Posted by Al-Adib in Manhaj | 0 Comments
Panduan Untuk Menilai Cara Beragama
Sekiranya kita ingin mengkaji tentang aliran pemikiran, manhaj dan mazhab dalam Islam, kita perlu meneroka dan meneliti bahan-bahan asal iaitu SUMBER PERINGKAT PERTAMA. Sesiapa yang hanya membaca sumber PERINGKAT KEDUA dan KETIGA, maka hendaklah dia tidak membuat sebarang keputusan tentang status agama seseorang, atau sesuatu manhaj dan mazhab.
Untuk menilai siapa tokoh itu atau sesuatu manhaj atau aliran pemikiran, maka kita perlu menilai semua buku tulisannya dan meninggalkan semua buku yang memuji dan mengkritiknya. Buku penulisannya itu adalah SUMBER PERINGKAT PERTAMA. Sekiranya kita hanya mendengar kuliah seseorang atau membaca di internet, yang memuji dan mengkritiknya, kita tidak merujuk kepada SUMBER PERINGKAT PERTAMA.
Sumber pertama ialah buku-buku penulisan tokoh itu.
Sumber kedua ialah penulisan orang lain tetang tokoh itu sama ada memuji dan mengkritiknya.
Sumber ketiga pula ialah tulisan orang yang menukilkan pandangan penulis dalam kelompok sumber kedua. (Banyaknya di internet dan artikel arkhbar).
Jangan membaca karya yang dikelompokkan dalam sumber kedua dan sumber ketiga. Ia akan mencetuskan prejudis dan mengekang kemampuan intelektual kita.
Penilaian bertaraf akademik dan ilmiah hanya boleh dibuat sekiranya kita mempunyai ilmu alat (bahasa Arab) dan mempunyai perkakasan menguruskan maklumat (ilmu hadith dan lain-lain), dengan mengkaji sumber-sumber teks klasik Islam merentasi manhaj dan mazhab yang ada.
Sekiranya kita belum bersedia atau tidak berupaya untuk membuat penilaian, maka hendaklah kita berusaha untuk mencapai tahap itu, sekiranya berkemampuan. Sekiranya tidak, bersabarlah dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan dan keputusan tentangnya. Inilah resepi cara beragama yang sejahtera.
Contoh
Sekiranya kita hendak mengkaji Syiah, kita hendaklah membaca penulisan utama yang menjadi kerangka pegangan pengikut Syiah seperti kitab-kitab karangan al-Kulaini. Kita juga boleh membaca karya-karya moden Syiah yang ditulis oleh seseorang yang bertaraf Imam untuk melihat sejauhmana mereka mengembangkan idea asal daripada al-Kulaini.
Dari situ, kita akan tahu apakah perbezaan ajaran Syiah dengan pegangan kita. Apakah sandaran mereka dan hujahan mereka. Kemudian, setiap isu itu, kita akan menilainya dan mengujinya berdasarkan kerangka al-Quran dan al-Sunnah yang difahami oleh para Sahabat. Seterusnya, pada setiap isu, bezakan dengan pandangan para ulama dari Ahli Sunnah.
Setiap proses itu, perlukan kesabaran, ketekunan dan penelitian.
Selepas berpuas hati dengan perjalanan kajian, maka boleh dan layaklah kita membuat keputusan adakah Syiah berada dalam kebenaran atau tidak.
Aplikasikan gerak kerja seperti ini dalam makmal kehidupan kita dalam semua persoalan tentang TOKOH, MANHAJ, MAZHAB dan ALIRAN PEMIKIRAN.
Catatan Facebook,
Mohd. Al Adib Samuri
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.
