Posted by Al-Adib in al-Wala' wa al-Barra' | 0 Comments
Cinta Bukan Pada Mawar
Pada bulan hadapan, senario ini akan berulang semula. Ia berlaku di pelbagai negara Muslim, sama ada di negara yang secara terang-terangan kehidupan ‘hedonisme’nya, atau di negara yang punya ribuan ulama. Akan ada di kalangan anak-anak muda Muslim galak menjamu rasa cinta mereka di bawah kerdip cahaya lilin. Romantik, menurut anggapan mereka. Harum bebunga kuat terhidu dan hadiah pula bertukar kiriman. Bunga-bunga mawar tanpa redha, telah disunting dan dikarang bagi meraikan cinta yang berterbangan ke udara. Love is on the air!
Hari yang memewahkan pedagang mawar ini bergelar St. Valentine’s Day. Usah lupa menyebut Saint di hadapannya, kerana hari ini adalah milik ‘wali nasrani’ itu yang asalnya diraikan oleh orang yang percaya dan yakin bahawa Allah mempunyai anak. Maha Suci Allah daripada dakwaan dan sangkaan mereka!
Benar, tanpa keraguan bahawa hari yang dijenamakan semula dengan istilah Hari Kekasih ini adalah sebahagian dari syiar agama Kristian. Ia lambang mengingati seorang yang dianggap syahid (yang mati dibunuh pada 14 Februari), lagi seorang wali dalam agama Kristian yang mempertahankan kebenaran agar tentera Romawi boleh menjadi manusia normal, bercinta dan berkahwin dengan wanita. Walaupun ada rekod yang mengatakan ia adalah perayaan pagan yang diwarisi masyarakat Roman Kristian sebelum kedatangan agama itu, namun rata-rata sumber tetap mengaitkan perayaan itu dengan kisah Saint Valentine ini sebagai alasan mengapa mereka perlu meraikan cinta. Mengapa perlu mereka mengirim kad berbahasa cinta, dan mengapa mawar berduri akan disisip pada setiap lafaz cinta!
Untuk mengenal pasti kesahihan versi cerita mengapa perayaan itu boleh muncul dalam kalendar Kristian, maka hendaklah kita menekuni buku-buku agama mereka. Dengan merujuk kepada sumber yang berautoriti dan ditulis oleh pendeta atau sarjana Kristian sendiri, maka kita akan dapat membuat kesimpulan yang adil. Justeru, sikap sesetengah pihak di kalangan Muslimin yang suka mereka cipta cerita tentang agama lain haruslah dihentikan. Sebagai contoh, ada pihak yang mengatakan hari Saint Valentine ini adalah hari perayaan kejayaan pihak Krisitian membunuh kaum Muslimin di Sepanyol. Ia tidak berkaitan kerana ia tidak menggambar wajah sebenar cara beragama dalam Kristianiti yang kita akan bincangkan nanti.
Akidah Islam Yang Berbeza
Tegaslah wahai kaum Muslimin, dalam membezakan aqidah kalian dengan orang-orang yang mengatakan bahawa Allah mempunyai anak! Fatwa berkenaan pengharaman orang Islam terlibat dan merayakan Hari Kekasih bukannya baharu, bukan bersifat setempat, tetapi meliputi semua geografi di mana ulama dan ilmuan Islam berada. Di celahan itu, masih ada di kalangan orang Islam berkeras untuk meraikannya, membuat seribu dalih untuk merayakannya malah memfrasakan semula istilahnya bagi membolehkan ia disambut meriah.
Sebenarnya, pengharaman itu bukan sekadar terletak pada hukum tiada perayaan bagi Muslimin selain dua hari raya, Eid al-Fitr dan Eid al-Adha. Tetapi, roh pengharaman itu terletak pada satu dasar dalam akidah Islam yang sangat berbeza dengan ajaran Kristian. Ia menjadi antara pemisah utama akidah Islam dan Kristian. Dasar itu ialah memulia dan mensucikan manusia lebih daripada biasa! Ia dinamakan mentaqdis manusia.
