Tokoh Pembaharu dan Mazhab
Dalam sejarah perkembangan fekah Islam, terdapat ramai sarjana yang memperjuangkan gerakan pembaharuan. Mereka mengajak masyarakat Islam mengetahui dan memahami dalil dalam beragama. Mereka juga mengkritik sikap masyarakat yang suka ikut membuta tuli dalam beragama tanpa usaha untuk merujuk kepada dalil yang asal. Bagaimanapun, perjuangan mereka sering disalah fahami oleh pelbagai pihak, termasuklah rakan seakademik mereka.
Sebenarnya, para sarjana pembaharu (reformer) beroperasi dalam kerangka undang-undang yang telah sedia ada dalam keilmuan Islam. Mereka tidak memperkenalkan sebarang perubahan penting dalam aspek sumber, teknik, konsep dan prinsip umum Syariah.
Untuk menerangkan keadaan ini, kita ambil seorang tokoh pembaharu yang bernama Ibn Taimiyyah. Dalam sejarah, beliau berperanan besar dalam menjalankan aktiviti keilmuan yang mengutamakan dalil-dalil yang sahih. Tetapi beliau beroperasi dalam kerangka Mazhab Hanbali dan tidak pernah keluar dari mazhab itu. Beliau juga tidak memperkenalkan sebarang pembaharuan penting berkaitan prinsip dan aturan undang-undang awam Syariah yang telah dibentuk oleh para sarjana mazhab sebelumnya. Perkara yang sama berlaku pada semua tokoh ilmuan yang memperjuangkan idea yang sama dengan Ibn Taimiyyah.
Ini bermakna para sarjana pembaharu, tidak melarikan diri daripada mazhab yang mereka pelajari. Baik dalam perkara akidah mahupun fekah. Mereka akan mengeluarkan pandangan dan fatwa berasaskan mazhab mereka diasuh. Dalam mengeluarkan hukum, mereka masih menggunakan metodologi sesuatu mazhab.
Fokus para sarjana pembaharu ini hanyalah satu. Masyarakat hendaklah merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Dalam mengikuti mana-mana mazhab, masyarakat perlu belajar dalil-dalil dalam mazhab tersebut. Ini supaya masyarakat beragama berasaskan dalil yang sahih. Kerja dakwah dan aktiviti keilmuan para ilmuan pembaharu berkisar pada fokus tersebut. Sekiranya dalil dalam mazhab tersebut tidak sahih atau lemah, maka masyarakat diajak untuk menerima dalil yang lebih sahih. Dalil yang lebih sahih itu pula biasanya ada dalam mazhab yang lain. Ini bermakna para sarjana ini tidak menolak mazhab atau menafikan kepentingan mazhab dalam beragama.
Fakta ini sekaligus menolak tuduhan para pengkritik ulama pembaharu. Antara tuduhan itu seperti berikut:
a. tokoh pembaharuan menolak ijmak (kesepakatan ramai) di kalangan para sarjana sebelumnya.
b. tokoh pembaharuan menolak mazhab dan menghalang orang daripada mengikut apa-apa mazhab.
Kedua-dua tuduhan ini tidak berasas dan tidak logik. Ini kerana semua tokoh itu terikat dengan metodologi mazhab mereka yang mengiktiraf ijmak sebagai salah satu sumber perundangan. Selanjutnya, bagaimana mungkin mereka menolak mazhab sedangkan mereka menulis karya ilmiah berasaskan pandangan pelbagai mazhab. Tambahan pula, semua tokoh pembaharuan yang utama dalam sejarah adalah imam-imam tersohor dalam mazhab fekah tertentu.
Oleh,
MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.















salam…apa pendapat ustaz tntg wahabi n ajaran y smkn menular d uia skrg?
Wa’alaikumussalam. Wahabi adalah satu aliran dalam Ahli Sunnah wa al-Jamaah.