subscribe: Posts | Comments

Utamakanlah Kata-kata Nabi s.a.w.

9 comments
Utamakanlah Kata-kata Nabi s.a.w.

Click to Visit Dar-us-Salam Publications

Media melaporkan seorang lelaki Muslim membela 40 ekor anjing dari pelbagai jenis baka. Dalam sebuah negara yang pengamalan agamanya tidak terbuka seperti Malaysia, tindakannya itu mengundang pelbagai reaksi. Sebenarnya, lelaki itu sudah lama mendedahkan aktivitinya di laman blognya (www.mymki.com) beberapa tahun yang lalu. Walaupun pelbagai tohmahan dan kritikan dilemparkan oleh warga maya kepada dirinya, lelaki itu tetap teguh pendirian untuk terus membela anjing kesayangannya. (Kosmo 28 Mac 2010)

“Saya bermazhab Maliki.” Itu hujah pendek lelaki tersebut. Menurutnya, mazhab Maliki membenarkan seorang Muslim membela anjing.

Artikel ini bukanlah bertujuan untuk membicarakan hukum memeluk anjing, kenajisan anjing atau hukum membela anjing. Tetapi, artikel pendek ini akan menjurus kepada apakah sandaran hujah kita dalam mengamalkan agama. Bagaimanapun, untuk lebih adil, perbuatan lelaki itu memberikan kasih sayang pada haiwan adalah satu akhlak yang terpuji.

Apabila kita menyemak teks fekah klasik, para sarjana Islam telah membincangkan secara terperinci tentang hukum membela anjing. Semuanya sepakat bahawa anjing tidak boleh dibela melainkan jika mempunyai tujuan seperti untuk menjaga tanaman, memburu binatang, perlindungan, menjaga rumah dan sebagainya. Kebenaran ini adalah kebenaran bersyarat. Anjing itu mesti ada tugasannya, bukannya belaan untuk menjadi haiwan kesayangan.

Para sarjana Islam membuat formula ini berdasarkan hadis Nabi yang sahih. Daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah bersabda:

مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا إِلاَّ كَلْبَ مَاشِيَةٍ أَوْ ضَارٍ، نَقَصَ مِنْ عَمَلِهِ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطَانِ

Maksudnya: Sesiapa yang membela anjing kecuali anjing untuk mengawal ternakan dan yang dilatih untuk memburu, maka pahala amalannya akan dikurangkan pada setiap hari sebanyak dua qirat. (Dalam hadith yang lain, satu qirat dinisbahkan sebesar gunung Uhud). (al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 5, hlm. 2088, no. hadith: 5165. Hadis ini juga dilaporkan dalam teks yang berbeza dalam pelbagai rekod dan laporan.)

Bagaimanapun, menurut Mausu’ah al-Fiqhiyah (Ensiklopedia Fekah), terdapat pandangan minoriti dalam Mazhab Maliki yang membenarkan pembelaan tanpa sebarang fungsi. Sebaliknya, majoriti sarjana dalam mazhab tersebut menegahnya melainkan untuk tujuan pemburuan, pertanian dan penjagaan. Ini bermakna lelaki tersebut hanya sekadar menyebut sahaja dirinya bermazhab Maliki, tanpa tahu perbincangan sebenar dalam mazhab tersebut.

Persoalannya, bolehkah kita memilih pendapat minoriti yang bertentangan secara jelas dengan autoriti hadis?

Jawapannya juga jelas, tidak boleh. Ini kerana kata-kata Rasulullah s.a.w. adalah sumber yang lebih utama untuk diikuti. Pandangan sarjana pula terikat dengan sumber tersebut. Sebarang pentafsiran atau kefahaman tidak boleh bercanggah dengan mana-mana autoriti yang sahih. Ini bermakna, pandangan minoriti dalam Mazhab Maliki yang membenarkan anjing dibela tanpa syarat, bercanggah dengan hadis sahih yang dinyatakan di atas.

