Takutlah Allah Ketika Sunyi
Hari itu saya seharian di Mahkamah Bagi Kanak-kanak di sebuah negeri yang kecil. Menjadi pemerhati di sebuah mahkamah tertutup, mencorakkan satu tanggapan tegas dalam minda saya. Biarpun bukan sekali saya menjadi pemerhati di mahkamah sebegitu, setiap pengalaman itu menitipkan pesan dalam hidup. Wisdom yang menjadi penegasan itu ialah, “Hidup adalah medan latihan untuk takutkan Allah ketika kita sendirian.”
Anak-anak muda ini bukan kurang kasih sayang keluarga. Bukan terlalu miskin sehingga terpaksa melakukan jenayah dan dosa. Bukan juga terlalu dungu ntuk menilai apakah sesuatu itu bernatijahkan bahagia ataupun sengsara. Tetapi, mereka adalah manusia waras, malah rata-ratanya beriman kepada Allah. Cuma darjah kepercayaan bahawa Allah Maha Melihat itu tidaklah sejitu yang diharapkan. Kesimpulannya, para pendosa ini tidak takutkan Allah ketika bersendirian.
Mengapa seseorang sanggup melakukan dosa, kesalahan, maksiat dan jenayah? Memang diakui, ada manusia yang sanggup melakukannya secara terang-terangan, malah berbangga dengan perlakuannya itu. Namun, majoriti manusia melakukannya secara tersembunyi, ketika bersendirian dan bersunyian atau ketika tiada mana-mana mata manusia menjamahnya.
Pegawai syarikat yang pecah amanah, melakukannya sencara tersembunyi. Anak muda mabuk kepayang bercinta sehingga berzina, lumrahnya lebih sukakan privasi. Pemimpin yang menyeleweng wang rakyatnya, lebih suka melapikkan perbuatan itu dengan pelbagai aktiviti dan transaksi agar tiada siapa yang curiga. Penguatkuasa undang-undang yang menagih rasuah, akan memintanya dengan isyarat tersendiri. Isteri atau suami yang mencurangi pasangannya, akan mencipta sejuta helah menabiri sisi hitam hidupnya. Apa sahaja, boleh namakan, menggambarkan manusia cuba menutupi kesalahannya dengan melakukannya secara rahsia. Ketika dia merasakan tiada manusia yang boleh menghidunya. Secara sedar, dia melakukannya di hadapan Allah, Tuhan yang Maha Melihat dan Mengetahui setiap inci kehidupannya.
Pesan Nabi
Itulah sebabnya, Nabi s.a.w. sangat berpesan kepada kita, agar sentiasa takut kepada Allah. Ia wujud dalam satu perkataan yang sentiasa didengari oleh ramai di antara kita, iaitu taqwa. Taqwa itu adalah rasa takut kepada Allah, yang tertanam di dalam hati orang yang beriman.
Inilah nilai integriti yang ditanam oleh baginda Rasul s.a.w. terhadap para Sahabat r.a. Tanpa perlu kursus dan bengkel meningkatkan integiriti, Rasulullah s.a.w. menyuburkannya dengan sentiasa memberi ingatan kepada para Sahabat pada setiap pemula ucapan baginda, dalam perbualan-perbualan baginda, dalam tips dan panduan jika baginda ditanya, malah dalam cerita-cerita yang baginda kongsikan kepada para Sahabat r.a. Semuanya itu terakam dalam banyak hadith-hadith baginda.
