subscribe: Posts | Comments

Jahil Mengheret Ke Kancah Jenayah

0 comments
Jahil Mengheret Ke Kancah Jenayah

Saya berbincang lagi dengan supervisor yang menceritakan pengalamannya membuat kajian dengan menemubual ramai banduan di penjara. Isu utama yang beliau utarakan ialah tahap kejahilan banduan terhadap ajaran agama. Lantaran kejahilan tentang larangan agamalah, ada insan yang sanggup melakukan sumbang mahram. Ada juga yang hidup bernafas dengan udara kejahilan, tidak tahu solat dan tidak tahu membaca al-Quran, lalu berjalan di alam ini tanpa panduan dengan tiada sesiapa memberitahu apa perkara yang halal dan apa yang haram. Sebut apa sahaja jenayah yang dilakukan, para banduan ini akan mengaitkan alasan kejahilan sebagai faktor mereka melakukan jenayah.

Wujudkah perkaitan antara kejahilan hidup beragama dengan kegiatan jenayah? Islam, secara konseptualnya, bersetuju tentang kewujudan kolerasi antara dua perkara tersebut.

Kejahilan tentang sesuatu akibat pada setiap perbuatan akan mengakibatkan seseorang itu berterusan melakukan perbuatan yang dilarang agama. Selagi mana kejahilan itu tidak dihilangkan dengan pengetahuan dan pendidikan, maka pelaku dosa itu akan terus memuaskan kehendaknya, kerana akalnya tidak dipandu dengan ilmu yang tepat. Ini tergambar menerusi firman Allah yang menceritakan kejahilan kaum Nabi Lut a.s., yang melakukan jenayah liwat kerana mengikut hawa nafsu ditambah dengan kejahilan mereka. Allah berfirman:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ وَأَنْتُمْ تُبْصِرُونَ (٥٤) أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِنْ دُونِ النِّسَاءِ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ

Maksud: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya? “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”. – Surah al-Naml: ayat 54-55

Ibn Kathir menggambarkan kejahilan kaum Nabi Lut ini dalam tafsirnya sebagai “tidak mengetahui sesuatu pun, sama ada pada sifat semula jadi dan pada syariat”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azhim, Dar Tayyibah li an-Nasr wa al-Tauzi’, 1999, jil. 6, hlm. 200) Apabila seseorang itu tidak mengetahui tentang hakikat sesuatu perbuatan jenayah, maka dia akan melakukannya tanpa rasa bersalah. Begitu juga jika tidak mengetahui wujud larangan dalam syariat Allah bagi perbuatan tersebut, maka tiadalah mekanisme dalaman pada dirinya yang boleh mengawal segala bentuk perbuatannya.

Perkaitan antara kejahilan dengan perbuatan jenayah turut digambarkan oleh Allah dalam babak Yusuf a.s. bertanya kepada para abangnya, tentang perlakuan jahat mereka terhadap dirinya. Allah merakamkan peristiwa itu dalam firman-Nya:

قَالَ هَلْ عَلِمْتُمْ مَا فَعَلْتُمْ بِيُوسُفَ وَأَخِيهِ إِذْ أَنْتُمْ جَاهِلُونَ

Maksud: Yusuf berkata: “Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?” (Surah Yusuf: ayat 89)

al-Shaukani mentafsirkan kejahilan dalam ayat di atas sebagai: “Yusuf menafikan ilmu pada mereka, dan mensabitkan sifat jahil kepada mereka, kerana mereka tidak beramal dengan tuntutan ilmu. Dan dikatakan: Yusuf mensabitkan sifat jahil kepada mereka kerana mereka sengaja mencari alasan, dan suka meringankan sesuatu urusan…”

Sebahagian ulama’ Salaf membuat kenyataan: (كل من عصى الله فهو جاهل ) “Setiap orang yang bermaksiat kepada Allah (menderhakai Allah), maka dia adalah seorang yang jahil.” Konsep ini terbina berdasarkan firman Allah yang sentiasa mengaitkan perlakuan kejahatan, dosa, maksiat, penderhakaan dan jenayah dengan kejahilan. Ini sebagaimana firman Allah:

ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِينَ عَمِلُوا السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ تَابُوا مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ وَأَصْلَحُوا إِنَّ رَبَّكَ مِنْ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksud: Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu terhadap orang-orang yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilan, kemudian mereka bertaubat sesudah itu serta memperbaiki amalannya, sesungguhnya Tuhanmu sesudah (mereka bertaubat) itu, adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. – Surah al-Nahl: ayat 119

Jelaslah kepada kita bahawa setiap perbuatan jenayah mempunyai wajah kejahilan di sebaliknya. Kejahilan pada dua aspek, iaitu yang pertama; pada sifat perbuatan jenayah itu seperti tidak tahu tentang kesannya dan kedua; pada aspek syariat seperti tidak tahu perbuatan itu dilarang oleh Allah. Kedua-duanya ini boleh menyebabkan seseorang terjerumus ke kancah jenayah. Justeru, bagi menghilangkan kejahilan, pendidikanlah satu-satunya mekanisme yang ada yang boleh mencegah seseorang daripada melakukan jenayah. Menerusi ilmu pengetahuan, manusia akan boleh memimpin dan memandu akal mereka agar memilih perbuatan yang baik dan menjadi hamba Allah yang taat.

Secara kontras, Allah menyifatkan orang-orang yang berilmu adalah orang yang takutkan Allah. Dalam erti kata yang lain, orang yang mempunyai ilmu tentang syariat Allah akan takut dengan ancaman Allah dan mematuhi setiap arahan-Nya. Kesannya, dia akan merasakan setiap perbuatannya dipantau oleh Allah. Allah berfirman:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Maksud: …sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu… – Surah al-Fathir: ayat 28

Ibn Taimiyyah ketika menerangkan maksud ayat di atas, menyatakan: “dan setiap orang yang takut kepada-Nya, mentaati-Nya dan meninggalkan maksiat kepada-Nya, maka orang itu adalah orang yang berilmu.” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ Fatawa Ibn Taimiyyah (al-Tafsir), jil. 3, hlm. 80) Maksud ulama’ di sini tidak wajar disempitkan dengan mereka yang memegang autoriti agama atau yang mengajar ilmu agama. Sebenarnya, ia mencakupi semua orang Islam yang mengetahui secara asas setiap aspek syariat Allah dan beramal dengannya.

Semua nas-nas ini menggambar kesungguhan Islam sebagai agama yang menjadikan ilmu pada nilai yang tertinggi. Ini sekali gus membuktikan bahawa Islam mengiktiraf pendidikan sebagai mekanisme utama dan bersifat awalan dalam mengempang gejala negatif dan jenayah pada setiap anggota masyarakat. Justeru, untuk merawat masalah ummat hendaklah kita membunuh kejahilan yang ada di dada umat. Menanamkan ilmu syariat pada diri setiap dari kita akan membantu akal membuat keputusan yang terbaik dalam memilih perkara baik atau buruk.

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

:: Artikel Berkaitan

© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>