Mentaqdis Manusia
Taqdis bermaksud memuliakan, mengkultuskan dan mensucikan. Apabila kita menyebut mentaqdis manusia, maka manusia menjadi objeknya, bukan Allah.
Islam, menentang keras sebarang usaha untuk memuliakan seseorang lebih daripada yang ditetapkan oleh syarak. Jika kita mencintai peribadi Nabi s.a.w., membesarkan dan memuliakan baginda, tidak boleh melebihi statusnya sebagai Nabi utusan Allah, malah jauh sekali untuk memujanya sama seperti memuja Allah. Apatah lagi jika seseorang itu bukan seorang Nabi, maka sebarang bentuk penghormatan yang melampaui batas amatlah dilarang.
Penegasan ini dibuat sendiri oleh baginda Rasul, s.a.w. dalam hadith berikut. Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa Umar r.a. mendengar Nabi berkhutbah:
لاَ تُطْرُونِى كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ ، فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ
Maksud: Janganlah engkau memuja aku sebagaimana orang Nasrani memuja Isa anak Maryam. sesungguhnya aku ini adalah hamba-Nya. Maka, kalian katakanlah: (Muhammad) adalah hamba Allah dan Rasul-Nya. (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Beirut: Dar Ibn Kathir, 1987, jil. 3, hlm. 1271, No. hadith: 3261)
Dalam hadith yang lain, Nabi menegah umatnya agar tidak mensucikan orang saleh sebagaimana orang Kristian melakukannya. Hadith ini menceritakan pengalaman Ummu Habibah dan Ummu Salamah yang melihat gereja-gereja di Euthopia penuh dengan lukisan orang saleh (Saints in Christianity). Daripada Aisyah r.ha. menceritakan:
أَنَّ أُمَّ حَبِيبَةَ وَأُمَّ سَلَمَةَ ذَكَرَتَا كَنِيسَةً رَأَيْنَهَا بِالْحَبَشَةِ فِيهَا تَصَاوِيرُ ، فَذَكَرَتَا لِلنَّبِىِّ -- صلى الله عليه وسلم -- فَقَالَ : إِنَّ أُولَئِكَ إِذَا كَانَ فِيهِمُ الرَّجُلُ الصَّالِحُ فَمَاتَ بَنَوْا عَلَى قَبْرِهِ مَسْجِدًا ، وَصَوَّرُوا فِيهِ تِلْكَ الصُّوَرَ ، فَأُولَئِكَ شِرَارُ الْخَلْقِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksud: Sesungguhnya Ummu Habibah dan Ummu Salamah telah menyebut-nyebut gereja yang dilihat mereka di Habsyah (Euthopia) yang padanya terdapat banyak gambar lukisan. Maka, mereka berdua menceritakan kepada Nabi s.a.w. dan baginda bersabda: “Sesungguhnya mereka jika terdapat orang soleh meninggal dunia, maka mereka membina tempat ibadah di atas perkuburan mereka. Dan mereka melukis gambar-gambar tersebut dalam gereja itu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah pada hari Qiamat.” (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Beirut: Dar Ibn Kathir, 1987, jil. 1, hlm. 165, No. hadith: 417)
Jelaslah bahawa memuja seorang sehingga diangkat sebagai anak Tuhan, membesarkan seseorang soleh sehingga ditetapkan sekian hari sebagai hari memperingatinya, membina tempat ibadah di atas kubur orang soleh, melukis gambar orang soleh sebagai ingatan dan sumber inspirasi dalam beribadah di rumah ibadah, memuja orang soleh melebihi takat yang dibenarkan, merayakan sesuatu perayaan yang dikaitkan dengan sejarah orang soleh, mengambil berkat di perkuburan orang soleh, memohon kepada orang soleh yang telah mati di perkuburan mereka adalah sebahagian daripada ajaran Kristian. Semuanya ini adalah dilarang dalam Islam, demi menjaga kesucian akidah Islam. Justeru sebagai Muslim, terdapat garis pemisah antara kita dengan mereka.
Malahan, pemujaan berlebihan terhadap orang soleh ini berisiko merosakkan umat, dan fakta sejarah membuktikan bahawa penyembahan berhala bermula dengan sikap sebegini. Sejarah pemujaan dan pengkultusan individu soleh ini telah berlaku pada umat Nabi Nuh a.s.
