Iktibar Kapadokya
I
Bani insan dahulukala,
sanggup berumah di bawah tanah,
kerana ingin mempertahan akidah,
bahawa Tuhan itu hanyalah Allah.
Mereka umat pendahulu Muhammad,
pengikut Isa anak Maryam yang mulia,
mereka sabar biarpun Rom menghambat,
melarut iman di dalam jiwa,
menentang pagan dan segala dewata.
Mereka berkampung di kota ini,
ratusan tahun sebelum datangnya Nabi terakhir,
Di dalam tanah mereka bersembunyi,
agar iman kekal terukir.
II
Kota sepi ini kudatangi,
rumah-rumah busut tinggi berdiri,
terhampar indah sejauh saujana,
menyimpan rahsia berbagai cerita.
Namun kota ini bukan lagi,
penanda iman warga peribumi,
sebagaimana nenek moyang mereka,
menghiris hatiku secebis-cebisnya.
Aku lemas di sini,
anak muda mabuk di puncak bukitnya,
sana-sini arak terjual merata,
malah aku ditawarkan arak untuk dirasa.
Masjid pula berhantu sepi,
tempat si tua menunggu mati,
azan yang bergema di lembah ini,
tidak mengetuk jendela hati.
Kubingkiskan padamu, Kapadokya,
Engkau menjadi saksi kepada dua generasi,
zaman umat bermandi darah kerana akidah,
zaman umat bermandi arak melupakan Allah.
Coretan kenangan,
MOHD AL ADIB SAMURI
Gerome, Kapadokya, Turkey.
Januari 2010.
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.















