Pages Menu
Categories Menu

Posted by on Apr 3, 2010 in Pelembut Hati | 13 comments

Apabila Engkau Terasa Sepi

Apabila Engkau Terasa Sepi

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Dirimu sering mengadu tentang kesepian yang melanda jiwa. Tiada siapa yang boleh berkongsi ketawa dan tangisan bersama, katamu. Jiwa menjadi kosong, tanpa apa-apa makna. Tiada sesiapa yang hadir mengisi hidupmu.

Maka, apabila dirimu terasa sepi sekali, ketahuilah ada yang boleh menghiburkanmu. Berhiburlah dengan membasahkan lidah membaca kalimah firman-Nya, al-Quran yang mulia. Engkau akan terhibur dengan janji-janji Allah yang akan memberikanmu syurga. Terhibur dengan semua keindahan yang tercipta di dalamnya. Ini kerana syurga adalah tempat paling membahagiakan. Juga, engkau akan terhibur dengan kisah para kekasih Allah di dalamnya.

Apabila dirimu digigit kesepian, Allah boleh melepaskannya. Datanglah bersujud kepada Allah. Dengan sujud yang panjang. Khabarkanlah segala masalahmu, ceritamu, deritamu, suka dukamu, kisah hitammu. Bukan kerana Dia tidak pernah tahu tentang keadaanmu, tetapi Dia sangat suka mendengar apa yang engkau resahkan. Dia sangat setia menanti tiap butir rayuan yang keluar dari bibirmu. Pernahkah engkau bertemu dengan makhluk-Nya yang sudi mendengar seperti itu? Tidak bukan? Luahkanlah kepada Allah, Dia al-Hannan, Tuhan yang Maha Baik untuk mengubat kesepianmu. Ketahuilah, sekali engkau mendekati Dia, seribu kali Dia merapatimu.

Apabila engkau tidak bisa bebas dari penjara kesepian, Tuhanmu berkuasa meruntuhkan jerijinya. Akan diruntuhkan dengan kasih sayang dan perhatian-Nya. Ketika itu dirimu tidak akan kesepian lagi. Walau engkau seorang diri, tetap hatimu akan terasa adanya Allah menemani hidupmu. Sungguh, dialah ‘Teman yang Maha Tinggi’ di daerah yang tertinggi. Apabila engkau mengingati-Nya selalu, engkau akan terasa setiap perkara yang engkau lalui adalah tanda kasih-Nya pada dirimu yang kerdil itu. Engkau akan tidak jemu merayu dan menagih kepada-Nya agar kasih-Nya itu tidak pergi dari dirimu.

Allah sendiri mengingatkan kepada kita, agar berceritalah dengan-Nya selalu. Dari Abdullah bin Mas’ud bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ نَزَلَتْ بِهِ فَاقَةٌ فَأَنْزَلَهَا بِالنَّاسِ لَمْ تُسَدَّ فَاقَتُهُ وَمَنْ نَزَلَتْ بِهِ فَاقَةٌ فَأَنْزَلَهَا بِاللَّهِ فَيُوشِكُ اللَّهُ لَهُ بِرِزْقٍ عَاجِلٍ أَوْ آجِلٍ

Maksud: Sesiapa yang ditimpa oleh kesukaran hidup dan dia mengadu hal itu kepada orang lain, maka kesusahannya tidak akan dihilangkan. Dan sesiapa yang ditimpa dengan kesukaran hidup dan dia mengadu kepada Allah tentang hal itu, maka Allah akan mengurniakan rezeki (jalan keluar) dalam masa terdekat atau suatu masa nanti. (Muhammad bin Isa, al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 4, hlm. 563, no. hadith: 2326. Hadith: hasan sahih gharib)

Apabila engkau lemas dengan kesepian, janganlah kesepian itu dibunuh dengan melakukan dosa. Ini akan meresahkan dirimu lagi. Dosa akan mendatangkan gelisah di lubuk hatimu. Sepi yang berganda gelisah akan membuatkan engkau kecewa dengan hidupmu. Hidupmu akan dipancung dengan kekecewaan. Engkau juga akan lelah diburu bayangan dosa itu suatu masa nanti.

Biar bagaimanapun dirimu berteman sepi, Allah tetap ada untuk menerimamu.

Click to Visit Dar-us-Salam Publications
Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

FacebookTwitterGoogle+Share

13 Comments

  1. salam alaik,
    syukran ustaz untuk artikel ni, sangat menyentuh jiwa, terutama ketika menatap hadis yang ustaz sertakan tu..
    Sangat best blog ustaz sekarang, semoga ustaz diberi kekuatan untuk terus menulis…

    ‘HasbunAllahu Wani’mal Wakil’

    • Terima kasih atas doa. Alhamdulillah

  2. Salam ustaz,
    Terkesan sungguh… ada kalanya ana juga sepi, sunyi. Rupa-rupaya itu adalah panggilan Ilahi untuk dekat pada-Nya. Syukran atas peringatan

    • Wa’alakumussalam Ustaz. Semoga kita bertambah dekat dengan Allah.

  3. Salam ustaz, karya yg betul2 menyentuh & menginsafkan..semoga ustaz dpt share lebih bnyk lagi karya utk merawat hati yg dlm kesihan dek perbuatan manusia….izinkan sy share di facebook…terimakasih…

    • Wa’alaikumussalam,

      Puan Na,

      Terima kasih kerana mengkongsikannya kepada orang lain. Silakan.

  4. Salam…

    Alahamdulillah, artikel ini dpt sedikit sebanyak menghilangkan kerungsingan saya dgn masa yg sedang sy hadapi skrg ini…saya yakin Allah hanya menguji sy kerana sy mampu menanganinya…

    • Wa’alaikumussalam.

      Semoga Puan mendapat manfaat. Allah menguji kita kerana kita mampu menggalasnya. Moga Allah memberikan kekuatan kepada kita, pada setiap helaan nafas. Bermohonlah daripada-Nya agar segala urusan kita diuruskan-Nya, tanpa sekelip mata dibiarkan kita keseorangan.

  5. as salam,
    Alhamdulillah, tersentuh hati saya membaca artikel ini. Semoga Allah permudahkan segala urusan.Amin

  6. Assalamualaikum..situasi yang saya sedang alami sekarang..Allah itu Maha Mendengar dan Mengetahui.Kuatkan iman ku ini utk mengahadapi ujian ini Ya Allah..amin. =’(
    izinkan sy berkongsi artikal ini dgn sahabat..trima kasih ustaz.

    • Wa’alaikumussalam. Silakan. :)

  7. ASSALAM…
    Bila ditimpa musibah barulah kita menadah tangan,mengalirkan airmata,berdoa…rupa-rupanya Allah mahukan begitu..selama kita bahagia,kita tidak diuji..kita lupa akanNya….Cuba menguatkan keimanan..moga Allah dengar setiap butir doa..rintihan..
    Setelah membaca artikel ini..rse lebih terbuka pintu hati utk redha atas ketentuanNya..Dia memberikan yang terbaik..Dialah perancang yang terhebat..Pehuhkan hati ini untukNya..Serahkan segala-gala padaNya.. Biarlah Dia yang menentukan..Itulah yang terbaik.. :)

Leave a Reply