subscribe: Posts | Comments

Membentengi Solat Dari Ancaman Syaitan

2 comments
Membentengi Solat Dari Ancaman Syaitan

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Tidak sukar untuk kita menemui individu yang seringkali mengulangi wudhuknya atau mengulangi basuhan pada anggota tertentu. Thaharahnya juga turut sama digugat dengan bisikan hati yang seringkali tidak berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan. Begitu juga, dalam hidup ini sudah pasti kita pernah menemui orang yang acapkali tidak berupaya untuk memulakan solatnya dengan lancar. Takbir diangkat beberapa kali dengan segala kepayahan, malahan sebelum itu lagi, niat yang tidak perlu dilafaz, dibacakan sekuat hatinya berulang-ulang sehingga mengganggu solat orang lain. Solat yang didirikan juga seringkali dihantui keraguan dan rasa ketidak sempurnaan, baik pada bacaan mahupun pada rukun fi’liah. Jika diperhatikan, individu yang sama turut menderita dalam melaksanakan kehidupannya sebagai Muslim yang penuh dengan ibadah.

Lebih malang, apabila orang sebegini atau pada orang lain, melihat keadaan ini sebagai suatu usaha mendekatkan diri kepada Allah. Atau melihatnya sebagai suatu tanda kesungguhan dalam beribadah, sifat sangat berhati-hati ataupun tanda ketaqwaan. Akibat daripada memandang dengan cara yang tidak tepat, kelakuan tersebut jarang dilabelkan sebagai suatu penyakit yang bernama ‘waswas’. Dalam dunia perubatan, ia lebih dikenali sebagai obsessive compulsive disorder (OCD). Malangnya dalam masyarakat Islam kita, tidak ramai di kalangan pengidap penyakit OCD ini dirawat yang kemudiannya menjadi melarat dan membawa mudarat.

Tidak dapat dinafikan bahawa penyakit ini menggangu kehidupan seorang muslim dalam beribadah kepada Allah. Ia menjejaskan kesempurnaan ibadah dan kualiti hidup para penderitanya. Fokus tumpuan bukan lagi kepada matlamat ibadah iaitu membesarkan Allah dan menyembah-Nya, tetapi lebih kepada aspek perlaksanaan ibadah tersebut. Setiap yang diragui itu, dilakukan secara berulang-ulang, sehingga diri merasa puas kerana meyakini ibadah itu telah ‘sempurna’ dilaksanakan. Syaitan yang berdendam dengan manusia semenjak dahulukala menjadikan penyakit OCD ini sebagai senjata utama untuk mengganggu manusia. OCD menjadikan manusia sentiasa lelah melayan bisikan syaitan yang menghasut manusia agar merasa tidak selesa dengan ibadah yang akan dan telah dilakukan. Sebagaimana pandangan Ibn Qayyim ketika mentafsirkan maksud ayat berikut:

مِنْ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ

Maksud: (bisikan) daripada jin dan manusia. (Surah al-Nas: ayat 5)

Ibn Qayyim menjelaskan bahawa pandangan yang tepat bagi maksud ‘jin dan manusia’ ialah merujuk kepada bisikan atau waswas. Terdapat  dua jenis waswas, iaitu datang daripada jin dan satu lagi daripada manusia. Jin akan membisikkan di hati manusia dan manusia juga membisikkan ke hati manusia yang lain. Dengan itu, seringkali pengidap OCD menjadi mangsa bisikan waswas syaitan dan juga manusia.

Memahami Hakikat OCD

Perlu difahami bahawa mengalami gangguan dalam solat bukanlah semestinya seseorang itu mengalami OCD sepenuhnya. Contohnya, seseorang itu boleh sahaja terlupa sesuatu rukun ketika solat. Terlupa tidak menjadikan seseorang itu dilabel sebagai OCD. Tetapi, seseorang itu ditimpa penyakit OCD apabila terdapatnya obsessi dan/atau kompulsi. Buku World Health Organization’s International Classification of Diseases dan American Psychiatric Association’s Diagnostic and Statistical Manual menjelaskan bahawa obsessi dan/atau kompulsi adalah dua simptom utama penyakit OCD. Obsessi didefinisikan sebagai idea, imej atau impuls yang tidak dikehendaki dan sentiasa berulang-ulang memasuki fikiran seseorang. Ia terbina dalam diri individu itu sendiri, dan bertujuan untuk memenuhi kehendak kesempurnaan yang dibuat oleh dirinya sendiri, tetapi hakikatnya sangat menekan mereka. Kompulsi pula ialah pengulangan perbuatan atau aktiviti mental yang dibina berdasarkan satu peraturan yang mesti dilaksanakan secara rigid. Pesakit tidak akan merasa bahagia dan tenang dalam melakukan sesuatu amalan dan seringkali gagal menyempurnakannya dengan baik.

