farfromfearless

KETAKUTAN YANG MENAKUTKAN

Ketahuilah, gangguan jin dan syaitan yang menghasut kita untuk melakukan maksiat dan dosa adalah lebih besar ancamannya daripada ancaman 'terserempak dengan mereka'. Bisikan syaitan yang merosakkan iman itulah yang perlu dikhuatirkan.

Drama bersiri Puaka Niyang Rapik telah sampai ke hujungnya. Kisah seram berkaitan sepasang tok bomoh bermata buntang dan berwajah kusam berlawan dengan ustaz-ustaz yang menentang kesyirikan. Saya bukanlah peminat cerita ala-ala seram ini, tetapi begitu terpanggil untuk menonton drama tersebut menerusi laman web TV3. Apa yang menarik ialah penggunaan ruqyah dalam menentang kejahatan jin atau yang lebih dikenali oleh orang Melayu sebagai hantu atau puaka. Ruqyah al-Syar’iyah kurang popular di Malaysia kerana persaingan yang tinggi daripada bomoh kampung dan profesional yang beriklan di akhbar tabloid.

Klik Untuk: (Bacaan Ruqyah) (ayat-ayat-ruqyah) (Beli CD Ruqyah)

Bagi entri kali ini, saya akan membincangkan isu berkaitan ‘hantu’ atau lebih tepat disebut sebagai jin. Sememangnya, perbahasan tentang jin dan alamnya telah banyak dikupas oleh banyak pihak. Namun, kebelakangan ini apabila industri media menjadikannya pelaris dalam meningkatkan rating penonton saluran mereka, maka banyak persoalan muncul di benak saya. Terutamanya berkaitan ketakutan masyarakat pada jin, atau lebih mesra lagi, hantu.
 

Uncle Seekers Yang Merepek

Jin alias hantu itu ditakuti kerana dianggap berpotensi untuk dilihat. Fenomena melihat hantu ini semakin galak apabila media mula memaparkan program TV yang mengkhususkan kepada mencari hantu. Kononnya, hantu boleh dilihat dengan kamera tertentu sehingga kelibat sekilas cahaya juga dinisbahkan kepada mahkluk halus yang datang menguji individu sukarelawan yang ditinggalkan sepi di rumah gelap. Akibat kecelaruan pada asas keyakinan, maka jadilah Uncle Seekers sebagaimana dalam video berikut:   

Kejahilan berganda! Itu komen ringkas saya. Persoalannya, benarkah apa yang mereka cari itu hantu atau jin? Juga, persoalan yang lebih mendasar ialah adakah manusia boleh melihat jin?

Kecelaruan visual

Tidak salah jika dikatakan bahawa ‘takutkan hantu’ mendasari budaya Melayu dengan akar yang dalam dan kuat. Seawal anak bertatih berjalan, menakutkan mereka dengan hantu menjadi agen pengawal tingkahlaku anak-anak. Kemudian, apabila menjejak kaki ke sekolah, ada anak-anak takut ke tandas kerana percaya ada hantu bertenggek di situ. Lebih malang lagi, asrama sekolah di Malaysia sarat dengan biografi hantu dan antologi kisahnya. Hidup anak Melayu Islam jadi lemah dan kalah, apabila ada hantu datang menyerang asrama sekolah!

Saya sedih apabila mengikuti perkembangan serangan histeria besar-besaran di SMK Tanjung Lumpur, Pahang. (Klik: Utusan) Sememangnya benar yang jin boleh mengganggu manusia, merasuk ke dalam badan juga menjejaskan emosi manusia sebagaimana yang dipersetujui oleh para ulama. Tetapi apa yang berlaku di sana, mungkin lebih kepada ketakutan pada hantu yang telah lama mendasar di hati mereka. Hakikatnya, keadaan mereka yang takut dan panik sebegitu adalah hasil daripada apa yang minda mereka visualkan. Dan minda itu pula menggambarkan hantu yang sering sahaja disogok di kaca TV mereka. Saya lontarkan soalan ini; mengapa kita takut akan hantu yang lebih bersifat Nusantara, tetapi gelak ketawa melihat hantu orang Cina yang melompat-lompat? Tahukah kalian orang Cina ada yang sangat takut dengan hantu melompat itu?  

Justeru, punca kepada masalah ini ialah visual jin yang dipaparkan kepada masyarakat semenjak mereka kecil. Sama ada ia visual berskrin atau visual bayangannya sendiri dalam minda menerusi cerita orang tua-tua.

