subscribe: Posts | Comments

Puasa Efektif: Benteng Diri Daripada Fahsya’

1 comment
Puasa Efektif: Benteng Diri Daripada Fahsya’

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Kedatangan Ramadhan kali ini membuka peluang untuk diri bermuhasabah. Merenung dan menilai kemajuan iman dalam diri. Memikirkan bagaimana puasa selama hidup di muka bumi ini telah membentuk sistem nilai dan mempengaruhi graf iman. Juga menimbangkan isu-isu umat berkaitan Ramadhan dan ibadah puasa yang difardhukan.

Beberapa tahun yang lalu, selepas menunaikan solat tarawih, saya bersandar kelelahan. Ketika itu, malam mula memanjat ke dinihari. Telefon berbunyi menandakan satu mesej menjengah masuk ke kotaknya. Setelah membaca dan berbalas dengan pengirimnya, saya berfikir panjang. Isu dan tema perbincangan lewat teks itu adalah bagaimana mendidik diri membendung syahwat sepanjang Ramadhan. Pengirimnya, seorang anak muda, memohon panduan bagaimana untuk mengurus nafsunya sementelahan dia belum mampu berkahwin. Soalan terpenting, mengapa berpuasa pada siang hari bulan Ramadhan, tidak memberi kesan pada malamnya?

Ramai pendakwah memberi jawapan ringkas dan mudah, untuk anak muda mengawal nafsunya dengan jalan berpuasa. Namun, puasa Ramadhan yang dilalui oleh anak muda itu tidak dapat membantunya mengharungi cabaran hedonisme. Budaya fahsya’ kuat mendorongnya untuk menikmati nikmat-nikmat terlarang. Justeru, bagaimana formula yang diberikan Nabi s.a.w. itu boleh difahami dan dipraktikkan?

Persoalannya, sejauhmanakah puasa boleh menjadikan seseorang terhindar daripada fahsya’? Puasa yang bagaimana disifatkan sebagai efektif untuk memisahkan seseorang daripada tarikan budaya mungkar yang bermagnet kuat sekarang ini? Bagaimana seorang yang berpuasa pada siang hari Ramadhan, masih tergamak untuk membuat dosa dan maksiat pada malam harinya?

Memahami Konteks Fahsya’

Sebelum membicarakan isu ini lebih lanjut, takrif fahsya’ perlu dikupas ringkas. Setiap kalimah fahsya’ yang digunakan dalam al-Quran bermaksud zina kecuali dalam ayat 268, surah al-Baqarah yang bermaksud bakhil dalam menunaikan zakat. (Saleh bin Abd Allah bin Humaid ed., Mausu’ah Nazrah al-Naim fi Makarim Akhlak al-Rasul al-Karim, Dar al-Wasilah li al-Nasyr wa al-Tauzi’, Jeddah, 1998, jil. 11, hlm. 5232) Dalam kehidupan moden hari ini, fahsya’ boleh dilebarkan lagi takrifannya. Bukan sekadar zina yang melibatkan kemaluan, tetapi jalan-jalan dan mukadimah kepada zina juga adalah sebahagian daripada fahsya’. Bukankah Rasulullah sendiri menyatakan bahawa umatnya akan menghadapi situasi persekitaran yang berbaur zina, sebagaimana hadith yang direkodkan oleh Abu Hurairah:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَى أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ فَزِنَى الْعَيْنَيْنِ النَّظَرُ وَزِنَى اللِّسَانِ النُّطْقُ وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِى وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ

Maksud: Allah menetapkan pada setiap anak Adam bahagian mereka daripada dosa zina, dan di sana tiada jalan untuk terlepas daripada itu. Zina mata adalah pandangan, zina lidah adalah perkataan dan zina fikiran ialah harapan dan keinginan, dan hanya kemaluan yang membenarkan zina tersebut atau mendustainya (tidak melakukannya). (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 4, hlm. 2046, no. hadith: 2657.)

Beginilah luasnya maksud fahsya’. Apa-apa maksiat dan dosa yang berkaitan dengan seksual. al-Nawawi berkata: “Maksud hadith ini, sesungguhnya anak Adam ditetapkan padanya sebahagian daripada dosa zina. Daripada mereka ada zina yang hakiki dengan kemasukan kemaluan ke dalam kemaluan lain yang haram. Ada pula zina yang bersifat tersirat, seperti pandangan dan pendengaran berbau zina dan apa yang berkaitan untuk mencapainya. Atau dengan sentuhan tangan kerana sentuhan atau ciuman kepada wanita yang haram, ataupun melangkah kaki ke arah zina, atau pandangan atau sentuhan atau perbualan haram bersama wanita yang ajnabi, atau seumpamanya atau dengan fikiran dan bisikan hari. Maka semuanya ini adalah jenis zina yang tersirat. Dan kemaluanlah yang membenarkan atau mendustakannya.” (al-Nawawi, al-Minhaj Syarh al-Nawawi ala Muslim, Dar Ihya; al-Turath al-Arabi, Beirut, 1392H, jil. 16, hlm. 205)

Dalam kehidupan modernisme dan hedonisme yang mencabar dan menekan pada hari ini, ramai anak muda yang secara mudah terdedah kepada persekitaran fahsya’. Banyak sekali perkara yang berbau dosa zina seperti pergaulan bebas dan paparan media yang mempromosikan zina, sudah dianggap suatu yang normal dan biasa. Benarlah kata-kata Nabi seperti dalam hadith di atas, hanya iman yang boleh memagari kemaluan kita. Namun, tidak ramai anak muda yang sabar dalam menjaga kemaluan mereka. Justeru, bagaimana puasa yang diformulasikan oleh Rasulullah s.a.w. boleh membantu secara efektif untuk anak muda mengawal diri, maruah dan kemaluan mereka?

