farfromfearless
BIAR TAK BERAPI, BARANYA JANGAN PADAM
Perjuangan mendidik hawa nafsu tidak pernah dinafikan kepentingannya. Namun, kedudukannya tidak diletakkan lebih utama daripada memerangi Kuffar yang menzalimi umat Islam.
Api jihad tidak akan padam. Biarpun sekuat mana Barat dan orang-orang Kafir membenci istilah dan konsep jihad, tetap akan ada para pejuang Islam yang bersedia memberikan darahnya untuk memastikan Islam tertegak dan terbela daripada kezaliman kuffar. Kami orang-orang Islam, mencintai syahid sebagaimana orang-orang kafir mencintai kehidupan. Kematian kami di jalan Allah membawa ke destinasi syurga, kematian kalian membawa ke destinasi neraka. Sebagaimana persoalan yang ditanya oleh Umar al-Khattab r.a., yang disahkan oleh Nabi s.a.w.:
أليس قتلانا في الجنة وقتلاهم في النار ؟
Maksud: Bukankah orang yang mati dalam peperangan dari kalangan kita berada di syurga dan orang yang mati dalam peperangan dari kalangan mereka berada di neraka? (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Beirut: Dar Ibn Kathir, 1987, jil. 3, hlm. 1037, no. hadith: 3011)
Inilah bakaran semangat saudara-saudara kita di Palestin. Selagi kecamuk perang dengan Yahudi belum berakhir, selama itulah api jihad akan terus berkobar biarpun kehidupan mereka dan keluarga mereka jadi taruhannya. Demi tanah suci al-Quds yang wajib dipertahankan, merekalah wakil kita sebagai pejuang jihad bagi umat ini.
Virus Dalam Pemikiran
Seminggu yang lalu, saya menonton rancangan Inside Islam dalam saluran History Channel. Satu persembahan menarik, bersifat objektif dan sangat baik kandungannya. Walaupun tidaklah semua faktanya bertepatan dengan perspektif Islam yang sebenar, namun ia diyakini berupaya mencerahkan pemikiran orang di Barat tentang Islam.
Bagaimanapun, tanpa disedari ada satu virus yang disebarkan menerusi dokumentari itu, yang disampaikan melalui lidah seorang yang bergelar cendiakawan. Secara jujur, dokumentari ini mengkritik perjuangan jihad umat Islam yang dijenamakan dengan istilah terrorisme. Lebih menarik, pentas kritikan itu bersandarkan satu bentuk pemikiran sebagaimana dalam video berikut:
Kita petik kata-kata daripada video di atas, sebagaimana berikut:
But many Muslim scholars and practioners decry the simplistic war liked interpretation of the terms… “The greater jihad is the struggle against your base desire. The lesser jihad is the struggle against an enemy.”- Prof. Khaled Abou El Fadl
Sungguh, kata-kata ini adalah lambang pemikiran yang melemahkan! Kesannya, masyarakat Barat melihat umat Islam yang berjuang menentang kezaliman pada hari ini, sama ada di Palestin, Afghanistan, Iraq, Kahsmir, Chechnya, dan pelbagai tempat lagi adalah tidak memahami intipati ajaran Islam. Ini kerana Islam sebenarnya lebih mengutamakan jihad menentang hawa nafsu, itu fikiran mereka. Sifir mudah orang Kafir ini diterjemah kepada persoalan sebegini. Mengapa orang Islam memilih jihad peperangan, gemar untuk membunuh orang yang berlainan agama, sedangkan ajaran Islam sendiri meletakkan jihad peperangan sebagai jihad kelas kedua? Mengapa umat Islam suka menumpahkan darah atas nama Tuhan dan agama, sedangkan hawa nafsu itu yang perlu dimujahadahkan?
Lalu, Barat lebih selesa dengan versi Islam yang hanya memegang tasbih di masjid, atau mengajak orang ke halaqah zikirnya. Barat lebih selesa dengan kelompok ini sehingga menjadi pakar rujuk Islam bagi pentadbiran White House di Amerika Syarikat. Sebaliknya, Barat begitu skeptik dan prejudis pada Islam versi fi sabilillah yang mengajak manusia berjihad ke jalan Allah dan mempertahankan umat Islam daripada terus dizalimi.
Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa Islam menolak sebarang bentuk keganasan, pembunuhan orang awam, wanita dan kanak-kanak dan sebarang bentuk yang melampaui batas. Justeru, perlu dipisahkan antara pejuang jihad dan golongan yang melampaui batas.
Pemikiran Bersandarkan ‘Hadith’
Pemikiran yang didokong oleh orang seperti Prof. Khaled Abou El Fadl yang dirujuk oleh History Channel itu berakar umbi dalam kelompok dan aliran tertentu di kalangan umat Islam. Jika diteliti, pemikiran ini bersandar suatu pernyataan yang dianggap oleh orang ramai sebagai ‘hadith’, sedangkan para ulama hadith menolak dan mengkritiknya.
Hadith yang menjadi sandaran itu adalah seperti berikut:
رجعنا من الجهاد الأصغر إلى الجهاد الأكبر قالوا: وما الجهاد الأكبر؟ قال: جهاد القلب.