Jalan Suluhan Islam

Berupayakah kita melihat mereka dalam bentuk yang asal dengan keadaan yang menakutkan? Perbincangan ulama tentang keupayaan manusia melihat jin dan syaitan bersandarkan kepada ayat berikut. Allah berfirman:

إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لا تَرَوْنَهُمْ

Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. (Surah al-A’raf:  27)

Para ulama berpendapat sebagaimana berikut:

1.      Jin atau syaitan tidak akan boleh dilihat dalam bentuk dan sifatnya yang asal. Bagaimanapun rupa parasnya tiada siapa yang mengetahui. Berikut adalah pendapat ulama yang berkaitan:

a.      Ibn Hazam al-Zahiri berpendapat: Dan apabila Allah memberitahu kepada kita bahawa kita tidak melihat mereka, dan sesiapa yang mendakwa akan melihat mereka atau telah melihat mereka, maka dia adalah pendusta melainkan jika dia seorang Nabi a.s. Ini kerana ia adalah mukjizat bagi para Nabi, sebagaimana diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah dihembus (diganggu) oleh syaitan dalam solat baginda supaya Nabi berhenti solat. Maka, baginda bersabda:   ”Maka aku menangkapnya, dan aku teringat akan doa saudaraku Nabi Sulaiman a.s. Jika tidak kerana doa itu, nescaya syaitan itu akan terikat pada pagi esok  untuk dilihat oleh penduduk Madinah.” Begitu juga dengan riwayat Abu Hurairah yang melihatnya (dalam bentuk manusia yang mencuri -pen). Sesungguhnya ini adalah mukjizat bagi Rasulullah s.a.w. dan tidak ada perkhabaran yang mengesahkan adanya cara melihat jin selepas baginda s.a.w. wafat, dan kenyataan yang ada hanyalah riwayat yang terputus ataupun riwayat orang yang lemah (tiada kebaikan padanya). (Ibn Hazam, al-Faslu fi al-Milal, al-Qaherah: Maktabah al-Khanaji, jil. 5, hlm. 9)

 b.      Al-Qurtubi menukilkan daripada Mujahid bahawa maksud qabiluhu (Surah al-A’raf:  27) itu ialah jin dan syaitan. Sebahagian ulama berpendapat bahawa ini adalah dalil bahawa jin tidak boleh dilihat… Manakala al-Nahhas berkata: “ini menjadi dalil bahawa jin tidak boleh dilihat kecuali pada zaman Nabi, bagi menjadi bukti kenabian baginda, kerana Allah mencipta mereka dengan bentuk yang tidak boleh dilihat, dan sesungguhnya mereka ditukarkan daripada sifat mereka, dan itulah daripada mukjizat yang tidak akan berlaku melainkan pada zaman Nabi.” (al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, al-Qaherah: Dar al-Sya’bi, jil. 7, hlm. 186)

 c.       Ibn Hajar telah menukilkan daripada al-Baihaqi dalam bukunya Manaqib al-Shafie; bahawa daripada al-Rabi’: Aku mendengar bahawa Imam al-Shafie berkata: “Sesiapa yang mendakwa dia melihat jin, maka kami tidak menerima kesaksiannya, melainkan jika dia seorang Nabi.” Kenyataan ini merujuk kepada mereka yang mendakwa melihat jin dalam bentuk yang asal kejadiannya, bagaimanapun sesiapa yang mendakwa telah melihat mereka dalam bentuk yang telah berubah seperti dalam bentuk haiwan, maka dia tidaklah dicela. Terdapat banyak hadith yang menceritakan keupayaan jin berubah bentuk. (Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, Beirut: Dar al-Makrifah, jil. 6, hlm. 344)

 

2.   Manusia hanya boleh melihat jin atau syaitan ini apabila mereka menyerupai bentuk lain seperti fizikal manusia dan haiwan tertentu. Para ulama berdalilkan kepada ayat berikut:   

وَإِذْ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ وَقَالَ لا غَالِبَ لَكُمُ الْيَوْمَ مِنَ النَّاسِ وَإِنِّي جَارٌ لَكُمْ فَلَمَّا تَرَاءَتِ الْفِئَتَانِ نَكَصَ عَلَى عَقِبَيْهِ وَقَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِنْكُمْ إِنِّي أَرَى مَا لا تَرَوْنَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَاللَّهُ شَدِيدُ الْعِقَابِ 

Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu”. Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksa-Nya”. (Surah al-Anfal: 48)

Di dalam ayat ini, para mufassirin menyatakan bahawa syaitan telah menyerupai Suraqah bin Malik bin Ju’sham, salah seorang pemimpin Bani Kinanah. (al-Syaukani, Fath al-Qadir, Beirut: Dar al-Fikr, jil. 2, hlm. 315). Ini bermakna jin boleh menyerupai manusia. Tetapi, perlukah jin versi Melayu sentiasa dirupakan dengan manusia yang hodoh, kerepot, menakutkan dan berwajah pelik?

