farfromfearless

AL-TAJASSUS YANG MEROBEK MARUAH

Dosa orang yang kita cerita dan umpat pada hari ini, esok lusa mungkin giliran aib kita diceritakan orang. Kepada Allah kita bermohon agar semua 'sisi hitam' hidup kita terpelihara dan maruah kita terjaga.

Maruah diri seseorang adalah suatu yang sangat dijaga dan dipelihara oleh Islam. Islam mendahului mana-mana agama di dunia dalam perihal menjamin keselamatan diri, bukan sekadar pada sifat fizikal, tetapi pada nilai diri itu sendiri. Kemuliaan maruah manusia yang dipelihara dengan baik oleh syariah, terjelma menerusi pelbagai peruntukan syarak yang disandarkan dengan nas-nas yang berautoriti.

Sewaktu Barat sibuk memperlekehkan Islam sebagai agama yang dikatakan banyak melanggar hak asasi manusia, Islam telah lebih awal menjamin hak manusia yang utama iaitu pemeliharaan maruah. Barat yang dirujuk sebagai jaguh mempertahankan hak asasi manusia, sentiasa sahaja tewas apabila seluruh sistem dan budayanya terbukti merosakkan maruah peribadi. Lihatlah pada kegilaan Hollywood yang menerjah kehidupan setiap individu yang bergelar selebriti dan politikus. Privasi diri begitu mudah diceroboh, tambahan lagi dengan kecanggihan peralatan teknologi.  Maruah manusia jadi murah di Barat, sedangkan itu adalah hak asasi utama seorang manusia.

Ancaman utama kepada maruah seseorang ialah sesuatu yang menghina dan menjatuhkannya. Cara untuk menjatuhkan maruah seseorang ialah mengintip, mengintai, meneropong, menyelidik, mengekori, menyiasat tentang kehidupan peribadi seseorang. Mencari-cari apakah arang hitam yang boleh diconteng ke wajah empunya diri. Dalam Islam, ia dinamakan al-tajassus.

Setelah ditemui ‘buah’ ranum untuk dijaja, ia akan dipaparkan kepada umum. Masyarakat serba moden hari ini akan serta merta tahu, dalam masa beberapa saat. Mekanismenya mudah, email berantai, weblog, sms ringkas, mahupun siaran media. Maruah individu yang disasarkan itu dirobek-robek, imejnya dicarik, ceritanya didedah dan aibnya diperkata. Wajah orang itu dilumur nista, direjam dengan kata-kata tajam dan digaul dengan pelbagai rencah cerita tokok tambah. Mangsanya tidak dikira siapa, ada politikus, ada agamawan, ada artis dan selebriti, ada tokoh tempatan dan pelbagai lagi. Semuanya ini bahana al-tajassus!

Bahaya al-Tajassus

Islam mengharamkan sesiapa sahaja daripada berusaha untuk menyelidik dan mengintip rahsia, aib, aurat, kesalahan dan perbuatan dosa yang dilakukan oleh orang lain. Larangan ini menggariskan satu prinsip jelas dalam Islam iaitu maruah seseorang sentiasa dipelihara oleh syarak. Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا

Maksud: Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang… (al-Hujurat: 12)

Ayat ini menjadi kerangka asas kepada pengharaman kita menceroboh hak privasi seseorang. Pengharaman ini mengkhususkan kepada sebarang usaha pencarian maklumat yang boleh mengakibatkan seseorang itu dipandang negatif. Seterusnya, penegasan ini dibuat oleh banyak hadith Nabi s.a.w. yang melarang kita mencari-cari kesalahan orang lain. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا إِخْوَانًا 

Maksud: Hendaklah kalian menjauhkan sangkaan kerana sesungguhnya sangkaan adalah kata-kata pembohongan yang besar, dan janganlah kamu mengintip dan janganlah kamu menyelidik perkhabaran, dan janganlah kamu bermasam muka dan hendaklah engkau menjadi bersaudara… (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 5, hlm. 1976, No. Hadith: 4849)

