Solat Pembersih Lumpur Dosa
Solat boleh menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan. Ia akan menggugurkan dosa sebagaimana angin menjatuhkan daun kering ke tanah dari ranting pepohon. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
« أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهْرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ مِنْهُ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسَ مَرَّاتٍ هَلْ يَبْقَى مِنْ دَرَنِهِ شَىْءٌ ». قَالُوا لاَ يَبْقَى مِنْ دَرَنِهِ شَىْءٌ, قَالَ « فَذَلِكَ مَثَلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ يَمْحُو اللَّهُ بِهِنَّ الْخَطَايَا ».
Maksud: “Apa pandangan kamu, sekiranya ada sebatang sungai di hadapan rumah salah seorang daripada kamu, lalu dia mandi lima kali sehari, apakah masih terlekat kotoran pada tubuh badannya?” Para sahabat menjawab: “Tidak akan ada lagi sebarang kotoran.” Kata baginda lagi: “Begitulah perumpamaan bagi solat lima waktu, Allah menghapuskan segala kesalahan hamba-Nya.” (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, jil. 1, hlm. 462, no. hadith: 283)
Sesiapa yang ingin meninggalkan tabiat buruk ataupun perbuat maksiat, maka dia perlulah menuruti formula yang Nabi s.a.w. berikan ini. Nabi memberitahu kita agar terus menunaikan solat kerana ia boleh memberi kesan kepada hati. Menerusi solat, hati akan bertambah tunduk kepada Allah. Solat yang berulang-ulang kali setiap hari, pada masa yang ditetapkan, akan memberi ingatan kepada hati kita agar takut dan patuh kepada Allah.
Walaupun kita sering kalah dalam ‘peperangan’ dengan hawa nafsu, janganlah kita putus asa atau semakin culas untuk bersolat. Setiap kekalahan perlu dibalas dengan gandaan usaha mendekatkan diri kepada Allah lagi, iaitu dengan lebih tekun bersolat. Selanjutnya, solat lima kali sehari akan membersihkan hati kita dari daki-daki dosa kerana di dalam solat kita akan meminta keampunan daripada Allah beberapa kali. Contohnya, ketika duduk antara dua sujud, kita akan merayu-rayu kepada-Nya agar DIa mengampunkan kita.
Bayangkanlah kalau seseorang itu tidak pernah mandi, selama beberapa hari, pastilah bau badannya dibenci orang malahan keadaan dirinya kotor sekali. Begitulah perumpamaan orang yang meninggalkan solat selama beberapa ketika. Samalah juga kalau seseorang itu meninggalkan mandiannya sekali sekala sedangkan dia baru sahaja bermain lumpur. Maka, patutkah kita yang selalu bergelumang dosa, tidak mahu membersihkan diri kita dengan ibadah solat.
Jelaslah, solat adalah satu anugerah Allah kepada hamba-Nya agar dapat kembali kepada-Nya dengan diri yang bersih dari dosa.
Catatan ringkas,
MOHD. AL ADIB SAMURI
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.














