subscribe: Posts | Comments

Mengurus Stress Akibat Dosa

2 comments
Mengurus Stress Akibat Dosa

Setiap dari kita tidak pernah dijamin Allah memiliki keupayaan untuk terus menjauhkan diri dari dosa dan maksiat. Manusia selain Nabi sangat sinonim dengan dosa yang dilakukannya secara sedar atau tidak, terang atau tersembunyi. Siapakah yang boleh mendakwa dirinya suci bersih atau sudah memiliki tiket ke syurga? Sehubungan itu, adalah tidak benar jika ada pemimpin sebuah ajaran mendakwa dirinya terpelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa.

Fitrah manusia suka akan kebaikan dan ketaatan. Apabila fitrah bersih ini dicalari, biarpun dengan sekelumit dosa, maka jiwanya akan memberontak, resah gelisah dan tidak tenteram. Walaupun seraut wajahnya membentang warna ceria dan gembira, namun rasa hati jelas diramas gelisah. Jiwanya mendesak untuk diselamatkan daripada terus tenggelam dipukul badai dosa yang menggila.

Malah, kegelisahan hati itulah yang dijadikan Nabi s.a.w. sebagai tanda utama bahawa diri kita ini sedang memikul dosa. Nabi s.a.w. bersabda:

وَالْإِثْم مَا حَاكَ فِي صَدْرك ، وَكَرِهْت أَنْ يَطَّلِع عَلَيْهِ النَّاس

Maksud: Dosa ialah apa yang menimbulkan resah di hati kamu dan kamu benci jika ia dilihat orang. (Muslim, Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 4, hlm. 1980, No. hadith: 2553)

Daripada hadis ini, dapatlah difahami bahawa apabila melakukan dosa dan maksiat, kita akan semakin resah. al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan: (apabila seseorang itu berdosa) akan bergetar dalam hatinya, dan perasaan itu datang berulang-ulang, dadanya merasa sempit, timbul rasa syak dalam hatinya takut-takut ia adalah dosa. (al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, 1392: jil. 16, hlm. 111.) Kita gelisah dan tidak tenteram kerana semakin jauh daripada fitrah seorang hamba iaitu mentaati Allah. Inilah kecamuk jiwa yang dihadapi oleh ramai para pendosa seperti kita.

Rasa bersalah pada dosa datang menghantui jiwa para pendosa. Malah, mungkin memaksa diri untuk berterusan memikirkannya dan bimbang kalau Allah tidak memberikan keampunan. Sebenarnya, ada ulama telah mencungkil bahawa rasa stress terhadap dosa seperti ini boleh memandu kita kepada jalan yang lebih baik iaitu ke arah ketaatan. Ibn al-Qayyim menyatakan:

“Dosa mungkin memberi lebih manfaat kepada seseorang, jika dosa itu membawanya kepada taubat, kemudian dia membuat amalan soleh dan ketaatan. Inilah yang dimaksudkan oleh seorang alim dari golongan Salaf: “Seseorang yang melakukan dosa dan kemudiannya memasuki syurga kerana itu, atau seseorang itu beribadah dan mungkin memasuki neraka kerana ibadahnya.” Orang bertanya: “Bagaimana itu?” Alim itu menjawab, “Dia mungkin melakukan dosa dan berterusan memikirkan dosanya itu. Ketika dia berdiri, duduk atau berjalan, dia asyik teringatkan dosanya, sehinggakan dia merasa malu dan bertaubat dan mengharap keampunan Allah dan menyesali dosa-dosanya, maka itu adalah cara penebusan dosa dirinya. Sebaliknya, seorang lagi, dia mungkin seorang yang kuat beribadah dan berterusan memikirkan ibadahnya yang banyak. Ketika dia berdiri, duduk atau berjalan dia asyik memikirkan ibadahnya, dan mencetuskan rasa hairan dan kagum pada dirinya, dan itulah yang membinasakan dirinya.” Maka dosa mungkin merupakan penyebab yang mendorong seseorang melakukan ibadah dan amalan soleh dan mengubah tingkah lakunya supaya akhirnya dia takut kepada Allah dan merasa malu kepada Allah dan merasa hina di hadapannya, meletakkan rasa malu di kepalanya dan menangis dengan keinsafan dan memohon keampunan dari Tuhannya. Kesemua kesan dosa ini adalah lebih baik bagi seseorang berbanding amalan ibadah yang mengakibatkan dirinya rasa bangga, riyak dan memandang rendah kepada orang lain…” (Madarij al-Salikin, jil. 1, hlm. 299)