Maksud al-tajassus ialah mengintip aib, kesalahan dan rahsia orang lain. Ia berbeza dengan al-tahassus yang turut dinyatakan oleh hadith di atas. Dalam membincangkan tentang definisi al-tajassus, al-Nawawi berkata: “Sebahagian ulama menyatakan bahawa tahassus bermaksud mencuri dengar perbualan orang lain, dan tajassus bermaksud mencari keaiban dan kesalahan orang lain. Atau tajassus juga bermaksud mencari rahsia orang lain. Perkataan ini kebiasaannya digunakan dalam konteks kejahatan. Pengintip (Ja-sus) ini merupakan orang yang mencari rahsia orang lain untuk tujuan negatif dan penyiasat (Na-mus) merupakan seorang yang mencari rahsia untuk tujuan yang baik. Dan dikatakan juga bahawa tajassus bermaksud mencari maklumat orang lain, manakala tahassus untuk dirinya sendiri. Ini merupakan pandangan al-Tha’lab. Dan ada juga pandangan yang mengatakan bahawa kedua-dua istilah ini sama, iaitu mencari maklumat tentang keadaan seseorang.” (al-Nawawi, Yahya bin Sharaf. Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut: 1392H, cetakan kedua, jil. 16, hlm. 119)

Dapatlah difahami bahawa al-tajassus merupakan kerja-kerja meneropong setiap inci kehidupan orang lain untuk mencari kesalahannya. Jika dia seorang politikus, si pencari maklumat akan berusaha mengumpul apa-apa penyelewengan kuasa yang mungkin dilakukan atau skandal seks yang boleh menjeratnya. Kalau dia seorang artis dan selebriti, gambar mereka berfoya-foya atau tanpa pakaian pula akan disebarkan atas tujuan untuk memburuk-burukkan diri mangsa tersebut. Semuanya ini dibenci oleh Islam, malah ditentang secara tegas.

Kemuliaan seorang Muslim terpelihara di sisi Allah selama mana setiap Muslim itu menjaga maruahnya sendiri dan menutup rapi setiap kesalahannya. Justeru, janganlah lidah kita begitu mudah menyakiti saudara seagama kita, walaupun kita ingin membetulkan mereka. Membaiki akhlak orang lain mempunyai kaedah dan adabnya yang tersendiri. Membaiki orang lain bukan bermaksud kita berhak merosakkan imej diri dan maruahnya. Ibn Umar meriwayatkan satu hadith sebagaimana yang berikut:

صَعِدَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الْمِنْبَرَ فَنَادَى بِصَوْتٍ رَفِيعٍ فَقَالَ « يَا مَعْشَرَ مَنْ قَدْ أَسْلَمَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يُفْضِ الإِيمَانُ إِلَى قَلْبِهِ لاَ تُؤْذُوا الْمُسْلِمِينَ وَلاَ تُعَيِّرُوهُمْ وَلاَ تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ فَإِنَّهُ مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ وَمَنْ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِى جَوْفِ رَحْلِهِ » قَالَ: وَنَظَرَ ابْنُ عُمَرَ يَوْمًا إِلَى الْبَيْتِ أَوْ إِلَى الْكَعْبَةِ فَقَالَ مَا أَعْظَمَكِ وَأَعْظَمَ حُرْمَتَكِ وَالْمُؤْمِنُ أَعْظَمُ حُرْمَةً عِنْدَ اللَّهِ مِنْكِ 

Maksud: Rasulullah menaiki ke atas mimbar dan baginda menyeru dengan suara yang nyaring, baginda bersabda: “Wahai kelompok manusia yang telah memasuki Islam dengan lidahnya sahaja dan iman tidak memasuki hatinya,  maka janganlah menyakiti orang-orang Islam yang lain. Dan janganlah menghina (mengaibkan) mereka dan janganlah mengintip aurat  (kesalahan, aib dan rahsia kehidupan) mereka. Maka sesungguhnya sesiapa yang mengintip aurat saudara Muslimnya, maka Allah akan membuka auratnya dan sesiapa yang dibuka auratnya oleh Allah maka Allah akan mendedahkan auratnya walaupun dia di berada di kediamannya.”