Dengan contoh yang lebih mudah, jika seseorang mengambil wudhuk secara berulang-ulang dengan menganggap bahawa wudhuknya belum sempurna dan tidak sah, maka dia sudah memasuki dunia OCD. Begitu juga dengan orang yang mengulang-ngulang bacaan dalam solatnya kerana tidak yakin dengan kesempurnaan makhraj hurufnya, adalah orang yang sedang teruk dilanda OCD. Sudah pasti semuanya itu bermula dengan was-was yang dibisikkan oleh syaitan, namun ia berkembang biak apabila serangan syaitan pada peringkat permulaan tidak dilawan, malahan begitu kerap dilayan. Umpama barah, bisikan syaitan tadi sudah menjengah ke peringkat serius.

Justeru itu, pengidap OCD sangat perlukan rawatan! Bukannya pujian dengan melihat penyakit itu sebagai tanda ketaqwaan ataupun ketinggian sikap berhati-hati dalam beragama. Bukannya juga dihambur dengan kritikan.

Memahami Kerja Kreatif Syaitan

Ibadah disyariatkan oleh Allah bersama dengan kemudahan untuk dilaksanakan. Allah tidak pernah memberikan kepayahan dan kesempitan untuk perlu dirasai oleh hamba-hamba-Nya dalam melakukan sebarang ketaatan. Ibadah juga bukan satu bebanan dan perlu dilaksanakan mengikut kemampuan tetapi sempurna dalam memenuhi tuntutan kewajipan.

Secara asasnya, gangguan syaitan dalam hati manusia adalah suatu yang normal berlaku, kerana itulah ujian yang Allah berikan kepada kita. Tiada sesiapa boleh mendakwa dirinya kebal daripada gangguan syaitan, melainkan orang-orang yang ikhlas kepada Allah dalam beribadah dan mendapat perlindungan daripada-Nya. Sebagaimana Uthman bin Abi al-Aas datang berjumpa Nabi dan bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ حَالَ بَيْنِي وَبَيْنَ صَلاتِي وَقِرَاءَتِي يَلْبِسُهَا عَلَيَّ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خَنْزَبٌ، فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْهُ ، وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاثًا. قَالَ: فَفَعَلْتُ ذَلِكَ فَأَذْهَبَهُ اللَّهُ عَنِّي.

Maksud:  “Wahai Rasulullah, syaitan telah datang antara diriku dan solat dan menjadikan aku keliru dalam bacaanku.” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Itu adalah syaitan yang bernama Khanzab. Jika kamu menyedari kehadirannya, makan mohonlah perlindungan Allah daripada gangguannya dan ludahlah (tanpa air liur) ke kiri sebanyak tiga kali.” Uthman berkata: “Aku melakukannya dan Allah menjauhkan syaitan daripadaku.” (Sahih Muslim)

Pengalaman sahabat ini adalah gambaran jelas bagaimana syaitan menjalankan operasinya untuk mengganggu manusia ketika beribadah. Contoh daripada hadith di atas, syaitan akan mengelirukan kita pada aspek bacaan. Selanjutnya, secara lebih terperinci, Rasulullah menceritakan cara lain bagi syaitan mengganggu ketika solat, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

إِذَا نُودِيَ بِالصَّلاةِ أَدْبَرَ الشَّيْطَانُ وَلَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لا يَسْمَعَ الأَذَانَ فَإِذَا قُضِيَ الأَذَانُ أَقْبَلَ، فَإِذَا ثُوِّبَ بِهَا أَدْبَرَ ، فَإِذَا قُضِيَ التَّثْوِيبُ أَقْبَلَ حَتَّى يَخْطِرَ بَيْنَ الْمَرْءِ وَنَفْسِهِ يَقُولُ: اذْكُرْ كَذَا وَكَذَا مَا لَمْ يَكُنْ يَذْكُرُ حَتَّى يَظَلَّ الرَّجُلُ إِنْ يَدْرِي كَمْ صَلَّى فَإِذَا لَمْ يَدْرِ أَحَدُكُمْ كَمْ صَلَّى ثَلاثًا أَوْ أَرْبَعًا فَلْيَسْجُدْ سَجْدَتَيْنِ وَهُوَ جَالِسٌ.

