subscribe: Posts | Comments

Spesis Syaitan Yang Sama

0 comments
Spesis Syaitan Yang Sama

Safar ke Sabah kali ini terasa indah. Mendung kelabu yang dilihat ketika pesawat mendarat, menyapa sayap yang berliuk. Awan-awan sarat berisi air bagaikan bersedia menitik basah ke bumi. Kedatangan kali ini bukan atas tiket liburan, tetapi melengkapi tugasan penyelidikan yang diamanahkan. Alhamdulillah, kali ini saya akan menemubual tiga orang hakim syariah yang paling kanan di Sabah bersama seorang pendaftar mahkamah syariah. Semuanya atas satu tujuan, membicarakan isu penyelewengan akidah ummah. Untuk makluman, penyelidikan ini membahaskan persoalan berkaitan perlaksanaan undang-undang kesalahan jenayah  akidah di setiap negeri di Malaysia. Mengikut enakmen jenayah Islam negeri-negeri di Malaysia, kesalahan yang terjumlah di bawahnya ialah seperti percubaan murtad, pemujaan salah, ajaran atau doktrin salah dan palsu, dakwaan palsu, menuduh seseorang sebagai kafir (takfir), menghina agama, al-Quran dan al-Sunnah serta mengaku tidak Islam bagi mengelak tuduhan. Namun, setiap negeri mempunyai kandungan enakmen yang berbeza-beza.

Sabah dan Akidah

Temubual mendalam bersama individu yang dihormati ini mencambahkan rasa cinta saya pada agama. Kami berkongsi rasa, harapan bahkan kegusaran apabila membicarakan isu umat ini. Menariknya, isu jenayah akidah di Sabah tidak punya wajah yang sama dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Bayu dinginnya mengkhabarkan kita bahawa mereka punya 22 suku kaum dengan agama yang pelbagai. Justeru, isu keluar masuk agama Islam begitu signifikan untuk dilihat dengan lebih jujur dan berhati-hati. Penilaian perlu lebih mempertimbangkan pelbagai aspek seperti sejarah negeri Sabah, latar belakang masyarakat, kegiatan dakwah dan senario politik.

Alhamdulillah, kemasukan Sabah ke Persekutuan Malaysia memberi kesan kepada kegiatan dakwah Islamiyah di sana. Namun, hari yang berganti tahun, hati manusia boleh gersang tandus jika hujan iman tidak turun. Awan hujan itu tidak dipuput oleh angin dakwah yang konsisten. Pendakwah Islam sama ada yang berjersi jemaah Islam, atau bersongkok kerajaan hanya datang pada waktu tertentu. Maka, sebilangan besar hari-hari dalam hidup mereka tidak subur dengan ilmu Islam. Tidak basah dengan iman dan amal. Malahan, ramai juga orang yang menggunakan nama Muslim untuk tujuan pendaftaran dan kerakyatan, tetapi hakikatnya masih beragama pagan atau mengikut agama Nasrani.  Ada pula yang tidak lagi mengaku Muslim, memandangkan mereka adalah generasi ketiga, anak cucu kepada datuk nenek yang memeluk Islam secara besar-besaran di Sabah suatu ketika dahulu.

Mereka inilah yang membanjiri mahkamah syariah di negeri dingin ini untuk memohon pengisytiharan mahkamah bahawa mereka bukan lagi seorang Muslim. (Angkanya puluhan sahaja dalam tempoh hampir satu dekad). Ada juga yang mendakwa mereka dan ibu bapa mereka tidak lagi dibesarkan sebagai Muslim, walaupun mereka pernah tahu bahawa datuk mereka pernah bergelar sebagai Muslim. Namun, uniknya kad pengenalan mereka tertera perkataan Islam sebagai agama. Itulah sebabnya mengapa mereka membuat permohonan tersebut. Saya juga dimaklumkan bahawa permohonan pengisytiharan ini tidak dibuat oleh individu dari kaum yang sememangnya  beragama Islam secara keturunan. Tetapi, dipohon oleh mereka yang berhijrah kepada Islam daripada suatu agama yang lain. Senario ini memukul-mukul hati saya, menanyakan apa sumbangan diri untuk umat Islam di Sabah?