Perawi menceritakan: Ibn Umar memandang ke Kaabah pada suatu hari, dan berkata: “Betapa agungnya engkau (Kaabah), dan agungnya kehormatan engkau, dan maruah seorang mukmin itu lebih besar daripada engkau (Kaabah) di sisi Allah.” (al-Tirmizi, Muhammad bin Isa. al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, 1987, jil. 4, hlm. 378, No. Hadith: 2032. Dinilai sahih oleh al-Albani)

  • aurat bermaksud: kesalahan, aib yang dirahsiakan atau ditutup.

Menerusi hadith di atas, Nabi s.a.w. mengingatkan kita bahawa sesiapa yang menceroboh maruah seseorang serta menceritakan aib dan kesalahan orang lain akan mendapat balasan yang serupa daripada Allah. Balasannya tunai di dunia dan juga menanti di akhirat. Uniknya, pembalasan dari Allah itu lebih dahsyat, iaitu Allah akan mendedahkan aib dan kesalahan si pembuat tadi walaupun dia berada di tempat yang dirasakan paling selamat. Seterusnya, analogi yang dibuat oleh Ibn Umar antara maruah dan kemuliaan Kaabah itu sangat penting untuk difahami. Maruah manusia perlu dihormati dan dijaga kerana ia dipandang mulia di sisi Allah.

Seterusnya, dari Abdullah bin Umar bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ مَنْ كَانَ فِى حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِى حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ بِهَا كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksud: “Seorang Muslim itu bersaudara dengan Muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya tanpa pembelaan, sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajatnya, dan sesiapa yang memudahkan kesukaran saudara Muslimnya, maka Allah akan memudahkan baginya kesukaran di hari Kiamat, dan sesiapa yang menutup (aib, kesalahan, rahsia) saudaranya Muslimnya, maka Allah akan menutup (aib, kesalahan, rahsia) dirinya pada hari Kiamat.” (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 2, hlm. 862, No. Hadith: 2310)

Malah, Nabi s.a.w. mengizinkan kita membaling batu kepada pengintip ini, bagi menunjukkan bahayanya gejala ini. Nabi bersabda:

لو أن امرأ اطلع عليك بغير إذن فخذفته بحصاة ففقأت عينه لم يكن عليك جناح

Maksud: “Jika sekiranya seseorang mengintip kamu tanpa keizinan lalu kamu membalingnya dengan batu lantas membutakan matanya, maka tiada dosa ke atas kamu.” (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 6, hlm. 2530, No. Hadith: 6506)

Menghukum Pada Yang Zahir

Islam adalah agama yang menghukum sesuatu pada zahirnya. Kita tidak dibenarkan mencari-cari kesalahan orang sehingga ke lubang cacing, bagi membuktikan seseorang itu telah melakukan satu perbuatan maksiat, kesalahan dan dosa. Daripada Zaid bin Wahab melaporkan:

أتى ابن مسعود فقيل [ له ] هذا فلان تقطر لحيته خمرا فقال عبد الله إنا قد نهينا عن التجسس ولكن إن يظهر لنا شىء نأخذ به.

Maksud: Seseorang mendatangi Ibn Mas’ud dan memberitahunya: Pada seseorang ini terdapat arak yang menitis dari janggutnya, Maka Abdullah bertanya: “Sesungguhnya kita telah dilarang daripada mengintip kesalahannya tetapi sekiranya ia jelas kelihatan pada kami, kami akan bertindak.” (Abu Daud, Sulaiman bin al-Ash’ath. Sunan Abi Daud, Dar al-Fikr, jil. 2, hlm. 689, No. Hadith: 4890)

Daripada athar di atas, dapatlah difahami bahawa titisan arak di janggut memang boleh mengaitkan seseorang dengan jenayah meminum arak. Tetapi, ia belum boleh mensabitkan hukuman untuknya. Islam menegaskan bahawa tuduhan dan hukuman tidak boleh dikenakan ke atas seseorang, melainkan jika terdapat saksi yang melihatnya. Jenayah dan kesalahan itu perlu jelas dilakukan di depan mata, barulah tindakan akan diambil. Ibn Mas’ud dalam athar di atas menerangkan bahawa kita dilarang daripada mengintip kesalahan orang lain. Ini bermakna, kita tidak perlu mengintip dan tidak boleh mengikuti orang itu pulang ke rumahnya atau ke tempat persembunyiannnya untuk melihat sama ada dia meminum arak atau tidak.

