subscribe: Posts | Comments

Keranda Berat: Beratkah Dosanya?

0 comments

Drama IHSAN. Saya suka sekali menontonnya. Biarpun tidak memenangi Drama Terbaik dalam Anugerah Skrin TV3, IHSAN memberi kesan berbeza pada ramai penontonnya. Kisah anak derhaka, versi dunia moden, lebih-lebih lagi pada dua scene terakhir yang sangat menyentuh dan menyentak hati. Tahniah kepada Ustaz Zabidi Mohamed, penulis skrip drama IHSAN, juga seorang pengkarya gigih yang memecah tradisi ‘drama dakwah’. Alhamdulillah, tajuk IHSAN itu sendiri adalah cadangan daripada saya, setelah perbincangan dengan Ustaz Zabidi. (Tetapi, saya tidaklah terlibat dalam proses kreatifnya). Kalimah IHSAN bermaksud berbuat baik, sesuai dengan setiap firman Allah yang mewajibkan kita berbuat baik kepada ibu bapa.

وَوَصَّيْنَا الإنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا

Maksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.  (al-Ahqaf: 15)

IHSAN: Cerita yang Menginsafkan…

Tanpa ragu, drama IHSAN mengingatkan kita tentang kematian dan juga ketaatan pada ibu bapa. Ia membawa kita menginsafi hakikat pembalasan yang akan kita terima bermula daripada jendela alam barzakh. Antara syurga atau neraka.

Berbicara tentang kematian, terdapat satu perkara menarik untuk dikupas iaitu berkenaan pandangan masyarakat tentang tanda-tanda kematian.  Kesimpulannya, ia membicarakan tentang sama ada seseorang itu mati baik atau tidak. Berakhir dengan khusnul khatimah atau su’ul khatimah. Semuanya adalah spekulasi yang bersandarkan kepada tanda-tanda tertentu.

Apakah tanda-tanda tersebut? Keranda mayat menjadi berat, seribu aral melintang jalan, kenderaan jenazah tiada, masalah pengurusan jenazah yang serabut lagi menyerabutkan, tiada imam yang menyembahyangkannya, nanah dan darah yang melimpah dari anggota jenayah, dan seribu macam tanda lagi yang meniti di bibir masyarakat. Semuanya ini dilihat oleh masyarakat kita sebagai suatu tanda kepada status kematian seseorang.

Keranda Berat: Maksud Yang Tersirat

Dalam sekian banyak tanda kematian, keadaan keranda dan mayat yang berat dilihat sebagai antara simptom utama seseorang itu memikul dosa yang berat juga. Dalam banyak laporan media, sama ada majalah kecil, akhbar tabloid mahupun drama Melayu, simptom ini tidak terlepas untuk dimasukkan sebagai plot dan olahan utama laporan atau penceritaan.

Persoalannya, adakah keadaan keranda dan jenazah yang begitu berat yang diangkat oleh manusia normal dengan jumlah yang juga normal menggambarkan pembalasan azab seksa dan neraka untuk si mati? Soalan ini sudah lama dijawab oleh ‘ustaz’ rujukan media sebagai suatu tanda yang pasti. Lebih-lebih lagi kalau ia diiringi dengan tanda-tanda yang lain pula. Maka, jadilah ia satu ‘scene’ wajib yang diharapkan dapat menimbulkan keinsafan.

Apakah pandangan ulama tentang isu ini?  Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi telah ditanya tentang keadaan mayat yang berat dan ringan, sama ada ia berkaitan dengan amalan seseorang? Atau berkaitan dengan sifat fasiq si empunya diri? Majlis Fatwa menjawab:

“Kami tidak mengetahui faktor-faktor penyebab kepada ringan atau beratnya sesuatu jenazah melainkan faktor fizikal iaitu kurus atau gemuknya badan si mati. Manakala dakwaan orang bahawa ia menunjukkan kemuliaan si mati sekiranya ringan, dan menunjukkan kefasikannya jika berat, maka ini adalah suatu yang tiada asal (asas) dalam syarak yang suci ini, setakat yang kami tahu.” (Ahmad bin Abd al-Razaq, Fatawa al-Lajnah al-Daimah al-Ilmiyyah wa al-Ifta’, 1996, jil. 11, hlm. 83)

Ada pandangan ulama yang mengatakan orang yang mati shahid akan lebih ringan jasadnya. “Berkata Abu Ali: Aku ditanya berkenaan tentang jenazah yang ringan dan yang berat. Maka, aku berkata: Jika ringan, maka si mati itu adalah seorang syahid. Ini kerana orang yang syahid itu hidup, dan benda yang hidup adalah lebih ringan daripada mayat.” (Muhammad bin Ali Yu’la Abu al-Husain, Tabaqat al-Hanabilah, Beirut: Dar al-Ma’rifah, jil. 2, hlm. 154). Bagaimanapun, keterangan ini tidak boleh diaplikasikan kepada jenazah orang-orang Islam yang mati biasa kerana pandangan di atas hanya mengkhusus kepada mereka yang mati syahid di jalan Allah. Tambahan pula, tidak ada keterangan daripada mana-mana autoriti dan ulama bahawa jika jenazah itu berat, maka banyaklah dosanya.

