Hijaunya Kemunafikan Di Hati
Entri ini tidak membincangkan status muzik dalam Islam. Jauh sekali untuk menganalisa dalil-dalil yang dipegang oleh para ulama yang berbeza pandangan tentangnya. Entri ini cuba hendak membincangkan secara ringkas tentang kesan muzik pada hati kita.
Islam adalah agama yang serasi dengan fitrah. Dengan tarbiah (pendidikan) Islam, manusia boleh dibentuk dengan mudah kerana ia tidak menafikan keperluan dan kehendak manusia. Namun, persoalannya, setakat manakah muzik pada hari ini terbit dari fitrah manusia yang suka akan ketenangan dan perkara yang menghiburkan? Atau, karya muzik pada hari ini, genre apa sekalipun, adalah manifestasi atau jelmaan nafsu yang kemaruk hiburan untuk melupakan banyaknya suruhan Tuhan?
Seorang sahabat cilik Nabi s.a.w., Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata:
الغناء ينبت النفاق في القلب كما بنبت الماء البقل
Maksudnya: “Nyanyian itu menumbuhkan sifat munafiq di dalam hati, seperti air menumbuhkan sayuran.” [Direkodkan oleh al-Baihaqi. al-Albani menilainya sebagai lemah dalam Muhammad Nasir al-Din, al-Silsilah al-Dhaifah, Maktabah al-Maarif, al-Riyadh, jil. 5, hlm. 450, no. hadith: 2430)
Menurut Ibn Mas’ud, muzik memberi kesan yang begitu pedih untuk ditelan, iaitu menumbuhkan sifat munafiq dalam hati seseorang. Kenyataan ini sudah pastinya merujuk kepada jenis dan genre muzik yang melupakan dan melalaikan kita dari mengingati Allah.
Apabila kita sering menghiburkan diri dengan muzik, kebiasaannya:
- muzik itu terngiang-ngiang di telinga mendendangkan lagu itu. Bukannya terdengar bacaan al-Quran.
- anggota badan pula sangat mudah terikut dengan rentak muzik tersebut. Kaki mudah tergoyang, tangan mudah mengetuk, jemari mudah menari.
- ketika sendirian atau kebosanan, lafaz lagu akan dinyanyikan. Peratusannya lebih besar dari melafazkan zikir dalam sehari.
- wang akan dibelanjakan untuk memuaskan hati menikmati muzik. Sedangkan, jumlah yang sama sukar untuk disedekahkan kepada yang memerlukan.
- para penyanyi pun dipuja dan didambakan, beritanya diikuti dan wajahnya diamati selalu. Namun, lembaran al-Quran tidak menerima nasib yang sama.
Berhiburlah dengan hiburan yang menyenangkan fitrah kita sebagai hamba. Dengarkanlah pada hati kita, lagu dan muzik yang membuatkan kita mengingati Allah. Inilah hiburan yang menerbitkan tenang di jiwa. Ayuh, sediakanlah diri untuk berhenti daripada menyirami pohon nifaq dalam hati kita. Mohonlah perlindungan daripada Allah!
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.














