farfromfearless
MENANGKAN IMAN DI ATAS KEMUNGKARAN
Manusia boleh memilih untuk beriman dan tidak beriman, taat atau derhaka yang boleh mengakibatkan mereka akan dipertanggungjawabkan serta diberikan balasan dan hukuman. Dalam pada itu, Allah Maha Mengetahui apa yang manusia akan lakukan dan apa yang manusia itu akan pilih dan apakah penghujung bagi diri mereka.
Hidup ini penuh dengan pilihan. Setiap nafas yang disedut, terbentang di hadapan kita pelbagai pilihan. Kita melalui tiap detik masa yang tidak sunyi daripada pilihan. Pilihan untuk melakukan kebaikan atau kejahatan. Memilih antara pahala atau dosa, nikmat atau azab dan maksiat atau makrufat. Memilih untuk memenangkan iman atau tunduk kalah pada desakan hawa nafsu dan syaitan.
Namun, keupayaan manusia untuk memilih ini sering kali mengundang salah faham pada diri manusia sendiri. Ramai manusia yang tidak bahagia dengan apa yang telah dipilihnya. Ada juga yang keliru sehingga merasakan bahawa dirinya tidak diberi pilihan dalam kehidupan ini. Dikatakan dirinya terperangkap untuk terus kekal sebegitu atau sudah ditakdirkan Allah dirinya menjadi sedemikian.
Ketika saya menjalankan program di penjara, soalan yang banyak ditanya oleh para banduan ialah mengapa Allah memilihnya menjadi orang yang jahat, pelaku maksiat dan pendosa tegar? Mengapa Allah membiarkan dirinya terus melakukan dosa dan mengapa dia tidak dipilih menjadi orang baik seperti yang lain?
Kekeliruan seumpama ini bukan sahaja timbul pada para banduan yang saya temui itu. Sebenarnya, soalan yang sama pernah saya temui di luar jeriji iaitu di dunia realiti. Ramai pemaksiat yang lelah dikejar dosa, sering kali merintih tentang payahnya mujahadah yang dilalui. Sulitnya untuk meninggalkan dosa dan ketagihnya untuk melakukan maksiat. Adakah Allah memang mencipta dirinya untuk menjadi bahan bakar api neraka?
Keadilan Allah
Adakah Allah yang menetapkan sedemikian? Adakah Allah telah menetapkan qadha’ dan qadar-Nya dengan menentukan seseorang itu ahli syurga dan ahli neraka? Jika ketetapan takdir telah dibuat, ada yang mempersoalkan tentang untuk apa beramal? Lebih berani lagi ada yang bertanya, di manakah keadilan Allah?
Allah Maha Adil. Keadilannya sering kali tidak dapat difahami oleh manusia. Benar, setiap apa yang berlaku di dunia ini adalah tertakluk kepada qadha’ dan qadar Allah. Segala apa yang telah dan akan terjadi pada setiap hamba dan makhluk Allah di dunia ini telah termaktub dalam al-Lauh al-Mahfuz. Allah telah menetapkan takdir bagi makhluk-Nya pada 50 ribu tahun sebelum Allah mencipta langit dan bumi, sebagaimana yang dinyatakan oleh baginda Rasul s.a.w. (Sahih Muslim, No. Hadis: 2653)
Sebenarnya, Allah tidak menzalimi manusia. Walaupun Allah telah menetapkan taqdir-Nya, tetapi dalam masa yang sama Allah memberikan manusia kebebasan untuk berkehendak dan melakukan pilihan. Setiap manusia berupaya untuk melakukan sesuatu perkara atau menjauhkan diri dari perbuatan tersebut. Manusia boleh memilih untuk beriman dan tidak beriman, taat atau derhaka yang boleh mengakibatkan mereka akan dipertanggungjawabkan serta diberikan balasan dan hukuman. Dalam pada itu, Allah Maha Mengetahui apa yang manusia akan lakukan dan apa yang manusia itu akan pilih dan apakah penghujung bagi diri mereka. Tetapi, Allah tidak menetapkan mereka untuk melakukan kejahatan, atau memilih kekufuran, sebaliknya dia menunjukkan kepada manusia jalan kebenaran, mengutuskan Rasul dan menurunkan al-Quran. Sesiapa yang menyimpang, maka dia tersalah dalam membuat pilihan.