Contohnya, Nabi mewasiatkan kepada Muaz r.a. ketika mengutusnya ke Yaman, baginda bersabda:
يا معاذ : اتق الله حيث ما كنت , واتبع السيئة الحسنة تمحها , وخالق الناس بخلق حسن
Maksud: Wahai Muaz: Takutlah Allah di mana kamu berada, dan turutilah kejahatan dengan kebaikan yang akan memadamkannya, dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik. (Al-Albani, Sahih al-Tirmizi, No. hadith: 1987)
Malahan, al-Quran merakamkan nilai integriti ini dalam ayat 12, Surah al-Mulk. Allah berfirman:
إِنَّ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَيْبِ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ
Maksud: Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
Siapakah yang lebih mulia daripada orang yang takut melanggar hukum Tuhannya ketika dia tidak dilihat oleh manusia lain? Juga ketika dia tidak pernah melihat azab Allah? Dua aspek ini menjadi indikator kepada penilaian Allah sebelum mengganjari kita dengan pahala dan keampunan. Ini kerana orang yang sentiasa dikelilingi dengan pemerhatian manusia akan takut melanggari hukum Allah. Manusia yang juga tidak pernah melihat bagaimana azab Allah beroperasi dan bagaimana kesengsaraan neraka, tidak akan berfikir-fikir atau terbayang-bayang tentangnya setiap kali hendak melakukan dosa.
Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas, menyatakan:
يقول تعالى مخبرًا عمن يخاف مقام ربه فيما بينه وبينه إذا كان غائبًا عن الناس، فينكف عن المعاصي ويقوم بالطاعات، حيث لا يراه أحد إلا الله، بأنه له مغفرة وأجر كبير، أي: يكفر عنه ذنوبه، ويجازى بالثواب الجزيل
Maksud: Allah taala berfirman mengkhabarkan orang yang takut dengan kedudukan Tuhannya iaitu antara dirinya dengan Tuhannya, jika dalam keadaan bersendirian dari manusia, dan dia menjauhi maksiat dan melakukan ketaatan, ketika tiada sesiapa pun melihat dia kecuali Allah, dan sesungguhnya kerana baginya keampunan dan pahala yang besar, iaitu dia akan dibersihkan daripada dosanya dan dia akan dikurniakan dengan pahala yang besar.
Ibn Kathir juga menukilkan hadith daripada al-Hafiz Abu Bakr al-Bazzar dalam musnadnya, tentang satu hadith daripada Anas.
قالوا: يا رسول الله، إنا نكون عندك على حال، فإذا فارقناك كنا على غيره؟ قال: “كيف أنتم وربكم؟” قالوا: الله ربنا في السر والعلانية. قال: “ليس ذلكم النفاق”.
Maksud: Mereka bertanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami di sisi kamu berada dalam satu keadaan, sebaliknya sekiranya kami berpisah daripada kamu, kami menjadi individu lain, (adakah itu satu kemunafikan)? Nabi bersabda: “Bagaimana kamu dengan Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Allah tetap sebagai Tuhan kami ketika kami dalam keadaan sunyi dan dalam keadaan ramai.” Nabi bersabda: “Bukanlah itu suatu kemunafikan.” (Juga direkodkan oleh al-Albani, Silsilah al-Sahihah, hlm. 7, No. Hadith 45)
Dalam hadith di atas, para sahabat sangat khuatir tentang perubahan diri mereka. Ketika mereka bersama Rasulullah, mereka akan sentiasa bermotivasi untuk menambah ibadah dan sentiasa takut akan neraka. Bagaimanapun, ketika kembali ke pangkuan keluarga, mereka sibuk melayan anak dan isteri dan urusan pekerjaan mereka. Tidaklah pula terdetik untuk melakukan dosa. Itupun, para sahabat sudah risau dan cemas hati kerana khuatir sama ada mereka sudah jatuh ke jurang kemunafikan. Alangkah sensitifnya mereka dalam menjaga kualiti iman mereka. Jelaslah bahawa, para Sahabat menjadikan ‘takutkan Allah ketika sendirian ataupun ramai’ sebagai formula hidup, dan itulah yang menyelamatkan mereka daripada kebinasaan iman.
Inilah resepi dalam membina integriti dalam diri seseorang. Tidak perlu dirinya diawasi dengan kamera litar tertutup, mahupun perlu ditempatkan di kamar berkaca, tetapi nilai dalam dirinya akan sentiasa merasakan ‘kamera’ Allah ada di mana-mana. Kita akan sentiasa meyakini bahawa jentera Allah iaitu para Malaikat-Nya akan sentiasa melaporkan status diri kita, pada setiap pertukaran malam dan siang walaupun Allah sudah sedia Maha Mengetahui.
