Posted by Al-Adib in Akidah | 0 Comments
Syirik Dan Masyarakat Melayu
Karya Sir Frank Swettenham merupakan antara rekod bertulis terawal yang menceritakan kehidupan masyarakat Melayu Islam di Tanah Melayu. Bukunya yang berjudul ‘Malay Sketches’ diterbitkan pada tahun 1884. Dengan pemerhatiannya yang tajam, Swettenham merakamkan secara jujur, adakalanya sinis, apa yang dialaminya selama beliau berkhidmat sebagai pegawai Inggeris sehingga menjadi Residen. Dalam bukunya, beliau merekodkan cara hidup beragama masyarakat Melayu yang sudah beberapa ratus tahun memeluk Islam.
Komentar pertama Swettenham tentang Melayu dan Islam menyentuh tentang mengapa para mubaligh Kristian akhirnya mengalah dalam penyebaran agama Krisitian. Alasan yang diberikan oleh Swettenham ialah orang Melayu percaya luhur kepada Tuhan dan rela disalib daripada menukar agamanya. Malahan, Swettenham menambah orang Melayu sangat percaya akan masuk ke syurga dengan agamanya. Tulisan Swettenham ini menggambarkan orang Melayu sangat kuat beragama. Beliau bercerita, antara lain, orang Melayu suka mengaji al-Quran walaupun tidak memahaminya, berpuasa dan bersembahyang. Dalam masa yang sama, walaupun begitu beragama, Swettenham memberitahu bahawa orang Melayu suka berjudi, melarikan isteri orang yang cantik, membunuh, membalas dendam, mengamuk, melatah dan berhibur.
Swettenham mengkritik tajam terhadap cara hidup beragama orang Melayu dalam karyanya. Beliau menyifatkan, walaupun orang Melayu pengikut Muhammad, namun mereka melakukan amalan khurafat, tahyul, syirik dan mistik. Suatu yang sungguh bertentangan!
Sebagai contoh pertama, Swettenham menceritakan tentang satu amalan bernama ‘Adat Berhantu’. Ia satu upacara untuk memulihkan orang sakit. Apabila Sultan sakit nazak, manakala para tabib dan doktor sudah habis ikhtiar, maka para pawang dipanggil. Pawang-pawang itu akan memanggil syaitan atau jin untuk mengubati Sultan yang sedang nazak. Upacara menurun itu berlangsung sepanjang malam sehingga Sultan sedarkan diri.
Secara ringkasnya, Swettenham mengulas ‘adat berhantu’ dengan nada sinis., “Ketika sakit nazak, orang Melayu meminta tolong daripada syaitan. Apabila orang itu hendak mati, barulah mereka mengajar syahadah dan menyerahkan roh itu kepada Tuhan.” Suatu yang sangat berlawanan. Selanjutnya, Swettenham membuat anggapan bahawa amalan itu mungkin berasal dari agama Hindu iaitu zaman sebelum Islam datang ke alam Melayu. Uniknya, Swettenham sedar bahawa semua amalan itu ditentang oleh para ulama di negeri itu. Beliau melaporkan bahawa walaupun para ulama membenci dan mencegahnya, namun para pembesar negeri berpegang dengan amalan ilmu hitam itu. Sebab itulah amalan tersebut terus kekal dalam masyarakat.
Perkara kedua, orang Melayu suka berjampi serapah. Mereka menghalau hantu daripada mengganggu manusia. Mereka akan memanggil-manggil pelbagai nama jin dan syaitan untuk meminta pertolongan. Namun, dihujung jampi itu, orang Melayu akan menambah nama Allah. Swettenham mengkritik secara halus perkara tersebut. Bagaimana mungkin nama Allah disatukan dengan amalan tahyul itu atas tujuan untuk menewaskan syaitan?
Perkara ketiga, orang Melayu percaya bahawa ada orang tertentu boleh membela hantu. Terdapat banyak jenis dan nama hantu yang dipercayai diperolehi secara turun temurun dan amalan sihir. Swettenham turut merakamkan bagaimana cara untuk mendapat atau menundukkan seekor hantu dan membelanya. Perkara ini sudah semestinya perbuatan syirik yang bertentangan dengan Islam.
Perkara keempat, orang Melayu menggunakan khidmat tukang tilik untuk mendapatkan sesuatu barangan yang hilang. Swettenham merekodkan kejadian yang menimpa dirinya sendiri yang kehilangan barang. Hakikatnya, beliau ditipu bulat-bulat menerusi upacara itu. Malangnya, upacara sebegini tetap diselitkan dengan unsur keagamaan seperti membaca ayat-ayat al-Quran dalam jampi mereka.
Perkara yang paling signifikan dalam karyanya ialah apabila Swettenham menerima sepucuk surat berkenaan bahaya syirik daripada Tuan Guru Agama kepada Sultan. Beliau bernama Tuan Haji Muhammad Abu Hassan. Suatu hari, Swettenham berbicara dengan Sultan tentang amalan-amalan syirik dan didengari oleh Tuan Guru Agama itu yang sedang menunggu untuk mengimamkan solat Maghrib. Keesokan harinya, beliau mendapat surat panjang dari guru agama itu yang menceritakan tentang bahaya, kesan dan dosa syirik di dalam Islam. Tuan Guru itu juga mengkritik sikap Raja dan Penghulu yang masih berpegang dengan amalan syirik tersebut. Surat itu begitu unik kerana selain menegaskan tentang pengharaman syirik dalam Islam, Tuan Guru Agama itu juga meminta pandangan daripada Swettenham tentang hukum syirik dalam agama Krisitan.
Jelaslah daripada catatan Swettenham, amalan khurafat dan syirik subur berlaku dalam alam Melayu kerana sokongan pemerintah sekalipun ia ditentang oleh para ulama. Walaupun para ulama jerih berdakwah, perkara terlarang dalam Islam itu terus kekal sehingga ke generasi seterusnya. Sehingga hari ini, sebahagian kecil amalan itu masih wujud dalam masyarakat Melayu. Sungguh besar pengajaran yang diperolehi dari catatan Residen British ini.
Ingatlah pesan Allah dalam al-Quran:
فَلا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَنْدَادًا
Maksud: Maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu dalam permohonan dan sembahan. (Surah al-Baqarah: 22)
Oleh,
MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.
