Posted by Al-Adib in Fiqh al-Jinayah | 0 Comments
Merawat Pemikiran Penjenayah
Pada malam itu, Discovery Channel menayangkan dokumentari bersiri ‘Most Evil’ dengan judul ‘Murderous Women’. Rancangan yang mengklasifikasikan setiap perbuatan jenayah dengan tahap tertentu itu telah memperkenalkan senarai panjang penjenayah wanita yang melakukan jenayah kejam dalam sejarah kemanusiaan. Paling menyentuh hati saya ialah tindakan jahat seorang ibu yang membunuh dua anak perempuannya setelah menyeksa fizikal dan mental mereka. Theresa Knorr mendera anak perempuannya, Suesan, malah pernah menembak anaknya. Bagaimanapun, anaknya itu tidak mati, lalu dia membuat pembedahan manual untuk mengeluarkan peluru di dada Suesan. Setelah dibiarkan menggelepar sakit dan dijangkiti kuman untuk sekian masa, penyeksaan ditambah dengan anaknya dibakar sehingga rentung sebelum ditemui oleh orang yang melintasinya. Kemudian, anak perempuan keduanya, Shiela, menjadi mangsa kegiatan pelacuran. Theresa Knorr telah mengurung Shiela sehingga dia mati kelaparan dan mayatnya dibiarkan di tepi jalan. Kekejaman sang ibu ini mendapat ranking terbaik dalam senarai penjenayah!
Apakah yang membuatkan seseorang itu melakukan jenayah yang hina dan jijik sehingga ke tahap itu? Segalanya bermula dari suis utama seseorang manusia iaitu akal. Akal, anugerah Allah yang menjadikan manusia lebih mulia dari binatang, menjadi penentu sama ada manusia berkelakuan seperti manusia ataupun binatang.
Pada aspek psikologi, setiap kesalahan atau jenayah yang dilakukan oleh seseorang bermula dari cepu mindanya. Setiap neuron dalam minda seseorang itu bertanggungjawab dalam menggerakkan anggotanya untuk memilih apakah perbuatan yang akan dilakukan dalam sesuatu masa. Dalam konteks undang-undang jenayah, ia dinamakan sebagai mens rea iaitu niat yang wujud dalam pemikiran seseorang untuk melakukan jenayah. Selanjutnya, terdapat satu lagi pembahagian jenis jenayah yang dinamakan pre-meditated crime. Ia adalah jenayah yang dilakukan setelah berfikir panjang dengan merancangnya bagi mencapai dua kemungkinan iaitu menjayakan pelaksanaan jenayah itu secara sempurna ataupun mengelakkan dari sebarang pengesanan daripada pihak berkuasa. Semuanya ini menggambarkan pengaruh akal dan fikiran dalam mempengaruhi tindakan jenayah seseorang. Ini kerana akal secara semulajadinya akan menggambarkan tentang kesan dan akibat daripada perbuatan jenayah itu, agar kita menjauhinya. Lebih-lebih lagilah sekiranya akal itu dipandu dengan wahyu, pasti ia akan menerapkan nilai-nilai takut akan Allah sebagai pengawal tindak-tanduknya.
Sehubungan itu, apabila membincangkan tentang usaha-usaha pengurangan kadar jenayah dalam masyarakat, kita perlu juga memfokuskan kepada aspek pemikiran para penjenayah dan bakal penjenayah yang berpotensi untuk melakukannya. Merawat dan memandu pemikiran mereka adalah penting bagi memastikan mereka tidak lagi mengulangi jenayah tersebut pada masa akan datang, sekaligus mengelakkan mereka menjadi penjenayah tegar, ataupun berterusan mengancam keselamatan masyarakat dengan kegiatan mereka.
Islam mempunyai pendekatan khusus dalam meladeni perkara ini. Islam menawarkan rawatan bagi criminal mind menerusi pendidikan iaitu dengan mendidik akal dan kefahaman. Setiap individu yang mempunyai kecenderungan untuk melakukan jenayah akan dirawat menerusi pembetulan cara berfikir dengan bermatlamat untuk mengubah tingkahlaku jenayah mereka. Sebagai contoh, terdapat satu hadith yang menggambarkan bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. merawat criminal mind seseorang yang cenderung dan berhasrat untuk berzina. Dari Abu Umamah berkata:
إن فتى شابا اتى النبي صلى الله عليه و سلم فقال : يا رسول الله ! ائذن لي بالزنى . فأقبل القوم عليه فزجروه وقالوا مه مه ! فقال : ادنه . فدنا منه قريبا . قال : فجلس . قال أتحبه لأمك ؟ قال : لا والله جعلني الله فداك . قال : ولا الناس يحبونه لأمهاتهم . قال أفتحبه لابنتك ؟ قال : لا والله يا رسول الله ! جعلني الله فداك . قال : ولا الناس يحبونه لبناتهم . قال أتحبه لأختك ؟ قال : لا والله جعلني الله فداك . قال : ولا الناس يحبونه لأخواتهم . قال أتحبه لعمتك ؟ قال : لا والله جعلني الله فداك . قال : ولا الناس يحبونه لعماتهم . قال أتحبه لخالتك ؟ قال : لا والله جعلني الله فداك . قال : ولا الناس يحبونه لخالاتهم . قال : فوضع يده عليه وقال : اللهم ! اغفر ذنبه وطهر قلبه وحصن فرجه . فلم يكن بعد ذلك الفتى يلتفت إلى شيء .
