Pages Menu
Categories Menu

Posted by on May 3, 2010 in Oasis Iman | 3 comments

Solat Mencegah Kemungkaran

Solat Mencegah Kemungkaran

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Berada selama satu minggu membuat kajian di sebuah institusi tahanan bagi pesalah kanak-kanak di Malaysia telah memberikan saya pengalaman yang begitu berharga. Benarlah, pendakwah perlu juga mendedahkan diri dalam dunia penyelidikan agar mengetahui masalah yang berakar umbi dalam golongan sasarannya. Selanjutnya, alangkah baiknya sekiranya kajian itu dilaporkan di mana-mana jurnal berwasit agar ia boleh menjadi rujukan kepada generasi seterusnya.

Jika kita melihat di Barat, warga akademia bekerja keras untuk menghasilkan laporan kajian yang boleh memberi kesan kepada pelaksanaan sesebuah dasar dalam negara. Setiap dasar baru yang diperkenalkan ataupun sebarang pindaan undang-undang yang ingin dilaksanakan, mereka akan merujuk dan menukilkan sebanyak mungkin laporan kajian akademik tentang isu berkenaan. Gaya kerja dan berfikir secara itu masih belum wujud dalam dunia Islam lagi. Akibatnya, banyak dasar dan undang-undang yang berbau Islam lebih bersifat produk politik dan bukannya berdasarkan sumbangan dunia akademik.

Sebagai contoh, sekiranya kita ingin membuktikan bahawa solat itu boleh mencegah kemungkaran, kita hanya mampu mengemukakan dalil secara tekstual. Para pengkaji Muslim masih tidak lagi turun padang melihat sejauh mana, secara kuantitatif, para banduan pulih dan bertaubat melalui amalan solat yang teratur di penjara. Sekiranya ini boleh dibuktikan secara empirikal dan dilaporkan dalam jurnal, maka Islam akan dilihat begitu praktikal dan bertindak sebagai solusi kepada masalah recidivisme. Ini hanyalah satu contoh bagaimana besarnya peranan penyelidikan dalam dunia moden hari ini. Saya secara peribadi sudah meneliti beberapa artikel jurnal yang menerangkan tentang hubung kait ketaatan penganut Krisitian dengan kurangnya aktiviti jenayah. Sekiranya golongan non-Muslim bekerja keras sedemikian rupa untuk memastikan dapatan kajiannya nanti dinukil oleh pihak berwajib, maka kita sebagai Muslim perlu merasakan lebih bertanggungjawab lagi dengan agama kita.

Solat Mencegah Mungkar

Kajian kami lebih tertumpu kepada pembinaan modul ta’dib (pemulihan akhlak) bagi pesalah kanak-kanak Muslim di sebuah institusi tahanan. Mengikut perancangan, modul itu merupakan modul tambahan kepada modul kerohanian yang sedia ada di institusi berkenaan. Sehubungan itu, untuk mendapatkan maklumat awal tentang latar belakang kelompok kajian, kumpulan penyelidikan kami telah menemu bual secara separa-struktur terhadap sejumlah pesalah kanak-kanak daripada pelbagai tahap umur, jenis kesalahan, latar belakang keluarga dan jantina. Antara persoalan yang ditanya kepada para responden ialah berkenaan pengetahuan mereka tentang solat dan sejauh mana mereka mengamalkannya.

Kajian mendapati bahawa semua pesalah kanak-kanak yang ditemu bual tidak menunaikan solat secara konsisten atau tidak pernah menunaikan solat sepanjang mereka membesar sehinggalah mereka ditangkap. Satu dapatan yang tidaklah terlalu mengejutkan.

Mereka boleh dibahagikan mengikut kumpulan berikut:

  1. Kanak-kanak yang tidak pernah menunaikan solat dan membaca al-Quran sejak kecil kerana keluarga mereka tidak pernah bersolat dan tidak pernah membaca al-Quran.
  2. Kanak-kanak yang belajar solat dan al-Quran di sekolah rendah agama tetapi tidak mengamalkannya di rumah atau mencuaikannya.
  3. Kanak-kanak yang sering menipu ibu bapa tentang solat mereka. Walaupun ibu bapa mereka itu tegas dan bersolat di rumah, tetapi si anak sering keluar rumah dan malas bersolat. Sebaliknya, mereka menipu ibu bapa mereka yang kononnya mereka sudah menunaikannya.