Hikmah yang dibayangkan oleh Ibn Qayyim ini sangat mendalam. Rasa stress akibat dosa boleh mendorong kita menjadi hamba yang lebih baik. Jiwa yang resah ini sangat memerlukan penawar untuk mengubatinya. Rawatan itu adalah satu proses yang bermula dengan taubat.

Taubat Adalah Suatu Proses

Para ulama’ memformulasikan beberapa langkah bagi mengawal gelojak rasa bersalah dalam diri akibat dosa yang dilakukan. Ia  bermula dengan proses bernama taubat dan outputnya adalah ketaatan. Proses taubat itu diperkayakan dengan rasa harap pada keampunan Allah dan rasa penyesalan pada dosa-dosa yang dilakukan.

al-Nawawi menyatakan tentang syarat-syarat yang perlu dipenuhi dalam proses taubat.  “Taubat adalah wajib bagi setiap dosa. Bagi kesalahan yang berkaitan antara seseorang hamba dengan Allah dan tidak mempunyai kaitan dengan hak orang lain, terdapat tiga syarat taubat iaitu:

  1. Hendaklah berhenti melakukan  dosa tersebut.
  2. Hendaklah menyesali kerana melakukannya.
  3. Hendaklah berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.

Jika salah satu syarat ini tiada, maka taubat itu tidak ikhlas. Jika dosa itu melibatkan hak orang lain, maka ada syarat yang keempat sebagai tambahan iaitu hendaklah memulangkan hak orang itu.” (al-Nawawi, Yahya bin Sharaf, Riyad al-Salihin, Dar Ibn Kathir, Beirut, 2007, hlm. 14.)

Pada penghujung proses ini, ia akan menghasilkan satu jiwa yang mentaati Allah, melakukan ibadah, beramal soleh, berasa sangat malu dan merendah diri di hadapan Allah. Rasa diri hina kerana begitu mudah dan rapuh sehingga melakukan dosa dan mengingkari Allah dan tiada jaminan diri ini akan selamat pada detik seterusnya.

Haruslah diingati bahawa taubat adalah sebahagian daripada proses pembaikan diri. Ia adalah fasa pertama dalam mengendalikan stress akibat dosa-dosa yang pernah dilakukan. Sehubungan itu, orang yang mengisytiharkan dirinya bertaubat sebenarnya baru sahaja memasuki fasa proses. Justeru, janganlah hanya baru menjalani proses fasa pertama, kita sudah menguar-uarkan taubat kita kepada dunia, padahal kita belum lagi mendapat output dari proses itu, iaitu menjadi hamba yang benar-benar taat.

Di samping menjalani proses taubat, terdapat beberapa panduan dalam mengurus tekanan emosi yang tercetus akibat rasa penyesalan terhadap dosa-dosa yang dilakukan.

Tidak Berputus Asa Pada Rahmat Allah

Setiap dosa yang dilakukan, ada pembalasan yang dijanjikan. Apabila membaca ayat-ayat Allah tentang kegerunan Neraka ciptaan-Nya, dan keadilan Allah dalam menghisab dosa-dosa kita, timbul juga rasa gerun dan gentar tentang nasib kita yang banyak berdosa. Apabila perasaan bersalah begitu membuak dalam diri mengenangkan babak-babak dosa yang bermain di fikiran, syaitan boleh sahaja membisikkan kata-kata beracun sehingga kita berputus asa dengan rahmat Allah. Berputus asa dalam bentuk meneruskan sahaja hidup di alam maksiat dan malas untuk memenuhi tuntutan syarat taubat. Sedangkan Allah memberitahu dengan jelas, agar terus tanpa jemu meminta ampun daripada-Nya walaupun seberat mana dosa yang kita lakukan. Allah berfirman:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Zumar: 53)