Maksud: Sesungguhnya seorang pemuda datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata: “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku berzina.” Maka datanglah satu kumpulan orang kepadanya dan menghalaunya. Dan mereka berkata: “Ke sana, ke sana!” Maka baginda pun bersabda: “Bawa dia ke mari.” Maka, dia dibawa dekat kepada baginda. Umamah berkata: Maka dia pun duduklah. Nabi bertanya: “Adakah engkau suka jika zina itu berlaku pada ibu kamu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah moga Allah menjadikan aku tebusanmu.” Baginda bersabda: “Dan tiada manusia suka zina berlaku pada ibu mereka.” Nabi bertanya lagi: “Adakah kau suka jika zina berlaku pada anak perempuanmu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah moga Allah menjadikan aku tebusanmu.” Baginda bersabda: “Dan tiada manusia suka zina berlaku pada anak perempuan mereka.” Nabi bertanya lagi: “Adakah kau suka jika zina berlaku pada adik perempuanmu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah moga Allah menjadikan aku tebusanmu.” Baginda bersabda: “Dan tiada manusia suka zina berlaku pada adik perempuan mereka.” Nabi bertanya lagi: “Adakah kau suka jika zina berlaku pada ibu saudara sebelah ayahmu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah moga Allah menjadikan aku tebusanmu.” Baginda bersabda: “Dan tiada manusia suka zina berlaku pada ibu saudara sebelah ayahmu mereka.” Nabi bertanya lagi: “Adakah kau suka jika zina berlaku pada ibu saudara sebelah ibumu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah moga Allah menjadikan aku tebusanmu.” Baginda bersabda: “Dan tiada manusia suka zina berlaku pada ibu saudara sebelah ibumu mereka.” Umamah berkata: Maka Nabi pun meletakkan tangannya ke atas pemuda tadi dan berdoa: “Ya Allah, Ampunkanlah dosanya, bersihkanlah hatinya dan peliharalah kehormatannya”. Selepas itu, pemuda itu tidak lagi menumpukan perhatiannya kepada apa-apa yang melibatkan perkara itu. (al-Albani, Muhammad Nasir al-Din, t.t., al-Silsilah al-Sahihah, Maktabah al-Ma’arif, Riyadh, jil. 1, hlm. 712, No. hadith 370)
Daripada hadith di atas, Nabi mendidik minda bakal penjenayah agar menyedari kesan perbuatannya dengan membayangkan bagaimana sekiranya jenayah yang sama dilakukan kepada orang yang terdekat dengan dirinya. Nabi tidak terus mengenakan sebarang kaedah pencegahan untuk dirinya seperti menahannya atau memboitkotnya, tetapi mengambil pendekatan untuk mendidik pemuda itu agar berfikir tentang jenayah tersebut dan kesannya pada diri dan masyarakat. Natijah dari itu, pemuda itu tidak lagi datang menzahirkan hasratnya untuk melakukan jenayah itu lagi atau datang memujuk Nabi untuk membenarkan dirinya melakukan jenayah itu. Inilah kaedah pendidikan dalam Islam yang boleh membina jatidiri yang kukuh dan mantap dalam mengharungi cabaran kehidupan.
Walaupun konteks hadith ini ialah sebelum komited dengan mana-mana perbuatan jenayah, namun aspirasinya boleh diaplikasikan dalam sesi kaunseling dan rawatan psikatri dengan para penjenayah yang sedang menjalani hukuman di penjara. Malahan, para hakim yang membicarakan kes-kes jenayah juga sangat wajar bertanyakan soalan yang sama sebagaimana yang ditanyakan oleh Rasulullah. Dengan melihat respon tertuduh ataupun pesalah, mahkamah boleh menilai diri mereka dan memberi nasihat yang wajar agar mereka berfikir tentang kesan bagi setiap perbuatan yang mereka lakukan. Biarpun mereka belum lagi memikirkannya ketika di kandang salah, biarkan persoalan itu berlegar di minda mereka selama mereka menjalani hukuman mereka di penjara.
Moga doa Nabi s.a.w. terhadap pemuda itu di atas, dapat kita bacakan kepada diri kita sendiri atau sesiapa sahaja, dalam usaha merawat diri agar tidak cenderung melakukan dosa dan kesalahan. Doa itu diulang lagi, sebagaimana berikut:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ ، وَطَهِّرْ قَلْبَهُ ، وَحَصِّنْ فَرْجَهُ
Maksud: Ya Allah, Ampunkanlah dosanya, bersihkanlah hatinya dan peliharalah kehormatannya.
Oleh,
MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.
