Bermula daripada kes pembunuhan pertama, keingkaran kaum Nabi Nuh, kisah Nabi Ibrahim dan anak cucunya, kedegilan bangsa Israel sehinggalah kepada tingkah laku masyarakat musyrikin  pada zaman Nabi Muhammad.

Kelihatannya semua tingkah laku manusia yang suka mengingkari perintah Allah adalah sama, bergantung kepada jenis maksiat dan kesalahan yang dilakukan. Tingkah laku pemaksiat jika diprofilkan akan mempunyai corak yang serupa. Tingkah laku yang evergreen.

Untuk memahami ragam tingkah laku tersebut, semuanya memerlukan usaha menelaah dan memerhati setiap lembaran al-Quran. Mari dampinginya.

————————————————

1 al-Isfahani, al-Mufradat fi Gharib al-Quran, Lubnan: Dar al-Makrifah, jil. 1, hlm. 542.

2 Ismail bin Umar bin Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Beirut: Dar al-Fikr, 1401H, jil. 2, hlm. 454.

3 Shihab al-Din Ahmad bin Muhammad. Al-Tibyan fi Tafsir Gharib al-Quran, Mesir: Dar al-Sahabat li al-Turath bi Tanta, 1992, hlm. 159.

4 Ismail bin Umar bin Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Beirut: Dar al-Fikr, 1401H, jil. 2, hlm. 556.

5 Ismail bin Umar bin Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Beirut: Dar al-Fikr, 1401H, jil. 4, hlm. 267.

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

FacebookTwitterGoogle+Share

Leave a Reply