Panduan Beragama di Alam Maya
Apabila membincangkan isu-isu berkaitan hukum dan masalah fiqhiyyah, berikut adalah pedoman yang perlu kita sematkan dalam diri kita terutamanya apabila membincangkannya dalam alam maya:
a. Hendaklah berlapang dada apabila ada individu memberi pandangan berbeza dengan memberi peluang kepadanya untuk menyampaikan pendapatnya.
b. Hendaklah kita insafi bahawa isu dan topik yang dibawa telah dibincangkan oleh para ulama. Para ulama ini pula mempunyai pandangan yang pelbagai dan berbeza-beza atara satu sama lain. Justeru, hendaklah kita tahu bahawa setiap pendapat ulama itu mempunyai sandaran dalil mereka sendiri dan berdasarkan kefahaman dan kapasiti mereka.
c. Hendaklah menjaga emosi daripada mengkritik ulama dan pandangan yang tidak sehaluan dengan kita. Lebih buruk lagi apabila kita menggunakan istilah ‘ulama jahat’, ‘ulama dunia’, ulama syaitan dan seumpamanya. Ini menggambarkan kita tidak beradab dengan ulama lain walaupun kita menuding jari kepada orang lain agar beradab dengan ulama aliran kita.
d. Hendaklah menginsafi bahawa jika seseorang berbeza dengan kita, tidak semestinya nilai ‘religiousity’nya lebih rendah dari kita. Justeru, berhentilah daripada menggunakan bahasa seperti “Bertaqwalah kepada Allah”, “sesat menyesatkan”, “jalan kekafiran” dan sebagainya.
e. Hendaklah kita memahami dengan betul topik yang dibincangkan. Sebagai contoh, apabila membincangkan isu BID’AH, maka topiknya ialah yang berkaitan ibadah sahaja. Adalah tidak relevan kalau kita memberi penerangan dan contoh yang tidak berkaitan ibadah. Sebab BID’AH adalah perkara tambahan dalam IBADAH. Justeru, jauhilah kenyataan yang tidak relevan dengan topik BID’AH. Sebagai contoh, “Nabi tidak pernah mengajar kita membuat tesis Ph.D. dan juga zaman Nabi tidak pernah ada komputer dan alatan teknologi dan adakah itu juga bid’ah.” Perbincangan sebegini tidak relevan dan tidak menetapi kaedah perbincangan yang sebenar. Perbincangan yang relevan ialah memandu pembaca dengan mengemukakan fakta, konsep asas ataupun dalil.
Oleh,
MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.