Persoalan yang sentiasa menyinggahi hati kita ialah adakah Allah akan menerima taubat kita. Bisikan seumpama ini boleh sahaja menambahkan lagi sesak di dada. Sesungguhnya, Allah sesekali tidak akan memungkiri janjinya kerana Dia telah berjanji untuk mengampunkan semua jenis dosa, dari sekecil zarah sehinggalah sebesar-besar dosa melainkan syirik. Allah sendiri mengingatkan kita tentang Kemurahan-Nya untuk mengampunkan para hamba yang berdosa:

وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksud: Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Nisa’: 110)

Tidak Mendedahkan Aib Diri Pada Orang Lain

Manusia adalah makhluk sosial yang memerlukan manusia lain untuk berkongsi cerita dan mencurahkan perasaan. Perkongsian ini kadangkala mencetuskan rasa kelegaan pada diri seseorang. Namun, kita perlulah berhati-hati agar tidak mendedahkan dosa dan aib sendiri terutamanya jika tiada siapa yang mengetahuinya dan Allah telah menutupinya. Perkara ini jarang diberi perhatian, sehinggakan ramai golongan agamawan menjadi tempat luahan rasa dan muntahan cerita aib. Ajaran Islam tidak sama dengan Kristian Katolik yang menjadikan paderi-paderi mereka tempat luahan rasa berdosa dan mendapatkan keampunan.

Nabi menitipkan pesannya agar tidak menceritakan aib diri sendiri kepada orang, setelah Allah menutupi dosa-dosa kita. Jika dosa itu dilakukan tanpa diketahui sesiapa, tutuplah ia dengan rapat dan tidak mendedahkannya pada orang lain. Daripada Abu Hurairah bahawa dia mendengar Nabi bersabda:

كل أمتي معافى إلا المجاهرين وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملا ثم يصبح وقد ستره الله عليه فيقول يا فلان عملت البارحة كذا وكذا وقد بات يستره ربه ويصبح يكشف ستر الله عنه.

Maksud: Seluruh umatku terampun dosanya melainkan mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan iaitu apabila seseorang melakukan maksiat pada malam harinya dan Allah menutupinya, kemudian dia bercerita kepada orang lain: “Wahai Fulan, aku melakukan maksiat pada malam semalam itu dan ini.” Tuhannya sudah menutupi dosanya pada sepanjang malam, namun pada pagi hari dia membuka tabir yang telah Allah tutupi. (al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih al-Muhktasar, Dar Ibn Kathir, 1987, jil. 5, hlm. 2254, no. hadith: 5721)

Mintalah Perhatian Hanya Daripada Allah

Ada juga yang suka berkongsi kisah dosa dan maksiatnya dengan orang lain bukan atas tujuan untuk membaiki dirinya. Tetapi, lebih menjurus untuk mendapatkan perhatian daripada orang yang mendengar. Bermula hanya dengan perkongsian masalah peribadi, ia menjadi jalan untuk syaitan mencucuk jarumnya. Lebih-lebih lagi jika si pencerita dan pendengar adalah berlainan jantina, maka tips pedoman dan panduan bertukar menjadi nasihat yang bergula maksiat.

Jadikanlah Allah satu-satu tempat kita mengadu, menceritakan segala aib kita dan mintalah Allah berikan perhatian-Nya kepada kita. Agar kita dikasihi dan tidak dipandang hina oleh Allah atas segala dosa yang kita lakukan. Mohonlah perhatian daripada Allah yang tidak pernah jemu mendengar rintihan kita, sebaliknya tidak semua manusia mampu menyediakan telinga untuk mengetahui setiap sisi gelap diri kita.

Bukankah Allah membuka tangan-Nya pada malam hari untuk mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya yang dilakukan di siang hari, dan membuka tangan-Nya pada siang hari untuk mengampunkan dosa-dosa yang kita lakukan di malam hari? (Maksud Hadis. Muslim, Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 4, hlm. 2113, No. hadith: 2759) Maha Baiknya Allah kepada kita, yang sentiasa mahu mendengar kita meminta ampun daripada-Nya.