Memahami Formula Nabi

Rasulullah berpesan kepada para pemuda yang belum mampu untuk berkahwin agar berpuasa untuk meladeni nafsu mereka. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ، فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksud:  Wahai para pemuda, sesiapa yang berkemampuan di kalangan kamu untuk berkahwin, maka berkahwinlah. Ini kerana perkahwinan boleh menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan. Dan sesiapa yang tidak berkemampuan, maka hendaklah dia berpuasa. Ini kerana puasa itu adalah perisai. (al-Bukhari, 1987, Sahih al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, cetakan ketiga, jil. 2, hlm. 673, No. hadith: 1806.)

Rasional yang dibawa Rasulullah secara ringkas ialah puasa itu perisai diri. Benteng diri daripada menikmati nikmat perkahwinan di jalan yang diharamkan. al-Nawawi mentakrifkan maksud perisai dalam hadith di atas sebagai: “Sesungguhnya puasa itu memotong syahwat dan memotong kejahatan air mani, sebagaimana perisai berfungsi.”  (al-Nawawi, 1392H, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, cetakan kedua, Dar Ihya’ a-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 9, hlm. 172.) Perisai akan menepis apa sahaja pedang cabaran, panahan syaitan dan gelora nafsu. Perisai akan melindungi empunya diri daripada tercedera dan bersiap siaga dengan musuh yang boleh bila-bila sahaja menyerang. Begitulah perisai berfungsi.

Saranan Rasulullah s.a.w. di atas merupakan satu proses latihan diri. Puasa itu adalah suatu proses. Anak muda yang berpuasa sedang menjalani proses untuk mensabarkan diri dengan tekanan emosi dan kehendak seksualnya. Dengan itu, berpuasa belum tentu menjadi petanda dia dapat menghindari daripada kancah zina. Setelah cemerlang menjalani proses, barulah seserang akan mencapai outputnya, hasil daripada berpuasa. Bayangkanlah jika seseorang diproses selama 30 hari dalam setahun dengan bersungguh-sungguh, ditambah lagi dengan puasa sunat pada bulan-bulan yang lain, sudah pasti perlaksanaan proses itu berbeza dengan orang yang berpuasa hanya kerana adat dan mengikut suasana masyarakat.

Anak muda yang benar-benar menjadikan puasanya efektik akan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Itulah hasil atau outputnya. Ini difirmankan oleh Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa. (Surah al-Baqarah: 183)

Ibadah puasa melatih kita bertambah taqwa, sebagaimana disifatkan oleh Ibn Kathir, memandangkan pada ibadah puasa terdapat penyucian untuk jasmani dan menyempitkan jalan-jalan syaitan. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azhim, Dar Thaiyyibah li-Nasyr wa al-Tauzi’, 1999, jil. 1, hlm. 497) Dalam ayat yang lain, Ibn Kathir menerangkan dengan lebih lanjut maksud ‘mudah-mudahan kalian bertaqwa’. Ibn Kathir menjelaskan, “mudah-mudahan kalian menahan diri dan meninggalkan hal-hal yang diharamkan Allah dan perbuatan dosa kepada-Nya. Dan taqwa merupakan sebutan yang mencakup segala bentuk ketaatan dan tindakan menjauhi segala bentuk kemungkaran. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azhim, Dar Thaiyyibah li-Nasyr wa al-Tauzi’, 1999, jil. 1, hlm. 492) Dengan berpuasa, hati kita akan terdidik untuk lebih takut akan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Bagaimana Menjadikan Puasa Kita Efektif?

Puasa efektif adalah puasa yang dilaksanakan dengan penuh keimanan. Dengan puasa, kita akan berpuasa seluruhnya. Mata akan dijaga agar tidak menjamah dosa, tidak kira apa imej dan warnanya. Lisan akan dipelihara agar membasahkannya dengan zikir dan menyibukkannya dengan membaca Kalam Allah. Bukannya dengan menuturkan kata-kata lucah (termasuklah gurauan dengan rakan sekerja) dan kata-kata pujuk rayu untuk mengajak orang melakukan dosa. Tangan dan kaki tidaklah pula terlorong ke tempat-tempat yang mendedahkan diri kepada risiko maksiat. Apabila berpuasa, tangan dan kaki akan digunakan sebaik mungkin untuk melakukan makruf sesama manusia. Dengan berpuasa, kita akan menepis sebarang bisikan dan lintasan maksiat di pemikiran dan hati kita dengan istighfar. Puasa menghentikannya apabila diri memberitahu akal bahawa ‘aku ini berpuasa.’ Beginilah caranya puasa bertindak membentuk diri. Penegasannya, puasa bukan sekadar mengurangkan kadar pengambilan kalori sehingga badan tidak bertenaga untuk melakukan fahsya’. Puasa sebenar adalah puasa yang mengawal pandangan, lisan, pergerakan anggota dan pemikiran.