Allah berfirman:
وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا وَإِنْ يَسْتَغِيثُوا يُغَاثُوا بِمَاءٍ كَالْمُهْلِ يَشْوِي الْوُجُوهَ بِئْسَ الشَّرَابُ وَسَاءَتْ مُرْتَفَقًا
Maksud: dan katakanlah (Wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang. (al-Kahfi: 29)
Dalam ayat di atas, jelas Allah menceritakan manusia diberi pilihan untuk beriman atau kufur. Natijahnya, setiap pilihan yang dibuat itu akan ada kesan yang akan dinilai oleh Allah. Amalan kebaikan atau iman akan diberi nikmat yang tidak dapat diduga akal. Kejahatan dan kekufuran pula akan merasai pembalasan yang tidak terperi sakitnya. Pada dalil yang lain, Allah menceritakan bagaimana penghuni Syurga dan Neraka akan diseru dengan kenyataan yang berkaitan dengan amalan mereka. Sangat berkaitan dengan pilihan yang mereka lakukan di dunia. Allah, Tuhan yang menetapkan qadar-Nya mengatakan bahawa ahli Syurga pada masa akan datang akan mendengar seruan:
… وَنُودُوا أَنْ تِلْكُمُ الْجَنَّةُ أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksud: dan mereka diseru: “Itulah syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”. (al-A’araf: 43)
Ahli Neraka pula akan ditempelak dengan apa yang mereka pilih untuk melakukannya:
فَذُوقُوا بِمَا نَسِيتُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا إِنَّا نَسِينَاكُمْ وَذُوقُوا عَذَابَ الْخُلْدِ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksud: (lalu dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”. (al-Sajadah:14)
Semua ayat-ayat ini menggambarkan bahawa Allah memberi pilihan kepada kita untuk melakukan kebaikan atau kejahatan. Allah memberitahu kita bahawa manusia yang beriman dan melakukan kebaikan dengan pilihan dan kehendaknya, maka dia akan memasuki syurga. Manakala, manusia yang memilih untuk tidak beriman atau melakukan kejahatan dengan pilihan dan kehendaknya, maka dia akan memasuki neraka.
Jika kita adalah makhluk yang diberi pilihan dalam hidup ini, sudah pasti tidak pernah timbul persoalan adakah Allah menzalimi kita sebagai hamba-Nya. Allah tidak pernah menganiaya hamba-Nya tetapi manusialah yang memilih untuk menganiaya diri mereka sendiri. Manusia yang tidak beriman, tidak mahu melakukan amal soleh dan gemar untuk kekal dalam dosa, merekalah orang yang menzalimi diri sendiri. Allah menerangkan keadilan-Nya dalam ayat berikut:
أَلَمْ يَأْتِهِمْ نَبَأُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ وَقَوْمِ إِبْرَاهِيمَ وَأَصْحَابِ مَدْيَنَ وَالْمُؤْتَفِكَاتِ أَتَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
Maksud: Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang yang terdahulu daripada mereka, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? (Semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka); Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. (Surah al-Taubah: 70)
Iman Pemandu Diri
Sebagai manusia yang telah beriman, tetapi sedang dalam medan tempur melawan hawa nafsu dan syaitan, kita sangat memerlukan panduan. Agar kita tidak sesat tersasar sehingga menyalahkan Allah, maka sangat perlu difahami tentang keupayaan untuk membuat pilihan yang kita miliki. Pilihan itu akan sentiasa tepat dan selamat jika iman menjadi kerangka dasarnya.
Iman akan memandu akal pemikiran. Rasa takut pada Allah akan membantu diri kita berfikir setiap kali melakukan dosa. Biarpun ketika bersendirian, di dalam tempat yang berkunci, atau ketika tiada siapa melihat dan mengetahui, maka iman akan memandu akal dan hati kita. Iman akan menzahirkan rasa diri diawasi oleh Allah sehingga ke lubuk hati dan merasakan dirinya diperhatikan oleh para Malaikat-Nya yang mencatat tanpa penat. Iman akan membunuh kecenderungan untuk bermaksiat di hati, dan nafsu akan dilumpuhkan dengan istighfar yang basah di bibir.
Secara fitrah, manusia akan bertanya pada diri sendiri sebelum melakukan sesuatu. Akal akan menimbangkannya, kerana itulah fungsi akal. Akal hanya akan tepat membuat keputusan dalam pilihannya jika terdapat iman yang subur di hati. Iman itu menjadi pemandunya.
Malahan, dalam undang-undang jenayah, setiap kesalahan terdapat elemen mens rea. Terdapat niat pada diri si pelaku untuk melaksanakannya. Lihatlah, betapa banyak jenayah dan maksiat, yang besar dan kecil, bermula dengan elemen niat dan perancangan. Penzina, pencuri, pemecah amanah, pembunuh, perogol, perompak dan segala macam lagi jenayah bermula dari gerak akal dan hati. Jika tidak kerana iman yang membenteng akal dan hati kita, maka jenayah atau maksiat itu pasti akan dilakukan.
