Titik-titik Noktah Dosa
Bertambah lagikah noktah hitam di hatiku hari ini? Seawal pagi, syaitan sudah membisik pelbagai perkara untuk diingati. Syaitan sudah mengasak hati untuk melakukan dosa. Seawal pagi apabila membuka kelopak mata!
Hari belum lanjut ke malam. Namun, aku rasakan titik hitam itu makin bertambah. Mewarna gelap di kamar hati. Hingga sukar cahaya hidayah menyuluh tindakan harianku. Membuatkan aku teraba-teraba mengemudi kehidupan saban waktu. Titik noktah semakin bertambah, yang entah berapa.
Benarlah kata-kata kekasih-Mu, wahai al-Rahman. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِى قَلْبِهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فَإِذَا هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ سُقِلَ قَلْبُهُ وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ
Maksud: Apabila seseorang hamba itu melakukan dosa, satu titik hitam akan ada di hatinya. Sekiranya dia berhenti melakukan dosa, memohon keampunan dan bertaubat, hatinya akan bersih semula. Tetapi, sekiranya dia mengulanginya, titik hitam itu akan bertambah sehingga memenuhi hatinya. (Muhammad bin Isa, al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 5, hlm. 434, no. hadith: 3334. Hadis hasan sahih)
Namun, seringnya aku terlupa untuk meminta keampunan. Setelah kalah mudah tanpa pertarungan dengan syaitan bersekutukan nafsu. Malah hatiku rasa senang sekali dengan bisikan syaitan dan dosa-dosa itu. Bagaimanalah hendak menanam rasa benci pada dosa, kalau hatiku sendiri lebih selesa dengan dosa. Bagaimana harus aku berubah kalau membuang titik itu pun adalah suatu yang susah.
Wahai Tuhan yang Maha Pengampun! Ampunilah aku yang selalu melakukan dosa dan kesalahan. Sama ada secara sedar sengaja ataupun tidak. Sama ada terbuka di lihat manusia ataupun tidak. Ampunilah aku, hamba-Mu yang kerdil dan lemah. Maafkan aku yang tidak banyak memohon ampun pada-Mu. Hamba-Mu ini selalu kalah. Kalah dalam memilih antara kebaikan dan kejahatan. Lesu untuk bertahan dari ajakan syaitan. Ya Allah, jadikanlah permohonanku ini sebagai pemadam titik noktah hitam di hati. Jadikanlah aku hamba yang tidak jemu menagih keampunan kepada-Mu.
Oleh,
MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.















Assalamualaikum ustaz…mohon utk dicopy ke dlm blog sy..terima kasih.