Pandangan sarjana dalam mana-mana mazhab tidak bersifat maksum (terpelihara daripada kesalahan). Mereka boleh tersalah atau tidak menepati kehendak teks. Apatah lagi jika pandangan itu adalah pandangan yang bertentangan dengan kefahaman majoriti sarjana daripada mazhab itu sendiri dan juga mazhab yang lain.

Secara prinsipnya, apabila berlaku pertembungan antara kata-kata Nabi dengan pendapat seseorang sarjana, maka kata-kata Nabi itu perlu diutamakan dan diguna pakai. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Malik sendiri:

كل يؤخذ من قوله ويترك إلا رسول الله صلى الله عليه وسلم

Maksud: “Semua kata-kata manusia boleh diterima dan ditolak, melainkan kata-kata Nabi Muhammad s.a.w.” Ini adalah kaedah emas dalam beragama.  Malahan Imam al-Shafie juga berkata:

إذا صح الحديث بما يخالف قولي فاضربوا بقولي الحائط

Maksud: “Sekiranya sesuatu hadis itu sahih dan bercanggah dengan kata-kataku, maka campakkanlah kata-kataku ke dinding (tidak diambil).” Ini bermakna apabila terdapat suatu pandangan para Imam yang bercanggah dengan hadis yang sahih, mereka sendiri meminta kita meninggalkan pandangan mereka.

Sehubungan itu, untuk lebih sejahtera dalam beragama, hendaklah kita mengutamakan kata-kata Nabi s.a.w. lebih dari kata-kata sarjana. Ini kerana Nabi adalah maksum. Sebaliknya kefahaman sarjana pula berpotensi tidak menepati kehendak nas. Apabila berhujah, gunakanlah sandaran yang berautoriti dari al-Quran dan al-Sunnah. Kemudian, barulah kita merujuk kepada pandangan dan kefahaman para sarjana mazhab tentang teks tersebut.

Sekiranya kita tidak mengikut kaedah ini, akan ada golongan yang suka mengikut pendapat yang pelik serta bertentangan dengan tuntutan dan kefahaman ajaran Islam yang sebenar. Mereka akan berhujah, “ada tokoh sarjana berpendapat sebegitu. Jadi, kami melakukannya.” Contohnya, berkaitan isu tudung. Jika kaedah ini tidak digunakan, mereka akan memetik beberapa pandangan sarjana Islam mutakhir yang mengharuskan untuk menanggalkan tudung dalam keadaan dan tempat tertentu. Jika kita membiarkan masyarakat memilih sesuatu pandangan untuk menghalalkan sesuatu perkara,  dan pandangan itu tiada sandaran al-Quran dan al-Sunnah, maka agama ini akan terbuka kepada pelbagai tafsiran yang akan merosakkan ajarannya.

Justeru, utamakanlah kata-kata Nabi s.a.w. sebelum kata-kata manusia seluruhnya.

Click to Visit Dar-us-Salam Publications!
Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net

:: Artikel Berkaitan

© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.

Share
  1. Assalamualaikum Ustaz.

    Terima kasih ataa coretan yang ringkas tetapi komprehensif. Ana sangat banyak didesak untuk memberikan komen mengenai peminat anjing berkenaan tetapi memilih untuk tidak memberikan apa-apa komen setakat ini kerana ana mahu melihat dari sudut psikologinya, apakah sebenarnya yang bersarang di kepala beliau
    hingga begitu defensif dan provokatif pada menyatakan kasih sayangnya kepada anjing.

    Coretan ustaz berhasil melontarkan beberapa idea.

    Jazakumullahu khair al-jazaa’

  2. Wa’alaikumussalam, Ustaz Abu Saif yang dikasihi,

    Ana juga tidak mahu menjebakkan diri pada polemik yang banyak dibicarakan oleh para pengkritik di ruangan maya ini.

    Insya Allah, pada masa yang lain, ana ingin sentuh pula tentang sifat ulfah terhadap binatang, sebagai suatu sunnah yang semakin jauh dari masyarakat hari ini.

