subscribe: Posts | Comments

Pemurahnya Lebih Dari Angin Kencang

1 comment
Pemurahnya Lebih Dari Angin Kencang

Baginda s.a.w. seorang yang sangat gemar bersedekah. Sifat mulia itu tambah menjadi-jadi ketika baginda berpuasa pada bulan Ramadhan dan apabila menyemak bacaannya bersama Jibril.

Ini bermakna sikap positif akan melonjak tinggi apabila kita berada dalam suasana yang positif. Lihat sahaja baginda Nabi s.a.w. yang sememangnya sudah pemurah dan suka memberi, bertambah ligat ketika berada dalam suasana Ramadan yang berkat.

 Ibn Abbas r.a. menceritakan keadaan Nabi s.a.w. ini:

 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – أَجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِى رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ يَلْقَاهُ فِى كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ، فَلَرَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

Maksud: Adalah Rasulullah SAW orang yang paling pemurah dan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan tatkala Baginda bertemu Jibrail. Jibrail akan memenuhi malam Ramadan dengan bertadarus al-Quran, sedangkan Rasulullah SAW apabila bertemu Jibrail, Baginda lebih pemurah menyumbang kebajikan malah lebih kencang daripada angin yang kencang.” (al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih, Maktabah Salafiah, 1400H, No. hadith: 6, 1902, 3554, 4997 dan 5840)

Ibn Hajar al-Asqalani telah menerangkan maksud ‘angin kencang’ dalam hadis di atas. “Angin itu ialah angin rahmat yang dihantar oleh Allah untuk menurunkan hujan yang melata ke bumi yang mati dan yang belum mati. Kebajikan dan kebaikan Nabi s.a.w. meliputi sesiapa sahaja termasuklah orang fakir dan orang yang memerlukan, malah termasuk juga orang yang kaya dan orang yang telah mencukupi.” (Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Dar al-Makrifah, Beirut, 1379H, jil. 4, hlm. 116)

Salah satu fungsi angin ialah menolak awan yang akan menurunkan hujan. Langit mendung dibawa angin untuk menghidupkan bumi yang mati gersang dan juga yang subur menghijau. Bayangkanlah kalau angin itu begitu kencang. Hujan akan lebih segera turun ke kawasan tersebut. Begitulah gerak kerja kebajikan Nabi s.a.w. Baginda tahu betapa mengharapnya orang yang memerlukan bantuan dan fakir. Malah, sifat pemurah Nabi juga mensejahterakan orang kaya dan orang yang telah cukup hartanya. Angin itu membawa titis hujan harapan dan rezeki buat mereka. Alangkah baiknya Nabi kita! Ini kerana kebaikan baginda lebih laju dari angin kencang itu.

Bayangkanlah bagaimana kita membeli belah ketika musim perayaan atau untuk majlis perkahwinan. Pelbagai barang terpaksa dibeli. Duit begitu pantas melarikan diri dari kita. Selalunya kita akan melihat wang itu dengan laju habis dari simpanan kita. Kini, cuba bayangkan pula kalau wang sebanyak dan sekerap itu kita belanjakan untuk memenuhi keperluan orang lain. Memberilah dengan gaya Nabi s.a.w. dengan memberikan apa yang termampu tetapi dengan lebih kerap.

Sehubungan itu, untuk memantapkan lagi amalan kita, sentiasalah mencari suasana yang positif. Ia boleh mendorong kita menjadi lebih baik. Berbuat baik dan berkebajikan itu boleh dijalankan dalam pelbagai bentuk. Sentiasalah memberi kepada manusia di sekeliling kita.

Oleh,

MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net 

:: Artikel Berkaitan

    © Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.

    Share
    1. Alhamdulillah artikel yang menarik…cukup menyentuh hati. Terima kasih.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    *

    You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>