subscribe: Posts | Comments

Doaku Seputih Salju

7 comments
Doaku Seputih Salju

Masjid Emir Sultan, Bursa, Turkey.

Tuhanku,
hari ini aku membawa seorang hamba-Mu,
bertamu di satu rumah-Mu di bumi Bursa ini,
seorang hamba yang sedang mencari siapa Tuhannya,
anak muda yang mengembara dari timur dunia.

Ya Allah,
kami kebasahan ditimpa simbahan hujan, 
kami kesejukan dihambur angin petang.

Tuhanku, Ya Allah…
di masjid usang ini aku berbicara,
aku kenalkan dia tentang siapa Kamu,
tiang-tiang menjadi saksi kata-kataku,
tentang risalah para utusan-Mu,
dari Ibrahim a.s. sehinggalah Muhammad, 
bahawa Tuhan itu hanya Satu.

Tuhanku,
hari ini hamba-Mu yang seorang ini,
kubawakan dia melihat para mukmin menyembah-Mu,
julung-julung pertama kali dalam hidupnya,
melihat ada manusia meletak kepala di bumi,
menghina diri di hadapan Ilahi.

Tuhanku,
hamba-Mu itu kutitipkan di sudut pinggir jendela,
empangan air mata tiada lagi bertahan,
sayu sekali wajahnya melihat manusia
sedang menyembah Tuhan,
sungguh terkesan di perdu hatinya,
jiwa meronta kembali ke fitrahnya.

“Hormat dan sayang sungguh kalian kepada Tuhan kalian.”
Kata-kata yang terungkap dari bibirnya,
Wajahnya membentak jawapan tentang siapakah Tuhan…
membuatkan aku berdoa lirih dan panjang,
agar hidayah, Dikau titipkan untuk hamba-Mu itu.

Wahai Tuhan pemilik hati!
Wahai Tuhan pemilik hidayah!
rezekikanlah dia menjadi seorang hamba
yang beriman akan ke-Esaan-Mu,
jadikanlah di hujung pencarian hidupnya,
bertemu Engkau sebagai Tuhannya.

Pada malamnya, dia bertanya kepadaku,
tentang 99 nama-Mu yang tertulis indah,
Dia membisik, “bisakah aku akan menghafalnya…”
Tatkala kami mengangkat takbiratul ihram memuja-Mu,
Dia membisik lagi, “Hatiku bergetar!”

Ya Allah, berikanlah ISLAM di hatinya.

Oleh:

Mohd. Al Adib Samuri

Bingkisan indah untuk Won, Korea. 
di Emir Sultan Jamii, Bursa, Turkey.

:: Artikel Berkaitan

© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.

Share
  1. Nizam (London) says:

    Assalamualaikum Warah Matullahi Wabarakatuh.

    Ustaz,

    Apakah sudi kiranya dibingkiskan doa dan kisah kelana ummah kerana ilmu. Kalau boleh dipautkan dengan sirah sekali, alangkah bagusnya. Kongsikan bersama sahabat-sahabat yang lain. Sekadar pertanyaan yang tidak seberapa. Terima kasih.

  2. Salam… Alangkah indahnya jika aku didoakan seperti pemuda itu! Yang sentiasa mencari, akan menemui. Yang menemui akan terus mencari… Terasa tidak menemui itulah rasa orang yang menemui! Kita? Ya… alan terus mencari!

  3. Wa’alaikumussalam. Ana akan mendoakan juga Ustaz. :-)

  4. Wa’alaikumussalam warahmatullah…

    Akhi Nizam yang dikasihi.

    Moga Allah memudahkan safarmu di bumi Allah belahan utara dunia. Betapalah dirimu sedang dinaungi sayap-sayap malaikat yang tidak jemu mendoakan para penuntut ilmu.

    Insya Allah, ana akan membingkiskan kisah para ulama’ yang gigih dan ikhlas belajar dan menyampaikan dakwah.

    Terima kasih atas cadangan. Semoga siap segeralah kajian PhD kita sama-sama. :-)

  5. salam…indah sekali bait2 yang terungkap…menusuk terus ke hati…semoga Allah memberikah hidayahNya! amin…

  6. Wa’alaikumussalam… Amin…

  7. salam ustaz,
    sungguh islam itu indah. ukhwah terjalin dengan kasih setulusnya kerana Allah. dalam perjalanan menuju Tuhan, alangkah indah memiliki teman yang sentiasa mendoakan kebaikan. alhamdulillah… selain hidayah dariNya, kita juga harus mahu dan terus mencari. semoga usaha ustaz tidak pernah berhenti. amin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>