subscribe: Posts | Comments

‘Ketakutan’ Yang Menakutkan

3 comments
‘Ketakutan’ Yang Menakutkan

Kisah seram semakin kreatif dipersembahkan oleh media menerusi pelbagai program televisyen. Di celah-celah karya fiksyen berformat drama atau filem seram itu, terdapat juga penerbit yang serius mencari di manakah hantu berada dan membuktikan kewujudannya dalam alam ini. Kononnya, hantu boleh dilihat dengan kamera tertentu sehingga kelibat sekilas cahaya juga dinisbahkan kepada mahkluk halus yang datang menguji individu sukarelawan yang ditinggalkan sepi di rumah gelap.

Malahan,  industri media menjadikan genre seram sebagai pelaris dalam meningkatkan jumlah penonton saluran mereka. Semakin seram dan menakutkan hantu yang ditonjolkan, semakin bermagnet rancangan itu. Jangan lupa juga, tidak pernah syarikat penyiaran menyiarkan rancangan sebegitu melainkan pada malam Jumaat. Hari yang mulia dalam Islam itu berpalit dengan pelbagai cerita yang memomokkan masyarakat.

Semua fenomena ini bermula dengan anggapan bahawa jin atau hantu ini boleh dilihat atau boleh kelihatan di hadapan mata. Akibat kecelaruan pada asas keyakinan, ada penerbit yang giat mencari hantu mempertikaikan keIslaman seorang pakar motivasi negara di sebuah rancangan bual bicara atas isu hantu ini.

Hakikatnya, sang penerbit itulah yang keliru tentang apa yang dikajinya. Persoalannya, benarkah apa yang mereka cari itu hantu atau jin? Juga, persoalan yang lebih mendasar ialah adakah manusia boleh melihat jin?

Bagi artikel kali ini, saya akan membincangkan isu sama ada ‘hantu’ atau jin boleh dilihat dengan mata kasar manusia sehingga menakutkan mereka. Sememangnya, perbahasan tentang jin dan alamnya telah banyak dikupas oleh banyak pihak. Namun, penjelasan yang lebih mendalam diperlukan bagi mengajak umat mengubah pemikiran sekali gus memurnikan akidah mereka.

Kecelaruan visual

Tidak salah jika dikatakan bahawa perasaan ‘takutkan hantu’ mendasari budaya Melayu dengan akar yang dalam dan kuat. Seawal anak bertatih berjalan, menakutkan mereka dengan hantu menjadi agen pengawal tingkahlaku anak-anak. Kemudian, apabila menjejak kaki ke sekolah, ada anak-anak takut ke tandas kerana percaya ada hantu bertenggek di situ. Lebih malang lagi, asrama sekolah di Malaysia sarat dengan biografi hantu dan siri antologi kisahnya. Hidup anak Melayu Islam jadi lemah dan kalah, apabila ada hantu datang menyerang asrama sekolah!

Lihatlah sahaja pada perkembangan serangan histeria besar-besaran di SMK Tanjung Lumpur, Pahang pada tahun 2008. Begitu ramai pelajar yang terganggu emosi dan proses pembelajaran mereka gara-gara hantu. Memang benar yang jin boleh mengganggu manusia, merasuk ke dalam badan juga menjejaskan emosi manusia sebagaimana yang dipersetujui oleh para ulama. Tetapi apa yang berlaku di sana, mungkin lebih kepada ketakutan pada hantu yang telah lama mendasar di hati mereka. Hakikatnya, keadaan mereka yang takut dan panik sebegitu adalah hasil daripada apa yang minda mereka visualkan. Dan minda itu pula menggambarkan hantu yang sering sahaja disogok di kaca TV mereka. Saya lontarkan soalan ini; mengapa kita takut akan hantu yang lebih bersifat Nusantara, tetapi gelak ketawa melihat hantu orang Cina yang melompat-lompat? Tahukah kita bahawa ada orang Cina yang sangat takut dengan hantu melompat itu?

Justeru, punca kepada masalah ini ialah visual jin yang dipaparkan kepada masyarakat semenjak mereka kecil. Sama ada ia visual berskrin atau visual bayangannya sendiri dalam minda menerusi cerita orang tua-tua dan rakan sebaya.

