Kiriman Doa Buat Mereka Berdua
Setelah tiga bulan berinteraksi dan berdakwah dengan para pesalah juvana ini, mereka kian mesra dan sudah riuh. Saya juga sudah mengenal pasti beberapa individu yang memang akan memilih kerusi barisan hadapan dan juga yang akan bertanya soalan pada setiap kali pertemuan. Malah, saya akan menobatkan sesuatu soalan sebagai soalan terbaik untuk minggu itu.
“Saya tidak pernah menemui ayah saya. Dia sudah meninggal dunia. Adakah boleh kalau saya sudah keluar penjara nanti, saya ziarahi sahaja mana-mana kubur, untuk berdoa kepada ayah saya.” Seorang remaja yang sentiasa bertanya pelbagai soalan kepada saya selama ini, memulakan sesi soal jawab.
Pada mulanya, saya kurang dapat menangkap maksud remaja itu. “Bagaimana saya hendak berdoa kepada bapa saya, sedangkan saya tidak tahu di mana kuburnya?” Ulangnya sekali lagi, menjelaskan kepada saya masalah dasar kepada persoalan tersebut.
“Boleh atau tidak saya pergi sahaja ke mana-mana kubur dan berdoa untuk ayah saya?” Anak muda itu memandang dengan mata berkaca.
Soalan anak muda yang sabar menjalani proses taubatnya itu menggambarkan satu bentuk salah faham dalam beragama. Seringkali masyarakat melihat bahawa ziarah ke kubur adalah satu bentuk komunikasi antara kita yang masih hidup di dunia dengan mereka di alam sana. Malahan, sebahagian orang menyangka bahawa perlunya datang berziarah ke kubur ayah bonda pada setiap kali hendak mendoakan mereka terutamanya pada pagi lebaran. Selain itu, karya drama Melayu tidak jemu memaparkan scene tangisan seorang anak di tanah perkuburan. Seolah-olah, para ibu bapa itu begitu setia menunggu kedatangan anak cucu mereka pada pagi hari raya tersebut, sebagaimana ketika mereka hidup. Namun, mesej yang didapati daripada plot tersebut tidak lain hanyalah imbauan kenangan yang mendesak si anak untuk menangis dan merasakan diri bersalah atas pelbagai kesalahan. Jarang sekali naskhah drama memperdengarkan apakah doa yang dibaca oleh si anak untuk ibu bapa mereka. Tidak lain, paparan visual hanyalah mengkelek buku kecil bertajuk ‘Surah Yasin’ yang dibaca atas keyakinan pahala itu boleh dikirimkan. Selanjutnya, sebekas air pula akan disiram bersama dengan taburan bunga rampai walaupun perbuatan ini tiada asas dalam agama.
Salah Faham Dalam Menziarahi Kubur Ibu Bapa
Ramai yang menyangka bahawa penghuni kubur, seperti ibu dan bapa atau ahli keluarga akan mengetahui apabila kita datang menziarahi mereka. Kefahaman sedemikian memaksa mereka balik ke kampung untuk menzirahi perkuburan ahli keluarga yang telah lebih awal meninggalkan dunia dan rasa bersalah akan menyelubungi diri jika perkara itu tidak dilakukan pada pagi lebaran. Sangkaan ini tidak menepati keterangan al-Quran. Allah berfirman:
وَمَا يَسْتَوِي الأحْيَاءُ وَلا الأمْوَاتُ إِنَّ اللَّهَ يُسْمِعُ مَنْ يَشَاءُ وَمَا أَنْتَ بِمُسْمِعٍ مَنْ فِي الْقُبُورِ
Maksud: Dan tidaklah sama orang yang hidup dengan orang yang mati. Sesungguhnya Allah, dapat menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mendengar, dan engkau wahai Muhammad tidak dapat menjadikan orang yang di dalam kubur mendengar. (Surah al-Fathir: 22)
Jelaslah bahawa, sesiapun yang berada di dalam kubur, tidak mengetahui siapakah yang datang menziarahi mereka dan tidak dapat mendengar apa yang kita perkatakan.
Tujuan Galakan Menziarahi Kubur
Namun, terdapat pihak yang mempertahankan amalan sebegini atas alasan ia membawa kebaikan. Sedangkan, amalan tersebut telah disalah tafsir oleh kelompok masyarakat yang jahil. Sebenarnya, amalan menziarahi kubur adalah untuk peringatan bagi jiwa, bukannya untuk imbasan kenangan bersama ibu bapa yang banyak mengundang tangisan.
Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah bersabda:
زُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُمُ الآخِرَةَ
Maksud: Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkan kamu tentang alam Akhirat. (Muhammad bin Yazid, Sunan Ibn Majah, Beirut: Dar al-Fikr, jil. 1, hlm. 500, no. hadith: 1569. Dihukum sahih oleh al-Albani)
Islam menggalakkan kita menziarahi kubur atas satu tujuan. Bagi mengingati kehidupan abadi di Akhirat. Untuk kita melembutkan hati, mengingati pendeknya usia di dunia dan panjangnya alam yang akan ditempuh selepas ini. Untuk menyedarkan diri bahawa dunia adalah tempat untuk beramal dan menuai hasilnya di sana. Untuk menginsafi bahawa adanya janji Allah untuk memberi nikmat bagi orang yang soleh dan mengazab mereka yang lupa untuk bertaubat.
Perlu ditegaskan bahawa galakan menziarahi perkuburan ini adalah secara umum, bukannya mengkhususkan kubur ahli keluarga tersayang. Islam tidak pula mengajar kita agar menetapkan hari tertentu untuk menziarahi kubur ahli keluarga. Kita hanya diminta oleh syarak untuk memberi salam kepada para penghuninya, mendoakan kebaikan dan keampunan ke atas mereka dan juga memohon agar Allah merahmati mereka. Malahan, perjalanan khusus untuk menziarahi kubur seseorang (selain Nabi s.aw.) bukanlah satu anjuran dalam agama.
Jadi, bagaimana caranya kita menyambung kasih dan bakti dengan ibu bapa yang telah pergi?
Kasih dan Bakti Selepas Mati
Seterusnya, sebagai jawapan untuk persoalan pesalah juvana tadi, cukuplah dengan menyambung cinta dan bakti kita dengan talian doa dan amalan soleh yang memberi manfaat kepada mereka. Tanpa perlu ke kubur pada masa tertentu, kita berpeluang untuk membalas jasa mereka yang memang tidak terbalas.
Kasih dan bakti kita kepada mereka yang telah pergi bermula dengan doa. Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksud: Jika seorang manusia telah meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya. (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, jil. 3 hlm. 1255, no. hadith: 1631)
Berdoalah untuk ibu bapa kita agar mereka terus dipayungi dengan rahmat Allah dan dilimpahi dengan keampunan-Nya. Doa itu perlulah setiap masa, pada ketika kita mengingati mereka, tanpa terikat waktu. Baik semasa dan selepas solat ataupun ketika melakukan apa-apa pekerjaan. Bukankah indah dalam mengingati orang yang kita cintai pada setiap detik masa? Jika bercinta, titipan ingatan tidak berhenti untuk sang kekasih. Mengapa untuk ibu bapa yang telah pergi atau yang sedang sepi di desa, tidak kita kirimkan doa kebaikan untuk mereka?
Doa yang bagaimana? Allah sendiri mengajar kita untuk mendoakan ibu bapa yang mengasihi kita tanpa syarat ketika kita kecil dahulu. Allah berfirman:
رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Maksud: Wahai Tuhan, kasihilah mereka berdua (ibu bapa), sebagaimana mereka mengasihiku (mengasuhku) ketika kecil. (Surah al-Isra’: 24)
Doakanlah juga, jika mereka masih ada di dunia ini, agar istiqamah mentaati Allah di hujung usia, teguh di atas jalan iman, menemui Penciptanya dengan kesudahan yang baik (husn al-khatimah), dimurahkan rezeki mereka dan diganjari mereka dengan redha Allah dan pahala-Nya.