Ketiga-tiga kumpulan ini akhirnya terjebak kepada kancah jenayah disebabkan pelbagai faktor. Dapatan ini juga membuktikan bahawa peninggalan solat di kalangan kanak-kanak berhubungkait dengan aktiviti jenayah. Begitu kuat kolerasinya. Akar kepada masalah mereka ialah tidak pernah menunaikan solat ataupun mencuaikannya.

Apabila seorang kanak-kanak begitu sukar untuk mendisiplinkan diri dalam menyembah Tuhannya, apalah yang diharapkan darinya dalam mematuhi sebarang undang-undang yang lain? Sedangkan hukum Allah yang paling asasi, iaitu solat yang difardukan, tidak mendapat tempat di hati mereka. Bagaimana hendak melembutkan hati keras seorang penjenayah muda, yang tidak pernah kenal Tuhannya dan tidak tahu betapa perlunya dia kepada Allah? Sekiranya begitu keadaan mereka, sudah pasti jeriji besi belum boleh memulihkan mereka untuk berubah menjadi orang yang baik.

Alhamdulillah, Jabatan Penjara di Malaysia mengambil langkah yang proaktif dengan mensyaratkan semua pesalah kanak-kanak Muslim belajar mengucap, bersolat lima waktu dan mengaji al-Quran. Satu langkah yang Islami bermula dari hari pertama mereka memasuki institusi di bawah kelolaan jabatan tersebut. Malahan, ia menjadi syarat kepada mana-mana pesalah kanak-kanak untuk naik peringkat sekali gus menikmati sedikit keistimewaan seperti meminjam buku perpustakaan, menulis surat dan kekerapan perjumpaan keluarga.

Kesan daripada itu, anak-anak yang tidak pernah bersolat dan malas menunaikannya sebelum ini sudah mula tekun belajar satu persatu. Disiplin yang kuat dalam institusi tersebut telah memaksa mereka untuk belajar. Memang itulah cara mendidik anak kecil yang mungkin sudah keras hatinya. Mereka mula belajar agama semula dan belajar membaca al-Quran daripada para guru dan pegawai yang saya dapati begitu menjiwai semangat murabbi.

Semua dapatan ini menyokong nas bahawa solat berupaya mencegah kemungkaran. Allah tegaskan melalui firman-Nya:

إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ

Maksud: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada fahsya’ dan mungkar. (Surah al-Ankabut 29: 45)

Solat yang bagaimana berupaya mencegah kemungkaran? Sudah pasti solat yang dibuat bersama-sama dengan hati, bukannya sekadar gerakan badan. Solat yang benar-benar khusyuk akan mencegah pendirinya daripada sebarang kemungkaran. Malahan, setiap bacaan solat yang dibaca itu akan mencegah seseorang daripada melakukan sebarang larangan Allah. Pernah datang seorang sahabat kepada Rasulullah. Dia mengadu kepada Rasulullah tentang kedudukan seseorang lelaki yang sentiasa bersoalat tetapi suka mencuri.

إِنَّ فُلاَناً يُصَلِّى بِاللَّيْلِ فَإِذَا أَصْبَحَ سَرَقَ. قَالَ « إِنَّهُ سَيَنْهَاهُ مَا يَقُولُ »

Maksud: “Sesungguhnya ada seorang yang bersembahyang pada waktu malam. Apabila waktu pagi, dia mencuri.” Baginda menjawab: “Sesungguhnya apa yang dibaca (solat) itu akan mencegahnya. ” (Ahmad bin Hanbal, Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, Muassasah Qurtubah, Qahirah. jil. 2. hlm. 447, no. hadith: 9777. Dihukum sahih oleh Shuib al-Arnaut)

Di sinilah pentingnya memahami setiap bacaan di dalam solat. Kefahaman terhadap setiap bacaannya akan melembutkan hati malah memaksa diri untuk merealisasikan janji dengan Allah sewaktu solat.