Dengan iman, dia akan mempertahankan dirinya daripada menuruti kehendak hawa nafsu. Dengan iman, kita akan sentiasa membayangkan peritnya perjalanan perbicaraan di mahsyar nanti. Lemahnya kita di hadapan Tuhan bagi menjawab semua persoalan mengapa perbuatan itu kita lakukan. Allah berfirman:
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى (٤٠) فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى (٤١
Maksud: Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu. Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya. (al-Nazi’at: 40-41)
Menangkanlah Iman
Setiap kali kita berhadapan dengan pilihan, maka menangkanlah iman. Kalahkan kemungkaran dengan tidak menjadikannya sebagai pilihan hidup. Bisikkanlah di dalam hati bahawa diri kita beriman kepada Allah. Kita takut akan Allah. Jadikanlah iman sebagai pertimbangan dalam menentukan perkara yang baik dan buruk. Apabila sifir ini sentiasa bermain di hati dan minda, kita akan menjadi mukmin yang sejahtera dan mendapat petunjuk.
Daripada Abdulullah bin Mas’ud bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
من يطع الله ورسوله فقد رشد , ومن يعص الله ورسوله فإنه لا يضر إلا نفسه ولا يضر الله شيئا
Maksud: Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasulnya maka dia adalah orang yang mendapat petunjuk, dan sesiapa yang bermaksiat kepada Allah dan Rasul-Nya maka dia tidaklah melakukan kemudaratan melainkan kepada dirinya dan dia tidak memudaratkan Allah sedikitpun. (Ahmad bin Muhammad Syakir, Umdah al-Tafsir min Tafsir Ibn Kathir, Dar al-Wafa’, cetakan kedua, 1426H, jil. 1, hlm. 542. Dihukumkan sahih olehnya)
Tambahan lagi, Allah akan membantu kita, jika kita berusaha ke arah ketaatan. Abi Dar’da’ menyatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
العلم بالتعلم والحلم بالتحلم ومن يتحر الخير يعطه ومن يتوق الشر يوقه
Maksud: Ilmu diperolehi dengan mempelajarinya, dan kesabaran diperolehi dengan kesabaran yang bersungguh-sungguh, Sesiapa yang berusaha untuk mencapai kebaikan, maka dia akan memperolehinya dan sesiapa yang berjuang untuk melindungi dirinya daripada kejahatan, dia akan dilindungi. (al-Albani, al-Silsilah al-Sahihah, Maktabah al-Ma’arif, Riyadh, jil. 1, hlm. 670, no. hadith: 342)
Apabila kita memenangkan iman, di situ nanti kita akan menikmati kemanisannya. Terasa indah dan bahagia kerana memilih iman dan mengekalkan diri kita dalam suasana iman. Kemanisan iman ini dijanjikan oleh Allah dan Nabi-Nya s.a.w. kepada kita. Daripada Anas bin Malik menyatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
ثلاث من كن فيه وجد حلاوة الإيمان : أن يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواهما ، وأن يحب المرء لا يحبه إلا لله ، وأن يكره أن يعود في الكفر كما يكره أن يقذف في النار
Maksud: Tiga perkara yang jika terdapat pada dirinya, maka dia merasai kemanisan iman. 1. Jika dia mencintai Allah dan rasulnya lebih daripada yang lain, 2. Mencintai seseorang hanya kerana Allah. 3. Benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia takut untuk dicampakkan ke dalam neraka. (al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 1, hlm. 14. No. hadith: 16)
Duhai diri, menangkanlah iman di atas kemungkaran. Moga doa Nabi s.a.w. ini menjadi basahan lidah:
اللهم مصرف القلوب صرف قلوبنا إلى طاعتك
Maksud: Wahai Tuhan yang memalingkan hati, maka kau palingkan hati kami ini ke arah mentaati-Mu. (al-Albani, al-Silsilah al-Sahihah, Maktabah al-Ma’arif, Riyadh, jil. 4, hlm. 261, No. Hadith: 1689)
Oleh:
MOHD. AL ADIB BIN SAMURI
www.al-adib.net
4 people have left comments
ara said:
tahniah atas semua isu menarik yang dipaparkn.. cuma nak tny lanjut n prbahasan pendapatan melalui MLM.
Adib said:
Saya belum pernah mengkaji tentang hukum pendapatan melalui MLM. Bagaimanapun, saya setuju dengan pandangan yang dikeluarkan oleh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman menerusi blognya http://www.zaharuddin.net. Terima kasih
- Copyright 2010 Al-Adib.net. All Rights Reserved.
- Back To Top
- Home





Leave a Comment-