Maksud: Apabila seruan azan dibuat, maka syaitan melarikan diri, mengeluarkan kentut yang kuat supaya tidak mendengar azan tersebut. Apabila azan telah habis, maka dia datang semula. Apabila seruan iqamah dibuat, dia melarikan diri semula, dan apabila iqamat habis, dia datang semula untuk mengganggu manusia untuk menunaikan solat, dan berkata; “Ingatlah itu dan ini.” Perkara-perkara yang dia tidak ingat, sehinggalah dia tidak tahu berapa banyak rakaat dia telah lakukan. Jika seseorang daripada kamu tidak ingat berapa rakaat yang telah dilakukan, sama ada ia tiga rakaat atau empat, maka hendaklah dia sujud dua kali ketika dia masih duduk. (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Jelaslah bahawa musuh nombor satu manusia ini memang sangat kreatif dalam memalingkan manusia daripada beribadah. Penjelasan Rasulullah dalam hadith di atas memahamkan kepada kita cara kerja syaitan, yang mungkin kita juga pernah mengalaminya.

Merawat OCD untuk kesejahteraan ibadah

Telah jelas dalam al-Sunnah, bahawa Rasulullah s.a.w. telah memberikan panduan untuk berdepan dengan syaitan yang mengganggu ketika solat atau ibadah lain.

a.  Membersihkan hati daripada bisikan syaitan dengan tidak melayannya. Tidak melayan bisikan syaitan yang menggangu setiap proses kita dalam beribadah adalah satu kejernihan iman. Sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat, mereka bertindak sekeras-kerasnya untuk menentang bisikan syaitan, lalu meluahkan perit mujahadah mereka kepada baginda Nabi s.a.w., sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

جَاءَ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلُوهُ إِنَّا نَجِدُ فِي أَنْفُسِنَا مَا يَتَعَاظَمُ أَحَدُنَا أَنْ يَتَكَلَّمَ بِهِ. قَالَ: وَقَدْ وَجَدْتُمُوهُ ؟ قَالُوا: نَعَمْ . قَالَ: ذَاكَ صَرِيحُ الإِيمَانِ.

Maksud: Beberapa orang Sahabat Nabi s.a.w. datang kepada baginda dan berkata, “Kami mendapati sesuatu di hati kami yang tiada seorang pun di kalangan kami berani untuk menyatakannya.” Baginda bersabda: “Adakah kalian mendapati sedemikian?” Mereka menjawab: “Ya.” Baginda bersabda: “Itulah kejelasan iman.”

Ibn Taimiyyah ketika menerangkan hadith ini, menyatakan: “Dalam erti kata yang lain, waswas telah berlaku pada diri para sahabat dan mereka tidak menyukainya dan membuang jauh daripada hati mereka itu adalah kejernihan iman, seumpama seorang pejuang yang memerangi musuhnya dan dia akan mengalahkan musuhnya sehingga dia mengalahkan mereka, dan (memerangi waswas) ini adalah satu bentuk jihad yang besar. Sharih bermaksud bersih, seperti bersihnya susu. Ia menjadi bersih dan terang kerana mereka membenci bisikan syaitan tersebut dan menghalaunya keluar dari hati, maka dengan itu hati mereka menjadi jernih dan bersih.” (Majmuk al-Fatawa, 7/282)

Hadith ini juga menjadi bukti kepada kita, bahawa syaitan akan mendatangi sesiapa sahaja, malahan kepada insan semulia para sahabat, untuk mengalihkan tumpuan dalam beribadah kepada Allah. Dan sesungguhnya bukanlah tanda ketinggian taqwa dan iman, jika seseorang itu melayan bisikan syaitan dengan mengulangi beberapa kali perbuatan atau perkataan dalam ibadahnya, sama ada ketika mengambil wudhu’ ataupun ketika dalam rukun-rukun solat. Tindakan yang terbaik ialah berpaling daripada idea yang datang daripada syaitan yang mempersoalkan pelbagai perkara dan meragukan keyakinan. Apabila syaitan tidak dilayan, maka fikiran tidaklah tertumpu kepada perkara tersebut.

b.  Memohon perlindungan daripada Allah agar syaitan tidak terus mengganggu. Sebagaimana dijelaskan dalam hadith Uthman bin Abi al-Aas tadi, Rasulullah mengajar kita agar meludah tanpa air liur ke bahagian kiri sebanyak tiga kali selepas membacakan isti`azah. Kesannya ada, dibuktikan sendiri oleh pengalaman sahabat yang meriwayatkan hadith tersebut. Malahan terdapat banyak autoriti yang lain yang menganjurkan kita untuk memohon perlindungan daripada Allah apabila syaitan membisikkan keraguan. Sebagaimana daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

يَأْتِي الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ: مَنْ خَلَقَ كَذَا ؟ مَنْ خَلَقَ كَذَا ؟ حَتَّى يَقُولَ: مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ ؟ فَإِذَا بَلَغَهُ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ.