Jalan Suluhan Islam

Berupayakah kita melihat mereka dalam bentuk yang asal dengan keadaan yang menakutkan? Perbincangan ulama tentang keupayaan manusia melihat jin dan syaitan bersandarkan kepada ayat berikut:

إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لا تَرَوْنَهُمْ

Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. (Surah al-A’raf:  27)

Para ulama berpendapat sebagaimana berikut:

1.      Jin atau syaitan tidak akan boleh dilihat dalam bentuk dan sifatnya yang asal. Bagaimanapun rupa parasnya tiada siapa yang mengetahui. Berikut adalah pendapat ulama yang berkaitan:

a. Ibn Hazam al-Zahiri berpendapat: Dan apabila Allah memberitahu kepada kita bahawa kita tidak melihat mereka, dan sesiapa yang mendakwa akan melihat mereka atau telah melihat mereka, maka dia adalah pendusta melainkan jika dia seorang Nabi a.s. Ini kerana ia adalah mukjizat bagi para Nabi, sebagaimana diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah dihembus (diganggu) oleh syaitan dalam solat baginda supaya Nabi berhenti solat. Maka, baginda bersabda:   “Maka aku menangkapnya, dan aku teringat akan doa saudaraku Nabi Sulaiman a.s. Jika tidak kerana doa itu, nescaya syaitan itu akan terikat pada pagi esok  untuk dilihat oleh penduduk Madinah.” Begitu juga dengan riwayat Abu Hurairah yang melihatnya (dalam bentuk manusia yang mencuri -pen). Sesungguhnya ini adalah mukjizat bagi Rasulullah s.a.w. dan tidak ada perkhabaran yang mengesahkan adanya cara melihat jin selepas baginda s.a.w. wafat, dan kenyataan yang ada hanyalah riwayat yang terputus ataupun riwayat orang yang lemah (tiada kebaikan padanya). (Ibn Hazam, al-Faslu fi al-Milal, al-Qaherah: Maktabah al-Khanaji, jil. 5, hlm. 9)

b. Al-Qurtubi menukilkan daripada Mujahid bahawa maksud qabiluhu (Surah al-A’raf:  27) itu ialah jin dan syaitan. Sebahagian ulama berpendapat bahawa ini adalah dalil bahawa jin tidak boleh dilihat… Manakala al-Nahhas berkata: “ini menjadi dalil bahawa jin tidak boleh dilihat kecuali pada zaman Nabi, bagi menjadi bukti kenabian baginda, kerana Allah mencipta mereka dengan bentuk yang tidak boleh dilihat, dan sesungguhnya mereka ditukarkan daripada sifat mereka, dan itulah daripada mukjizat yang tidak akan berlaku melainkan pada zaman Nabi.” (al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, al-Qaherah: Dar al-Sya’bi, jil. 7, hlm. 186)

c. Ibn Hajar telah menukilkan daripada al-Baihaqi dalam bukunya Manaqib al-Shafie; bahawa daripada al-Rabi’: Aku mendengar bahawa Imam al-Shafie berkata: “Sesiapa yang mendakwa dia melihat jin, maka kami tidak menerima kesaksiannya, melainkan jika dia seorang Nabi.” Kenyataan ini merujuk kepada mereka yang mendakwa melihat jin dalam bentuk yang asal kejadiannya, bagaimanapun sesiapa yang mendakwa telah melihat mereka dalam bentuk yang telah berubah seperti dalam bentuk haiwan, maka dia tidaklah dicela. Terdapat banyak hadith yang menceritakan keupayaan jin berubah bentuk. (Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, Beirut: Dar al-Makrifah, jil. 6, hlm. 344)

2.   Manusia hanya boleh melihat jin atau syaitan ini apabila mereka menyerupai bentuk lain seperti fizikal manusia dan haiwan tertentu. Para ulama berdalilkan kepada ayat berikut:

وَإِذْ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ وَقَالَ لا غَالِبَ لَكُمُ الْيَوْمَ مِنَ النَّاسِ وَإِنِّي جَارٌ لَكُمْ فَلَمَّا تَرَاءَتِ الْفِئَتَانِ نَكَصَ عَلَى عَقِبَيْهِ وَقَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِنْكُمْ إِنِّي أَرَى مَا لا تَرَوْنَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَاللَّهُ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu”. Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksa-Nya.” (Surah al-Anfal: 48)

Di dalam ayat ini, para mufassirin menyatakan bahawa syaitan telah menyerupai Suraqah bin Malik bin Ju’sham, salah seorang pemimpin Bani Kinanah. (al-Syaukani, Fath al-Qadir, Beirut: Dar al-Fikr, jil. 2, hlm. 315). Ini bermakna jin boleh menyerupai manusia. Tetapi, perlukah jin versi Melayu sentiasa dirupakan dengan manusia yang hodoh, kerepot, menakutkan dan berwajah pelik?

Beberapa hadith menyokong hujah ini:

a.       Hadith Abu Hurairah bertemu dengan pencuri harta zakat sebanyak tiga kali dan akhirnya memberitahu Abu Hurairah tentang kelebihan ayat al-Kursi. Rasulullah memberitahu bahawa pencuri itu adalah syaitan (jin).  (al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Beirut: Dar Ibn Kathir, jil. 2, hlm. 812, no. hadith: 2187)

b.      Hadith daripada Said bin Khudri berkata: Aku mendengar bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Di Madinah terdapat tiga kumpulan jin yang memeluk Islam, maka sesiapa yang terserempak dengan makhluk (عوامر) ini, hendaklah memberi amaran sebanyak tiga kali. Kemudian sekiranya dia menghilang, (biarkan), sekiranya dia masih ada di situ, maka bunuhlah, kerana ia adalah syaitan. (Muslim, Sahih Muslim, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, jil. 4, hlm. 1756, no. hadith: 2236) Maksud ‘عوامر’ di sini ialah jenis ular yang memasuki rumah. (al-Jazari, al-Mubarak bin Muhammad. al-Nihayah fi Gharib al-Athir, jil. 3, hlm. 298)

Jernihkan Pandangan ini…

Jelaslah bahawa kita tidak berupaya untuk melihat mereka dalam sifat dan bentuk yang asal dan hanya boleh melihat mereka dalam bentuk yang lain iaitu manusia dan haiwan. Apa yang dimomokkan hanyalah visual yang tiada nas padanya dan hanya berdasarkan pengalaman manusia yang sangat boleh diperdebatkan. Sebenarnya, apa yang ditakutkan itu, hanya apa yang kita bayangkan. Apa yang terisi dalam minda, itulah yang terbayang.  Dan itulah yang datang mengganggu.

Ketahuilah, gangguan jin dan syaitan yang menghasut kita untuk melakukan maksiat dan dosa adalah lebih besar ancamannya daripada ancaman ‘terserempak dengan mereka’. Bisikan syaitan yang merosakkan iman itulah yang perlu dikhuatirkan.

Untuk apa kita mengajar manusia takut kepada makhluk, kerana jin itu hanyalah makhluk yang lemah yang boleh dikalahkan dengan bacaan al-Quran dan doa. Mereka tidak akan memudaratkan kita melainkan jika diizinkan oleh Allah. Marilah kita ajak manusia agar takut akan Allah sahaja, Tuhan pemilik alam raya ini, juga pencipta jin dan manusia. Mengapa ini yang tidak menjadi modal industri media dalam menerbitkan rancangan mereka?

Jika ini tidak dilakukan, manusia akan lebih takut akan sesuatu yang tidak patut ditakuti. Sedangkan itulah yang menakutkan, kerana boleh menjejaskan akidah kita. Sungguh, apabila akidah telah rosak, inilah ketakutan yang menakutkan!

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

:: Artikel Berkaitan

© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.

Share
  1. Abusolha says:

    Mohon izin print untuk dilekat di papan kenyataan sekolah saya mengajar

  2. Boleh, Tuan. Silakan. Gunakan button ‘save and share’ di bawah itu, dan klik PRINT.

  3. Salam.
    mohon share kat facebook ya untuk informasi kawan2. terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>