Selanjutnya, ibadah solat itu sendiri merupakan satu cara untuk mengislahkan diri para pesalah. Ia akan menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan. Sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

« أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهْرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ مِنْهُ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسَ مَرَّاتٍ هَلْ يَبْقَى مِنْ دَرَنِهِ شَىْءٌ ». قَالُوا لاَ يَبْقَى مِنْ دَرَنِهِ شَىْءٌ. قَالَ « فَذَلِكَ مَثَلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ يَمْحُو اللَّهُ بِهِنَّ الْخَطَايَا ».

Maksud: “Apa pandangan kamu, sekiranya ada sebatang sungai di hadapan rumah salah seorang daripada kamu, lalu dia mandi lima kali sehari, apakah masih terlekat kotoran pada tubuh badannya?” Para sahabat menjawab: “Tidak akan ada lagi sebarang kotoran.” Kata baginda lagi: “Begitulah perumpamaan bagi solat lima waktu, Allah menghapuskan segala kesalahan hamba-Nya.” (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 1, hlm. 462, no. hadith: 283)

Menjadikan solat sebagai satu program pemulihan di institusi tahanan akan membantu para pesalah kanak-kanak mencari jalan pulang. Solat adalah satu proses yang melorongkan mereka kembali menjadi hamba dan berperanan sebagai hamba. Apabila pesalah kanak-kanak sudah mula bersolat ketika dalam tahanan, itu bukanlah penentu bahawa mereka sudah baik dan pulih. Mereka hanya baru menjalani proses dan outputnya hanya boleh dilihat setelah mereka dibebaskan. Bagaimanapun, sesiapa yang konsisten menjalani proses ini akan dimudahkan Allah untuk menjadi insan yang lebih baik. Allah berjanji untuk memimpin ke jalannya itu sebagaimana firman-Nya:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا

Maksud: Dan orang yang berusaha berjuang kepada agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami. (Surah al-Ankabut 29:69)

Semoga perjuangan para pesalah kanak-kanak untuk membaiki diri mereka diterima oleh Allah. Diharapkan mereka terus istiqamah menunaikan solat sehingga ke hujung hayat mereka dan solat itu menjadi penyejuk mata mereka. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

حُبِّبَ إِلَىَّ مِنَ الدُّنْيَا النِّسَاءُ وَالطِّيبُ وَجُعِلَ قُرَّةُ عَيْنِى فِى الصَّلاَةِ

Maksud: Perkara yang aku sukai tentang dunia ialah wanita dan wangian, dan dijadikan penyejuk mata bagiku ketika solat. (al-Nasa`i, Ahmad bin Shuaib, Sunan al-Nasa`i al-Kubra, Dar al-Kitab al-Ilmiyah, Beirut, 1991, jil. 5, hlm. 280, no. hadith: 8888)

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

FacebookTwitterGoogle+Share

3 Comments

  1. salam..alhamdulillah..
    tq tuk peringatan ni.

  2. Suatu ulasan yang bagus. penuh dengan isi dan berbentuk saintifik. Tulisan seperti ini yang sangat-sangat dialu-alukan. Ulasan seperti ini masih kurang dalam persekitaran tulisan di negara kita. Teruskan usaha.

  3. Assalamualaikum,

    saya merupakan graduan master lulusan IT. Research saya berkaitan multimedia dalam pendidikan. Skop kajian saya adalah pendidikan Islam. Satu usaha dari saya cuba mewujudkan satu rentak pengajaran solat secara tutoran menggunakan teknologi IT..sebab field saya adalah daripada bidang IT. Niat saya bukanlah menggantikan pengajaran solat drp praktikal kepada komputer. Tetapi satu usaha untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran bagi arus peredaran zaman skrg dan menyediakan alternatif kpd anak2 lebih meminati solat. Alhamdulillah saya lulus, cuma usaha saya ini juga dipandang sepi dan tiada ruang utk diperkembangkan.

    Sebenarnya byk usaha juga drp pelajar2 IT kpd pendidikan Islam. Cuma biasalah..ia akan disimpan shj.

    Terimakasih atas penulisan di atas. Moga Allah merahmati usaha2 anda.

Trackbacks/Pingbacks

  1. Kenapa singgah kalau tak masuk??? « IKRAM Wales & South West - [...] p/s bahan bacaan tambahan berkaitan solat yang mencegah kemungkaran. (klik) [...]

Leave a Reply