Cinta Para Pelapor Hadis
Para Sahabat sangat mencintai Rasulullah s.a.w. Salah satu cara menzahirkan kecintaan mereka, para Sahabat akan menyimpan kata-kata Rasulullah s.a.w. dalam memori mereka. Para Sabahat ini mengambil kata-kata melalui dua cara. Pertama, secara langsung ketika mereka mendampingi Rasulullah. Kedua, mengambilnya daripada para Sahabat yang pernah mendengar dari baginda.
Kekuatan daya ingatan di kalangan generasi awal Islam begitu terserlah. Mereka bukan sahaja menghafal wahyu iaitu al-Quran yang diturunkan secara berperingkat, mereka juga berusaha menghafal kata-kata Nabi. Ini sekali gus menggambarkan bahawa kata-kata Nabi s.a.w. adalah sumber perundangan, terutamanya bagi memahami maksud al-Quran dan bentuk pelaksanaan sesuatu peraturan agama.
Terdapat beberapa Sahabat yang begitu banyak menghafal kata-kata Rasulullah s.a.w. Para Sahabat ini mempunyai latar diri yang begitu istimewa sehingga membolehkan mereka menjadi pelapor hadis terbanyak. Sebagai contoh, Abdullah ibn Mas’ud. Beliau adalah antara orang muda yang terawal memeluk Islam di Makkah. Persahabatannya dengan Rasulullah s.a.w. begitu lama sekali. Selain itu, ada seorang sahabat bernama Anas bin Malik. Beliau adalah orang yang paling lama memberi khidmat secara peribadi kepada Rasulullah s.a.w. Banyak perkara dan kehidupan baginda s.a.w. yang direkodkannya. Tokoh ketiga ialah isteri Rasulullah s.a.w. sendiri, Aisyah bint Abu Bakar. Aisyah adalah antara isteri baginda yang banyak melaporkan kehidupan Rasulullah s.a.w. dalam alam rumah tangga. Ketiga-tiga tokoh ini begitu berjasa dalam dunia perkembangan ilmu hadis kerana latar belakang dan perhubungan mereka dengan Rasulullah s.a.w.
Selain daripada para tokoh di atas, terdapat juga tokoh lain yang begitu gigih berusaha untuk merekodkan hadis dalam ingatan mereka dan melaporkannya. Contohnya, Abdullah ibn Umar, Abdullah bin Amru dan juga Abu Hurairah. Walaupun kedua-dua Abdullah itu begitu muda ketika Rasulullah masih hidup, manakala Abu Hurairah lambat memeluk Islam, tetapi mereka begitu bersemangat dan gigih dalam menghafal kata-kata Nabi.
Kesungguhan para tokoh pelapor hadis ini sangat perlu dihargai. Kesungguhan itu adalah lambang cinta mereka kepada Nabi s.a.w. Natijah daripada usaha mereka, iman dan Islam sampai kepada kita pada hari ini.
Oleh,
MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.















Salam, saya mengabadikan nama perawi sebagai nama anak. Yang anak perempuan dok pikir lagi ni. Baru dapat!
Wa’alaikumussalam, Abe Ise…
Mu pilih nama gapo?