    Terima kasih atas kunjungan… :-)

  3. papaayit says:

    betul2.. sebahagian kita cume ambil apa yang memihak mereka aje tanpa ambil kira keseluruhan konteks..

  4. Tuan Ayit,

    Benar sekali. Mengambil sebahagian isi agama dan menolak sebahagian yang lain adalah tabiat manusia yang rendah nilai ‘religiositi’nya. :-)

  5. Salam… kekadang ada yang lebih rela membela anjing daripada membela anak yatim. Bela anjing perlu biaya yang tinggi. Bela kucing pun susah. Ya. salah prioriti. Syukran atas penjelasan dari segi dalil dan fakta hujahan. Sangat komprehensif. Alangkah baiknya jika “lelaki” itu benar-benar berpegang dengan “dalil” agama untuk keseluruhan sistem hidupnya… bukan sahaja di sudut “boleh pelihara anjing”? Sekadar usikan minda untuk ustaz. Tahniah, teruskan perjuangan.

  6. Wa’alaikumussalam. Terima kasih Ustaz atas sudut pandang itu. Benar sekali. Berpegang dengan dalil dalam setiap asepk kehidupan, itulah yang dituntut.

  7. Terima kasih Ustaz al Adib atas penjelasan isu bela anjing ni. Kadang-kadang kita yang tak mengaji agama ni suka mengambil hukum-hukum on the surface je tanpa menganalisa dalil-dalil dan hasil kajian para ulama/sarjana dalam mengeluarkan hukum tersebut. tak kisahlah dari mazhab mana pun. Akhirnya timbullah pengamal agama yang tidak mengikut adab-adab dalam beragama.

    Bagi ana orang macam ni samada dia :
    1) jahil
    2) perasan dah terer
    3) saja nak tunjuk konon dia tahu mazhab lain
    4) seolah2 rasa dikongkong pemikirannya apabila diajar pelbagai hukum agama di Msia tanpa diberitahu dalil, maka dia bertindak melawan arus dan mencari alternatif (pendapat mazhab/ulama lain) dalam beragama

  8. Sama-sama Akhi Affzan. Terima kasih juga atas pandangan enta.

    Saya khuatir dengan trend masyarakat yang gemar memilih untuk mengambil pandangan lain (walaupun pandangan itu lemah), sebagai satu jalan keluar untuk membolehkan dirinya melakukan perkara yang ditegah syarak.

  9. Hang Tuah says:

    Salam Ustaz,

    Maaf kerana terlewat dalam membuat pertanyaan untuk perkara yang telah lebih setahun lalu dibincangkan.

    Kita mungkin sedia maklum yang anjing peliharaan akan secara automatik menjaga rumah tuannya tanpa diarah/disuruh diatas sifat semulajadinya. Setidak – tidaknya ianya akan menyalak apabila orang asing memasuki atau menghampiri rumah tuannya. Adakah ini boleh dikategorikan sebagai ‘menjaga rumah’?

    Saya yakin yang utamanya disini adalah niat. Sekiranya niat pembela anjing tersebut adalah untuk menjaga kediaman dan anjing telah pun berada dirumah tuannya, pastinya anjing yang bertujuan untuk menjaga kediaman tadi akan dibela dan dijaga dengan baik seperti binatang peliharaan/kesayangan.

    Jika dalam situasi ini, dibela untuk menjaga kediaman dan turut disayangi sebagai ‘pet’, bolehkah ianya dilakukan? Atau anjing tersebut perlu dikurung di dalam sangkar sahaja sepanjang masa dan tuannya tidak boleh memegang/membelai anjing tersebut?

    Ada yang mengatakan “anjing kering, kita kering takpe. jangan anjing basah atau kita basah dan jika bersentuhan maka haram” Bolehkah Ustaz berikan ayat / hadith yang menyatakan hukum ini?

    Terima kasih Ustaz.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>