Beberapa hadith menyokong hujah ini:

a.       Hadith Abu Hurairah bertemu dengan pencuri harta zakat sebanyak tiga kali dan akhirnya memberitahu Abu Hurairah tentang kelebihan ayat al-Kursi. Rasulullah memberitahu bahawa pencuri itu adalah syaitan (jin).  (al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Beirut: Dar Ibn Kathir, jil. 2, hlm. 812, no. hadith: 2187)

b.      Hadith daripada Said bin Khudri berkata: Aku mendengar bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Di Madinah terdapat tiga kumpulan jin yang memeluk Islam, maka sesiapa yang terserempak dengan makhluk (عوامر) ini, hendaklah memberi amaran sebanyak tiga kali. Kemudian sekiranya dia menghilang, (biarkan), sekiranya dia masih ada di situ, maka bunuhlah, kerana ia adalah syaitan. (Muslim, Sahih Muslim, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, jil. 4, hlm. 1756, no. hadith: 2236) Maksud ‘عوامر’ di sini ialah jenis ular yang memasuki rumah. (al-Jazari, al-Mubarak bin Muhammad. al-Nihayah fi Gharib al-Athir, jil. 3, hlm. 298)

Jernihkan Pandangan ini…

Jelaslah bahawa kita tidak berupaya untuk melihat mereka dalam sifat dan bentuk yang asal dan hanya boleh melihat mereka dalam bentuk yang lain iaitu manusia dan haiwan. Apa yang dimomokkan hanyalah visual yang tiada nas padanya dan hanya berdasarkan pengalaman manusia yang sangat boleh diperdebatkan. Sebenarnya, apa yang ditakutkan itu, hanya apa yang kita bayangkan. Apa yang terisi dalam minda, itulah yang terbayang.  Dan itulah yang datang mengganggu.

Ketahuilah, gangguan jin dan syaitan yang menghasut kita untuk melakukan maksiat dan dosa adalah lebih besar ancamannya daripada ancaman ‘terserempak dengan mereka’. Bisikan syaitan yang merosakkan iman itulah yang perlu dikhuatirkan.

Untuk apa kita mengajar manusia takut kepada makhluk, kerana jin itu hanyalah makhluk yang lemah yang boleh dikalahkan dengan bacaan al-Quran dan doa. Mereka tidak akan memudaratkan kita melainkan jika diizinkan oleh Allah. Marilah kita ajak manusia agar takut akan Allah sahaja, Tuhan pemilik alam raya ini, juga pencipta jin dan manusia. Mengapa ini yang tidak menjadi modal industri media ataupun Uncle Seekers?

Jika ini tidak dilakukan, manusia akan lebih takut akan sesuatu yang tidak patut ditakuti. Sedangkan itulah yang menakutkan, kerana boleh menjejaskan akidah kita. Sungguh, apabila akidah telah rosak, inilah ketakutan yang menakutkan!

Oleh:
MOHD. AL ADIB BIN SAMURI
www.al-adib.net 

 

Sedekah Untuk Web ini



Your Email Address :



  • Share/Save/Bookmark

Categories-

  • No categories

3 people have left comments

ABU SAIF - Gravatar

ABU SAIF said:

Assalamualaikum Ustaz.

Terima kasih atas perkongsian yang amat berguna. Kedengarannya Uncle Seekers menerbitkan ensiklopedia hantu, yang jika dulunya tebal gedabak, kini dikecil-kecilkan kepada 6 buah untuk memudahkan pembelian.

Boleh baca mengenainya di http://uncleseekers.blogspot.com/2009/01/seekers-terbit-koleksi-enam-buku-mini.html

Posted on: 05/02/2009 at 2:16 PMQuote this Comment
admin - Gravatar

admin said:

:-) Moga Allah memberi hidayah padanya

Posted on: 05/02/2009 at 2:50 PMQuote this Comment
muiz - Gravatar

muiz said:

Bismillahirrahnirrahim. Seperti yang dinyatakan pada artikel di atas mengenai manusia tidak boleh melihat jin,syaitan,iblis dan sebagainya, saya agak kurang bersetuju mengenainya. ini kerana saya mempunyai seorang rakan yang boleh melihat makhluk-makhluk ghaib seperti yang dinyatakan. Untuk memperkukuhkan lagi apa yang saya nyatakan ini, anda boleh sendiri membaca di buku Mastika keluaran terhad 2009 pada musim haji yang lalu yang bertajuk ‘ Koleksi Terbaik Cerita Dari Mekah’. Di dalam buku ini,di muka surat 81,di mana tajuknya,’ Tunaikan haji bersama jin’, seorang jemaah haji telah mengatakan beliau telah menunaikan haji bersama-sama dengan jin. Beliau juga mengatakan di dalam kisahnya, semasa beliau melontar jamrah,beliau telah melihat syaitan dengan mata kepalanya sendiri. Di sini saya ingin mengemukakan soalan. Adakah jemaah haji tersebut hanya mereka-rekakan cerita sedangkan ketika itu beliau sedang menunaikan rukun islam yang kelima? Terima kasih.

Posted on: 13/01/2010 at 12:31 AMQuote this Comment

Leave a Comment-

Comment Guidelines: Basic XHTML is allowed (a href, strong, em, code). All line breaks and paragraphs are automatically generated. Off-topic or inappropriate comments will be edited or deleted. Email addresses will never be published. Keep it PG-13 people!

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>

All fields marked with "*" are required.

© 2009-2010 Al-Adib.net (MOHD. AL ADIB BIN SAMURI) All Rights Reserved

Copy Protected by Chetan's WP-CopyProtect.