Setiap kata-kata taubat dan penyesalan akan disambut Allah dengan keampunan. Biar seberapa banyak janji taubat itu dimungkiri, Allah tetap memberikan keampunan. Dari Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

إِنَّ عَبْدًا أَصَابَ ذَنْبًا فَقَالَ : رَبِّ أَذْنَبْتُ فَاغْفِرْ لِي . فَقَالَ رَبُّهُ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ غَفَرْتُ لِعَبْدِي . ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ثُمَّ أَصَابَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ أَذْنَبْتُ فَاغْفِرْهُ . فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ غَفَرْتُ لِعَبْدِي …

Maksud: Seseorang yang melakukan dosa dan berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, maka ampunilah aku.” Tuhannya berkata, “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa baginya ada Tuhan yang mengampunkan dosa dan menghukum mereka? Aku telah mengampunkan hamba-Ku.” Kemudian berlalu masa sebagaimana yang dikehendaki Allah, dan dia melakukan lagi dosa dan berkata, “Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, maka ampunilah aku.” Tuhannya berkata, “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa baginya ada Tuhan yang mengampunkan dosa dan menghukum mereka? Aku telah mengampunkan hamba-Ku.”… (al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih al-Muhktasar, Dar Ibn Kathir, 1987, jil. 6, hlm. 2725, No. hadith: 7068)

Mendapatkan Pedoman Dari Orang Alim Dan Soleh

Kisah seorang pembunuh yang telah membunuh 99 nyawa harus diambil iktibar. Pada awalnya, akibat stress memikirkan tentang dosanya kerana membunuh sebegitu ramai orang, pemuda itu telah mendapatkan panduan dan pedoman daripada seorang ahli ibadah. Ahli ibadah yang hanya tahu melakukan ibadah tetapi tidak kaya dengan ilmu telah memberi kata putus buat pemuda tadi. “Tiada taubat bagimu” adalah kata-kata terakhir dari ahli ibadah itu kerana dia turut dibunuh oleh pemuda itu melengkapkan dirinya sebagai pembunuh bersiri dengan 100 orang mangsa. Pencarian tenang bagi mengubat tekanan jiwa akibat dosa itu menemukan pemuda itu dengan seorang alim yang soleh. Alim di sini bukanlah seperti bayangan dan kefahaman masyarakat Melayu dengan lagak serban jubahnya. Alim bermaksud seorang yang berilmu, memiliki kefahaman yang luas tentang agama Allah dan mengamalkan ilmunya. Pemuda tadi sekali lagi bertanyakan adakah dia boleh bertaubat dan adakah taubatnya akan diterima. Orang Alim itu mengatakan bahawa taubatnya akan diterima Allah dan menasihatinya agar berhijrah menuju ke tempat yang lebih baik suasananya. Hadis ini direkodkan oleh Muslim dalam Sahihnya.

Berdampinglah dengan orang yang faham tentang agamanya, kerana orang alim tidak akan mengecewakan orang-orang yang ingin bertaubat. Jawapan optimis mereka sebagai kesan daripada memahami nas agama inilah yang akan menumbuhkan bibit harapan pada diri para pendosa, bahawa Allah masih membuka pintu taubat selama mana kita bernafas. Seandainya nasihat cuba didapatkan daripada orang yang hanya tahu menghukum, maka binasalah harapan. Jiwa kita mungkin akan terus sahaja memilih jalan untuk bergelumang dengan dosa, bak petikan kata filem Melayu lama Semerah Padi: “Alang-alang membuat dosa, biarlah sampai masuk neraka!”

Mendampingi orang alim dan soleh akan membuatkan kita banyak mempelajari tentang mengurus kehidupan di atas jalan agama. Ia mungkin diperolehi daripada ilmunya, lisannya atau dari teladan akhlaknya. Ramai orang yang sudah bertaubat, kembali kalah di medan menentang hawa nafsu hanya kerana tiada kawan yang berstatus ‘soleh’ di sisinya. Tiada kawan yang menegur, membimbing dan menasihati dirinya selalu. Jiwa yang baru sahaja melepasi fasa proses iaitu taubat sangat perlu disimbahi dengan ilmu dan bimbingan secara peribadi agar kefahamannya tentang agama boleh diluruskan.

