Mereka Bertanya, Allah Menjawab
Antara sebab mengapa wahyu diturunkan ialah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan masyarakat awal Islam. Terdapat beberapa ayat al-Quran yang diturunkan untuk menjawab persoalan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak (orang Mukmin dan bukan Islam) di Makkah dan Madinah pada ketika itu. Uniknya, kebanyakan ayat tersebut bermula dengan frasa, “Mereka bertanya kamu (Nabi Muhammad) tentang…”
Majoriti ayat sebegini menjelaskan status hukum bagi sesuatu perkara. Sebagai contoh:
a. Ayat berkenaan hukum peperangan dalam bulan yang dihormati.
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ وَصَدٌّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِنْدَ اللَّهِ
Maksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang Islam) dari jalan Allah, dan perbuatan kufur kepada-Nya, dan juga perbuatan menyekat (orang Islam) ke Masjid Al-Haram (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. (Surah al-Baqarah: 217)
b. Ayat berkenaan pengharaman arak.
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
Maksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. (Surah al-Baqarah: 219)
c. Ayat berkenaan haid.
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ
Maksud: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai haid. Katakanlah: Darah haid itu suatu kotoran. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) ketika haid… (Surah al-Baqarah: 219)
Selain daripada ayat-ayat berkaitan hukum, terdapat juga ayat berkaitan dengan akidah. Sebagai contoh:
a. Ayat berkaitan hari Kiamat.
يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ رَبِّي لا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلا هُوَ
Maksud: Mereka bertanya kepadamu tentang hari Kiamat: Bilakah datangnya? Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenainya adalah di sisi Tuhanku, tiada sesiapa pun dapat menerangkan waktunya melainkan Dia. … (Surah al-A’araf: 187)
b. Ayat berkenaan roh.
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلا قَلِيلا
Maksud: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu adalah urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberi pengetahuan melainkan sedikit sahaja. (Surah al-Isra’: 85)
Begitu juga dengan ayat yang berkaitan dengan kisah orang terdahulu.
وَيَسْأَلُونَكَ عَنْ ذِي الْقَرْنَيْنِ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُمْ مِنْهُ ذِكْرًا
Maksud: Dan mereka bertanya kepadamu, mengenai Zulkarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepada kamu sedikit tentang perihalnya. (Surah al-Kahfi: 83)
Penurunan secara berperingkat dan mengikut persoalan yang dikemukakan ini membuktikan secara jelas bahawa Nabi Muhammad menerima wahyu daripada Allah. Ini juga menerangkan kepada kita bahawa Nabi Muhammad bukannya mengarang al-Quran. Ini adalah bukti utama bahawa al-Quran itu adalah Kalam Allah. Setiap isu ini dijawab oleh Allah dan Nabi Muhammad tidak dapat memberi respon kepada soalan itu selagi wahyu tidak diturunkan kepada baginda. Nabi juga tidak memberikan jawapan mengikut pengetahuannya atau sesuka hati. Baginda akan menjawab setiap persoalan itu berdasarkan wahyu, walaupun terpaksa menunggu untuk satu tempoh waktu.
Oleh,
MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.