Selain berdoa, kasih dan bakti boleh disalurkan menerusi amalan soleh yang dinyatakan oleh baginda Junjungan. Petunjuk Rasulullah ini adalah sebaik-baik perkara yang boleh dan patut kita lakukan. Baginda sendiri mengajar kita cara untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa, walaupun mereka sudah tiada. Daripada Malik bin Rabi’ah al-Sa`idi:
بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ بَنِى سُلَيْمٍ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَبَقِىَ مِنْ بِرِّ أَبَوَىَّ شَىْءٌ أَبَرُّهُمَا بِهِ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِمَا قَالَ « نَعَمْ. الصَّلاَةُ عَلَيْهِمَا وَالاِسْتِغْفَارُ لَهُمَا وَإِيفَاءٌ بِعُهُودِهِمَا مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِمَا وَإِكْرَامُ صَدِيقِهِمَا وَصِلَةُ الرَّحِمِ الَّتِى لاَ تُوصَلُ إِلاَّ بِهِمَا
Maksud: Ketika kami bersama Rasulullah, seorang lelaki dari Bani Sulaim datang bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, adakah ada sesuatu yang aku boleh lakukan untuk menyambung bakti kepada ibu bapaku selepas mereka meninggal dunia?” Baginda menjawab: “Ya. Doakanlah mereka, mohonlah keampunan untuk mereka, laksanakan janji mereka, hormatilah sahabat mereka dan sambunglah tali persaudaraan yang tidak bersambung melainkan dengan keduanya. (Muhammad bin Yazid, Sunan Ibn Majah, Beirut: Dar al-Fikr, jil. 11, hlm. 201, no. hadith: 3795. Sanadnya lemah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Albani dan Shuib al-Arnauth).
Panduan Nabawi ini boleh dilakukan bagi membuktikan kasih cinta kita buat insan yang begitu banyak berjasa dalam hidup. Kesemua amalan berikut akan mengalirkan pahala buat ibu bapa kita dan juga dapat menebus dosa-dosanya, sebagaimana yang dinyatakan dalam banyak riwayat hadith:
a. Mendoakan mereka agar mendapat keampunan dan rahmat Allah.
b. Melaksanakan janji, wasiat dan amanah mereka.
c. Menghormati sahabat mereka.
d. Menyambung hubungan persaudaraan.
e. Menunaikan haji dan umrah yang belum dapat dilaksanakan.
f. Bersedekah dan melakukan kebajikan bagi pihak mereka.
g. Menggunakan harta yang mereka tinggalkan untuk kebajikan.
Doa Kita Bernilai
Buat anak remaja juvana di balik jeriji dan untuk kita semua, walau berpisah jasad dan nyawa ibu dan bapa, bukanlah terhenti kasih cinta dan bakti kita kepada mereka. Perbanyaklah berdoa untuk mereka sama ada yang masih ada di sisi atau sudah di daerah sana.
Doa kita yang dikirim pada setiap detik dan waktu, akan mengejutkan mereka pada hari akhirat. Hati mereka yang terluka dan menjauh di dunia, mungkin terubat dengan titipan doa kita. Rasulullah sendiri menggambarkan bagaimana doa seorang anak boleh mengubah kedudukan ibu bapa mereka di akhirat nanti. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda:
إِنَّ الرَّجُلَ لَتُرْفَعُ دَرَجَتُهُ فِى الْجَنَّةِ فَيَقُولُ أَنَّى هَذَا فَيُقَالُ بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ
Maksud: Sesungguhnya seorang lelaki akan diangkat darjatnya di syurga. Maka dia bertanya: “Bagaimana aku boleh berada di sini?” Maka dijawab: “Dengan doa permohonan keampunan oleh anakmu untuk dirimu.” (Muhammad bin Yazid, Sunan Ibn Majah, Beirut: Dar al-Fikr, jil. 2. hlm. 1207, no. hadith: 3660. Sanadnya sahih sebagaimana dalam al-Zawaid).
Tebuslah dosa dan kesalahan kita terhadap mereka, dengan banyak berdoa. Sebelum diri kita pula menyusul mereka.
Oleh,
MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.















Salam…
perkongsian yang menarik.. =)
bang, tumpang tanye dimanakah saya dapat cari buku kecil bertajuk ‘surah yasin’tu? sebab kawan melayu saya sgt suka buku tu, tapi dia tak dapat cari kat mana2 kedai buku, then i ternampak post ni…harap bang dapt beritau mana dan cara saya dapat tempah buku tu, terima kasih byk2….
ampunkanlah dosa kedua dua ibubapa kami dan kasihanilah mereka serta rahmatilah mereka ya Allah >>> terimakaseh ustaz atas ilmu yg bermanafaat ini> semoga Allah membalas kebaikan pada diri Mohd al-Adib
Assalamulaikum..
mohon pada pemilik blog,
saya nak print out
“Kiriman Doa Buat Mereka Berdua”
Harap dpat balas, terima kasih..
Print sahaja. Silakan
salam,saja juga ingin brkongsi artikel menarik ini di blog saya,terima kasih.
Silakan.