Apa yang disedari ialah tiada cara yang lebih baik dan indah untuk menangani masalah ini melainkan dengan kerja-kerja dakwah. Membantu individu ini memahami Islam dan mencintai agama ini dengan ilmu. Undang-undang hanyalah secebis usaha mempertahankan maruah agama daripada diperkotak-katikkan individu yang tidak bertanggungjawab. Benarlah kata Nabi s.a.w. sebagaimana berikut yang telah diriwayatkan oleh Mu’az bin Jabal:

قَالَ بَعَثَنِى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ : إِنَّكَ تَأْتِى قَوْمًا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ. فَادْعُهُمْ إِلَى شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنِّى رَسُولُ اللَّهِ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِى كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ فِى فُقَرَائِهِمْ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Maksud: Rasulullah mengutuskan aku, Nabi bersabda: Engkau akan mendatangi Ahli kitab, maka serulah mereka untuk mengucapkan kesaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku ini adalah Rasulullah. Dan jika mereka mentaati seruan itu, kemudiannya ajarkanlah pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan mereka solat lima waktu setiap hari semalam. Dan jika mereka mentaati suruhan tersebut, kemudiannya ajarkanlah pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan  mereka  menunaikan zakat yang diambil daripada orang kaya dan diagihkan kepada orang fakir. Jika mereka taat dengan perkara tersebut, maka janganlah kamu ambil harta yang baik-baik untuk zakat dan takutlah doa orang yang dizalimi kerana tiada ada hijab antara doa tersebut dengan Allah. (Muslim bin al-Hajjaj,Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut: jil. 1, hlm. 50, no. hadith: 29)

Daripada hadith di atas, dapatlah difahami bahawa dakwah itu terancang, bersistem dan punya ‘milestone’ tersendiri. Moga para pendakwah memahaminya. Akidah itu diutamakan, dibaja dan diperkukuh, agar tidak rosak diancam anasir yang menggugat akidah.

Duri-duri Yang Melukakan Akidah

Membicarakan isu ancaman terhadap akidah tidak terhad kepada gejala murtad sahaja. Tetapi, ia turut merangkumi pelbagai jenis perkara yang dikenal pasti sebagai racun kepada akidah, terutamanya ancaman ajaran sesat. Di Malaysia, sebahagian kesalahan itu telah diangkat menjadi peruntukan undang-undang sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini. Keprihatinan umat tentang isu ini juga terjelma menerusi pelbagai usaha dakwah, penyebaran ilmu malahan penerbitan filem dan drama dalam rangka mempertahankan akidah umat.

Pada akhir tahun 2008 yang lalu, golongan karyawan filem di Indonesia turut menyumbang untuk berdakwah dalam isu ini. Filem yang diberi judul MENGAKU RASUL: SESAT ini, saya letakkan dengan nota ‘wajib tonton’ bagi umat Islam di Malaysia yang pastinya telah jemu dengan streotaip drama ‘ajaran sesat’ di kaca TV. Garapan skripnya sangat baik, sentuhan cinematografi yang mengasyikkan dan unsur tarbiah yang tertanam dalam. Ia memaparkan kisah Guru Samir yang mengaku dirinya utusan Tuhan, rasul bagi umat akhir zaman ini. Namun, sesesat itupun masih punya pengikut, ditambah dengan daya kreatif Guru Samir menipu manusia jahil. Penampilan hero, seorang anak muda yang mabuk rock lagi kecamuk cinta, telah memberikan penonton satu subteks yang terang, iaitu: sejahil-jahil anak muda rock pun tahu tiada rasul selepas Nabi Muhammad  s.a.w. Ingatlah pesan Nabi s.a.w.:

‏‏ لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُبْعَثَ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ قَرِيبٌ مِنْ ثَلاَثِينَ كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ رَسُولُ اللَّهِ

Maksud: Kiamat tidak akan terjadi sebelum dibangkitkan dajjal-dajjal pendusta yang berjumlah sekitar tiga puluh orang, semuanya mengaku bahawa dia adalah utusan (Rasul) Allah(Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, Beirut: Dar Ihya’ al-Turathi al-Arabi, jil. 4, hlm. 2239, No. hadith: 84)

Apabila berbicara tentang ajaran sesat, saya suka menyorot kesesatan sesuatu ajaran dan kumpulan dari sudut pandang sosial, sebagaimana berikut:

a.      Para pemimpin ajaran sesat kebiasaannya mempunyai nilai yakin diri yang rendah. Justeru, bagi menempelkan rasa yakin diri yang tinggi, satu image projection perlu dibuat. Jika ilmunya sedikit, maka dia akan berkata bahawa ilmunya diperolehi secara ghaib dari langit, langsung dari Allah. Jika taraf pendidikannya rendah, maka dia akan berkahwin dengan isteri yang berkelulusan tinggi.

b.      Pemimpin ajaran sesat akan sentiasa memikirkan bagaimana mendapatkan kepercayaan masyarakat terhadap dirinya. Jika seorang sasaran datang bertamu, layanan istimewa akan diberikan. Akhlak yang lemah lembut dijadikan umpan untuk memerangkap hati setiap mangsanya.

c.      Sifat escapism manusia akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pemimpin ajaran sesat. Mereka yang lari dari realiti kehidupan dan masalah ini memerlukan tempat untuk mereka menjadi individu yang lain. Atas nama hijrah dan taubat, ramai yang telah cuba berubah, namun sebenarnya mereka sedang beramal dengan teori escapism. Inilah yang dicintai oleh pemimpin ajaran sesat. Mereka ini mudah dieksploitasi.

d.      Pemimpin ajaran sesat bukan  ahli silap mata, tetapi pelbagai teknik akan digunakan bagi menghiburkan hati pengikutnya bahawa dirinya adalah seorang yang suci, orang Tuhan, dekat dengan Nabi dan pelbagai lagi taraf jawatannya. Ibadah dan penampilan lahiriyah seringkali digunakan bagi menjerat rasa takjub pengikut terhadap pemimpin ajaran sesat.