Allah berfirman dalam surah Nuh:
وَقَالُوا لا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلا سُوَاعًا وَلا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا
Maksud: Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: ‘Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr. (Surah Nuh: ayat 23)
Nabi s.a.w. menerangkan siapakah sebenarnya nama-nama berhala (Suwaa’, Yaghuth, Ya’uuq dan Nasr) itu dan daripada manakah ia muncul, sebagaimana dalam satu hadith yang direkodkan oleh al-Bukhari:
أَسْمَاءُ رِجَالٍ صَالِحِينَ مِنْ قَوْمِ نُوحٍ ، فَلَمَّا هَلَكُوا أَوْحَى الشَّيْطَانُ إِلَى قَوْمِهِمْ أَنِ انْصِبُوا إِلَى مَجَالِسِهِمُ الَّتِى كَانُوا يَجْلِسُونَ أَنْصَابًا ، وَسَمُّوهَا بِأَسْمَائِهِمْ فَفَعَلُوا فَلَمْ تُعْبَدْ حَتَّى إِذَا هَلَكَ أُولَئِكَ وَتَنَسَّخَ الْعِلْمُ عُبِدَتْ
Maksud: (Semua) nama-nama itu adalah nama lelaki orang soleh di kalangan kaum Nuh, kemudian setelah mereka mati, syaitan telah membisikkan kepada kaumnya untuk membentuk patung di tempat mereka selalu duduk berkumpul dan di mana mereka duduk, berhala itu diletakkan. Dan orang ramai menamakan berhala itu dengan nama orang soleh tersebut dan membentuknya. Dan mereka tidak menyembah berhala itu sehinggalah mereka (generasi pertama) meninggal dunia dan terhapusnya ilmu, maka berhala-berhala itu telah disembah. (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Beirut: Dar Ibn Kathir, 1987, jil. 4, hlm. 1873, No. hadith: 4636)
Jelaslah kepada kita bahawa penghormatan kita kepada orang soleh tidak boleh menyebabkan kita berlebihan-lebihan dalam mencintai mereka. Ini termasuklah dengan meraikan suatu hari perayaan yang berkaitan dengan nilai kesolehan seseorang. Hari Kekasih yang diraikan pada 14 Februari saban tahun ini, adalah hari memperingati kesyahidan seorang wali yang memperjuangkan nilai kasih sayang, menurut ajaran dan sejarah agama Kristian. Wahai orang yang beriman bahawa Allah itu Satu, mengapa kalian terpesona dengan syiar agama Nasrani yang mengatakan bahawa Allah mempunyai anak?
Mawar dan Cinta
Berjayanya orang Kafir membahagiakan pemikiran orang Muslim bahawa cinta itu perlu disimbolikkan dengan mawar. Lebih cemerlang lagi apabila mereka berjaya mempengaruhi anak-anak muda Muslim untuk berterusan meraikan hari wali besar mereka, St. Valentine.
Mengapa kita terus terpesona untuk terus mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani sehingga melihat lubang biawak itu lebih indah untuk dimasuki. Jangan lupa peringatan Nabi s.a.w.:
لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ ، وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ ، حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ. قُلْنَا: “يَا رَسُولَ اللَّهِ ، الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى.” قَالَ ” فَمَنْ؟ “
Maksud: “Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak (dhab) nescaya kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya: “Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah?” Sabda Baginda s.a.w.: “Maka, siapa lagi (kalau bukan mereka)?” (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Beirut: Dar Ibn Kathir, 1987, jil. 3, hlm. 1274, No. hadith: 3269)
Indahkah cinta kita jika ia bersenandung dalam lubang biawak? Kawan, cinta tetap sesegar mawar, biarpun tidak diraikan pada setiap 14 Februari. Kerana cinta pada yang tersayang bukan dibias pada mawar.
Oleh,
MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net
© Hak cipta terpelihara atas nama MOHD AL ADIB SAMURI. Setiap artikel yang tersiar di www.al-adib.net dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat www.al-adib.net hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin www.al-adib.net terlebih dahulu.
