Tanpa Iman, Kebaikan Tiada Nilaian
Iman adalah penentu nasib seseorang pada hari Akhirat nanti. Dengan iman, seseorang akan dibezakan dengan manusia yang berwajah hitam kusam ketakutan, iaitu orang yang tidak beriman kepada Allah. Dengan iman juga, seseorang itu akan diterima amalannya oleh Allah SWT, Tuhan yang menjadi Raja pada Hari Pembalasan. Iman yang akan melorongkan seseorang jalan ke syurga dan ketiadaan cahaya iman akan mengheret seseorang ke dalam neraka.
Nilai iman begitu signifikan. Orang yang tidak mahu beriman kepada Allah dan mengingkarinya tidak akan dipandang oleh Allah dengan pandangan kasih sayang. Wajah mereka akan dirantai dengan rasa penyesalan yang meronta-ronta untuk dikembalikan ke dunia agar boleh beriman dan melakukan amal kebaikan. Lebih malang lagi, Allah tidak menilai dan tidak menghiraukan semua amalan kebajikan dan kebaikan di dunia ini.
Jika seorang paderi wanita dianggap oleh warga dunia sebagai pejuang golongan miskin dan banyak melakukan kerja amal, pada hari akhirat nanti paderi itu akan menyesali setiap detik kehidupannya. Allah, Tuhan yang disyirikkannya itu tidak memandang walau sebesar debu atau zarah amalan kebaikannya.
Kesia-siaan amalan manusia yang tidak beriman digambarkan oleh Allah dalam pelbagai analogi. Allah benar-benar hendak memahamkan umat manusia tentang pentingnya untuk mereka kembali berTuhankan Allah, bersih dari segala bentuk penyembahan yang lain. Uniknya lagi, secara tidak langsung semua analogi ini disasarkan untuk manusia yang belum beriman tetapi rajin beramal kebajikan. Analogi yang digambarkan oleh Allah ini memberikan mereka ruang berfikir tentang perlunya mereka beriman kepada Allah di dunia ini, sebelum terlambat pada hari akhirat.
Analogi yang Allah gambarkan begitu menggerunkan. Bayangkanlah sekiranya kita melabur dalam sesuatu perniagaan, lalu begitu yakin dengan prospek keuntungannya, malah melihat sendiri angka-angka yang memberangsangkan, sudah pasti kita yakin akan meraih hasil laba pada suatu masa nanti. Tetapi, bayangkanlah jika hasil yang disangka menguntungkan itu tidak menjadi sebagaimana yang kita harapkan. Begitulah nasib orang yang tidak beriman. Mereka mungkin terdiri daripada ahli ibadah, setia membantu orang ramai dan hidupnya bermoto kebajikan. Namun jika Allah bukan Tuhannya yang Satu, maka Allah akan menolak mentah-mentah semua amalannya.
Berikut adalah analogi atau perumpamaan yang terdapat dalam al-Quran bagi menerangkan penolakan amalan kebaikan yang tidak bersandarkan iman kepada Allah:
- Allah membayangkan amalan mereka seumpama kegelapan yang berganda-ganda:
أَوْ كَظُلُمَاتٍ فِي بَحْرٍ لُجِّيٍّ يَغْشَاهُ مَوْجٌ مِنْ فَوْقِهِ مَوْجٌ مِنْ فَوْقِهِ سَحَابٌ ظُلُمَاتٌ بَعْضُهَا فَوْقَ بَعْضٍ إِذَا أَخْرَجَ يَدَهُ لَمْ يَكَدْ يَرَاهَا وَمَنْ لَمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُورًا فَمَا لَهُ مِنْ نُورٍ
Maksud: Atau (keadaan orang kafir itu) adalah umpama (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal; (demikianlah) gelap-gelita berlapis-lapis apabila ia mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya. (Surah al-Nur: 40)
- Allah menggambarkan amalan mereka seumpama fatamorgana di padang pasir panas:
وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّى إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّهَ عِنْدَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ
Maksud: Dan orang kafir pula, amalan mereka umpama fatamorgana di tanah rata yang disangka air oleh orang yang dahaga, sehingga apabila ia mendatanginya, dia tidak mendapat sesuatu; dan ia mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungannya; dan Allah amat segera menghitung. (Surah al-Nur: 39)
- Allah menjelaskan amalan mereka seperti tanaman yang musnah diterjah angin:
مَثَلُ مَا يُنْفِقُونَ فِي هَذِهِ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَثَلِ رِيحٍ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ وَمَا ظَلَمَهُمُ اللَّهُ وَلَكِنْ أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
Maksud: Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini, samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya; dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. (Surah Ali Imran: 117)
- Allah memaklumkan amalan mereka seperti debu abu yang ditiup angin bertaburan dan beterbangan:
مَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ أَعْمَالُهُمْ كَرَمَادٍ اشْتَدَّتْ بِهِ الرِّيحُ فِي يَوْمٍ عَاصِفٍ لا يَقْدِرُونَ مِمَّا كَسَبُوا عَلَى شَيْءٍ ذَلِكَ هُوَ الضَّلالُ الْبَعِيدُ
Maksud: Bandingan orang yang kufur terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Demikian itu adalah kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran. (Surah Ibrahim: 18)
Sehubungan itu, amalan yang disangka oleh memberi manfaat kepada mereka tidak menyelamatkan mereka daripada azab Allah pada hari Akhirat. Amalan-amalan itu tidak diterima oleh Allah kerana tidak mempunyai asas yang kukuh. Asas itu ialah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Allah berfirman:
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإسْلامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksud: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi. (Surah Ali Imran: 85)
Asas kepada penerimaan amalan itu adalah Islam, agama Tauhid. Sekiranya seseorang itu masih belum berada di bawah payung Islam, maka dia tidak mendapat apa-apa habuan pada hari Akhirat. Bagaimanapun, sekiranya mereka memeluk Islam, semua kebaikan yang dilakukan sebelum itu akan dinilai oleh Allah dan segala kesalahan akan diampunkan oleh-Nya. Sungguh, Allah adalah Tuhan yang Maha Penyayang pada semua hamba-Nya.
Oleh,
MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.














