Solat Benteng Diri
Solat akan mencegah seseorang daripada melakukan kemungkaran. Sekiranya inginkan kekuatan agar boleh meninggalkan tabiat maksiat dan ketagihan melakukan dosa, maka dia perlu memulakannya dengan bersolat. Maksudnya, dia perlu secara konsisten menunaikan solat dan memohon kepada Allah agar diberi kekuatan. Supaya dirinya kuat menentang ajakan syaitan dan bisikan nafsu yang menggoda. Agar dirinya kukuh jiwa dalam memilih jalan iman dan amalan yang baik.
Formula ini diberikan sendiri oleh baginda Rasul s.a.w. Seorang sahabat pernah datang kepada Rasulullah dan bertanya tentang kedudukan seseorang yang bersembahyang, tetapi gemar melakukan maksiat dan dosa. Sahabat itu mengadu:
إِنَّ فُلاَناً يُصَلِّى بِاللَّيْلِ فَإِذَا أَصْبَحَ سَرَقَ. قَالَ « إِنَّهُ سَيَنْهَاهُ مَا يَقُولُ »
Maksud: “Sesungguhnya ada seorang yang bersembahyang pada waktu malam. Apabila waktu pagi, dia mencuri.” Baginda menjawab: “Sesungguhnya apa yang dibaca (solat) itu akan mencegahnya. ” (Ahmad bin Hanbal, Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, Muassasah Qurtubah, Qahirah. jil. 2. hlm. 447, no. hadith: 9777. Dihukum sahih oleh Shuib al-Arnaut)
Aduan sahabat tadi tidak menimbulkan kerunsingan di hati Nabi s.a.w. Ini kerana Nabi Muhammad mengetahui bahawa orang yang dibicarakan itu sedang dalam proses membersihkan diri dan masih mentaati Allah. Bacaan solat yang dibacakannya itulah nanti yang akan membentuk diri orang tersebut. Ini membuktikan juga bahawa memahami makna bacaan dalam solat adalah faktor penentu kepada perubahan seseorang. Ini kerana solat adalah komunikasi kita dengan Allah. Memahami bicara kita dengan Allah ketika solat, akan mengetuk pintu hati kita. Kita akan mengotakan janji kita dalam solat untuk terus hidup dan mati kerana Allah.
Sekiranya seseorang ingin berubah, meninggalkan dosa dan maksiat, maka mulakanlah dengan konsisten bersolat dan faham maksud bacaan di dalamnya. Inilah langkah pembaikan diri yang betul, yang akhirnya akan membantu seseorang berubah.
Pandangan yang mengatakan bahawa Allah tidak menerima solat yang tidak mencegah pelakunya dari maksiat adalah pandangan yang tidak tepat. Hadith yang menjadi sandaran mereka juga dihukumkan lemah oleh para ulama hadith.
Catatan ringkas,
MOHD. AL ADIB SAMURI
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.