Amaran Digandakan
Baginda Rasulullah s.a.w. sentiasa memberi amaran agar kita takut akan Allah terutamanya ketika kita bersendirian. Maka, berhentilah melakukan dosa ketika bersendirian apatah lagi berbangga melakukannya di hadapan manusia lain. Thauban meriwayatkan satu pesan junjungan, bahawa Nabi bersabda:
لأعلمن أقواما من أمتي يأتون يوم القيامة بحسنات أمثال جبال تهامة بيضا فيجعلها الله عز وجل هباء منثورا ، قال ثوبان : يا رسول الله صفهم لنا ، جلـِّـهم لنا أن لا نكون منهم ونحن لا نعلم ؟ قال : أما إنهم إخوانكم ، ومن جلدتكم ، ويأخذون من الليل كما تأخذون ، ولكنهم أقوام إذا خلوا بمحارم الله انتهكوها . فقوله عليه الصلاة والسلام : إذا خلوا بمحارم الله.
Maksud: “Aku sangat jelas mengetahui bahawa ada golongan dari umatku yang akan datang pada hari Kiamat dengan amalan soleh sebesar gunung Tihamah, tetapi Allah akan menjadikannya seperti debu-debu beterbangan.” Thauban bertanya: “Wahai Rasulullah, ceritakanlah tentang mereka kepada kami dan beritahulah kami lagi, supaya kami tidak menjadi seperti mereka.” Baginda bersabda: “Mereka adalah saudara kamu dan dari kaum kamu, melakukan ibadah malam seperti kamu, tetapi mereka adalah orang yang apabila mereka bersendirian, mereka akan melanggar larangan Allah.” (Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, No. 4245)
Bayangkanlah jika orang yang melakukan amal solehpun akan kehilangan ‘deposit’ pahala mereka di hari akhirat, lantaran melanggar perintah Allah, apatah lagi kalau kita yang kurang beramal. Mesej yang jelas ingin disampaikan oleh Nabi s.a.w. ialah janganlah kita melakukan dosa ketika kita seorang diri kerana ia akan memusnahkan amal ibadah yang kita lakukan. Ia seumpama beribadah bukan lagi kerana Allah, kerana pada waktu yang lain, di kala manusia tiada, kita berani melakukan dosa. Kita lebih malu kepada manusia daripada malu kepada Allah. Inilah yang menghancurkan diri kita di Mahsyar nanti. Ya Allah, ampunilah diri kami yang lemah ini…
Bukankah ini amaran keras lagi berganda sifatnya?
Pencegahan Jenayah yang efektif
Jenayah boleh dicegah dengan penanaman rasa takut kepada Allah. Bukan rasa takut kepada undang-undang, ataupun kepada autoriti manusia. Takut dengan Allah yang boleh bertindak dengan tindakan-Nya yang di luar jangkaan kita, baik di dunia dan di akhirat. Menanam rasa takut kepada Allah ketika kita bersendirian akan membuahkan hasil yang lebih berkekalan pada situasi yang lain.
Inilah agen kawalan yang lebih ampuh pada diri kita dan semua manusia umumnya, sekaligus melindungi masyarakat daripada sebarang ancaman para penjenayah. Takutkan Allah ketika kita sendirian akan melindungi diri kita daripada cuba melakukan maksiat dan dosa yang kita malu jika orang lain mengetahui. Bisikkanlah kepada hati agar sentiasa takut akan Allah sentiasa, terutamanya ketika syaitan dan nafsu membujuk rayu untuk kita melakukannya.
Ya Allah, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui. Ampunilah dosa kami atas segala dosa dan kesalahan yang dilakukan, yang sengaja dan yang tidak disengajakan. Yang dilakukan secara tersembunyi ataupun yang hadapan ramai. Ampunilah kelemahan kami. Bantulah kami mentaati-Mu.
Oleh,
MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.















masyaALLAH…
good article!
Terima kasih. Kongsikanlah pada insan yang lain