farfromfearless

SENASHAKH AL-QURAN SEBAGAI MODAL DAKWAH

Rasulullah s.a.w. membenarkan beberapa delegasi non-Muslim memasuki masjid, agar mereka boleh melihat orang Islam bersembahyang dan mendengar bacaan al-Quran dan syarahan Nabi s.a.w.

al-Qaradhawi yang menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431 Malaysia, telah menyampaikan muhadharahnya di PICC pada hari ini, dengan limpahan ilmu dan kefahamannya. Ceramah berjudul ‘Fiqh al-Jihad’ itu menerangkan tentang keutamaan jihad dan pembahagiannya sebagaimana yang pernah dibuat oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Dengan memfokuskan jihad kepada 4 skop, iaitu jihad al-nafs, jihad melawan syaitan, jihad dalam masyarakat dan jihad memerangi orang kafir, al-Qaradhawi telah berjaya menekankan beberapa isu penting seperti dakwah terhadap non-Muslim sebagai satu juzuk jihad yang sering dipandang sepi. Al-Qaradhawi melihat, umat Islam kini sangat kurang berinteraksi dengan non-Muslim dalam erti kata dakwah iaitu mengajak mereka mengenal Islam dengan erti kata sebenar.

            al-Qaradhawi mengkritik beberapa pandangan dan sikap umat Islam, berdasarkan pengalamannya di Jakarta, yang tidak bersungguh dalam berdakwah terhadap non-Muslim, malah memberi alasan keagamaan yang sukar diterima. Di sana, katanya, al-Qaradhawi telah menemui Bible dalam setiap bilik hotel yang disediakan untuk bacaan tetamu. Tetapi, tiada al-Quran. al-Qaradhawi mengkritik, bagaimana sebuah negara umat Islam yang teramai di dunia, tidak meletakkan al-Quran di setiap kamar hotel, tetapi membiarkan sahaja Bible untuk tatapan pengunjung? Lebih mengejutkan dirinya, apabila jawapan yang diberikan kepadanya adalah jawapan yang tidak tepat, iaitu, “Kalau diletakkan al-Quran di hotel, dikhuatiri non-Muslim akan memegangnya sedangkan mereka itu tidak suci.”

            Sebenarnya, senario yang sama juga berlaku di Malaysia, kalaulah al-Qaradhawi mengetahuinya. Beberapa hotel bertaraf 5 bintang sememangnya meletakkan Bible sebagai teman di setiap kamar. Walaupun pernah ada projek al-Quran untuk hotel dilancarkan oleh sebuah NGO, namun ia masih belum meluas lagi dan sesiapa sahaja tahu tidak banyak hotel yang menyediakan terjemahan al-Quran di setiap bilik, tanpa mengira bintang berapa pun. Cuma, adakah alasan yang sama akan diberikan oleh orang agama di Malaysia apabila soalan yang sama ditujukan oleh al-Qaradhawi kepada mereka? Walhal, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa agar al-Quran terjemahan sebaiknya disediakan di hotel. (link)

            Apabila membincangkan persoalan dakwah, ramai yang akan memberi pelbagai idea kreatif untuk mendekati golongan sasaran iaitu non-Muslim. Malahan, memandangkan Malaysia sebagai negara pelancongan, ada juga pihak yang mengizinkan pelancong untuk datang memasuki Masjid hanya sekadar untuk mengambil gambar, menikmati keindahan senibina (yang langsung tiada nilai heritage), dengan kod-kod etika dan pakaian tertentu, kemudian keluar dan balik. Pegawai penerangan memang ada disediakan, namun apakah mereka benar-benar berkeupayaan dan siap siaga untuk menjawab setiap kritikan dan persoalan yang datang daripada non-Muslim? Atau mereka hanya sekadar tukang pemberi jubah merah jambu! Itu belum lagi sikap setengah Imam Masjid, yang mungkin tidak selesa dengan pandangan dan fatwa membenarkan orang non-Muslim memasuki masjid. Sedangkan, adalah harus bagi non-Muslim memasuki masjid untuk perkara-perkara yang diizinkan syarak seperti untuk mendengar penerangan tentang Islam atau meminum air atau sebagainya. Ini kerana Rasulullah s.a.w. membenarkan beberapa delegasi non-Muslim memasuki masjid, agar mereka boleh melihat orang Islam bersembahyang dan mendengar bacaan al-Quran dan syarahan Nabi s.a.w. Malahan, Nabi s.a.w. pernah mengikat Thumamah ibn Athaal al-Hanafi di dalam masjid apabila dia dibawa ke hadapan baginda sebagai tahanan perang, dan Allah memberikan hidayah kepadanya dan memasuki Islam. Tetapi, peliknya negara-negara Islam yang menjadikan masjid sebagai ikon pelancongan akan menutup pintu masjid mereka untuk non-Muslim setiap kali waktu solat. Maka, apakah mesej yang ingin disampaikan kepada non-Muslim?

            Isunya, mengapa tidak pernah masjid-masjid di Malaysia menghadiahkan nashkah al-Quran (terjemahan mengikut bahasa utama dunia) kepada para pelancong yang datang menjengah ke masjid? Belanja yang besar? Ketahuilah, belanja penyelenggaraan masjid itu lebih besar daripada kos mencetak terjemahan al-Quran. Justeru, mengapa beralasan? Malahan, kita boleh ‘mengecilkan’ pakej terjemahan al-Quran itu, mungkin dengan surah tertentu yang dekat dengan non-Muslim seperti Surah Maryam, al-Baqarah, Ali Imran dan sebagainya, sekiranya kita sayang duit untuk mencetak terjemahan al-Quran. Inilah peluang dakwah yang paling besar dan disia-siakan dengan begitu sahaja. 