Bagaimanapun, kesukaran membasmi ajaran sesat bukanlah suatu perkara yang boleh dinafikan. Berperang dengan mereka memerlukan ketahanan jiwa yang utuh, memakan masa yang panjang dan kecerdikan yang bukan sedikit. Kebenaran tetap akan menang di atas kebatilan. Menegak dan menerangkan kebenaran adalah tugas setiap Muslim yang beriman pada Allah dan Rasul-Nya.

Ukuran Kebenaran

Dalam usaha jihad menerangkan kesesatan sesuatu ajaran, seringkali saya bertembung dengan isu ‘ukuran kebenaran’. Banyak kumpulan ajaran sesat telah mengindoktrinasi pengikutnya bahawa jemaah mereka direstui oleh Allah dan Rasul dan sudah semestinya berada di landasan kebenaran. Para pengikut mereka meletakkan faktor perkembangan dan kelangsungan ajaran mereka sebagai indikator kepada kebenaran jemaah mereka.

Sesungguhnya, kelangsungan sesebuah kumpulan ajaran sesat selama puluhan atau ratusan tahun, bukanlah bukti kebenaran. Kekebalan mereka daripada dihapuskan oleh kekerasan tindakan pemerintah dan pengharaman ulama juga bukanlah bukti mereka adalah orang yang benar. Kejayaan mereka membangunkan projek kebajikan atau ekonomi juga bukan kayu ukur kebenaran. Kebenaran diukur menerusi kerangka al-Quran dan al-Sunnah, sebagaimana yang difahami oleh golongan Salafusoleh. Jika tidak berpegang dengan kefahaman Salafussoleh, kita akan terpesona dengan para pemimpin ajaran sesat yang semuanya petah berbicara dan bijak mentafsir sendiri ayat al-Quran dan al-hadith. Jangan sangka mereka tidak menggunakan ayat al-Quran dan hadith. Tetapi, perbezaan tafsiran itu yang mengeluarkan mereka daripada jalan Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah.

Perlu juga difahami bahawa peperangan ulama menentang ajaran sesat berlangsung sekian lama, berganti dari satu generasi ke satu generasi. Para ulama meninggalkan warisan karya penulisan mereka untuk dibaca oleh generasi kemudian tentang kesesatan kumpulan dan aliran tertentu di zamannya. Semuanya ini dibuat atas keyakinan bahawa ancaman terhadap akidah ini akan berterusan sehingga ke akhir zaman dan umat perlu dibekalkan dengan ilmu yang padu dan jitu. Segala usaha para ulama dan pendakwah ini sejajar dengan penegasan Nabi s.a.w. Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله , ينفون عنه تحريف الغالين وانتحال المبطلين وتأويل الجاهلين

Maksud: Ilmu ini akan dibawa oleh setiap generasi pengganti yang adil, mereka akan menafikan penyelewengan golongan melampau, menghapuskan golongan pemalsu dan menghapuskan takwilan orang-orang jahil(al-Tabrani, Sulaiman bin Ahmad. Musnad al-Syamiyin, Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1984, jil. 1, hlm. 344, No. hadith: 599)

Hadith ini membuktikan bahawa Islam akan tetap terpelihara dari sebarang serangan daripada tiga kelompok:

a.                Penyelewengan golongan yang melampau. Golongan ini melampau dalam beragama dengan menambah apa yang telah diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah.

b.                Dakwaan palsu golongan yang batil. Golongan ini membuat dakwaan-dakwaan palsu atas nama agama. Hal itu dilakukan dengan cara mencipta kefahaman yang palsu atau menokok tambah ajaran agama tanpa berasaskan kepada dalil yang kukuh.

c.                Takwilan golongan yang jahil. Golongan jahil yang mentakwil (mentafsirkan) nas-nas agama tanpa menggunakan kaedah Islam yang betul. Perkataan jahil bukan bermaksud bahawa mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan langsung. Tetapi mereka adalah golongan yang jahil mengenai kaedah pentafsiran dan pemahaman yang betul terhadap nas-nas agama.

Biarpun para ulama telah berusaha zaman berzaman, ketiga-ketiga golongan sesat ini tetap muncul atas nama, cara, pendekatan, pergerakan dan lokasi geografi yang berbeza-beza. Tetapi, nada dan warna mereka sama kerana syaitan yang menggoda, datangnya dari spesis yang sama.

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

:: Artikel Berkaitan

© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>