Justeru, sebagaimana dalam hadith di awal tadi, zina mata, zina lisan, zina pemikiran dan zina anggota tidak akan terjadi. Anak-anak muda perlu memilih untuk berkata ‘tidak’ kepada zina dalam setiap aspek itu. Ini kerana jika jalan-jalan zina tidak didekati oleh mata, lisan dan anggota, sudah pasti ia tidak berakhir dengan kemaluan untuk membenarkannya. Jika pesta ibadah sepanjang Ramadhan tidak dipenuhi aktiviti yang menambahkan iman, sudah pasti ia berakhir dengan kemaluan membenarkan ajakan zina.  Cara untuk mendapatkan puasa yang efektif adalah dengan menjauhkan dosa dan jalan-jalan yang memudahkan zina. Dengan kedatangan Ramadhan, kita akan menyibukkan diri untuk memenuhkan masa dengan ibadah. Pilihlah untuk membaca al-Quran, berbanding dengan menonton sebarang rancangan hiburan apatah lagi gambar berunsur seksual. Pilihlah untuk menjamah makanan yang berkhasiat, bukannya memenuhkan perut sehingga kekenyangan. Perut yang terlalu kenyang akan memalaskan diri untuk beribadah, menguatkan nafsu untuk beraksi pada malam hari.

Selain itu, puasa adalah ujian integriti dan akautabiliti kita dengan Allah. Tiada sesiapa tahu kita berpuasa atau tidak melainkan Allah. Sama ada kita curi-curi berbuka, culas beribadah sepanjang Ramadhan dan melakukan perkara yang membatalkan puasa, tiada sesiapa yang tahu melainkan Allah. Di sinilah caranya Allah melatih kita untuk jujur dan telus di hadapan Allah. Perjalanan ujian integriti selama 30 hari sepanjang Ramadhan, sudah pasti menjanjikan kesan yang lebih besar jika kita benar-benar berintegriti.

Beginilah caranya Allah dan Rasul merangka program dalam proses seseorang untuk menjauhkan diri daripada fahsya’ ataupun memulihkan diri daripada ketagihan zina. Ini bermakna, program pemulihan adalah suatu pakej lengkap merangkumi latihan berpuasa, latihan mengawal pandangan, pemantapan ibadah solat dan memperbanyakkan amalan soleh. Semua boleh dilakukan dengan sempurna sepanjang Ramadhan. Suasana Ramadhan memungkinkannya untuk berjaya!

Ijazah Madrasah Ramadhan

Ramadhan itu madrasah. Sekolah untuk memulihkan diri. Sekolah yang boleh menjadi benteng kepada seseorang dalam mengharungi pancaroba dunia moden yang begitu kuat  magnet budaya hedonisme dan fahsya’.

Buat anak muda, ingatlah pesan Junjungan ini. Daripada Abi Sa’id al-Khudri, seorang lelaki datang menemuinya dan berkata; “nasihatilah aku.” Aku berkata: “Engkau telah bertanya sesuatu yang aku pernah tanyakan kepada baginda Rasulullah sebelum kamu.” Baginda s.a.w. menjawab:

أُوصِيكَ بِتَقْوَى اللَّهِ فَإِنَّهُ رَأْسُ كُلِّ شَىْءٍ

Maksud: Aku nasihatkan kamu agar bertaqwalah kamu kepada Allah kerana ia adalah kepala bagi setiap sesuatu. (al-Albani, Muhammad Nasir al-Din, al-Silsilah al-Sahihah, Maktabah al-Ma’arif, Riyadh, jil. 2, hlm. 94, hlm. 555)

Dengan taqwa, rasa takut akan Allah, akan memandu kita hidup dengan penuh berhati-hati. Memilih di ruang mana untuk berjalan, di lorong mana untuk menapakkan kaki. Menghindari jalan-jalan yang berbau fahsya’, biarpun perit, akan dibalas dengan redha Allah dan syurga-Nya. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Abu Hurairah:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ الْجَنَّةَ فَقَالَ : تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ

Maksud: Rasulullah ditanya apakah yang menyebabkan ramai orang memasuki syurga. Baginda bersabda: Bertaqwa kepada Allah dan dan berakhlak baik. (Muhammad bin Isa, al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 4, hlm. 363, no. hadith: 2004. al-Albani menghukum sanadnya sebagai baik).

Anak muda, moga kalian bersabar untuk menikmati nikmat syurga Allah. Di tangan kalian untuk memilih graduasi pada takat mana darjah ijazah di madrasah Ramadhan ini. Kelas pertama atau paling rendah, kelas ketiga. Atau gagal berhenti!

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

:: Artikel Berkaitan

© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.

Share
  1. alhamdulillah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>