Selain itu, berteman dengan orang-orang alim dan soleh akan membibitkan rasa malu dan hormat kepada mereka. Kemudian, rasa malu kita pada orang soleh akan membina rasa malu kita kepada Allah. Bagaimana mampu kita bermaksiat di hadapan orang yang soleh begitulah sewajarnya kita lebih malu kepada Allah yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Nabi s.a.w. bersabda:

أوصيك أن تستحي من الله تعالى كما تستحي من الرجل الصالح من قومك

Maksud: Aku mewasiatkan kalian agar malu kepada Allah Taala sebagaimana kalian malu terhadap orang-orang saleh di kalangan kamu. (al-Albani, Sahih wa Dhaif al-Jami’ al-Shaghir, jil. 10. hlm. 253, No. hadith: 4306)

Mengubah Suasana Kepada Yang Lebih Baik

Stress akibat dosa boleh dirawat dengan mencipta suasana persekitaran yang lebih baik dan memberangsangkan untuk beramal. Sekiranya tidak dapat mengubah suasana sedia ada, pilihan yang terbaik untuk kita ialah berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lebih baik. Pilihlah juga rangkaian sosial atau teman-teman yang baik yang boleh membantu kita kekal berakhlak dengan akhlak yang mulia dan boleh berkongsi ilmu dan bersedia membuat teguran. Faktor akhlak dan agama sangat penting untuk diperhatikan kerana Nabi s.a.w. bersabda:

الرجل على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل

Maksud: Agama seseorang itu terletak pada agama kawannya, maka lihatlah setiap dari kamu siapa kawannya. (al-Tirmizi, al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 4, hlm. 589, No. Hadith: 2378)

Juga riwayat dari Abi Said bahawa Nabi bersabda:

لا تصاحب إلا مؤمنا ولا يأكل طعامك إلا تقي

Maksud: Janganlah bersahabat melainkan dengan orang beriman dan janganlah makanan kamu dimakan melainkan oleh seseorang yang bertaqwa. (Abu Daud, Sunan Abi Daud, Dar al-Fikr, jil. 2, hlm. 675, No. hadith: 4832)

Kawan mempengaruhi kita bagaimana kita berjalan di muka bumi ini, sama ada ingin menjunjung agama ataupun memijaknya.

Ada Sinar Dalam Diri…

Emosi adalah suatu yang boleh diuruskan. Rasa pedih dan gelisah mengenang dosa sehingga menekan jiwa adalah suatu yang boleh diurus dengan baik melalui proses yang diarahkan Allah untuk kita laluinya iaitu taubat. Menerusinya kita akan membersihkan diri kembali kepada fitrah asal seorang hamba iaitu ketaatan yang menjanjikan ketenangan. Taubat  akan membersihkan diri kita sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud:

التَّائِبُ مِنْ الذَّنْبِ كَمَنْ لا ذَنْبَ لَهُ

Maksud: Orang yang bertaubat daripada dosanya seperti orang yang tidak pernah berdosa. (Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Dar al-Fikr, Beirut, jil. 2, hlm. 1419, No. Hadith: 4250)

Tidak hanya dengan itu, stress akibat dosa boleh diurus dengan melihat keluasan rahmat Allah yang menjanjikan keampunan, dengan menjaga maruah diri untuk tidak mendedahkan aib sendiri kepada orang lain, dengan tidak mencampuri kehendak kita kepada perhatian Allah dengan perhatian manusia, juga dengan mendapatkan pedoman dan panduan daripada orang yang alim dan soleh serta dengan membina suasana baru dalam kehidupan.

 

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

:: Artikel Berkaitan

© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.

Share
  1. humaira says:

    salam. terima kasih atas artikel ni..jumpe dari keyword “dosa”.. sedang mencari penerangan yg mendalam, bercabang2 tentang dosa. artikel ni byk membantu..semoga tuan dpt mnfaat sebarkn artikel ni insyaallah mndpt dpt gnjrn di sisiNya..insyaallah aameen ya rab.

  2. Wa’alaikumussalam…

    Puan Humaira,

    Puan boleh membantu untuk menyebarkan artikel ini. Klik butang SHARE / SAVE.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>