Maksud: Nabi bersabda: “Kami pulang daripada jihad yang kecil kepada jihad yang besar.” Orang ramai berkata: “Apakah jihad yang besar itu?” Nabi bersabda: “Jihad (membersih) hati.”
قدم النبي صلى الله عليه وسلم من غزاة، له، فقال لهم رسول الله صلى الله عليه وسلم: قدمتهم خير مقدم، وقدمتهم من الجهاد الأصغر إلى الجهاد الأكبر قالوا: وما الجهاد الأكبر يا رسول الله؟ قال: مجاهدة العبد هواه.
Maksud: Nabi s.a.w. pulang daripada satu peperangan, padanya, maka Nabi s.a.w. berkata kepada mereka: “Kalian telah pulang dengan sebaik-baik kepulangan. Kalian baru pulang daripada jihad kecil kepada jihad yang lebih besar.” Orang bertanya: “Apakah jihad yang besar itu wahai Rasulullah?” Nabi berkata: “Mujahadah (perjuangan) hamba melawan hawa nafsunya.”
Para ulama mengatakan bahawa hadith ini direkodkan oleh al-Baihaqi dalam bukunya al-Zuhd dengan sanad yang lemah daripada Jabir. Para ulama hadith menghukumkan hadith ini sebagai dhaif (lemah) dan hadith yang lemah tidak boleh menjadi asas kepada mana-mana dasar ajaran Islam. Justeru, kedhaifan hadith ini tidak boleh menghilangkan fakta dan dalil bahawa jihad peperangan tetap utama dan pertama dalam Islam. Antara para ulama hadith yang menghukumkan hadith ini sebagai dhaif ialah:
a. al-Maqdisi, Muhammad bin Tahir bin Ahmad. Tazkirah al-Maudhu’at, jil. 1, hlm. 191.
b. Jalal al-Din al-Suyuti, Jami’ al-Ahadith, jil. 15, hlm. 139, No. hadith: 15164
c. al-Iraqi, Takhrij Ahadith al-Ihya’, jil. 6, hlm. 216, no. hadith: 2567.
d. Sulaiman bin Saleh al-Khurasyi, Ahadith La Tashih, jil. 1, hlm. 5. no. hadith: 63.
e. al-`Ajaluni, Ismail bin Muhammad al-Jarahi, Kasyf al-Khifa’ wa Mazil al-Ilbas `Amma Asytahara min al-Ahadith `ala Alsinah al-Nas, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, jil. 1, hlm. 424-425, no. hadith: 1362.
f. Muhammad Nasir al-Din al-Albani, Silsilah al-Dha`ifah, jil. 5, hlm. 459, no. hadith: 2460.
Sebenarnya, kata-kata yang disangka hadith itu, bukanlah hadith tetapi kata-kata Ibrahim bin Abi ‘Ablah. al-Suyuti menukilkan pandangan al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Tasdid al-Qaus: “Ia adalah suatu yang popular diperkatakan, dan ia adalah kata-kata Ibrahim bin Abi `Ablah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Nasa`ie dalam bukunya ‘al-Kuna’.” (al-Suyuti, al-Durar al-Muntathirah fi al-Ahadith al-Musytahirah, jil. 1, hlm. 11)
Selain itu, Ibn Taimiyyah mengulas hadith ini dengan menyebut: “Hadith ini tidak ada asalnya (tiada sumber) dan tidak didapati periwayatannya dari seorang pun pakar yang berpengetahuan (ulama hadith) bahawa ia adalah kata-kata Nabi s.a.w. atau daripada perbuatan baginda. Dan jihad menentang orang-orang kafir itu adalah amalan yang paling besar, malahan ia adalah yang paling utama dalam ketaatan kepada Allah bagi manusia.” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ Fatawa li Ibn Taimiyyah, jil 2, hlm. 487)
Yang Utama Tetap Utama
Jihad dengan anggota badan, mengangkat senjata, memerangi orang Kafir yang menzalimi Muslimin tetap utama dan lebih afdhal daripada yang lain. Kejerihan dan kesukaran gerak perjuangan para pejuang ini sentiasa memartabatkan diri mereka lebih atas daripada orang yang hanya beribadah di atas tikar sembahyang dan membilang jumlah zikirnya.
Sememangnya, kita tidak dapat dinafikan bahawa jihad mempunyai definisi yang luas dan bidang yang pelbagai. Jihad ekonomi, jihad pendidikan dan jihad politik adalah antara ruang untuk umat bergelanggang. Tetapi, kesemua jihad itu tidak pernah boleh melebihi keutamaan jihad peperangan. Justeru, janganlah lisan kita berani menafikan keutamaannya atau menyembunyikan kepentingannya semata-mata untuk mengikut kehendak Barat.
