subscribe: Posts | Comments

Apabila Ujian Bertandang

0 comments
Apabila Ujian Bertandang

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Apabila ujian bertandang dalam hidupmu, ingatlah Allah menunggu dirimu untuk datang kepada-Nya. Ujian berupa kesakitan dan kesusahan diselitkan dalam celahan kehidupan kita dengan satu tujuan. Untuk menilai sama ada kita boleh menjadi hamba yang taat atau tidak, sabar atau tidak, teguh iman atau tidak.

Malahan, setiap detik ujian yang menimpa kita, tidak akan dibiarkan secara percuma atau sia-sia oleh Tuhanmu. Allah akan memandang setiap kesusahan kita, mendengar rintihan kita dan juga melihat berapa titis air mata rayuan kita. Allah suka melihat hamba-Nya meminta-minta, berdoa panjang, berkali-kali dan merendah diri. Jadikan diri kita ini bagai tasik di sebuah lembah, menanti Allah curahkan air rahmat dan keampunan-Nya untuk kita. Benarlah, kesakitan dan kesusahan boleh menjadikan diri kita merasa rendah dan kerdil di hadapan Allah.

Ujian kesakitan itu penghapus dosa. Kifarah bagi kesalahan yang kita lakukan sebelumnya. Ini dimaklumkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. melalui hadith yang dilaporkan oleh Abd al-Rahman bin Azhar:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِ حِينَ يُصِيبُهُ الْوَعْكُ أَوِ الْحُمَّى، مَثَلُ حَدِيدَةٍ تَدْخُلُ النَّارَ فَيَذْهَبُ خَبِيثُهَا وَيَبْقَى طَيِّبُهَا

Maksud: Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa sakit atau demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja. (al-Hakim, Muhammad bin Abdullah, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Dar al-Kitab al-Ilmiyah, Beirut, 1990, jil. 1, hlm. 145, no. hadith 246)

Besar sekali kasih sayang Allah. Setiap detik menjadi rahmat kepada kita. Tatkala diri menderita sakit, Allah tetap titipkan manfaat untuk hamba-Nya, iaitu diri kita yang banyak berdosa. Apakah lagi rahmat yang lebih besar, selain daripada terampunnya dosa? Begitulah cara Allah memproses diri kita untuk membersihkan sekeping hati yang legam dengan titik dosa. Allah datangkan kesakitan dan kesusahan, agar kita mengingati-Nya dan meminta ampun daripada-Nya. Lalu, datanglah keampunan Allah membersihkan diri kita.

Perumpamaan yang dibuat oleh Nabi s.a.w. dalam hadith di atas sangat simbolik. Karat besi sangat sukar dibersihkan melainkan dengan dimasukkan ke dalam api. Karat itulah dosa-dosa kita yang sering kita lupa untuk diminta ampun lewat hari-hari kita. Malahan, ada yang sudah terbiasa dengan dosa itu tanpa rasa bersalah. Jadilah dosa itu berkarat tebal! Api itu pula adalah gambaran kesakitan yang kita alami. Api itulah yang berupaya mencabut dan meluruhkan tiap keping karat dosa yang sukar dibuang di hati kita. Api itulah yang dapat menjadikan diri kita bersih semula. 

Bersabarlah teman, kalau diri kita sedang dibakar oleh ‘api’ itu! Allah sedang hendak mengampunkan kita.

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net 

:: Artikel Berkaitan

© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>