Maksud: Syaitan akan mendatangi di kalangan kamu dan bertanya: “Siapa yang mencipta itu dan ini? Siapa yang mencipta itu dan ini? Sehinggalah syaitan akan bertanya; Siapakah yang mencipta tuhanmu? Sekiranya ia berlaku, maka hendaklah dia meminta perlindungan daripada Allah dan berhenti memikirkannya.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, semakin kuat kita cuba mendapatkan pertolongan daripada Allah, memahami tabiat musuh dan bersedia untuk berhadapan dengan mereka, semakin banyaklah kemenangan boleh diperolehi dalam menentang bisikan syaitan.

c.  Mendapatkan bimbingan dan bantuan daripada individu lain yang bertindak sebagai pemerhati. Sebagai contoh, jika seseorang itu hendak mengambil wudhuk, pastikan ada orang lain yang boleh memberikan kata pemutus yang wudhuk itu telah sempurna. Sekiranya ada pengulangan basuhan pada anggota tertentu, individu itu boleh terus menegur dan basuhan ke anggota lain boleh disambung. Dengan ini, pemikiran pengidap OCD dapat dilatih semula. Peranan ini sangat baik dimainkan oleh ahli keluarga ataupun sahabat terdekat sebagai sokongan untuk memulihkan mereka. Tambahan pula, mengasingkan diri (social isolation) kerana tertekan dengan penyakit OCD ini akan menggandakan lagi penyakit tersebut.

d.  Syaitan hanya akan berjaya apabila seseorang itu tidak mempunyai ilmu yang baik dan sempurna tentang ibadah yang dilakukan. Keraguan ditembak ke hati seseorang dengan mudah apabila dia tidak tahu tentang hukum sesuatu perkara. Bermula dari aspek thaharah (kebersihan) sehinggalah kepada aspek ibadah solat, adalah antara ruang lingkup yang perlu dipelajari secara lebih mendalam. Apabila kita memahami perbahasan sesuatu hukum dengan lebih baik, kita akan dapat mematahkan sebarang usaha syaitan yang hendak meragukan status solat kita. Hanya dengan ilmu kita dapat membentengi ibadah kita daripada bisikan syaitan.

Jalan kesejahteraan dalam beragama

Berada di atas jalan pertengahan akan meletakkan kita dalam daerah sejahtera dalam beragama. Tidak berlebihan dalam memikirkan sesuatu idea yang bersifat keagamaan dan juga tidak berlebihan dalam mengamalkannya. Daripada sikap berlebihan itulah munculnya bisikan syaitan. Bisikan yang memaksa seseorang itu untuk sentiasa berada di atas garisan sempurna. Lalu terpengaruh untuk sentiasa memperbaikinya walaupun terpaksa berulang kali. Inilah jalan hujungnya, menderita dengan OCD. Akarnya pada kekurangan ilmu dan tidak bersederhana. Bersamalah kita memohon perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam.

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

:: Artikel Berkaitan

© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.

Share
  1. mohammad says:

    sy slh sorang dr penghidap pnyakit was2 dan ocd yg sgt2 kronik. malah kdgkala sy merasakan yg hanya sy seorang didunia ini yg mengalami was2 yg paling kronik didunia ini. dlm segenap kehidupan sharian sy, setiap saat hati dan fikiran sy tidak lekang dr memikirkan soal kebersihan, najis, sah atau tidak, mandi ku, cara bersuci ku, masih ada terkeluar ke air kecing dr kmaluan ku, klu terluar wlu hanya sedikit akan merebakkah ke tempah lain… oh sakitnya menjadi seperti ni uztaz. tolonglah saya, selalu sy termenung, sedih mengenang nasib sy yg tidak normal seperti org lain. sy rs sy telah kehilangan sbhgn nikmat kehidupan, iaitu tidak bebas utk melakukan bnyak perkara dgn mudah dan tenang. setiap perkara yg sy perlu lakukan, sy perlu fikirkan itu dan ini. sangat menyeksakan.. harap ustza dapat membantu saya.

  2. sy slh sorang dr penghidap pnyakit was2 dan ocd yg sgt2 kronik. malah kdgkala sy merasakan yg hanya sy
    seorang didunia ini yg mengalami was2 yg paling kronik didunia ini. dlm segenap kehidupan sharian sy, setiap
    saat hati dan fikiran sy tidak lekang dr memikirkan soal kebersihan, najis, sah atau tidak, mandi ku, cara bersuci
    ku, masih ada terkeluar ke air kecing dr kmaluan ku, klu terluar wlu hanya sedikit akan merebakkah ke tempah
    lain… oh sakitnya menjadi seperti ni uztaz. tolonglah saya, selalu sy termenung, sedih mengenang nasib sy yg
    tidak normal seperti org lain. sy rs sy telah kehilangan sbhgn nikmat kehidupan, iaitu tidak bebas utk melakukan
    bnyak perkara dgn mudah dan tenang. setiap perkara yg sy perlu lakukan, sy perlu fikirkan itu dan ini. sangat
    menyeksakan.. harap ustza dapat membantu saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>