subscribe: Posts | Comments

Bintang Pemandu Jalan

0 comments
Bintang Pemandu Jalan

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Seorang pesalah kanak-kanak memandang tepat kepada saya.

“Saya ada anak. Anak luar nikah. Tapi saya tidak tahu di mana dia sekarang.” Semua perhatian dan mata rakan-rakan ‘seangkatan’nya juga turut beralih kepadanya.

Saya masih menanti kenyataannya lagi. Saya tidak mahu mengorek aib dirinya, namun membiarkan sahaja dia yang meluahkannya. Saya mendengar untuk membantu, memimpin di jalan hidayah dan bukannya menghukum. Itu pesan untuk diri ini sebagai pendakwah.

“Saya ingin menebus dosa. Bagaimana caranya? Hendak mencari anak itu pun saya tidak tahu di mana.”

“Kamu yakin dia masih hidup?” Saya bertanya, satu soalan sempena musim buang bayi pada hari ini.

“Saya tahu dia sudah lahir. Hidup lagi. Apa yang patut saya buat?”

Kami terus berbincang. Matlamat saya satu. Menjadikan dirinya merancang apakah tindakan yang wajar bagi memenuhi misi taubatnya.

Taubat Adalah Misi Terancang

Kebanyakan pendakwah, lebih fokus untuk menyeru kepada orang lain agar bertaubat dan kembali kepada Allah. Tetapi, tidak ramai pendakwah yang membantu individu pendosa itu untuk merancang bagaimana memenuhi misi taubatnya. Iaitu bagaimana mengisi ruang hidupnya pasca taubat dan mengajak mereka kembali kepada fitrah melalui proses taubat. Namun begitu, kita mengucapkan Alhamdulillah, atas semua usaha para pendakwah yang berjaya mencari ‘mangsa’nya, sehingga individu itu mula berubah.

Individu yang mula berubah itu sebenarnya adalah individu mula memasuki gerbang proses taubat yang panjang dan berterusan. Proses ini adalah ‘transition’ atau peralihan, sebelum menjadi orang yang kental imannya dan soleh amalannya.

Sehubungan itu, proses peralihan adalah satu medan pengisian. Individu yang mahu bertaubat sudah sedia kosong, mohon diisi dan dibentuk. Tugas siapa mengisinya? Sudah pasti para pendakwah. Tugas pendakwah ialah memprogramkan apakah yang perlu dilakukan oleh orang yang mahu bertaubat. Pendakwah perlu menyediakan satu sukatan pendidikan dan tindakan untuk memberikan pedoman kepada mereka dalam mengikis kehidupan jahiliyah di hati dan persekitarannya. Agar mereka faham tentang ilmu agama dan melihat keindahan syariat Allah dan mentaati-Nya.

Inilah masalah yang dilalui oleh ramai orang yang ingin berubah dan bertaubat. Masalah ini sebetulnya berpunca daripada sikap pendakwah yang tidak berterusan membimbing ‘saudara baru’ mereka. Juga berpunca daripada persepsi individu yang bertaubat itu sendiri, bahawa dirinya sudah mula baik. Malangnya dikhuatiri nanti di satu titik; sudah jemu menjadi baik. Tambahan lagi, cabaran mengekalkan diri dalam daerah hijrah begitu menekan, sehingga memaksa mata melihat nikmatnya untuk hidup kembali berdosa sebagaimana dahulu.

Kita sering meluahkan rasa terkejut apabila menyaksikan individu artis atau selebriti yang pernah mengisytiharkan taubatnya hampir sedekad yang lalu kembali ke pentas hiburan dengan imej yang disifatkan merudum berbanding hari-hari awal penghijrahannya. Persoalannya, mengapakah momentum taubat yang diazam dan dilafazkan tidak bersifat konsisten? Apakah punca sebenar mereka boleh kembali tergelincir dari landasan hidayah. Sedangkan, sifat ‘landasan’ hidayah itu begitu lurus, bagaimana gerabak imannya boleh tergelincir?

Jawapannya juga jelas. Mereka ini tidak mendapat dukungan, pedoman dan nasihat secara konsisten. Daripada siapa? Daripada para pendakwah dan ahli agama. Hidup jahiliyah adakalanya mengujakan perasaan mereka untuk kembali sebagaimana sebelum penghijrahan. Apabila proses penghijrahan mereka tidak berisikan pedoman dan nasihat yang bersifat pengulangan dan konsisten, bateri jiwa mereka akan lemah kerana tidak dicaj dengan ‘kuasa’ nasihat dan pedoman dari orang yang lain. Jelaslah di sini, tugas pendakwah sifatnya berterusan. Tanpa jemu memimpin.