Keutamaan jihad peperangan boleh difahami menerusi firman Allah:
الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ
Maksud: (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Taubah: 20)
Al-Nu’man bin Basyir berkata:
كُنْتُ عِنْدَ مِنْبَرِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ رَجُلٌ مَا أُبَالِى أَنْ لاَ أَعْمَلَ عَمَلاً بَعْدَ الإِسْلاَمِ إِلاَّ أَنْ أُسْقِىَ الْحَاجَّ. وَقَالَ آخَرُ مَا أُبَالِى أَنْ لاَ أَعْمَلَ عَمَلاً بَعْدَ الإِسْلاَمِ إِلاَّ أَنْ أَعْمُرَ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ. وَقَالَ آخَرُ الْجِهَادُ فِى سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ مِمَّا قُلْتُمْ. فَزَجَرَهُمْ عُمَرُ وَقَالَ لاَ تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ عِنْدَ مِنْبَرِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَهُوَ يَوْمُ الْجُمُعَةِ وَلَكِنْ إِذَا صَلَّيْتُ الْجُمُعَةَ دَخَلْتُ فَاسْتَفْتَيْتُهُ فِيمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ. فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ (أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ) الآيَةَ إِلَى آخِرِهَا.
Maksud: Aku berada di sisi mimbar Rasulullah s.a.w., maka berkatalah seorang lelaki, “Aku tidak peduli dengan tidak melakukan amalan selepas Islam melainkan dengan memberi minum orang-orang yang menunaikan.” Dan berkatalah yang lain, “Aku tidak peduli dengan dengan tidak melakukan amalan selepas Islam melainkan memakmurkan masjid al-Haram.” Maka, berkatalah yang lain, “jihad di jalan Allah lebih utama daripada apa yang kalian katakan.” Maka Umar memarahi mereka: “Janganlah kalian meninggikan suara di sisi mimbar Nabi s.a.w.” Dan hari itu adalah hari Jumaat, dan jika aku solat jumaat, aku memasuki masjid itu dan aku akan meminta fatwa daripada Nabi tentang apa yang diperselisihkan tadi. Maka, Allah menurunkan ayat (al-Taubah 19-20). (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, jil 12, hlm. 384, No. hadith: 4979)
Jika kita menolak konsep jihad peperangan, ke manakah akan kita letakkan ayat-ayat al-Quran dan hadith Nabi s.a.w. tentang kewajipannya. Isu ini dikupas dalam video berikut:
Jernihkan Pemikiran Ini…
Sekiranya pemikiran ini tidak dijernihkan, maka akan semakin ramai anak-anak Palestin mati dibunuh Yahudi tanpa pembelaan. Jika ia tidak dibetulkan, akan bertambah berani kuffar melanggar negara-negara Islam, sebagaimana nasib Bosnia, Chechnya, Afganistan dan Iraq. Negara Islam akan jatuh satu persatu tanpa pejuang yang mempertahankannya. Seandainya ‘hadith’ ini tidak diterangkan kedudukannya, akan ramai yang terus berdiam diri tanpa rasa pesona untuk mengorbankan dirinya.
Perlu ditegaskan, bahawa perjuangan mendidik hawa nafsu tidak pernah dinafikan kepentingannya. Namun, kedudukannya tidak diletakkan lebih utama daripada memerangi Kuffar yang menzalimi umat Islam. Marilah teguh berdiri menyokong para pejuang jihad, kerana Islam subur dibajai dengan darah syuhada’ dan syurga pula di bawah lembayung pedang! Ingatlah pesan Nabi s.a.w.:
واعلموا أن الجنة تحت ظلال السيوف
Maksud: Ketahuilah sesungguhnya syurga itu di bawah bayangan pedang. (al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Beirut: Dar Ibn Kathir, 1987, jil. 3, hlm. 1037, no. hadith: 2663)
Kalaulah sepanjang hayat kita tidak berpeluang menyertai sebarang operasi jihad, janganlah padamkan apinya di hati kita. Biar baranya membahang dalam dada. Selagi iman ada di hati, bara semangat jihad janganlah terpadam!
Oleh:
Mohd. Al Adib Samuri
www.al-adib.net
5 people have left comments
Nik said:
Bahkan perjuangan jihad itu adalah perjuangan menentang hawa nafsu. Mereka yang tunduk kepada hawa nafsu tidak mampu untuk berjihad….marilah kita berjihad
Wallahualam
admin said:
Betul tu ustaz, rasa cintakan kehidupan atau lebih dikenali sebagai al-wahan, berupaya membunuh jiwa jihad umat…
liz said:
Senyum pun satu jihad tapi jihad menentang kekufuran adalah jihad yang paling besar…semoga Allah pelihara sahabat-sahabat kita di Palestin…
maidi85 said:
persoalan:
bagaimana untuk berjihad mgerak tenaga fizikal andai hati penuh dengan nafsu dan maksiat..
walaupun mampu berjihad tapi dengan penuh nafsu keji dan maksiat batin adakah Tuhan akan membantu??
jadi manakah yang lebih utama??
renung2kan..
sedangkan saidina umar berkata “aku tak takutkan musuh dihadapanku tetapi lebih takutkan dosa dalam hati kamu”
- Copyright 2010 Al-Adib.net. All Rights Reserved.
- Back To Top
- Home





Leave a Comment-