            Jika di hotel yang kebanyakannya dipegang oleh pengusaha non-Muslim, kita gagal meletakkan terjemahan al-Quran, mengapa di Masjid kita tidak berbuat demikian untuk memastikan setiap pengunjung itu mendapat cenderamata besar dalam hidup mereka? al-Quran menakutkan pelancongkah? Tidak! Sekiranya ada yang berhujah bahawa ia akan menakutkan pengunjung untuk datang kerana semacam ada proses intro-indoktrinasi, itu adalah hujah dangkal sang dungu. Di era maklumat ini, kita bebas menyebarkan idea dan pemikiran kita. Justeru, al-Quran itu adalah kerangka kepada idea, pemikiran dan jatidiri umat Islam. Kita mempromosikan Islam kepada mereka menggunakan sumber yang paling autentik, iaitu al-Quran. Para pengunjung non-Muslim itu sendiri berhak untuk menerima hadiah terjemahan al-Quran itu ataupun menolaknya. Tiada paksaan. Justeru, hadiah yang sebaik itu akan gagal disampaikan oleh bakal penerimanya sekiranya si ‘posmen’ tidak berupaya membina kepercayaan terlebih dahulu dengan mereka.

            Bukan itu sahaja, mari lihatlah juga kepada tetangga dan teman sepejabat yang tidak seakidah dengan kita. Pernahkah kita menghadiahkan terjemahan al-Quran kepada mereka? Sejauhmana mereka faham tentang agama ini, hasil pergaulan rapat kita dengan mereka? Jika kita tidak pandai berbicara untuk menceritakan perihal Islam, hadiahilah mereka terjemahan al-Quran kerana padanya petunjuk yang memberi mereka cahaya dalam pencarian makna kehidupan mereka. Al-Quran boleh menjadi jurubicara untuk menceritakan KeEsaan Allah dan keRasulan Muhammad s.a.w.

            Tidak boleh dinafikan bahawa ramai orang yang memeluk Islam setelah membaca isi kandungan al-Quran terutamanya setelah 11 September 2001. Malah, sebelum itu lagi al-Quran yang terjual merata di Barat telah banyak menambat hati orang bukan Islam untuk kembali kepada fitrah mereka. Yusuf Islam adalah bukti utama keberkesanan dakwah menerusi al-Quran. Malahan, jika kita rajin melayani internet, kisah-kisah pengakuan individu yang memeluk Islam kesemuanya bermula dengan kajian mereka terhadap al-Quran. Jika mereka sudah memberikan testimoni, mengapa sukar kita mempercayai kaedah ini?

Bukankah Allah berpesan kepada kita, agar menyeru semua bangsa di dunia kepada Islam. Allah berfirman:

وَادْعُ إِلَى رَبِّكَ إِنَّكَ لَعَلَى هُدًى مُسْتَقِيمٍ

Maksud: “dan serulah (Wahai Muhammad) umat manusia kepada ugama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. -- al-Haj: 67.

 

Oleh:

Mohd. Al Adib Samuri
www.al-adib.net

  • Share/Save/Bookmark

Categories-

  • No categories

2 people have left comments

fatin - Gravatar

fatin said:

salam alaik,

ustaz, artikel menarik utk direnungkan, hanya dgn menghadiahkan al-Quran akan menarik non-muslim utk mengenal islam. Ttp sy ada persoalan yg bermain di fikiran saya… semasa sy tinggal di kolej dulu, ada seorang non-muslim bertanya “Kenapa ada perempuan islam yg pakai tudung ttp ada juga yg tidak memakainya? Agak lama utk sy memikirkan jawapannya, ttp sy hanya menjawab itu terpulang kpd individu itu sendiri utk mengamalkannya/tidak ttp islam memang mewajibkannya (buntu krn beliau mahukan jaw dgn segera)..
Pengalaman itu emebuatkan sy terfikir, mereka non-muslim itu sebenarnya secara tidak langsung belajar ttg islam melalui observation mereka sendiri, maupun pergaulan mereka dgn org islam, cumanya cara mereka menilai dan memahami islam itu tidak tepat disebabkan masih ramai umat islam yg belum mengamalkan islam secara menyeluruh. Tambahan pula mereka byk bertanya soalan dgn mahukan jaw. yg bersifat objaektif , sdgkan jaw. yg sebenarnya memerlukan explaination yg bersifat subjektif, byk perkara perlu difahamkan dgn baik, apa pendapat ustaz?
(teringat kata2 ust Hasrizal supaya focus kpd real problem, bukan presenting problem dlm berdakwah)

Posted on: 19/12/2009 at 8:45 PMQuote this Comment
Adib - Gravatar

Adib said:

Memang benar, rata-rata non-Muslim di Malaysia memang membuat observation terhadap masyarakat Islam di sekeliling mereka. Justeru, di situlah dakwah disampaikan dengan memberi penerangan tentang apakah sebenarnya kehendak Islam. Semoga berjaya dalam dakwah saudari

Posted on: 19/12/2009 at 10:06 PMQuote this Comment

Leave a Comment-

Comment Guidelines: Basic XHTML is allowed (a href, strong, em, code). All line breaks and paragraphs are automatically generated. Off-topic or inappropriate comments will be edited or deleted. Email addresses will never be published. Keep it PG-13 people!

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>

All fields marked with "*" are required.

© 2009-2010 Al-Adib.net (MOHD. AL ADIB BIN SAMURI) All Rights Reserved

Copy Protected by Chetan's WP-CopyProtect.