Optimis Membawa Kepada Kejayaan Dalam Perubahan Diri

Apabila seseorang datang menyatakan taubatnya kepada kita, maka sangat perlu bagi kita untuk bersedia membantunya. Bantuan dari segi moral dan material, sokongan dan dukungan serta nasihat dan pedoman.

Rasulullah s.a.w. menunjukkan teladannya apabila seseorang datang bertanyakan perihal dosa-dosa yang pernah dilakukan. Rasulullah s.a.w. optimis memberikan harapan kepada orang yang hendak bertaubat. Dalam banyak hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. memandu orang yang berdosa ke jalan taubat dan bagaimana merealisasikan taubatnya. Malahan, langkah itu dimulakan dengan nasihat yang paling asas, sebagaimana ayat berikut:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksud: Katakanlah: Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Zumar: 53)

Sekiranya Allah tidak pernah putus asa pada hamba-Nya, malah melarang hamba-Nya berputus harap pada-Nya, mana mungkin para pendakwah boleh berputus asa dalam memberi harapan kepada para pendosa yang ingin kembali kepada Allah.

Bagi memahami konteks penurunan ayat di atas, Rasulullah telah didatangi oleh seseorang dari kaum musyrikin yang telah banyak melakukan pembunuhan dan penzinaan. Lalu dia mendatangi Rasulullah s.a.w. dan bertanya: “Sesungguhnya apa yang engkau katakan dan dakwahkan begitu baik sekali. (Alangkah bagusnya) Seandainya engkau berikan khabar kepada kami bahawa apa yang kami kerjakan ada kafarahnya (penebusannya).”

Selepas itu, turunlah ayat:

وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ ۚ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ يَلْقَ أَثَامًا

Maksud: Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan alasan yang benar, dan tidak pula mereka berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya. (Surah al-Furqan: 68)

Kemudiannya, turunlah pula ayat 53 Surah al-Zumar di atas. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan al-Nasa’i.

Ibn Kathir dalam tafsirnya ketika membahaskan ayat tersebut menyatakan bahawa: “semua hadith menunjukkan bahawa maksud dari mengampuni semua dosa itu adalah disertai dengan taubat dan seseorang hamba tidak boleh berputus asa dari rahmat Alah, sekalipun besar dan banyaknya dosa. Ini kerana pintu rahmat dan taubat amatlah luas.”

Inilah golden rule (kaedah keemasan) dalam hidup beragama. Setiap kesalahan yang ingin diampunkan oleh Allah perlu diiringi dua perkara iaitu proses taubat dan rasa optimis terhadap keampunan Allah. Malahan rasa optimis terhadap rahmat Allah inilah yang mendorong orang bertaubat untuk terus kekal dalam daerah hijrah dan perubahan. Dari itu jugalah mereka akan bersikap positif untuk kekal melaksanakan amalan soleh, tanpa jemu dan tidak tergugat, walaupun kadangkala tewas di tangan syaitan dan nafsu. Sekiranya para pendakwah tidak membantu mereka kekal dalam bersangka baik kepada Allah, bagaimana kita boleh mengharap mereka berubah secara sebenar-benarnya dan menjadi hamba Allah yang soleh? Sungguh, penyesalan yang menjadi syarat taubat perlukan tindakan untuk direalisasi. Untuk menjayakan tindakan itu, mereka perlu dibantu.

Pelan Tindakan Para Pendakwah

Sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini, azam dan lafaz taubat tidak mencukupi. Proses itu perlu dilengkapkan dengan mendapatkan panduan dan pedoman. Tugas melengkapinya terletak pada bahu para pendakwah yang berjiwa murabbi, yang mendidik tanpa jemu memberikan ilmu agama untuk kefahaman akal dan sentuhan jiwa untuk kepuasan rohani. Berikut adalah beberapa aspek untuk perhatian pendakwah sebagai satu pelan tindakan dalam mentarbiyah masyarakat:

1. Membantu orang bertaubat menebus dosa pada manusia yang dizalimi.

Betapa banyak manusia yang dizalimi dengan dosa atau kesalahan yang dilakukan. Taubat hanya akan diterima Allah apabila mendapat kemaafan daripada manusia yang dizalimi. Seorang pesalah kanak-kanak bertanya, bagaimana memohon ampun kepada orang yang menjadi mangsa ketagihan dadah akibat jualan langsungnya. Begitu juga dengan pencuri motor yang memang tidak pernah mengenali mangsanya. Malahan, ada yang tidak pernah tahu berapa banyak mangsa samunnya. Mereka seakan-akan terbeban dengan persoalan siapakah mangsa mereka yang perlu untuk mereka datangi dan memohon kemaafan atas kesalahan yang dilakukan. Namun, walau sesukar manapun di dunia ini mencari orang untuk meminta ampun atas segala kesalahan terhadap mereka, tidaklah sama dengan kesukaran mencari mangsa itu pada hari mahsyar nanti. Pilihan untuk kemudahan pada hari akhirat hanya ada di dunia. Justeru, para pendakwah perlu sentiasa mengingatkan atau lebih baik lagi membantu orang bertaubat dalam usaha meminta maaf daripada mangsa-mangsa mereka.