Perkara ini banyak mengelirukan orang ramai, terutamanya di kalangan mereka yang beriltizam dengan ajaran Islam. Dalam usaha mencegah kemungkaran, adakalanya kita telah melanggar sempadan yang ditetapkan oleh Islam. Sempadan agar kita menjaga maruah orang Islam lain, yang sama akidah dengan kita. Perkara ini telah ditekankan oleh al-Nawawi, agar umat Islam berhati-hati dalam setiap tindakannya. al-Nawawi berpendapat: “Bukanlah amar makruf nahi mungkar itu bermaksud mencari-cari kesalahan orang, mengintip kesalahan, memecah masuk rumah dengan sangkaan sahaja, tetapi maksud amar makruf ialah apabila dia bertemu dengan kemungkaran di hadapan matanya, barulah dia perlu mengubahnya dengan bersungguh-sungguh.” (al-Nawawi, Yahya bin Sharaf. Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut: 1392H, cetakan kedua, jil. 2, hlm. 26)

Jika kita ternampak dua ‘merpati’ sejoli sedang mabuk cinta di pinggiran tasik, datang dan tegurlah dengan baik. Bukannya ditunggu sehingga aksi panas mereka dirakamkan. Kemudian, diedar ke media untuk dipaparkan, kononnya untuk menyedarkan masyarakat umum tentang bahaya gejala sosial. Sungguh sampah idea dan tindakan ini! Sewajarnya, tindakan mencegah kemungkaran lebih awal dari itu, dengan dakwah dan lisan yang baik kepada sang ‘merpati’ itu. Merakam dengan kamera aksi panas mereka adalah satu tindakan al-tajassus yang dikeji agama. Mendedahkan kisah mereka di media juga adalah al-tajassus yang merobek maruah mereka. Apakah kalian berfikir bahawa manusia pendosa tidak punya harga diri?

Bagaimanapun, perlu difahami bahawa terdapat pengecualian yang dibuat oleh para ulama. Al-Tajassus boleh dilakukan jika ia bertujuan untuk mengelakkan suatu jenayah itu daripada berlaku. Bukannya merakam aksi maksiat tersebut. Selain itu, disyaratkan telah mendapat laporan daripada orang yang dipercayai, yang telah mendapat maklumat awal tentang perkara itu. Ia bukannya serbuan membuta-tuli. Ibn Hajar al-Asqalani berpandangan:

“Dikecualikan daripada hukum al-tajassus: sekiranya sudah jelas ia merupakan satu cara untuk menyelamatkan satu nyawa, misalannya, seseorang yang dipercayai memberitahu atau membuat laporan bahawa seseorang telah bersendirian untuk membunuh orang lain, atau dengan perempuan yang lain untuk berzina, maka dalam keadaan ini, dibolehkan tajassus, iaitu menyiasat untuk mengelakkan daripada perkara itu berlaku.” (al-Asqalani, Ibn Hajar. Fath al-Bari, Dar al-Ma’rifah, Beirut: jil. 10, hlm. 482)

Allah al-Sittir; yang Maha Menutupi

Setiap diri kita ini adalah milik Allah. Allah jualah yang mengetahui kelemahan diri setiap dari kita. Sebagai manusia, kita tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Sangat lemah diri kita ini, sebab itulah Allah mengharamkan kita melakukan al-tajassus. Dosa orang yang kita cerita dan umpat pada hari ini, esok lusa mungkin giliran aib kita diceritakan orang. Kepada Allah kita bermohon agar semua ’sisi hitam’ hidup kita terpelihara dan maruah kita terjaga. Sesungguhnya Allah itu Maha Menutupi dosa dan kesalahan hamba-Nya.

