subscribe: Posts | Comments

Hidup Beragama di bawah Pengaruh Tokoh

1 comment
Hidup Beragama di bawah Pengaruh Tokoh

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Dalam hidup beragama, kita cenderung untuk terpengaruh dengan pendapat seseorang tokoh agama. Malahan, kita akan memberi reaksi atau respon apabila terkesan dengan pandangan dan idea tokoh tersebut. Apabila sesuatu isu timbul dalam masyarakat, kita cenderung untuk menunggu apakah pandangan tokoh agama. Ulasan mereka akan mempengaruhi bagaimana kita berfikir dan cara kita hidup beragama.

Untuk menilai dengan lebih mendalam lagi, kita bincangkan dua peristiwa besar dalam sejarah masyarakat Islam di Malaysia:

  1. Peristiwa ‘kehilangan’ tulisan dalam mushaf al-Quran .

Peristiwa ini berlaku pada tahun 1988 dan menggempar seluruh negara. Beberapa halaman dalam naskhah al-Quran didapati bersih seumpama tulisan padanya telah terpadam. Apabila berita ini tersebar, seorang tokoh agama di Malaysia mengaitkan kejadian itu sebagai satu tanda Kiamat. Pada pandangannya, peristiwa itu bertepatan dengan hadis yang mengatakan al-Quran akan diangkat ke langit apabila menjelang Kiamat. Pendapatnya yang diliputi media telah mendapat reaksi dan respon daripada masyarakat Islam. Ketika itu, masyarakat Malaysia baru satu dekad mengalami kebangkitan Islam terutamanya berkaitan dengan pengamalan ajaran agama. Kesan dari kenyataan tokoh itu, masyarakat mula membuat tindakan yang sesuai untuk bersedia menghadapi dunia akhir zaman. Pandangan tokoh tersebut begitu menggerunkan ramai orang sehingga mempengaruhi mereka dalam melipat gandakan amalan ibadah dan ‘membuang dunia’. Bagaimanapun, setelah pihak berkuasa agama membuat siasatan, rupanya mushaf itu mengalami masalah percetakan. Maksudnya, halaman itu tidak dicetak dan bukannya tulisan itu telah diangkat ke langit. Tambahan lagi, tafsiran hadis yang dibuat oleh tokoh itu tidak selari dengan tafsiran yang dibuat oleh para sarjana klasik. Maksud diangkat ke langit ialah dengan dimatikan para penghafal al-Quran dan dihilangkan dari dada mereka, bukannya dengan dipadam tulisannya pada beberapa halaman.

2. Peristiwa al-Maunah.

Pada tahun 2 Julai 2000, satu kumpulan seramai 22 orang dari pertubuhan silat pro-tarekat telah merompak sejumlah besar senjata dari sebuah kem tentera di Grik, Perak dan melancarkan perang terhadap Kerajaan Malaysia. Apabila peristiwa ini tercetus, tokoh-tokoh agama dari parti yang tidak sehaluan dengan parti yang memerintah kerajaan pada masa itu telah memberi pandangan. Kononnya, semua kejadian itu telah dirancang oleh parti pemerintah, satu konspirasi dan juga sandiwara! Memandangkan negara masih hangat dengan era Reformasi, maka ramai di kalangan masyarakat Islam mempercayai pendapat tokoh agama tersebut. Akibatnya, ramai umat Islam yang tidak ambil peduli tentang cerita sebenar yang berlaku pada ahli pertubuhan tersebut dan juga nasib malang yang menimpa keluarga mereka. Sebagai kesan tambahan, ramai juga di kalangan masyarakat Islam terus menerus menyalahkan kerajaan kerana cuba bersandiwara untuk memburuk-burukkan Islam. Setelah semua ahli al-Maunah dijatuhi hukuman, barulah masyarakat sedar bahawa kejadian itu bukanlah satu sandiwara sebagaimana yang dinyatakan oleh para tokoh agama. Tiada siapa yang sanggup mati di tali gantung untuk berlakon bagi pihak orang lain. Malangnya, walaupun setelah empat pemimpin al-Maunah  menjalani hukuman gantung sampai mati, tiada seorang pun tokoh agama yang berkaitan menarik balik kenyataannya.

Daripada dua peristiwa ini, ia menggambarkan bahawa masyarakat mudah percaya terhadap apa yang diperkatakan oleh golongan agamawan. Apa yang ditafsirkan oleh tokoh agama akan terus mendapat tempat dalam masyarakat. Dari sudut pandang yang lain, masyarakat Islam tidak bersikap kritis dalam menerima pandangan mereka. Malahan, ada individu yang terus menjadikan sudut pandang mereka itu sebagai sebahagian dari sistem nilai dan worldview dirinya dalam beragama.

Apa yang pasti, apabila seseorang tokoh agama memberi pandangan, maka ia tidak terkecuali dari kemungkinan tersalah. Kemungkinan itu ada, namun ia tidak mencacatkan nilai kredebilitinya sebagai seorang ilmuan Islam. Kesilapan pandangan mereka tidak menurunkan darjahnya sebagai seorang yang berilmu. Ini menjelaskan lagi konsep Islam yang tidak memberikan taraf ke’maksum’an kepada para agamawan sebagaimana agama Kristian Katolik. Dalam Islam, hanya kata-kata Rasulullah s.a.w. sahaja yang sentiasa betul dan wajib diterima.

Panduan Dalam Beragama

Sebagai panduan, kita perlulah membina keupayaan untuk menyaring sebarang pandangan yang datang daripada mana-mana tokoh agama. Ini bermaksud, kita tidak perlu terburu-buru untuk membuat keputusan menyebelahi pandangannya atau menerimanya bulat-bulat. Sewajarnya, kita hendaklah berhati-hati untuk memilih mana satu pendapat mereka yang boleh mempengaruhi kita dalam hidup beragama. Bersikap kritis terhadap pandangan tokoh agama tidak mengurangkan nilai iman kita selagi kritikan kita itu tidak terang-terangan bercanggah dengan akidah Islam.

Sekiranya pandangan tokoh itu bersandarkan teks al-Quran dan hadith, hendaklah kita melihat bagaimana teks tersebut ditafsirkan oleh sarjana klasik ‘yang diperakui’ (muktabar). Kita juga perlu melihat sejauhmana konteks teks itu diaplikasikan secara tepat ke dalam peristiwa yang dibicarakan oleh tokoh tersebut. Sekiranya kita tidak berkemampuan untuk membuat dua kaedah penilaian tersebut, maka adalah dicadangkan untuk kita mendapatkan ‘pandangan kedua’ daripada tokoh yang lain. Kemudian, bolehlah kita mempertimbangkan semua pandangan tersebut, di samping bersabar dengan mengikuti perkembangan peristiwa atau isu semasa yang menjadi bahan perbincangan. Akhirnya nanti, penghujung cerita dalam peristiwa itu akan memberitahu kita pandangan siapakah yang lebih tepat. Dalam erti kata yang lain, apabila seseorang tokoh agama memberikan pandangan tentang sesuatu isu, hendaklah kita memberi ruang untuk pandangan itu dinilai terlebih dahulu.

Wa-Allahu ‘alam. Allah lebih Mengetahui.

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

:: Artikel Berkaitan

© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.

Share
  1. ana suka artikle ini.’ketaksuban’ pada ‘tokoh’ merencatkan kemurnian beragama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>