Pandangan ini berdasarkan kepada hadith daripada Anas bin Malik yang berikut:

لَمَّا حُمِلَتْ جَنَازَةُ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ قَالَ الْمُنَافِقُونَ مَا أَخَفَّ جَنَازَتَهُ. وَذَلِكَ لِحُكْمِهِ فِى بَنِى قُرَيْظَةَ فَبَلَغَ ذَلِكَ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ : إِنَّ الْمَلاَئِكَةَ كَانَتْ تَحْمِلُهُ

Maksud: Ketika diangkat jenazah Sa’ad bin Mu’az, berkatalah orang-orang munafik: Alangkah ringannya jenazahnya ini. Dan ini adalah akibat penghakimannya bagi Bani Quraizah. Maka, telah sampai percakapan itu kepada Nabi s.a.w. Nabi bersabda: Sesungguhnya Malaikat telah mengangkat jenazahnya. (al-Tirmizi, Muhammad bin Isa, al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, jil. 5, hlm. 690. Dihukum sahih oleh al-Albani)

Perkhabaran di atas datang daripada seorang Nabi, yang mengetahui keringanan jenazah itu disebabkan adanya para malaikat yang datang membantu mengangkatnya. Ini kerana Sa’ad bin Mu’az adalah seorang syahid. Justeru, rezeki yang diterima oleh Sa’ad bin Mu’az itu tidaklah juga dirasai oleh orang awam kaum muslimin. Atau dalam erti kata lain, keadaan sedemikian tidak terpakai kepada orang lain kerana tidak terdapat keterangan nas yang menyatakan demikian. Tambahan lagi, beratnya sesuatu jenazah menggambarkan dosa tidak pernah dinyatakan dalam mana-mana nas.

Berbeza bukan daripada teori orang Melayu?

Pengakhiran Yang Baik

Bagaimanapun, terdapat tanda bagi orang-orang yang menemui kematian dengan pengakhiran yang baik. Kematian yang husnu al-khatimah. Daripada Ibn Buraidah, daripada bapanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

المؤمن يموت بعرق الجبين

Maksud: Orang beriman meninggal dunia dengan peluh di dahi. (al-Tirmizi, Muhammad bin Isa. al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, jil. 3, hlm. 310, no. hadith: 982. Dihukum sahih oleh al-Albani)

Para ulama’ berselisih pendapat tentang maksud hadith ini. Pertama; ada ulama berpandangan dahi yang berpeluh merupakan tanda fizikal kematian yang baik. Kedua; ada juga ulama yang mengatakan ia bukan tanda fizikal bagi mati yang baik, tetapi ia adalah akibat daripada kesakitan yang merupakan kifarah (penebus) dosa. Ini kerana orang mukmin menghadapi kesakitan ketika nazak, tetapi mudah ketika roh keluar dari jasad. Adapun orang yang jahat, roh akan dikeluarkan dengan penuh kesakitan. Ketiga: ada ulama berpandangan bahawa hadith ini bermaksud mudahnya roh keluar bagi orang mukmin. (Muhammad Anuar Shah ibn Mu’azzam Shah al-Kashmiri, al-’Urf al-Syazi Syarh Sunan al-Tirmizi, Mu’assasah Dhuha li al-Nasyr wa al-Tauzi’, jil. 2, hlm. 407)

Selain itu, Ibn Malak menyatakan peluh di dahi terjadi akibat sakit dalam proses kematian itu sehingga berpeluh di dahi untuk menghapuskan dosa atau untuk meningkatkan darjatnya. (al-Mubarakfuri, Muhammad Abd al-Rahman bin Abd al-Rahim. Tuhfah al-Ahwazi, jil. 3, hlm. 38)

Kesimpulannya, tanda-tanda negatif tentang status kematian seseorang tidak pernah diajar dalam Islam. Sebaliknya, Islam menyatakan pula tanda-tanda positif yang menjelaskan tentang kebaikan seseorang. Justeru, amat tidak wajar jika kita menghukum seseorang yang telah lebih dahulu pergi meninggalkan kita.

Jernihkan Pandangan Ini…

Berhentilah daripada memalukan saudara seIslam kita. Tamatkanlah riwayat hidupnya dengan menceritakan kebaikan yang ada padanya dan menutup aibnya, dosanya dan kekurangan amalannya. Ini sejajar dengan hadith Nabi:

من ستر عورة أخيه المسلم ستر الله عورته يوم القيامة ومن كشف عورة أخيه المسلم كشف الله عورته

Maksud: Sesiapa yang menutup aurat (keaiban) saudara Muslimnya, Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat. Dan sesiapa yang membuka aurat keaiban saudara Muslimnya, maka Allah akan membuka keaibannya. (Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, jil 2, hlm. 850, No. hadith: 2546)

Siapapun tidak mahu kisah hitam hidupnya  dipaparkan setelah kematiannya, sedangkan pendedahan dan keadilan di Mahsyar belum berlaku ke atasnya. Tiada siapa tahu, berkemungkinan aibnya ditutup di Mahsyar kelak, maka kita yang di dunia janganlah pula  mendedahkan aibnya.

Marilah kita mendoakan orang yang telah pergi dahulu daripada kita dengan doa sebagaimana yang diajar oleh Nabi:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Maksud: Ya Allah, ampunilah baginya dan rahmatilah dia dan maafkanlah dia. (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, jil. 6, hlm. 187, no. hadith: 2276)

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

:: Artikel Berkaitan

© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>