2. Menjadi teman pergaulan.

Bergaul dengan orang yang soleh akan memercikkan semangat untuk terus kekal dalam momentum perubahan. Apabila seseorang ingin memilih jalan hidup Islami, carilah role-model, contoh teladan yang boleh didekati. Maka, para pendakwah yang soleh perlu bersedia menjadi tauladan dan teman pendamping mereka.

3. Membantu melakukan islah atau pembaikan.

Salah satu cara penebusan dosa ialah melakukan kebaikan kerana kebaikan akan menghilangkan kejahatan yang pernah dilakukan. Justeru, para pendakwah perlu memberikan input bermanfaat untuk mereka yang bertaubat yang bersifat ‘what to do?‘ Sebolehnya pendakwah menyediakan platform untuk mereka menjalankan kerja-kerja kebaikan atau menyalurkan tenaga mereka kepada kerja amal yang boleh membaiki diri dan prestasi amalannya.

4. Memberikan ilmu agama.

Inilah tugasan utama pendakwah. Ini kerana kejahilan mereka yang memerangkap diri mereka dalam kancah jenayah. Memberikan mereka kefahaman agama akan menjadikan mereka berada dalam kebaikan dan keselamatan hidup di dua alam, dunia dan akhirat. Sekiranya kita tidak memburu mereka untuk disirami dengan ilmu Allah, tidak mustahil mereka akan kembali lagi ke zon ‘selesa dengan dosa’ dahulu.

Mereka ‘Memang Diciptakan’

Kesimpulannya, taubat perlulah ‘diprogramkan’ dan pendakwah adalah perancang dan pengisinya. Para pendakwah janganlah mensia-siakan peluang ini. Hati mereka sedang menunggu untuk dibentuk.

Terdapat satu hadith yang menarik untuk dititipkan pada rumusan ini. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Abu Ayyub al-Ansari berkata ketika beliau nazak: “Aku menyembunyikan dari kalian sesuatu yang aku dengar dari Rasulullah s.a.w. Baginda telah bersabda:

لولا أنكم تذنبون لخلق الله خلقا يذنبون، يغفر لهم

Maksud: Seandainya kalian tidak berdosa, sudah pasti Allah akan menciptakan satu kaum yang berdosa, lalu Dia mengampuni mereka. (Sahih Muslim)

Betapa maha baiknya Allah. Dia amat suka mendengar hamba-Nya merintih dan mengadu, memohon keampunan atas dosa yang lalu. Malahan, setiap penyesalan itu akan berbalas pengampunan. Sehingga Dia sanggup menciptakan satu kaum yang berdosa untuk mendengar penyesalan mereka dan melihat bagaimana mereka membaiki diri.

Sebenarnya, para pesalah kanak-kanak yang berada di seluruh penjara dan sekolah pemulihan di negara kita ini, seumpama sebahagian kaum yang dicipta Allah untuk melakukan dosa sebagaimana maksud hadith di atas. Mereka menyesali langkah yang salah itu dan memohon keampunan dari Allah. Lalu, sifat Maha Pengasihnya Allah akan mengampuni mereka. Mereka menjadi manusia baharu, umpama daun pucuk yang menghijau segar. Tiada sesiapa yang tahu, dengan taubat mereka itu, mereka menjadi insan yang lebih baik. Mungkin lebih baik daripada kita.

Justeru, para pendakwah perlulah sentiasa memandu sesiapa sahaja yang ingin kembali ke jalan Allah. Ia adalah proses panjang, bagaikan pertarungan di lautan bergelora, yang perlu berbekalkan pedoman untuk mengemudi kehidupan. Kepada para pendakwah, jadilah umpama bintang di langit yang memandu jalan.

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

* Sekiranya pengguna PC Window tidak dapat membaca teks Arab, ataupun terdapat ralat, harap maklumkan kepada kami kerana artikel ini ditulis dalam apps Mac.

** Takhrij dan nota kaki tidak dapat disediakan kerana perisian berkaitan tidak sesuai dengan OS Mac. Kami akan memasukkannya pada masa akan datang.

:: Artikel Berkaitan

© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>