Allah, mempunyai satu nama dan sifat yang agung iaitu ‘al-Sittir’, Tuhan yang Maha Menutupi. Nama dan sifat Allah yang mulia ini dinyatakan oleh Nabi s.a.w. dalam hadith yang berikut:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَيِىٌّ سِتِّيرٌ يُحِبُّ الْحَيَاءَ وَالسَّتْرَ فَإِذَا اغْتَسَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَتِرْ

Maksud: “Sesungguhnya Allah Maha Penyantun, Malu, lagi Maha Menutupi (kesalahan hamba-Nya). Dia menyukai sifat malu dan menutup aib. Apabila seseorang di antara kalian mandi, hendaklah dia menutup diri (daripada dilihat orang lain).” (Abu Daud, Sulaiman bin al-Ash’ath. Sunan Abi Daud, Dar al-Fikr, jil. 2, hlm. 436, No. Hadith: 4012)

Allah akan menutup semua dosa hamba-Nya yang dilakukan pada waktu malam dan tidak akan mendedahkannya kepada sesiapa. Dosa kesalahan itu hanya akan terdedah jika tuan diri atau pelakunya itu sendiri yang mendedahkan kepada orang lain pada keesokan paginya. Ini bermakna, pelaku itu sendiri yang memilih untuk maruahnya dipandang rendah. Golongan ini seumpama berbangga dengan dosa yang dilakukan, lalu dihebahkan dosa nodanya ke seluruh dunia. Allah memberi ingatan kepada orang sebegini dalam firman-Nya yang berikut:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ

Maksud: Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan mereka yang keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (Surah al-Nur: 19)

Marilah kita menjaga maruah sesama kaum muslimin, kerana Allah akan sentiasa memelihara maruah setiap hamba-Nya walaupun di kalangan para pendosa. Hindarilah al-tajassus kerana ia merobek maruah manusia, sedangkan  Allah tidak sekalipun merobeknya.

Oleh:
MOHD. AL ADIB BIN SAMURI
www.al-adib.net

Sedekah Untuk Web ini



Your Email Address :



  • Share/Save/Bookmark

Categories-

  • No categories

8 people have left comments

alongwairnazz - Gravatar

alongwairnazz said:

lontaran idea yg baik..teruskan lagi.

Posted on: 10/03/2009 at 1:10 PMQuote this Comment
Adib - Gravatar

Adib said:

Terima kasih atas komen,
Enta juga, teruskan berblog… :-)

Posted on: 10/03/2009 at 3:47 PMQuote this Comment
M.ZUL - Gravatar

M.ZUL said:

salam,

lama x jemgok. sekarang ni bukan golongan rtis je, wartawan hiburan pun dh macam selebriti, habis hal dalam kain mereka pun turut dibongkar.

Posted on: 16/03/2009 at 3:17 PMQuote this Comment
Adib - Gravatar

Adib said:

Entah apa tujuan hidup mereka…

Posted on: 20/03/2009 at 7:47 PMQuote this Comment
sufi yan - Gravatar

sufi yan said:

Allahu akbar! Lama tak singgah sini.. Laman web ni perlu dipromosikan supaya lebih ramai boleh berkongsi.. Wallahu yubarik fiik ya akhi

Posted on: 01/05/2009 at 1:22 AMQuote this Comment
Adib - Gravatar

Adib said:

Barakallahufik…. lama tak jumpa…

Posted on: 04/05/2009 at 12:51 AMQuote this Comment
izzah - Gravatar

izzah said:

salam…
knapa x bleh copy??
di mana perkongsian ilmu???

Posted on: 27/10/2009 at 12:12 PMQuote this Comment
Adib - Gravatar

Adib said:

Puan Izzah. Wsalam. Perkongsian ilmu ialah dengan membaca artikel saya ini dan menyebarkannya jika berminat menerusi kaedah berikut:
a. Linkkan menerusi butang SHARE / SAVE. @
b. taipkan link atau URL artikel itu pada pada email atau laman social networking anda.
c. Membeli majalah Solusi terbitan Telaga Biru.

Sekiranya Puan berminat untuk memiliki fail artikel dalam bentuk microsoft word, sila maklumkan kepada saya menerusi email dan sertakan alasannya. Saya bersedia membantu. Terima kasih.

Posted on: 13/11/2009 at 6:28 PMQuote this Comment

Leave a Comment-

Comment Guidelines: Basic XHTML is allowed (a href, strong, em, code). All line breaks and paragraphs are automatically generated. Off-topic or inappropriate comments will be edited or deleted. Email addresses will never be published. Keep it PG-13 people!

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>

All fields marked with "*" are required.

© 2009-2010 Al-Adib.net (MOHD. AL ADIB BIN SAMURI) All Rights Reserved

Copy Protected by Chetan's WP-CopyProtect.